Thursday, April 14, 2005

Hassan Al Banna: Semarak Perjuangannya Masih Terasa



Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan jasa yang ditaburkan. Inilah yang dapat diperkatakan mengenai keperibadian tokoh pada kali ini iaitu As-Syahid Imam Hassan Al Banna. Walaupun telah 54 tahun Almarhum meninggalkan kita semua, namun perjuangan dan kegigihannya dalam menegakkan kembali Islam di bumi Mesir tetap kukuh bersemadi dalam hati sanubari masyarakat Islam hingga ke hari ini.Tanggal 12 Februari 1949 meninggalkan sejarah hitam dan pilu bagi masyarakat Islam khususnya pejuang-pejuang agama. Pada tarikh itu dunia Islam kehilangan seorang ulama dan mujahid yang menjadi pelopor dalam mengembalikan kegemilangan Islam ke kemuncaknya. Pemergiannya yang tidak diduga merupakan suatu pembunuhan kejam hasil konspirasi musuh-musuh Islam yang berselindung di sebalik Raja Farok, pemerintah Mesir pada ketika itu.Imam Hassan Al-Banna telah dilahirkan pada Oktober 1906 di desa al-Mahmudiya yang terletak di daerah al-Bahriyyah, Iskandariah, Mesir. Beliau berasal dari sebuah keluarga ulama yang dihormati dan terkenal kerana begitu kuat mentaati ajaran dan nilai-nilai Islam. Mujahid Islam ini dibesarkan dalam suasana keluarga yang merendah diri dan hidup dalam keadaan yang serba sederhana.Hassan al-Banna merupakan anak sulung daripada lima beradik. Ayahnya, Syeikh Ahmad ibn 'Abd al-Rahman al-Banna adalah seorang ulama, imam, guru dan pengarang beberapa buah kitab hadis dan fikah perundangan Islam, yang berkelulusan dari Universiti Al Azhar Mesir. Beliau dikenali sebagai seorang yang bersopan santun, pemurah, merendah diri dan tingkah laku yang menarik. Namun beliau hanya bekerja sebagai pembaik jam di desa al-Mahmudiya untuk menyara keluarganya. Masa yang selebihnya digunakan untuk mengkaji, menyelidik dan mengajar ilmu-ilmu agama seperti tafsir al-Quran dan hadis kepada penduduk tempatan.Sebagai seorang ulama, Sheikh Ahmed Abdurahman al Banna mempunyai perpustakaan yang agak besar di rumahnya. Beliau menghabiskan sebahagian masanya mempelajari Sunnah Rasulullah dan membincangkannya dengan rakanrakan di kedai dan di rumah. Hassan al-Banna juga sering menghadiri dan mengambil bahagian dalam perbincangan tersebut. Pertemuan ini memberi kesan yang mendalam kepada pemikiran, wawasan dan yang penting perwatakannya. Ketokohan, keilmuan dan keperibadian Syeikh Ahmad al-Banna diwarisi oleh Hassan al-Banna.Sifat kepimpinan Hassan al-Banna terserlah sejak beliau masih di sekolah rendah. Beliau menjadi pemimpin Badan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-Akhlaqi yang dikelolakan oleh gurunya di sekolah. Pada peringkat ini beliau telah menghadiri majlis-majlis zikir yang diadakan oleh sebuah pertubuhan sufi, al-Ikhwan al-Hasafiyah. Melalui pertubuhan ini beliau berkenalan dengan Ahmad al-Sakri yang kemudiannya memainkan peranan penting dalam penubuhan Ikhwan Muslimin.Keluarga Hassan Al Banna begitu tegas dalam mendidik anak-anak berdasarkan ajaran Islam. Hal ini menyebabkan beliau telah menghafaz Quran dalam usia yang begitu muda dan telah memasuki Pusat Latihan Perguruan. Selepas tiga tahun di sana beliau mendapat tempat pertama dalam peperiksaan akhir. Beliau telah memasuki Darul Ulum di Kaherah pada awal usia 16 tahun kerana kebijaksanaan dan ilmu pengetahuannya yang luas.Semasa di Kaherah, Hassan al-Banna terdedah dengan pergolakan parti politik dan aliran-aliran menentang Islam yang dicetuskan oleh gerakan Kamal Ataturk. Parti-parti politik, kumpulan-kumpulan sasterawan dan pertubuhan-pertubuhan sosial sekular kebanyakannya bertujuan melemahkan pengaruh Islam. Beliau kemudian menganggotai pertubuhan Jamaíatul Makram al-Akhlaq yang giat mengadakan ceramah-ceramah Islam. Melalui pertubuhan ini, Hassan al-Banna dan rakan-rakannya menjalankan dakwah ke serata pelosok tempat, di kedai-kedai kopi dan tempat perhimpunan orang ramai. Pada peringkat inilah beliau bertemu dan mengadakan hubungan dengan tokoh-tokoh Islam terkenal seperti Muhibbuddin al-Khatib, Muhammad Rashid Reda, Farid Wajdi dan lain-lain.Pada Mac 1928, dalam usia 23 tahun, Hassan al-Banna beserta adik dan lima orang sahabatnya berkumpul di rumahnya dan bersumpah untuk hidup dan mati kerana Islam Di rumah itu Jemaah Ikhwan Muslimin telah ditubuhkan. Pada ketika itu beliau baru mendapat ijazah dari Darul Ulum serta berkhidmat sebagai guru bahasa Arab di salah sebuah sekolah di bandar Ismailiyah.Ketika ditanya mengapa beliau melibatkan diri dalam kerja-kerja dakwah, Hassan al-Banna dengan tegas menjawab,"Hanya Allah yang tahu berapa malam kita menghabiskan masa untuk memikirkan masalah ummah, pada peringkat mana mereka telah melaluinya dan kesakitan dan keperitan yang telah mereka lalui. Dan kita merenung sumpahan yang dikenakan atas kesakitan yang dilalui oleh Ummah. Kesukaran dan kepahitan yang dilalui oleh mereka mungkin berakhir dengan munajat dari kita semua."Setelah berkhidmat selama 19 tahun dalam bidang perguruan, beliau meletakkan jawatan pada tahun 1946 untuk menyusun kegiatan dakwah yang berkesan dalam masyarakat di bandar. Pengalaman ahli jemaah yang dikumpulkan sekian lama menjadikan Ikhwan Muslimin sebuah gerakan yang berpengaruh.Di dalam buku "Letter To A Muslim Student" (FOSIS,1995) kedinamikan Ikhwan Muslimin dijelaskan: Pencapaian Hassan al-Banna yang paling membanggakan ialah kemampuannya membangunkan organisasi yang canggih dan berjaya menterjemahkan wawasannya dalam kehidupan sebenar. Ikhwan bukan sekadar pertubuhan yang berasaskan sosial, politik atau kumpulan agama tetapi lebih dari itu.Menurut Dr. Muhammad Kamal Khalifah, Pensyarah di Universiti Cairo melalui mukadimah buku Ikhwan Muslimin Dan Masyarakat Mesir, kemunculan Hassan Al-Banna yang mendapat inspirasi dari Jamaluddin Al-Afghani dan Muhammad Abduh, serta menjalani aliran rakyat melahirkan golongan mukmin yang sebenar-benarnya melalui pengajian dan pembelajaran untuk menyebarkan akidah yang sahih, kefahaman yang betul dan menyeluruh tentang Islam dan sistemnya. Beliau berjuang bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita tersebut. Usaha beliau ini amat dikagumi masyarakat Mesir sehingga Islam kembali kepada kedudukan yang sewajarnya dalam masyarakat.Dalam usia yang muda, Hassan al-Banna dikagumi kerana penyampaiannya yang jelas dan terang apabila menyampaikan khutbah di masjid. Beliau dapat meyakinkan para pendengar dengan kebenaran yang dibawa, matlamat dan keikhlasannya. Beliau mampu meyakinkan golongan intelektual dan orang biasa.Berdasarkan kepimpinannya, Hassan al-Banna adalah pemimpin yang bijak mengatur organisasi. Ikhwan Muslimin disusun dalam tiga peringkat iaitu memperkenalkan Ikhwan dan menyebarkan dakwah asas melalui ceramah serta kegiatan kebajikan. Kemudian membentuk keperibadian anggota agar bersedia menjalani jihad, seterusnya melaksanakan cita-cita perjuangan dengan tegas.Ikhwan Muslimin berjaya menjadi sebuah gerakan yang menggegarkan Mesir terutama selepas Perang Dunia Kedua apabila pertubuhan ini turut bertanding dalam perebutan kuasa politik. Para penentangnya menyifatkan Ikhwan Muslimin sebagai negara di dalam negara. Sehingga tahun 1934, Ikhwan telah menubuhkan lebih 50 cawangannya di Mesir. Pertubuhan ini telah menubuhkan beberapa buah sekolah, masjid dan kilang. Pada penghujung Perang Dunia Kedua, Ikhwan mempunyai lebih setengah juta pekerja yang aktif dan setengah juta penyokong (sesetengah sumber menyebut sekitar 3 juta). Lebih 3000 cawangan kesemuanya telah wujud di Mesir dan 50 di Sudan hasil kerja Ikhwan yang melangkaui batas negara.Dalam satu jawapan yang diberikan oleh wartawan barat terhadap dirinya yang bertanyakan siapakah dia, Hassan Al Banna menjawab, saya adalah pelancong yang mencari kebenaran, dan insan yang mencari erti kemanusiaan di kalangan manusia, dan warganegara yang inginkan kemuliaan, kebebasan, kestabilan, hidup yang baik untuk negara dan berjuang untuk menaikkan Islam.Malah, kerajaan British telah menjemput Hassan al-Banna ke kedutaan mereka untuk minum teh. Beliau dipuji kerana perwatakannya yang baik, kerja-kerja kebajikannya untuk membantu anak-anak yatim dan janda. Malah pegawai atasan British menjelaskan bahawa dunia sangat fragile dan Mesir perlu dibangunkan sebagai negara yang moden dan makmur.Pengaruh Ikhwan Muslimin yang kuat amat dikhuatiri oleh Kerajaan Mesir di bawah Noqrashi Pasha dari Parti al-Saídi. Pada 8 November 1948 beliau telah mengharamkan Ikhwan Muslimin atas tuduhan merancang satu pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan. Sumbangan Ikhwan Muslimin menghantar beribu-ribu orang pejuang dalam perang menghadapi Israel seolah-olah dinafikan. Kesemua cawangannya yang berjumlah lebih 3000 diarahkan supaya dibubarkan. Sekiranya masih beroperasi, mereka akan dikira sebagai pertubuhan haram, pelampau dan pengganas. Unit-unit tentera Mesir dan tentera Ikhwan Muslimin yang berjuang di Palestine dipanggil balik. Berbagai-bagai tuduhan dan fitnah dilemparkan terhadap Ikhwan Muslimin. Anggota-anggotanya ditangkap, dimasukkan ke dalam penjara, diseksa dengan teruk, malah ada yang dibunuh. Apabila seorang wartawan bertanyakan Hassan al-Banna tentang pengharaman itu, beliau menjawab, "apabila kata-kata diharamkan, maka tanganlah yang akan menggerakkannya."Begitu mendalam kata-katanya.Tidak lama kemudian Perdana Menteri Mesir telah dibunuh dan Gerakan Ikhwan telah dipersalahkan atas kejadian itu. Pada bulan yang berikutnya harta benda pergerakan itu telah dirampas dan beribu-ribu orang beliau telah disumbatkan ke dalam penjara. Dengan alasan untuk mengendurkan (mengurangkan) ketegangan (konflik) antara Ikhwan Muslimin dan kerajaan, pihak kerajaan menjemput Hasan al-Banna untuk berunding bertempat di Pejabat Jam'iyyah al-Syubban al-Muslimin. Sebenarnya jemputan itu hanyalah sebagai helah untuk membunuh beliau.Pada 12 Februari 1949 jam 5 petang, Hasan al-Banna bersama iparnya Abdul Karim Mansur, seorang peguam, suami kepada adik perempuannya berada di pejabat tersebut. Mereka menunggu Menteri Zaki Ali Basya yang dikatakan mewakili kerajaan untuk berunding, tetapi malangnya Zaki Ali Basya tidak kunjung tiba.Akhirnya setelah selesai menunaikan solat Isyak mereka memanggil teksi untuk pulang. Ketika baru sahaja menaiki teksi yang dipanggil, dua orang yang tidak dikenali menerpa ke arah teksi dan salah seorang daripada mereka terus melepaskan tembakan pistol. Mereka berdua mereka terkena tembakan itu. Iparnya itu tidak dapat bergerak akibat terkena tembakan tersebut. Walaupun terkena tujuh tembakan, Hasan al-Banna masih mampu berjalan masuk semula ke pejabat Jam'iyyah al-Syubban al-Muslimin memanggil ambulans untuk membawa mereka ke hospital. Setibanya di hospital Qasral 'Aini, mereka dikawal rapi oleh Jeneral Muhammad al-Jazzar dan tidak membenarkan sebarang rawatan diberikan kepada Hasan al-Banna. Pada pukul 12.50 tengah malam, Hasan al-Banna menghembuskan nafas yang terakhir akibat tumpahan darah yang banyak.Pada pukul satu pagi pihak polis menyampaikan berita kematian kepada ayah Hasan al-Banna dengan dua pilihan: Pihak polis akan menghantarkan jenazah ke rumahnya untuk beliau menjalankan urusan pengebumian pada jam sembilan pagi tanpa sebarang perhimpunan. Jika tidak menerima tawaran pertama itu, pihak polis sendiri terpaksa membawa jenazah dari hospital ke kubur tanpa beliau melihat jenazah anaknya itu.Ayah Hasan al-Banna menerima pilihan yang pertama. Sebelum fajar menyingsing, jenazah as-Syahid dibawa ke rumahnya di Hilmiah al-Jadid dengan sebuah kereta yang dikawal rapi oleh polis yang lengkap bersenjata. Di sekitar rumahnya juga terdapat polis dan tentera berkawal dengan rapi. Mereka tidak membenarkan sesiapa pun menghampiri kawasan tersebut. Jenazah Almarhum dibawa masuk ke rumahnya secara tidak ada orang yang melihatnya dan tidak ada yang mengetahui masa ketibaannya.Sheikh Ahmad Abdur Rahman, ayah Hasan al-Banna yang sudah berusia lebih 90 tahun itu dengan penuh kesabaran memandikan dan mengapankan jenazah anaknya yang baru berusia 43 tahun itu seorang diri. Setelah diletakkan ke atas pengusung, beliau memohon pihak polis mencari beberapa orang untuk mengusungnya. Tetapi pihak polis menjawab, biarkanlah orang-orang perempuan tolong mengusungnya.Polis tidak membenarkan sesiapa datang ke rumah tersebut untuk mengucapkan takziah dan tidak dibenarkan membaca al-Quran. Ayah Hasan al-Banna tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Beliau dengan tiga orang perempuan terpaksa mengusung anaknya itu menuju ke Masjid al-Qaisun untuk disembahyangkan. Pihak polis lebih dahulu telah pergi ke masjid memerintah orang-orang yang ada di situ supaya meninggalkan masjid. Sheikh Ahmad seorang diri menunaikan solat jenazah ke atas anaknya itu. Kemudian mereka meneruskan pengusungannya menuju ke perkuburan untuk disemadikan jenazah Almarhum. Pada waktu itu usia Hassan Al Banna baru mencecah 43 tahun. Anak bongsunya telah dilahirkan pada hari yang sama. Isteri Hassan Al Banna menamakannya "Esteshhaad" yang bermaksud syahid.Pembunuhan Hassan al-Banna adalah satu perancangan pihak istana dengan arahan Raja Farouk dan Perdana Menterinya Ibrahim Abdul Hadi. Sebab itulah tidak ada sebarang tindakan ke atas penjenayah dan orang yang terlibat. Kes pembunuhan ini walaupun telah dibawa ke mahkamah beberapa kali, tetapi telah ditangguhkan. Pertama kali dibawa pada masa pemerintahan Perdana Menteri Ibrahim Abdul Hadi. Kedua, pada masa pemerintahan Perdana Menteri Husin Sari. Ketiga, pada zaman pemerintahan Perdana Menteri Mustafa al-Nahhas Basya.Pada 23 Julai 1952 satu revolusi telah tercetus. Raja Farouk terpaksa turun dari singgahsananya. Berikutan itu, kes ini dibuka semula. Penjenayah ditangkap dan pada 2 Ogos 1954, Koperal Ahmad Husin Jad dikenakan hukuman penjara seumur hidup dengan kerja berat. Pemandu kereta, Sarjan-Major Muhammad Mahfuz Muhammad dikenakan hukuman penjara 15 tahun dengan kerja berat. Major Muhammad al-Jazzar dikenakan hukuman satu tahun penjara dengan kerja berat.Sejak pembunuhan terhadap Hassan al-Banna, ramai pendukung Ikhwan Muslimin yang telah ditindas dan dizalimi. Namun tindakan-tindakan tersebut menyebabkan pertubuhan itu bukan sahaja semakin bertambah kuat di Mesir, malah telah mengembangkan sayapnya di negara-negara Arab. Kebangkitan Islam yang berlaku di negara Arab pada hari ini sebenarnya secara tidak langsung bertitik tolak dari Gerakan Ikhwan Muslimin.Tegasnya, Hasan al-Banna merupakan seorang pejuang yang gigih dan berani, berjaya menyedarkan masyarakat dengan fikrah dan pendekatan barunya dalam gerakan dakwah dan manhaj tarbiahnya yang syumul. Walaupun beliau telah pergi menemui Ilahi, namun fikiran dan gerak kerjanya masih menjadi rujukan dan pegangan pejuang-pejuang dan harakah Islamiah pada hari ini.

Wednesday, April 13, 2005

Fathimah penasihat yang dikagumi

Fathimah binti Al-Walid Al Mughirah merupakan salah seorang wanita yang memiliki pegangan teguh terhadap seseuatu perkara. Sifatnya yang berwibawa itu seharusnya dicontohi oleh kaum wanita Islam. Beliau selain bijak, berani mengeluarkan pendapat secara terbuka apabila menghadapi masalah. Keadaan ini menjadikan Fathimah seringkali menjadi tempat rujukan apabila menghadapi masalah. Setiap pandangan yang diberikannya itu akan diterima oleh setiap orang termasuk kaum lelaki. Sedangkan ketika itu di bumi Arab budayanya amat memandang rendah pada kaum wanita sehinggalah kedatangan agama Islam. Cahaya keimanan Islam mula menyinari hidup Fathimah ketika peristiwa penaklukan Kota Makkah. Beliau menerima Islam bersama suaminya Al-Haris bin Hisyam. Walaupun keislamannya agak akhir namun sikapnya amat terpuji. Fathimah bt. Al-Walid Al Mughirah ialah saudara Khalid Al-Walid panglima Islam yang terkenal. Sifat Fathimah yang suka memberi nasihat menyebabkan Khalid Al-Walid sering meminta nasihat Fathimah apabila menghadapi sebarang masalah yang kronik. Ibnu Asakir berkata: "Fathimah binti Al-Walid bin Mughirah adalah saudara Al-Walid. Dia ialah termasuk dalam kategori sahabat. Fathimah berangkat ke Syam bersama suaminya Al-Haris. Khalid yang pernah menakluk Parsi dan Rom sering meminta pendapat atau pandangannya". Ketika Khalid dipecat oleh Umat bin Khattab sebagai panglima perang, maka Khalid telah pergi menemui Fathimah untuk meminta pendapatnya. Lalu Fathimah memberikan cadangan untuknya agar menerimanya dengan tenang. Dengan senang hati Khalid menerima cadangan Fathimah, kemudian Khalid mencium kepala Fathimah sambil berkata, "Demi Allah, engkau benar". Khalid menerima baik cadangan Fathimah itu kerana Khalid tidak mahu membohongi dirinya sendiri. Fathimah meriwayatkan hadis daripada Rasulullah s.a.w. mengenai izar atau kain penutup sejenis jubah. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Uqaili bahawa Fathimah berada di Syam dengan memakai jubah yang dibuat daripada sutera bercampur bulu. Kemudian ia memakai izar, lalu orang-orang bertanya kepadanya: "Untuk apa engkau memakai izar?" Dia menjawab: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. menyuruh memakai izar." Itulah contoh saudara perempuan yang jujur dan benar, yang sentiasa suka memberi nasihat dan bermesyuarat. Di saat Khalid bin Al-Walid, si Pedang Allah datang kepada Fathimah untuk meminta cadangannya ketika ia menemui masalah, maka Khalid menerima saranannya itu dengan baik. Begitulah keperibadian saudara perempuan Khalid bin Al-Walid sebagai seorang wanita yang jujur dan benar serta bertanggungjawab. Sikap ini seharusnya menjadi teladan bagi kaum wanita Islam sekarang.

Dr. Yusuf al-Qardhawi

Membincangkan wacana pemikiran Islam moden, kita tidak boleh mengabaikan nama Dr. Yusuf al Qardhawi. Ini kerana pemikiran-pemikirannya yang bijak disokong oleh dalil-dalil yang kuat, banyak dijadikan rujukan oleh umat Islam, terutama dalam menghadapi permasalahan semasa. Banyak buku ulama kelahiran Mesir ini yang beredar di rantau ini. Antaranya, Fatwa-fatwa Kontemporari, Islam Ekstrem, Menyatukan Pemikiran Pejuang Islam, Ulama versus Tirani, dan Agenda Permasalahan Umat.Pada pandangan Qardhawi, umat Islam sudah lama menghidap krisis identiti yang akut akibat perang pemikiran (ghazwul fikr) Barat yang tidak mengkehendaki Islam bangkit semula. Umat Islam kini seolah-olah sudah tidak percaya lagi kepada agamanya sendiri, justeru lebih percaya kepada peradaban Barat. Sebab itu umat Islam masih di bawah cengkaman peradaban Barat.Qardhawi adalah salah seorang intelektual yang tidak jemu-jemunya menggilap maruah umat Islam dengan cara secara berterusan menyebarkan pemikiran Islam yang benar dan tidak menyimpang. Beliau tidak hanya aktif dalam penyebaran pemikiran melalui buku-buku karangannya yang pelbagai, tetapi juga melalui seminar-seminar di peringkat antarabangsa. Yang lebih menakjubkan lagi adalah, prinsip hidupnya yang sangat kukuh dalam memegang kebenaran dan prinsip Islam, walaupun ada ketikanya menghadapi tekanan dari pihak-pihak tertentu.Selain itu Qardhawi amat kritis terhadap pelbagai propaganda pemikiran Barat mahupun Timur, termasuk pemikiran salah daripada umat Islam sendiri. Malah beliau tidak berasa malu berbeza pendapat dengan senior-seniornya dalam pergerakan Islam seperti Sayyid Quthb, antara tokoh utama gerakan Islam moden Ikhwanul Muslimin. Qardhawi berani mengkritik pemikiran Sayyid Quthb dalam bukunya yang amat popular "Ma'alim Fii al-Thariiq" (Papan Tanda Sepanjang Jalan).Bagi Qardhawi, perbezaan pendapat adalah sesuatu yang tidak mungkin untuk dihalang. Ini kerana selama terdapat sebab-sebab yang membolehkannya, maka perbezaan itu tidak akan pernah berakhir. Malah beliau berpendapat, sikap taksub yang terdapat pada sesetengah umat Islam, sering menimbulkan suasana yang tidak tenteram dan merugikan umat Islam sendiri. Ini kerana masing-masing dengan penuh semangat mempertahankan pendapat masing-masing dan menganggap pendapat merekalah yang paling benar. Mereka menyangka, pendapat mereka adalah ajaran agama dan apabila seseorang mengikut atau menentangnya mereka mendapat pahala atau seksa. Sebab tu dengan sekuat tenaga mereka menjadikan pendapat-pendapat tersebut sebagai kebenaran yang mutlak dan menolak sekiranya berlaku perbezaan. Bagi beliau ini adalah sikap yang tercela, kerana sikap ini akan menimbulkan sikap taksub yang berlebihan sehingga menghalang berlakunya perbezaan pendapat sebagaimana yang dibenarkan oleh agama Islam.Perbezaan pendapat akan sentiasa wujud kerana agama Islam tidak mengongkong pentafsiran yang menghasilkan kesimpulan yang berbeza. Selagi pentafsiran itu berasaskan sumber hukum yang dibenarkan, maka perbezaan ini akan sentiasa berkembang. Perbezaan seorang alim yang mengambil rukhsah (keringanan hukum) dengan mengambil 'azimah (sesuai dengan perintah hukum syarak), atau yang mengambil hukum dengan berhati-hati (al-ahwath) dengan yang mengambilnya dengan cara lebih mudah (al-aysar), tidak mungkin dipertemukan sehingga hari kiamat.Para sahabat juga berbeza pendapat antara mereka. Namun hal itu tidak menjadikan mereka saling bercakaran, bahkan mereka dengan tenteram hidup dalam alam perbezaan itu. Mereka bersembahyang berimamkan yang lain tanpa syak wasangka dan caci-maki.Dalam hal ini Qardhawi sangat kecewa dengan sikap sesetengah umat Islam yang tidak dapat membezakan antara perbezaan pendapat yang terpuji dan tercela berpandukan syariat. Pandangan-pandangan Qardhawi yang tajam dalam hal perbezaan yang terpuji dan tercela ini, telah dipaparkannya dalam buku As-Shahwah al-Islamiyah baina al-ikhtilaf al-masyru' wa al-tafarruq al-madzmum (Kebangkitan Islam antara Perbezaan yang Terpuji dan yang Tercela). Atau dalam sebuah bukunya yang lain Awaamil sa'sah wa al-muruunah fii al-syariah al-Islamiyah (Elemen-elemen Fleksibiliti dalam Syariah Islam).Dilahirkan di sebuah desa kecil di Mesir, iaitu desa Shafth Turaab pada 9 September 1926. Semasa berusia 10 tahun, ia sudah hafal al-Qur'an. Selepas tamat belajar di Ma'had Thanta dan Ma'had Tsanawi, Qardhawi melanjutkan pelajarannya ke Universiti al-Azhar, Fakulti Usuluddin dan menamatkan pengajian pada tahun 1952. Ia menamatkan pengajian di peringkat doktor falsafah pada tahun 1972 dengan kajian "Zakat dan Peranannya dalam Membenteras Kemiskinan", yang kemudian disempurnakannya menjadi buku Fekah Zakat. Inilah buku yang sangat terperinci membahaskan permasalahan zakat dalam konteks kehidupan moden.Punca ia terlambat menamatkan pengajiannya di peringkat doktor falsafah adalah kerana beliau terpaksa meninggalkan Mesir akibat tekanan pihak berkuasa ketika itu. Qardhawi terpaksa berhijrah ke Qatar pada tahun 1961 dan di sana ia sempat menubuhkan Fakulti Syariah di Universiti Qatar. Pada masa yang sama, ia juga menubuhkan Pusat Kajian Sejarah dan Sunnah Nabi. Ia kemudian memperoleh kewarganegaraan Qatar dan menjadikan Doha sebagai tempat tinggalnya.Dalam perjalanan hidupnya, Qardhawi pernah merasai "didikan" penjara semasa mudanya. Ketika Mesir diperintah oleh Raja Farouk, pada tahun 1949 Qardhawi didakwa dan kemudiannya dipenjarakan kerana dituduh terbabit dalam gerakan Ikhwanul Muslimin. Ketika itu umurnya 23 tahun. pada April tahun 1956, ia ditangkap semula semasa berlakunya Revolusi Jun di Mesir. Ia kemudiannya menghuni penjara tentera selama dua tahun.Walaupun telah melalui pelbagai peristiwa pahit, Qardhawi tetap lantang dan berani menyuarakan pendapatnya terutama dalam khutbah-khutbahnya sehingga ia pernah dilarang menjadi khatib di sebuah masjid di daerah Zamalik. Alasannya, khutbah-khutbahnya dianggap mempengaruhi pandangan awam terhadap ketidakadilan rejim yang memerintah ketika itu.Dr. Qardhawi kini memiliki tujuh orang anak, empat perempuan dan tiga lelaki. Sebagai seorang ulama yang sangat disegani, ia mempunyai sikap yang sangat terbuka dalam pendidikan anak-anaknya. Bagi beliau anak-anak bebas memilih bidang dan institusi pendidikan yang sesuai dengan minat dan bakat masing-masing. Dan hebatnya lagi, dia tidak membezakan pendidikan yang harus dipilih oleh anak-anak perempuan dan anak lelakinya.Salah seorang anak perempuannya memperoleh gelaran doktor fizik dalam kajian nuklear di England. Anak perempuan keduanya memperoleh gelaran doktor dalam jurusan kimia juga di England. Manakala yang ketiga masih menyelesaikan pengajian di peringkat doktor falsafah. Sedangkan yang keempat telah menamatkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Texas, Amerika. Anak lelakinya yang pertama sedang menuntut di peringkat doktor falsafah di bidang teknologi di Amerika, yang kedua belajar di Universiti Darul Ulum Mesir sedangkan yang bongsu telah menamatkan pengajiannya di Fakulti Elektrikal.Melihat kepada latar belakang pendidikan yang dipilih anak-anaknya, kita boleh membaca sikap dan pandangan Qardhawi terhadap pendidikan moden. Daripada tujuh orang anaknya, hanya seorang yang belajar di Universiti Darul Ulum Mesir dalam pengajian aliran agama. Sedangkan yang lainnya memilih aliran sains san teknologi dan kesemuanya belajar di luar negara, iaitu negara-negara barat. Ini disebabkan Qardhawi merupakan seorang ulama yang menolak pembahagian ilmu secara sempit. Bagi beliau, semua ilmu boleh dianggap Islam dan sebaliknya, bergantung kepada orang yang menilai dan mempergunakannya. Pemisahan ilmu secara sempit menurut Qardhawi telah menghalang kemajuan umat Islam.Bagi Qardhawi, peradaban tentang sesuatu bangsa dan agama boleh maju jika peradaban tersebut bijak menyerap hal-hal positif daripada tamadun bangsa yang lebih maju, dengan syarat tidak meninggalkan jati diri dan ajaran Islam. Qardhawi menganggap, kemajuan peradaban mana pun amat tergantung pada manusianya. Begitu jugalah semangat untuk memajukan peradaban Islam, ia diusahakan dengan memajukan umat dalam pelbagai bidang keilmuan.Peradaban Islam yang mundur dalam pandangan Qardhawi adalah berpunca kerana umat Islam jahil dalam pelbagai bidang ilmu yang menjadi asas kemajuan masyarakat. Islam menjadi ajaran yang telah disempitkan dengan pelbagai bidang ilmu khusus, sehingga tidak lagi menggambarkan sebagai satu ajaran yang universal. Jadi keagungan Islam dimundurkan oleh umatnya sendiri yang menganggap ilmu-ilmu Islam itu hanya dalam ilmu-ilmu yang berkaitan dengan fardu ain sahaja dan mereka mengabaikan tuntutan fardu kifayah.Dalam buku-buku yang ditulisnya, Qardhawi selalu menyeru umat Islam kepada pemikiran moderat dan sangat anti pemikiran ekstremisme. Dia selalu mencanangkan keagungan Islam dalam semua aspek kehidupan. Bagi beliau, Islam selalu menggalakkan umatnya bersikap terbuka dan sederhana. Sebagai ulama yang sangat arif terhadap tuntutan al-Qur'an dan sunnah Nabi, Qardhawi sangat fleksibel dalam memandang ajaran Islam. Sikap kritisnya dalam memahami ajaran Islam ini sangat membantunya untuk selalu bersikap arif dna bijak. Namun pada saat yang sama, sangat kuat dalam mempertahankan pendapat-pendapatnya yang digalinya daripada al-Qur'an dan hadith.Kini Dr. Qardhawi tidak jemu-jemu mencanangkan pemikiran Islam sebagai agama yang sederhana. Islam amat menghargai perbezaan sebagai fenomena sosial yang tidak mungkin disekat dan dihapuskan. Tidak hairan jika Qardhawi sangat anti terhadap gerakan-gerakan Islam yang bercorak militan yang suatu ketika dulu tergamak membunuh para pelancong barat yang sedang melancong di bumi Mesir, tanpa alasan yang jelas dan diterima akal. Tindakan seperti itu, dianggapnya sebagai tindakan ganas yang hanya memburukkan maruah dan nama baik umat Islam. Islam sebagai agama yang cintakan kedamaian dan sangat berperikemanusiaan dalam melayan seseorang tidak kira bangsa dan agamanya, telah dikotori oleh semangat barbarian yang suka menumpahkan darah.Bagaimanapun Qardhawi juga mengingatkan semua pihak bahawa tindakan ganas itu adakalanya berpunca bukan kerana keinginan mereka. Tindakan tersebut timbul disebabkan kemerdekaan mereka telah dirampas oleh para penguasa yang tidak memberikan peluang pada mereka melaksanakan keyakinan seperti yang mereka yakini.

Atikah Memperincikan Dengan Perasaan

Suasana gawat di kota Mekah memaksa Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah bagi mencari medan dakwah yang baru. Ditemani Abu Bakar as-Siddiq, dua sahabat ini memulakan perjalanan mereka. Selepas menyembunyikan diri di Gua Hira’ selama tiga hari dengan bekalan makanan yang dihantar oleh puteri Abu Bakar sendiri, iaitu Asma’, mereka berdua meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya iaitu Yatbrib (Madinah). Perjalanan mereka disertai dua orang rakan lain iaitu Amir bin Fuhairah dan Abdullah bin Uraiqith. Berempat mereka merentasi padang pasir, gunung-ganang serta merempuh ribut pasir atas satu misi agung. Mereka mesti sampai ke Madinah untuk meneruskan agenda menyebarkan Islam kepada penduduk di sana. Jika tidak, Islam akan mati tanpa sempat tersebar luas. Kekurangan makanan dalam perjalanan itu sama sekali tidak melemahkan semangat mereka. Begitu juga orang kafir Quraisy yang sedang memburu mereka sejak di Mekah lagi, tidak menerbitkan rasa gentar di jiwa. Suatu hari ketika rombongan kecil itu merentasi padang pasir yang panas, Rasulullah ternampak sebuah khemah yang tertegak di tengah padang pasir gurun sahara itu. Mereka mendekati dengan niat mahu meminta bantuan atau membeli makanan jika ada. Seorang wanita Arab menyambut kedatangan rombongan kecil itu. Dia adalah Ummi Ma’bad, seorang gembala kambing yang pemurah. Wanita ini bersama suaminya, Abu Ma’bad memang sengaja memasang khemah di tengahpadang pasir itu untuk membantu para kafilah yang lalu lalang. Selalunya melalui bantuan yang diberikan itu, pasangan suami isteri ini akan dibayar sedikit wang oleh para kafilah berkenaan.Rombongan Rasulullah tiba di sana dalam keadaan letih, lapar dan dahaga. Hasrat mereka untuk membeli daging dan kurma daripada wanita itu. Tetapi sayangnya ketika itu suami Ummi Ma’bad sudah keluar mengembala kambing di samping mencari pelanggan dari kalangan kafilah yang lalu di situ. Tiada apa-apa yang boleh Ummi Ma’bad jual kepada tetamunya yang sedang kelaparan itu.Rasulullah terpandang seekor kambing kurus yang tertambat di tepi khemah itu, lalu bertanya adakah kambing itu mempunyai susu untuk diperah. “Kambing itu terlalu lemah dan kurus, tuan. Tidak mungkin ia ada susu,” balas Ummi Ma’bad, agak hampa kerana gagal membantu tetamunya yang dalam kesusahan. Sebaliknya Rasulullah membalas, “tidak mengapa, bolehkah ibu benarkan saya memerahnya?”“Jika tuan fikir ia ada susu, maka perahlah,” wanita itu memberi kebenaran.Rasulullah mendekati kambing itu dan mengusapnya perlahan. Baginda berdoa, membaca nama Allah dan mula memerah susu kambing. Dengan kuasa Allah juga, susu kambing memancut laju dengan banyak. Susu itu diisi ke dalam mangkuk lantas diberikan kepada Ummi Ma’bad, kemudian kepada sahabatnya yang bertiga itu. Selepas mereka kenyang, barulah giliran baginda meminumnya. Kemudian baginda memerah semangkuk lagi dan menyerahkan kepada Ummi Ma’bad untuk dijadikan bekalan wanita itu.Rombongan itu mengucapkan terima kasih lalu meneruskan perjalanan ke kota Madinah. Ummi Ma’bad sama sekali tidak mengetahui bahawa dia telah bertemu dengan seorang lelaki mulia yang menjadi sebutan seluruh tanah Arab ketika itu. Sangkanya lelaki itu sama seperti lelaki dari kafilah lain yang pernah menyinggahi khemahnya sebelum ini.Tidak lama kemudian, Abu Ma’bad, suami wanita itu pulang bersama sekawan kambingnya yang kurus kerana tidak cukup makanan. Selepas melangkah masuk ke dalam khemah, dia agak terperanjat melihat semangkuk susu segar di sana. Lelaki itu terpinga-pinga kerana setahunya tiada seekor pun kambing mereka yang mempunyai susu kerana kesemuanya kurus tidak cukup makan.Ummi Ma’bad lalu menceritakan mengenai kedatangan rombongan kecil lelaki Quraisy ke khemah mereka tadi. Dia menyatakan kagumnya dengan lelaki itu. Katanya, lelaki itu punya sepasang tangan yang cukup berkat kerana dengan tangannya itulah lelaki itu berjaya memerah susu daripada kambing yang kurus itu. “Ceritakan bagaimana paras orang itu, Ummi Ma’bad,” pinta Abu Ma’bad.“Dia seorang yang pembersih, wajahnya bercahaya-cahaya, tingkah lakunya sangat baik, rupanya sangat cantik, matanya hitam, bulu keningnya lebat, suaranya garau, tengkuknya panjang, berjanggut lebat, berkulit kemerah-merahan, bercelak, betisnya panjang, jika berdiam diri dia sangat tenang, jika bercakap dia tinggi dan cemerlang, dia seorang yang amat cantik, kelihatan cerah dari jauh, kelihatan manis dan bagus dari dekat, dia seorang yang terlalu sempurna, punya teman-teman yang sayang kepadanya, jika dia bercakap semua mereka mendengar, jika dia menyuruh semua mereka menurut perintahnya,” demikian Ummi Ma’bad menerangkan sifat lelaki yang ditemuinya dengan begitu terperinci.Abu Ma’bad kagum mendengarnya, lalu membalas, “Demi Allah, orang itulah Si Quraisy yang selalu disebut-sebut di Mekah. Aku memang bercita-cita hendak mengikutnya. Jika aku ada peluang menurutnya, aku akan lakukan!”Mendengar kata-kata suaminya, Ummi Ma’bad tidak berlengah lagi. Ketika itu juga dia menyiapkan barang-barang keperluan dan kedua-dua suami isteri itu berangkat ke Madinah mengikut jejak Rasulullah. Di sana, mereka memberi baiat kepada baginda dan menjadi pengikut Islam yang setia. Sejak itu, nama Ummi Ma’bad atau nama asalnya Atikah binti Khalid al-Khuzaiyah tercatat dalam sejarah Islam kerana kebijaksanaan dan kefasihannya menerangkan sifat-sifat Rasulullah. Ungkapan yang digunakannya begitu halus, lembut dan terperinci penuh berperasaan sekali gus membuktikan ketajaman akal wanita Arab itu. Malah ada satu riwayat menceritakan Saidina Ali Abu Talib pernah ditanya, “mengapa tiada seorang pun yang dapat menceritakan sifat Rasulullah seperti yang disifatkan oleh Ummi Ma’bad?” Dan Ali menjawab, “kerana kaum wanita sentiasa mensifatkan seseorang dengan perasaannya, maka dia mendapati semua di dalam sifat-sifatnya.”

Arwa berdakwah dalam syair

Keistimewaannya terletak pada kepintarannya bersyair dan fasih berbicara. Kelebihan itu melengkapkan lagi pakejnya sebagai wanita dari kalangan anak bangsawan Mekah. Arwa binti Abdul Mutalib bin Hashim merupakan ibu saudara Rasulullah s.a.w, antara orang pertama yang menerima Islam, juga tersenarai dalam kalangan mereka yang berhijrah ke Madinah serta banyak berjuang mempertahankan Islam.Di kalangan enam orang puteri-puteri Abdul Mutalib - Ummu Hakim (dikenali juga sebagai al-Baidhaa’), Atikah, Barrah,Umaimah, Arwa dan Shafiyah - hanya dia dan Shafiyah sahaja yang memeluk Islam. Ibunya bernama Fatimah binti Amru, tetapi ada riwayat lain menyatakan ibunya adalah Shafiyah binti Jundub. Pada zaman jahiliah, Arwa berkahwin dengan Umair bin Wahab bin Abdul Manaf dan mendapat anak lelaki bernama Kulaib. Selepas Umair meninggal dunia, dia berkahwin pula dengan Arta’ah bin Syurahbil bin Hashim dan beroleh cahaya mata perempuan bernama Fatimah. Puteranya, Kulaib (sesetengah riwayat menyatakan Tulaib) memeluk Islam di kediaman Abu Arqam bin Abu al-Arqam al-Makhzumi. Dia kembali ke rumah dan segera berterus-terang dengan ibunya, “Ibu, saya mengikut Muhammad dan saya memeluk Islam!”Arwa tenang mendengar lalu menjawab, “Sesungguhnya orang yang berhak kau bantu dan sokong ialah sepupumu (Muhammad). Demi Allah, jika aku berkuasa seperti lelaki, aku telah mengikutinya dan mempertahankan dirinya.”“Jadi, apa yang menghalang ibu untuk menerima Islam? Bukankah ibu boleh mengikut Muhammad seperti saudara ibu, Hamzah?” soal Kulaib. “Biarlah aku lihat dahulu apa yang dilakukan oleh saudara-saudara perempuanku. Kemudian aku boleh menjadi seperti mereka juga,” balas Arwa. “Saya pohon atas nama Allah, wahai ibu, supaya ibu datang kepada Muhammad, memberi salam kepadanya, kemudian mempercayai dan menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah,” kata Kulaib. Selepas menerima Islam, Arwa antara orang yang banyak mempertahankan Rasulullah. Dia pernah berhadapan dengan Abu Jahal dan Abu Lahab semata-mata mahu menegakkan kebenaran baginda. Malah dia mendidik anaknya, Kulaib, agar menjadi lelaki berani dan sentiasa berjuang bersama Rasulullah.Dalam suatu riwayat diceritakan mengenai Abu Jahal dan rakan-rakannya yang datang mengganggu Rasulullah. Kulaib datang mempertahankan sepupunya itu, lantas memukul Abu Jahal sehingga luka kepala lelaki kafir itu. Orang ramai segera meleraikan pergaduhan itu, menangkap Kulaib dan mengikatnya. Kemudian mereka pergi kepada Arwa untuk mengadu mengenai kelakuan anaknya.“Sebaik-baik hari Kulaib ialah pada hari dia menolak bahaya yang menimpa sepupunya. Bukankah dia membawa kebenaran di sisi Allah?” Arwa sengaja bertanya begitu kepada golongan kafir Quraisy.“Kalau begitu, kamu juga sudah mengikuti Muhammad?” kumpulan lelaki Quraisy itu menyoal dengan marah.“Ya!” tegas Kulaib.Kaum Quraisy kembali kepada Abu Lahab dan menceritakan kata-kata Arwa. Abu Lahab hampa dan kecewa. Dia lantas pergi ke rumah Arwa untuk berdepan dengan wanita itu. Mereka bertengkar dan Arwa mengambil kesempatan itu untuk berdakwah kepada Abu Lahab yang merupakan saudaranya juga. Kata Arwa, Abu Lahab sepatutnya sama-sama berjuang dengan Muhammad yang merupakan anak saudara mereka, bukannya menjadikan Muhammad sebagai musuh.“Kita ada seluruh kaum Arab di belakang kita. Dia hanya ada satu agama baru,” Abu Lahab berasa kalah dalam perdebatan dan keluar dari kediaman Arwa.Sepanjang hayatnya Arwa dikenali sebagai penyair yang hebat dan bermutu. Ada riwayat menyatakan, ketika bapanya Abdul Mutalib sakit, dia telah mengumpulkan semua puterinya dan meminta mereka menciptakan perkataan yang baik-baik untuknya. Abdul Mutalib mahu mendengar apa sahaja yang dikatakan oleh setiap puterinya. Setiap mereka maju ke depan dan membacakan syair masing-masing. Syair yang diciptakan Arwa antara yang paling menyentuh perasaan. Dia menciptanya khusus sebelum bapanya meninggal dunia. Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, Arwa juga telah menciptakan madah sempena memperingati kewafatan itu. Antaranya madah itu berbunyi, “Wahai Rasulullah, engkaulah harapan kami Engkau sentiasa lembut tidak pernah mengasariSebenarnya dalam hatiku ada kenangan untukmu Aku tidak akan kecewa lagi sesudah mengenalimu.”Arwa meninggal dunia tidak lama selepas kewafatan Rasulullah iaitu pada 15 Hijrah. Selain kedudukannya sebagai ibu saudara Rasulullah yang turut membantu berjuang menegakkan Islam, dia juga dikenang sebagai penyair yang menaikkan nama Islam dengan syairnya.

Al-Battani : Ahli Falak Islam Terunggul

Minat manusia terhadap kejadian angkasa dan alam semesta telah bermula sejak ribuan tahun yang lalu. Di kalangan pengembara dan pelayar, mereka menjadikan bintang yang terdapat langit sebagai "kompas" dan pemandu arah kepada perjalanan mereka supaya tidak tersesat di padang pasir serta lautan yang terbentang luas. Keadaan langit yang cerah dan tidak berawan pada waktu malam di kawasan gurun membolehkan kerdipan bintang dilihat dengan jelas. Ini telah menimbulkan bukan sahaja perasaan takjub tetapi juga ingin tahu kepada mereka yang mahu menggunakan akalnya untuk memikirkan segala kejadian Tuhan.

Seruan supaya manusia sentiasa berfikir, mengkaji dan menuntut ilmu terkandung di dalam ajaran Islam. Sebab itu, apabila Islam bertapak di tanah Arab, ilmu pengetahuan, seperti falsafah, sains, astronomi dan seni turut mengalami perkembangan yang pesat. Kelahiran para cendikiawan Islam dalam bidang-bidang tersebut merupakan bukti yang kukuh bahawa Islam menggalakkan umatnya sentiasa mencari ilmu pengetahuan hatta sampai ke negara China sekalipun.

Di zaman kegemilangan Islam, tamadun dan pusat ilmunya menjadi rujukan kepada para sarjana yang datang dari timur dan barat. Pada masa itu, barat masih berada di dalam zaman kegelapan. Pengetahuan sains, matematik, falsafah, perubatan dan sebagainya masih belum lagi berkembang luas. Berbanding dunia Islam yang telah berjaya menghasilkan sejumlah ahli sains yang cukup terkenal di dalam bidang masing-masing. Salah seorang daripada mereka ialah Al Battani atau lebih dikenali di barat sebagai Albategnieus. Beliau dilahirkan pada 230 Hijrah atau 854 Masihi. Nama asalnya ialah Abu Abdullah Muhammad ibn Jabir ibn Sinan al-Harrani al-Raqi. Al Battani merupakan gelaran yang diberikan kepada beliau bersempena tempat kelahirannya di Battan.

Sumbangan terbesar beliau kepada dunia sains ialah dalam bidang falak di mana Al-Battani telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya membina pusat kajian cakerawala di Rakyah. Beliau telah mengemukakan kaedah pengukuran bintang di cakerawala menggunakan garis lengkuk. Sebelum itu, para saintis Yunani telah memperkenalkan pengukuran bintang menggunakan tali. Pengukuran Al-Battani itu didapati lebih tepat dan praktikal kerana ia berdasarkan kepada teori tangen dan kotangen yang ditemuinya.

Namun begitu, barat tidak pernah memberi penghargaan kepada Al-Battani berhubung penemuan teorinya itu. Sebaliknya mereka menceduk dan "mencuri" teori Al-Battani serta mengubahsuai dan menukarnya kepada istilah Yunani ialah sine yang berasal daripada kata dasar "sinus". Dalam teorinya, Al-Battani telah membahagikan garis kotangen kepada 12 berdasarkan kepada formula seperti berikut:

Kos a
Kot a = ---- 12
Sin a

Kot "a" yang terdapat dalam formula itu merujuk kepada satu hari yang dibahagi 12. Kos "a" pula merupakan perjalanan matahari dalam sehari. Sin "a" pula adalah istilah bagi mewakili perjalanan malam yang sama waktunya dengan Kos "a" iaitu waktu siang. Berdasarkan kepada formula ini, sekiranya Kos a + Sin a hasilnya ialah 24 jam. Jikalau Kos a - Sin a maka hasilnya ialah 12 jam pada waktu siang dan malam.

Perhitungan yang digunakan oleh Al-Battani ini masih digunakan sehingga ke hari ini dan menjadi asas kepada penciptaan jam yang digunakan dalam kehidupan kita seharian. Teori yang dikemukakan oleh beliau ternyata mendahului zamannya dan merupakan satu penemuan yang cukup besar serta merubah perjalanan sejarah dan ilmu pengetahuan manusia. Bagaimanapun usaha Al-Battani itu tidak pernah diberikan pengiktirafan yang sewajarnya oleh saintis barat. Beliau bukan sahaja dinafikan hak ciptanya ke atas teori tersebut tetapi juga kaedah "algorism" atau "algorithm" yang dirintis oleh beliau.

Nasib yang serupa juga dihadapi oleh seorang ahli falak yang hidup sezaman dengan Al-Battani yang bernama Al-Habash pernah cuba menbahagikannya kepada 60 bahagian sebagai asas kepada penghitungan 60 saat bagi satu minit dan 60 minit sebagai satu jam. Tetapi yang menjadi masalah ialah pembahagian 60 jam tidak sama dengan satu hari yang mengandungi 24 jam sahaja. Jadi, teori Habash dikatakan gagal dan sumbangannya di dalam bidang falak tidak lagi pernah disebut dan menjadi sebutan.

Walhal sumbangan dan jasa Al-Habash dan Al-Battani cukup banyak serta tidak terbatas kepada ilmu falak semata-mata. Al-Battani sesungguhnya merupakan seorang saintis Islam yang terulung dan tiada tolok bandingannya di dalam bidang matematik, geometri dan fizik. Dalam bukunya yang berjudul "al-Mijisti", beliau telah membetulkan beberapa kesilapan yang dibuat oleh Batlaimus, seorang saintis Yunani. Buku ini bukan sekadar menerangkan konsep dan kepentingan cakerawala tetapi juga menunjukkan cara-cara untuk mengukur perjalanan planet serta bintang.

Walaupun peralatan pada zaman Al-Battani tidak semaju dan secanggih zaman ini tetapi beliau telah membuktikan kebenaran ajaran Islam bahawa akal merupakan sebaik-baik kurniaan Tuhan kepada mahklukNya. Melalui pemerhatian dan pengkajiannya terhadap bintang di langit akhirnya Al-Battani menemui beberapa teori yang ternyata amat berguna dan memberikan manfaat yang besar kepada umat manusia seluruhnya. Jadi adalah tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa Al-Battani layak digelar sebagai Bapa Ilmu Falak dan Astronomi Moden kerana sumbangannya dalam bidang ini telah merintis jalan kepada berbagai-bagai penemuan lain dan penerokaan untuk membongkarkan rahsia alam semesta.

Abdullah Al-Idris : Pakar Geografi Pembuat Peta Dunia

UMAT manusia patut berterima kasih pada tokoh ini iaitu Abdullah Al-Idris (1099-1166 M). Dilahirkan dengan nama penuh Abu Abdullah Muhammad Ibn Muhammad Ibn Abdullah Ibn Idris Ash-Sharif di kalangan ilmuwan dan masyarakat Barat dan dunia umumnya, Al-Idris dikenal sebagai seorang ahli geografi, dan pencipta peta dunia daripada perak seberat 400 kilogram. Berkat karyanya ini, umat manusia dapat mengetahui di mana letak benua atau kawasan tertentu yang ingin dituju. Beberapa pelajar di institusi pengajian tinggi menyanjung ilmuwan kelahiran Ceita, Sepanyol ini sebagai ahli geografi dan kartografi terbesar pada abad pertengahan. Idris atau Al-Sharif Al-Idris Al-Qurtubi juga memberi sumbangan dalam bidang ilmu kedoktoran.
Idris menghabiskan zaman persekolahannya di Cordova. Seperti kebanyakan ahli geografi lainnya, ia melakukan pengembaraan ke pelbagai tempat, dari satu negara ke negara lain nya, dan dari satu benua ke benua lainnya untuk mengumpulkan data geografi. Kebanyakan ahli geografi Muslim pada zaman Idris, telah berjaya membuat kiraan keluasan muka bumi secara tepat. Ketika itu beberapa peta dunia juga telah dibuat, namun tak sesempurna peta yang dibuat Idris.
Daripada bahan-bahan yang telah dikumpulkannya, Idris lalu mengkombinasikan sendiri penemuan-penemuannya tersebut menjadi satu pengetahuan baru. Karyanya banyak menyajikan data komprehensif dari setiap wilayah di dunia. Dari penemuannya inilah, Idris menjadi sangat dikenal dan mulai dijadikan rujukan oleh kalangan ahli kelautan Eropah serta kalangan pihak tentera.
Kepakaran Idris di bidang geografi itu sampai ke pengetahuan Raja Roger II, raja Norman dari Sicilia. Raja Roger II lalu mengundang dan menawarkan kemudahan pada Idris untuk membuat peta dunia paling tepat pada ketika itu. Idris memenuhi permintaan itu, namun ia meletakkan syarat iaitu dalam peta itu ia ingin memasukkan data bahawa Sicilia pernah berada di bawah pemerintahan kaum Muslim sebelum Raja Roger berkuasa. Peta pesanan raja itu direalisasikan Idris dalam bentuk bola dunia (globe) seberat 400 kilogram. Globe itu secara cermat juga mencantumkan ketujuh benua dengan laluan perdagangannya, tasik-tasik dan sungai, bandar-bandar utama, dataran, serta pergunungan. Selain itu, Idris juga memasukkan beberapa informasi tentang jarak, jauh, dan ketinggian dengan amat tepat. Oleh Idris globe itu dilengkapkan pula dengan Kitab Al-Rujari (Roger's Book).
Lantas bagaimana ilmuwan Abu Abdillah Al-idris menjelaskan hasil penemuannya dalam bentuk peta dunia yang dipesan secara khas oleh raja Roger II dari Sisilia? Bagaimana pula kajian atau perolehan data dan bagaimana ia memetakannya? Seorang penulis biografi terkenal asal Sicilia, Vincenzo Salerno, dalam artikelnya yang disiarkan dalam Best of Sicily Magazine (2003) secara cermat mengamati penemuan Al-Idris itu daripada pelbagai rujukan.
Menurut Vincenzo, sebelum peta itu digambarkan, Al-Idris terlebih dahulu mencari data dan maklumat yang diperlukan yang menurut sumber Barat, Idris telah berhasil memperoleh maklumat yang cukup lengkap, termasuk berbagai sumber sama ada daripada sumber Islam mahupun Kristian. Tentu bukan sesuatu yang mudah untuk memperoleh maklumat tersebut. Ini kerana pusat sumber yang lengkap atau perpustakaan pada zaman tersebut tidak seperti yang dimiliki pada hari ini. Sedangkan peta berbentuk globe itu perlu segera dilukiskan dan diserahkan ke pada raja yang berkuasa di Palermo, Sicilia itu.
Yang banyak membantu Idris adalah pengalaman beliau dalam pengembaraan, walaupun tak sehebat Ibnu Batutah, pengembara semasa zaman Marco Polo. Al-Idris telah melancong ke berbagai negeri sejak umurnya masih belia. Pengembaraan itu umpama pendidikan secara terus yang diperolehnya dalam bentuk praktikal yang tentunya amat bermanfaat dalam merealisasikan impiannya membuat peta dunia.
Sebenarnya bukan suatu kemestian bagi Idris untuk memenuhi permintaan seorang raja berkenaan kerana dia bukanlah warga tempatan kerajaan tersebut, melainkan hanya sebagai "temporary resident". Namun di sebalik pembuatan pe ta itu, Idris juga ingin menunjukkan kehebatannya sebagai cendekiawan Muslim.
Selain itu menurut Vincenzo lagi, Idris dihadapkan kepada banyak cabaran dalam merealisasikan impiannya. Situasi itu tentu amat berbeza dengan kecanggihan tekhlogi kumputer pada hari ini yang kesemuanya boleh dibuat dengan sekelip mata di atas sehelai kertas. Lebih rumit lagi pesanan itu bukan dilukis di atas selembar kertas, tetapi pada bahan yang terbuat daripada perak dengan bentuk sebuah bola dunia. Jadi perkara yang perlu dilakukan oleh Idris hanyalah melukiskannya secara manual menggunakan tangan.
Satu kelebihan yang ada pada Idris ia sememangnya seorang yang mahir dalam konsep pembuatan peta (kartografi ). Dari peta yang digambarkan Idris, sebagaimana peta-peta yang dibuat oleh beberapa pakar geografi Muslim, menggunakan orientasi Selatan (bukan Utara). Simbol-simbol dalam peta dan tulisan (lettering) untuk menjelaskan isi peta ditulis menggunakan kaligrafi Arab yang lebih bervariasi.
Sebagai melengkapkan peta yang ditulisnya, Idris sempat menulis buku geografi yang diberi nama Kitab Al-Rujari (Book of Roger). Kitab ini memaparkan secara komprehensif setiap maklumat geografi yang ada pada peta bola dunia yang digambarkannya itu. Tidak hanya itu, Al-Idris juga berjaya membuat anggaran ukuran garis tengah bumi dan pada titik 22.900 batu, setara dengan 42.185 km.Kejayaan ini tak banyak berbeza dengan ukuran yang sebenarnya, iaitu 40.068 km. Berasaskan karyanya, banyak buku-buku rujukan yang ditulis ilmuwan Barat menyebutkan bahawa karya Idris merupakan suatu sumbangan yang besar pada teknologi pembuatan peta dunia selepas itu. Tidak hairan apabila nama Idris disebutkan dalam banyak buku-buku berkaitan sejarah pembuatan peta dunia. Misalnya salah satu perisian pemprosesan pada Sistem Informasi Geografi (SIG) -- dalam bahasa Inggris disebut Geographical Information System (GIS) - dikenali dengan Idris. Idris adalah antara tokoh yang membuktikan kemampuan seorang cendekiawan Muslim yang memberi sumbangan kepada semua lapisan masyarakat, termasuk kepada raja yang bukan Islam.

Al-Idrisi pencipta glob dunia (Artikel 2)

Sistem pemetaan hampir tepat menjadi warisan berharga serta rujukan orang awam, khususnya ilmuwan Eropah.

Hari ini lebih 2,000 satelit mengelilingi bumi berfungsi mengumpulkan maklumat sejelas mungkin supaya manusia dapat memahami fizikal bola angkasa yang menjadi kediaman mereka.

Bagaimanapun, pada kurun ke-12, keadaan sebenar bumi sudah digambarkan tanpa teknologi angkasa oleh ilmuwan Islam, Al-Idrisi atau nama sebenarnya Abu Abdullah, Muhammad bin Abdullah bin Idris Al-Hammudi Al-Hasani Al-Qurtubi.

Siri Ilmuwan Islam malam ini, terbitan Mohd Fasil Mohd Idris memaparkan gambaran mengenai bumi dan sistem pemetaan Al-Idrisi yang tidak bercanggah dengan ilmu geografi moden.

Ketokohan beliau diakui ilmuwan masa kini, Prof Madya Mustapha Kamal Idris dari Jabatan Geografi, Fakulti Sains Sosial dan Sastera Universiti Malaya, yang menggunakan perisian Al-Idrisi sebagai perisian utama untuk menghasilkan peta.

Sementara Prof Dr Achaaban Ahmad, pensyarah Fakulti Sains Sosial, Universiti Hassan II, Casablanca, Maghribi, menerangkan rahsia peta Al-Idrisi yang dilakarkan secara terbalik.

Al-Idrisi, tokoh ilmuwan dalam bidang geografi yang dilahirkan di persisiran pantai Sabtah di utara Maghribi pada 493 Hijrah bersamaan 1099 Masihi banyak menimba pengetahuan di Cordoba, Andulisia.

Beliau banyak menitikberatkan ilmu geografi secara khusus membolehkannya menghasilkan penemuan baru dalam bidang itu dan menjadi ilmuwan Islam terawal menghasilkan peta dunia.

Keistimewaan lukisan peta dunia yang dihasilkan Al-Idrisi menggunakan kaedah ilmiah tidak banyak bezanya dengan peta dunia yang ada sekarang.

Beliau begitu gemar mengembara dan antara negara yang pernah dilawati ialah negara di Eropah, Asia Kecil selain mengharungi Laut Tengah.Kecintaannya terhadap dunia pengembaraan menjadikan beliau seorang yang terkenal dalam ilmu geografi.

Ketika mengembara, Al-Idrisi tidak lupa membuat catatan mengenai tumbuh-tumbuhan yang ditemui di negara yang dilawatinya.

Selain itu, beliau mencatatkan mengenai kegunaan tanaman berkenaan sebagai ubat-ubatan yang boleh menyembuhkan pelbagai penyakit.

Beliau turut menterjemahkan nama ubat-ubatan itu ke dalam enam bahasa lain iaitu Sysiac, Greek, Parsi, Hindi, Latin dan Berber.

Al-Idrisi juga diingati kerana kejayaannya membuat glob besar yang melakarkan garisan bulat dan peta dunia di atasnya.

Beliau juga menentukan sempadan laut di kawasan Khatulistiwa yang tidak dapat ditentukan oleh ulama ketika zamannya.

Selain itu, Al-Idrisi mengukur garis pusat bumi dan berjaya mendapat keputusannya, iaitu 22,900 batu bersamaan 42,185 kilometer. Ini tidak banyak berbeza dengan ukuran garis pusat yang sebenar, iaitu 40,068 kilometer.

Ketika singgah di Sicily, beliau menjadi tetamu raja negara itu, Roger II, yang kemudian menitahkannya membuat glob lakaran peta dunia daripada perak.

Al-Idrisi kemudian mengarahkan jurulukis dan jurupahat yang sangat pandai melukis benua, negara, lautan, sungai dan jalannya.

Akhirnya glob dunia itu menjadi satu warisan sangat berharga dan rujukan orang awam, khususnya ilmuwan Eropah mengenai pandangan mereka berhubung dunia.

Peta itu berjaya membantu mereka dalam pelbagai pengembaraan dan memudahkan pengembara mencari tempat baru di dunia.

Peta itu juga dilengkapkan dengan ukuran panjang dan lebar yang tepat sesebuah kawasan.Al-Idrisi juga mengarang banyak buku antaranya Nuzhah Al-Musytaq Fi Ikhtiraq Al-Afaq, yang dikarang atas permintaan Raja Sicily, Roger II.

Dalam buku itu, Al-Idrisi memasukkan semua maklumat yang ditemukan oleh ilmuwan sebelumnya dan menambah pengetahuan yang diperoleh daripada pengembaraannya ke seluruh pelusuk dunia.

Buku yang mengandungi lebih 70 jenis peta menjadi sumber rujukan penting bagi ilmuwan Eropah selama tiga abad.Sementara satu lagi hasil karya beliau bertajuk Rawdhah Al-Uns Fi Nuzhah Al-Nafs dan Al-Mamalik Wa Al-Masalik yang turut diterjemahkan ke dalam bahasa Latin menjadi panduan kepada pengembara.

Buku itu dilengkapi maklumat dan sifat sesebuah negara, tumbuh tumbuhan, haiwan, manusia, ekonomi serta tabiat mereka.Semua buku yang dihasilkan Al-Syarif Al-Idrisi terutama mengenai ilmu geografi popular di kalangan ilmuwan Timur dan Barat hingga ke hari ini.

Persoalannya, Eropah dan Barat mengambil berat terhadap sumber ini dan menterjemahkan dalam bahasa mereka tetapi apakah yang kita lakukan sebagai umat Islam. Sekadar membiarkan sumber itu tanpa usaha mengumpul atau menyusunnya.