Wednesday, October 27, 2010

Detik-detik Rasulullah SAW Menghadapi Sakaratul Maut

Utk Renungan Bersama.

Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan khutbah, "Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Ku wariskan dua perkara pada kalian, Al-Qur'an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku." Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu.


Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar adanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba. "Rasulullah akan meninggalkan kita semua," keluh hati semua sahabat kala itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.


Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya. Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang  membalikkan badan dan menutup pintu. Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?"
"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang. "Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah
malaikatul maut," kata Rasulullah, Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama  menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah. "Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan
Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan. "Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi. "Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?" "Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Ku haramkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.


Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. "Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." 

Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang disampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka. "Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu. "Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril. Sebentar kemudian terdengar Rasulullah
memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi. "Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku. "Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya "Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku", peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu."

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah
menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan."Ummatii, ummatii, ummatiii?" - "Umatku, umatku, umatku" Dan berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi. Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.


Kirimkan kepada sahabat-sahabat muslim lainnya agar timbul kesedaran untuk
mencintai Allah dan RasulNya, seperti Allah dan Rasulnya mencintai kita.
Kerana sesungguhnya selain daripada itu hanyalah fana belaka. Amin....

Umar Al-Khayyam pencipta kalendar

UMAR Al-Khayyam adalah ilmuwan yang terkenal dalam bidang matematik, astronomi, falsafah, perubatan, dan turut dikenali sebagai seorang penyair yang hebat pada zamannya.

Nama sebenar beliau ialah Ghayyathuddin Abu Al-Fath Umar bin Ibrahim Al Khayyam atau Al-Khayya.


Beliau dilahirkan pada 1040 Masihi dan gelaran Al-Khayyam yang bermakna khemah dikatakan diberi kerana bapanya seorang pembuat khemah.


Umar Al-Khayyam seorang berpengetahuan luas, sangat pintar dan menghafal banyak hadis Rasulullah SAW.


Beliau banyak mengarang buku ringkasan mengenai alam tabii, menulis risalah mengenai alam semesta dan syariah serta sebuah kitab besar dalam bidang aljebra yang boleh menyelesaikan masalah tingkatan kedua dengan cara geometri dan algebra.


Beliau menyusun kaedah penting ilmu pengiraan dan cara untuk menyelesaikannya sehingga menjadikan kitabnya, Maqalat fi al-Jabr wa al-Muqabila dianggap sebagai penemuan terbaru dalam ilmu algebra.


Beliau pernah diarahkan Sultan Saljuq-Malikshah Jalal al-Din bekerja di balai cerap dan ditugaskan menentukan kalendar solat yang tepat.


Umar Khayyam berjaya memperkenalkan kalendar yang hampir-hampir tepat dan dinamakan Al-Tarikh-al- Jalali.


Selain itu, beliau juga menyumbang dalam bidang lain seperti pembangunan kaedah menentukan graviti dan dalam bidang metafizik, beliau menulis tiga buku.


Namanya turut menyerlah sebagai penyair terkemuka apabila hasil puisinya Ruba'iyyat Al-Khayyam dalam bahasa Parsi diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Edward Fitzgerald.


Ruba'iyyat Al-Khayyam adalah keratan puisi empat bait, bait ketiga bebas daripada ikatan bait manakala tiga bait yang lain pula terikat.


Manuskrip puisi itu mempunyai pengaruh sastera yang besar dengan tema dan makna yang tersembunyi serta penuh falsafah yang dikagumi.


Umar Al-Khayyam adalah pencinta ilmu dan sentiasa berusaha menambah pengetahuan, selain menyumbang ke arah pengembangan ilmu dalam pelbagai bidang.


Tidak hairanlah jika 30 risalah ilmiah dan empat bukunya dalam bidang matematik, masing-masing tiga buku metafizik dan fizik serta masing-masing satu buku mengenai algebra dan geometri, menjadi rujukan hingga hari ini.


Sumbangannya dalam pembangunan ilmu matematik dan geometri memberi faedah besar kepada pengembangan ilmu pengetahuan dan menjadi sumber rujukan masyarakat Eropah.


Umar Al-Khayyam menghembuskan nafas terakhir ketika mengerjakan solat selepas membaca kitab Al-Shifa', karangan Ibnu Sina.


Kecintaannya kepada pengetahuan menjadikan tuntutan ilmu satu bidang tanpa batasan Al-Khayyam. Beliau adalah ilmuwan yang dikenang kerana jasanya dalam bidang ilmu, kebudayaan, pembangunan dan kecemerlangan.

Tuesday, October 19, 2010

Umar Abdul Aziz (Artikel 2)

Malik bin Dinar berkata : “Setelah Khalifah Umar Bin Abdul Aziz menjadi khalifah, sesetengah daripada Gabenor telah menulis surat kepada beliau yang berbunyi: Sesungguhnya orang ramai apabila terdengar perlantikan tuan sebagai khalifah, mereka berlumba-lumba mengeluarkan zakat dan zakat fitrah. Oleh itu, harta kerajaan telah bertambah dengan banyaknya. Disini saya tidak mahu untuk bercerita panjang mengenainya sehinggalah tuan terlebih dahulu membalas surat saya ini dengan menyatakan pandangan tuan mengenai perkara ini.”

Umar lalu membalas surat tersebut dengan katanya: “Demi umurku! Mereka berbuat demikian kerana mereka tahu apakah sikapku dan juga engkau terhadap harta zakat tersebut mengikut sebagaimana yang mereka yakini. Oleh itu, mana-mana timbunan harta Baitulmal yang masih kau simpan sehingga ke hari ini, aku perintahkan agar semuanya engkau bahagikan kepada mereka yang berhak menerimanya setelah engkau menatap suratku ini.”


Malik bin Dinar berkata lagi: “Setelah Khalifah Umar Bin Abdul Aziz memerintah: Berkatalah pengembala-pengembala kambing yang berada di puncak bukit: “Siapakah khalifah soleh yang sedang memerintah sekarang?” Lalu ada orang yang bertanya kepada mereka: “Bagaimanakah engkau boleh mengetahui bahawa khalifah sekarang seorang yang soleh?” Jawab mereka: “Kebiasaanya apabila seorang khalifah yang soleh memerintah sesebuah kerajaan, nescaya serigala dan singa akan menjauhkan diri dari mengganggu ternakan kami.”


Hassan Al-Qassar meriwayatkan: “Suatu ketika semasa pemerintahan Umar Bin Abdul Aziz, setelah selesai memerah susu kambing, aku telah lalu dihadapan seorang pengembala. Kebetulan pada masa itu terdapat lebih kurang 30 ekor serigala sedang bercampur gaul dengan kambing-kambingnya sedangkan aku menyangka kesemuanya itu anjing kerana sebelum ini aku tidak pernah melihat serigala, oleh itu aku tidak mengenalinya,”


“Lalu aku bertanya kepada pengembala tersebut: “Apakah yang kau kau harapkan dengan anjing yang sebegini banyak?” Jawabnya: “Wahai anakku! Kesemuanya yang kau nampak itu bukannya anjing tetapi sebenarnya serigala.” Aku lantas berkata kepadanya sambil terkejut kehairanan: “Subhanallah! Bagaimana serigala yang sebegini banyak tidak mengganggu langsung kambing-kambing tersebut?” Jawabnya: ”Wahai anakku, apabila kepala (pemimpin) berfikiran waras maka tubuh badan (rakyat) tidak akan menghadapi sebarang masalah. Peristiwa tersebut berlaku di zaman pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz.”


Musa Bin A’yan meriwayatkan: “Suatu ketika di zaman pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz, kami telah memelihara kambing di suatu tempat bernama Kirman. Demi Allah, di saat itu serigala tidak mengkhianati kambing walaupun bercampur gaul di dalam satu kawasan.”


“Tiba-tiba suatu malam, kami dapati serigala telah mengganggu kambing-kambing tersebut. Lalu aku pun berkata; “Peristiwa ini berlaku mungkin kerana Khalifah Umar Bin Abdul Aziz telah wafat.” Berkata Hammad: “Ada perawi yang telah meriwayatkan kepadaku cerita ini dan lainnya memberitahu bahawa mereka yang mengembala kambing beranggapan sesungguhnya kejadian serigala kembali mengganggu kambing mereka adalah ekoran kematian Khalifah Umar Bin Abdul Aziz dan apabila disiasat, mereka dapati bahawa pada malam tersebut Khalifah Umar memang benar-benar telah wafat.” SUBHANALLAH!!

Umar Abdul Aziz (Artikel 1)

Kedudukan beliau:
Salah seorang Tabiin yang terhormat. Beliau digelarkan dengan gelaran Khulafa' Ar-Rasyidin yang kelima kerana beliau memerintah sama sebagaimana pemerintahan Khulafa' Ar-Rasyidin.

Beliau memegang teraju pemerintahan selepas Sulaiman bin Abdul Malik. Muhammad bin Ali bin Al-Husin rahimahullah berkata tentang beliau: "Kamu telah sedia maklum bahawa setiap kaum mempunyai seorang tokoh yang menonjol dan tokoh yang menonjol dari kalangan Bani Umaiyyah ialah Umar bin Abdul Aziz, beliau akan dibangkitkan di hari kiamat kelak seolah-olah beliau satu umat yang berasingan."


Kehidupan beliau menuntut ilmu:

Umar bin Abdul Aziz menuntut ilmu sejak beliau masih kecil, beliau sentiasa berada di dalam majlis ilmu bersama-sama dengan orang-orang yang pakar di dalam bidang fekah dan juga ulama-ulama. Di dalam usia beliau, beliau pernah memegang teraju pemerintahan di Madinah beberapa ketika.

Pelantikan beliau sebagai Khalifah:

Beliau dilantik menjadi Khalifah selepas kematian Sulaiman bin Abdul Malik tetapi beliau tidak suka kepada pelantikan tersebut. Lalu beliau memerintahkan supaya memanggil orang ramai untuk mendirikan sembahyang. Selepas itu orang ramai mula berpusu-pusu pergi ke masjid. Apabila mereka semua telah berkumpul, beliau bangun menyampaikan ucapan. Lantas beliau mengucapkan puji-pujian kepada Allah dan berselawat kepada Nabi s.a.w kemudian beliau berkata: "Wahai sekalian umat manusia! Aku telah diuji untuk memegang tugas ini tanpa meminta pandangan daripada aku terlebih dahulu dan bukan juga permintaan daripada aku serta tidak dibincangkan bersama dengan umat Islam. Sekarang aku membatalkan baiah yang kamu berikan kepada aku dan pilihlah seorang Khalifah yang kamu reda. Tiba-tiba orang ramai serentak berkata: Kami telah memilih kamu wahai Amirul Mukminin dan kami juga reda kepada kamu. Oleh yang demikian perintahlah kami dengan kebaikan dan keberkatan. Lalu beliau berpesan kepada orang ramai supaya bertakwa, zuhud

Peristiwa yang berlaku di antara beliau dengan anak beliau semasa memegang teraju pemerintahan:

Umar pulang ke rumah kemudian beliau masuk ke tempat tidurnya. Sebelum sempat beliau membaringkan badan, tiba-tiba anaknya Abdul Malik masuk berjumpa dengan beliau. Pada masa tersebut anak beliau berumur 17, kemudian anak beliau berkata: "Apakah yang kamu ingin lakukan wahai Amirul Mukminin?" Lalu Umar menjawab: "Anakku! Aku ingin menghilangkan kepenatan seketika kerana aku terasa terlalu letih." Selepas itu Abdul Malik berkata: "Kamu ingin menghilangkan kepenatan sebelum kamu mengembalikan barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya, wahai Amirul Mukminin?" Lantas Umar menjawab: "Anakku! Kelmarin aku telah berjaga malam untuk menyelesaikan permasalahan yang berkaitan dengan bapa saudara kamu, Sulaiman, nanti apabila tiba waktu Zuhur, aku akan mendirikan sembahyang bersama-sama dengan orang ramai dan Insya Allah aku akan mengembalikan barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya." Seterusnya Abdul Malik berkata lagi: "Siapakah yang dapat menjamin bahawa kamu akan terus hidup"

Keadilan beliau:

Umar rahimahullah pernah menghimpunkan sekumpulan ahli fekah dan ulama kemudian beliau berkata kepada mereka: "Aku menghimpunkan kamu semua untuk bertanya pendapat tentang perkara yang berkaitan dengan barangan yang diambil secara zalim yang masih berada bersama-sama dengan keluarga aku?" Lalu mereka menjawab: "Wahai Amirul Mukminin! Perkara tersebut berlaku bukan pada masa pemerintahan kamu dan dosa kezaliman tersebut ditanggung oleh orang yang mencerobohnya." Walau bagaimanapun Umar tidak puas hati dengan jawapan tersebut sebaliknya beliau menerima pendapat daripada kumpulan yang lain termasuk anak beliau sendiri Abdul Malik yang berkata kepada beliau: "Aku berpendapat bahawa ia hendaklah dikembalikan kepada pemilik asalnya selagi kamu mengetahuinya. Sekiranya kamu tidak mengembalikannya, kamu akan menanggung dosa bersama-sama dengan orang yang mengambilnya secara zalim." Umar berpuas hati mendengar pendapat tersebut lalu beliau mengembalikan semula barangan yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya

Kematian beliau:

Pemerintahan beliau hanya berjalan selama beberapa ketika iaitu tidak melebihi dua tahun setengah sahaja. Kemudian beliau meninggal dunia dan kembali kepada Tuhannya dalam keadaan berlaku adil kepada rakyatnya dengan menjalankan pemerintahan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.

Ibnu Sina

Ibnu Sina (370 H - 428 H / 980 M - 1037 M)

Kelahiran dan kehidupan beliau:


- Nama beliau ialah Al-Husain bin Abdullah bin Al-Hasan bin Ali bin Sina, manakala gelaran beliau pula ialah Abu Ali.


- Ibnu Sina dilahirkan di Afsyinah iaitu nama sebuah kampung yang terletak berhampiran dengan Bukhara di mana kini ia yang terletak di Republik Uzbekistan.


- Ibnu Sina dibesarkan di dalam sebuah keluarga yang agak teguh. Ayah beliau berasal dari Balakh kemudian berpindah ke Bukhara pada zaman pemerintahan Al-Amir Nuh bin Mansur dan tinggal di salah sebuah perkampungan kecil di Bukhara yang bernama Khirmithan, walau bagaimanapun akhirnya beliau tinggal menetap di Afsyanah kerana tempat tersebut hampir dengan tempat kerjanya. Dengan demikian bapa Ibnu Sina mampu memberikan pendidikan yang unggul dan pengetahuan yang agak tinggi kepada Ibnu Sina dan adik-beradik beliau jika dibandingkan dengan suasana yang ada pada masa tersebut. Bapa beliau telah menyediakan seorang guru Al-Quran dan seorang guru kesusasteraan menyebabkan Ibnu Sina dapat menghafal seluruh Al-Quran dalam usia sepuluh tahun.


Pengajian ilmu beliau:


- Ibnu Sina banyak mempelajari buku-buku kesusasteraan. Selepas mampu menguasai ilmu ini beliau dihantar oleh bapa beliau kepada seseorang yang boleh mengajar ilmu matematik kepada beliau. Kemudian Ibnu Sina mempelajari ilmu fekah, cara-cara membuat penyelidikan dan perbahasan. Beliau juga mendalami ilmu tasawuf, mantik, falsafah malah beliau tergolong di kalangan cendekiawan di bidang kedoktoran serta terkemuka di dalam bidang tersebut sehingga ramai di kalangan pakar-pakar di bidang kedoktoran yang datang mempelajari ilmu daripada beliau.


- Ibnu Sina merupakan seorang yang cekal di dalam menimba ilmu pengetahuan di mana beliau tidak akan tidur pada waktu malam kecuali setelah beliau banyak membaca pada malam tersebut, begitu juga beliau tidak akan tidur pada waktu siang kecuali setelah beliau berusaha mendapatkan ilmu pengetahuan pada hari tersebut. Beliau tidak pernah ketinggalan dari menghadiri pengajian ilmu fekah dan falsafah sehingga beliau memiliki cara tersendiri di dalam menyelesaikan pelbagai masalah.


- Ibnu Sina berjaya menguasai kesemua bidang ilmu dalam usia yang masih terlalu muda di mana ada yang mengatakan usia beliau pada masa tersebut menjangkau usia enam belas tahun atau lapan belas tahun.


Kemasyhuran dan ketinggian ilmu beliau:


- Tatkala Al-Amir Nuh bin Mansur mengalami kesakitan, ramai doktor yang datang mengubatinya, sehinggalah apabila beliau mendengar nama dan kemasyhuran Ibnu Sina, beliau memerintahkan agar memanggil Ibnu Sina supaya dapat bersama-sama dengan para doktor yang lain untuk mengubati penyakit Al-Amir. Lantas Ibnu Sina berusaha mengubati penyakit Al-Amir sehinggalah beliau sembuh. Sebagai ganjaran di atas usaha tersebut, Al-Amir mengizinkan beliau untuk menggunakan perpustakaan yang terdapat di Istana. Setelah itu Ibnu Sina membaca kesemua kitab-kitab yang terdapat di dalam perpustakaan tersebut.


- Ibnu Sina memulakan pengembaraan beliau selepas berlaku kekacauan di dalam pengurusan kerajaan As-Samaaniah. Lalu beliau keluar dari Bukhara menuju ke sebuah tempat yang bernama Karkang. Ketika itu Ibnu Sina sentiasa memakai pakaian fukaha menyebabkan beliau dihormati oleh Amir Khawarizmi. Kemudian beliau berpindah ke Jarjan dan Khurasan. Walau bagaimanapun setelah beberapa ketika Ibnu Sina meninggalkan kedua-dua negara tersebut menuju ke Dahastan kemudian kembali semula ke Jarjan dan bertemu dengan Juzjani. Di Jarjan kedudukan Ibnu Sina dipandang tinggi, di mana beliau telah dilantik menjadi menteri kepada Syamsu Ad-Daulah di negeri Hamdan sebanyak dua kali, walaupun demikian beliau tidak pernah berhenti menulis, mengajar dan mengarang. Beliau mula mengajar murid-murid beliau pada awal waktu malam, memberikan catatan buku yang beliau hafal kepada mereka manakala pada waktu pagi pula beliau bertolak ke pejabat Kementerian tempat beliau tugaskan.


Karangan Ibnu Sina:


- Buku yang dikarang oleh Ibnu Sina adalah menjangkau sebanyak 250 buah termasuk kitab, esei dan artikel di dalam bidang matematik, mantik, akhlak, fizik, kedoktoran dan falsafah.


- Pencapaian Ibnu Sina yang dianggap paling menonjol ialah pencapaian beliau di dalam bidang kedoktoran di mana beliau telah mengarang kitab beliau yang bernama Al-Qanun yang menggariskan beberapa catatan terperinci seperti hubungannya dengan penyakit batuk kering, penyakit paru-paru yang lain serta menyatakan peranan air dan debu di dalam memindahkan jangkitan penyakit di samping mengaitkan penyakit dengan unsur-unsur psikologi, tekanan perasaan dan beberapa penyebab penyakit yang sangat luar biasa.


- Kitab Al-Qanun telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa Eropah dan terus dijadikan sebagai bahan penyelidikan di beberapa buah universiti di Eropah selama empat kurun berturut-turut.


- Ibu Sina juga telah memberi sumbangan di dalam ilmu fizik sebagaimana yang ditulis di dalam kitabnya Asy-Syifa', An-Najah dan Al-Isyarah.


Kewafatan Ibnu Sina:


- Walaupun Ibnu Sina salah seorang yang mengutamakan ilmu kedoktoran tetapi beliau tidak mengambil berat kepada kesihatan diri beliau menyebabkan beliau menghadapi pelbagai penyakit sehinggalah kekuatannya menjadi semakin lemah dan akhirnya beliau mati pada tahun 428 Hijrah / 1037 Masihi di negeri Hamdan.

Bilal Bin Rabah

Kelahiran dan riwayat hidup beliau:
- Bilal bin Rabah dilahirkan di Kota Mekah sekitar tahun 43 Sebelum Hijrah.
- Bilal r.a dibesarkan di Kota Mekah sebagai seorang hamba anak-anak yatim Bani Abdul Dar yang berada di bawah jagaan Umaiyyah bin Khalaf.
- Setelah Rasulullah s.a.w dibangkitkan menjadi Nabi dengan membawa risalah Islam, Bilal adalah terdiri dari kalangan orang-orang yang paling awal memeluk Islam. Ketika beliau memeluk Islam, hanya terdapat beberapa orang sahaja yang memeluk Islam di atas permukaan bumi ini iaitu: Khadijah binti Khuwailid, Abu Bakar As-Siddiq, Ali bin Abi Talib, Ammar bin Yasir serta ibunya Sumaiyyah, Suhaib Ar-Rumi dan Al-Miqdad bin Al-Aswad.

Kesabaran dan ketabahan beliau menanggung penderitaan:

- Bilal adalah merupakan salah seorang yang paling banyak merasakan penyeksaan, kekejaman dan kengerian serta mempunyai ketabahan tidak sebagaimana orang lain di dalam menanggung penderitaan daripada golongan musyrikin. Sebahagian besar dari kalangan mereka yang memeluk Islam pada masa tersebut mempunyai keluarga tempat mereka berlindung dari kekejaman golongan musyrikin kecuali beliau, Ammar bin Yasir bersama-sama dengan bapa dan ibunya serta Suhaib. Faktor sedemikianlah yang menyebabkan mereka menjadi sasaran golongan musyrikin Quraisy untuk melepaskan geram mereka terhadap Islam.
- Pada suatu hari berlaku peristiwa di mana apabila matahari tegak berdiri di tengah-tengah langit dan pasir Mekah panas membakar kerana cuaca terlalu panas, Umaiyyah bin Khalaf bersama-sama dengan sekumpulan golongan musyrikin menanggalkan pakaian Bilal, mereka memakaikannya dengan baju besi kemudian mereka menjemurnya di bawah panas terik cahaya matahari dalam keadaan pasir yang panas membakar serta mereka memukulnya dengan menggunakan cemeti sambil mereka memerintahkan Bilal supaya mencaci Nabi Muhammad s.a.w.
- Walau bagaimana hebat sekalipun penyeksaan yang mereka timpakan kepada Bilal namun Bilal tetap dengan pendiriannya di mana beliau tidak menyebut apa-apa kecuali perkataan: Allahu Ahad ! yang bermaksud: Allah yang Maha Esa! Allah yang Maha Esa!.
- Apabila Umaiyyah bin Khalaf merasa putus asa menyeksa Bilal, Umaiyyah mengikat leher beliau dengan menggunakan tali yang besar kemudian menyerahkan kepada orang-orang yang bodoh dan kanak-kanak seterusnya dia meminta supaya mereka mengheretnya ke seluruh kawasan Kota Mekah dan mereka membawanya ke kawasan-kawasan yang berbatu sambil berlari.
- Selepas peristiwa tersebut Abu Bakar r.a memerdekakan Bilal secara membelinya daripada Umaiyyah bin Khalaf dengan harga 9 tahil emas. Umaiyyah bin Khalaf sengaja menjualnya dengan harga yang mahal supaya Abu Bakar tidak mahu membelinya sedangkan di dalam hati dia berkata: "Sekiranya Abu Bakar tidak mahu membelinya dengan harga tersebut, aku tetap akan menjualnya walaupun dengan harga 1 tahil emas". Sebaliknya Abu Bakar juga berkata di dalam hatinya: "Sekiranya dia tidak mahu menjual dengan harga tersebut, aku tetap akan membelinya walaupun dengan harga 100 tahil emas".
- Bilal bin Rabah r.a terlalu gembira dengan kemerdekaan tersebut kerana beliau dapat memulakan era kehidupan baru di dalam suasana kehidupan yang penuh dengan kebebasan yang tidak pernah dijanjikan kepadanya. Kemudian beliau berhijrah ke Madinah bersama-sama dengan rombongan umat Islam yang berhijrah ke sana.

Kelebihan beliau:

- Bilal menjadi tukang azan Rasulullah s.a.w sepanjang hidup beliau. Pernah berlaku suatu ketika semasa Rasulullah s.a.w wafat, Bilal mengumandangkan azan tetapi apabila sampai kepada perkataan:

Yang bermaksud: Aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah Rasulullah. Bilal menangis tersedu-sedu kemudian meminta daripada Abu Bakar r.a supaya mengecualikan beliau daripada azan kerana beliau tidak dapat lagi menanggung kesedihan selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.

- Setelah itu Bilal pergi bersama-sama dengan delegasi dakwah pertama umat Islam kemudian beliau tinggal menetap di Darya (sebuah tempat berhampiran dengan Damsyik) sehinggalah Al-Faruq Umar bin Al-Khattab datang ke Damsyik dan meminta Bilal supaya mengumandangkan azan sekali lagi kerana Umar terlalu mengasihi dan menghormati beliau. Umar pernah berkata: "Abu Bakar adalah tuan kita dan beliau telah memerdekakan tuan kita", maksudnya ialah Bilal r.a.
- Apabila Bilal mengumandangkan azan, Umar dan seluruh para sahabat yang ada pada masa tersebut yang pernah mendengar suara azan tersebut pada zaman Rasulullah s.a.w terus menangis tersedu-sedu kerana mereka terlalu terkenangkan suara azan tersebut dan perasaan mereka terlalu tersentuh menyebabkan mereka semua menangis.

Kematian beliau:

- Bilal bin Rabah meninggal dunia setelah beliau mengalami sakit tenat di mana pada hari-hari tersebut beliau sering menyebut: "Besok kita akan bertemu dengan para kekasih ... Muhammad dan sahabat baginda". Semoga Allah meredai beliau dan membalas segala jasa yang telah beliau berikan kepada Islam dengan balasan yang baik.

Amru bin Al-As ra

Riwayat hidup beliau:
- Amru bin Al-As dilahirkan sekitar setengah kurun sebelum Hijrah.

Sifat peribadi beliau:

- Amru r.a adalah merupakan salah seorang yang tergolong di dalam kalangan orang Arab yang cerdik serta salah seorang yang pintar, unik dan sangat ganjil.
- Amru bin Al-As adalah merupakan seorang yang lantang dan fasih bercakap.
- Beliau memiliki kemampuan berfikir dan berpandangan jauh.
- Bapa beliau pula iaitu Al-As bin Wail adalah merupakan seorang yang mempunyai ketokohan di kalangan bangsa Arab malah dia merupakan salah seorang pemimpin bangsa Arab pada zaman jahiliah.
- Amru bin Al-As telah meninggalkan sirah perjalanan yang sangat mengagumkan dan menyibukkan masyarakat dunia bertahun-tahun lamanya.
- Ketika sebahagian dari kalangan umat Islam berhijrah ke tempat raja Najasyi di Habsyah setelah mendapat keizinan daripada Rasulullah s.a.w, bangsa Quraisy tidak mempunyai orang yang paling layak untuk memujuk Najasyi supaya mengembalikan umat Islam yang telah berhijrah kecuali Amru bin Al-As untuk memikul tugas tersebut kerana mereka mengetahui bahawa beliau adalah merupakan seorang yang sangat pintar dan mempunyai hubungan yang baik dengan Najasyi. Tetapi apabila Najasyi mendengar kata-kata Amru bin Al-As kemudian mendengar pula kata-kata umat Islam yang berhijrah ke tempatnya, Najasyi merasa penuh yakin dan tenang serta memahami akidah kepercayaan mereka serta hatinya merasa tertarik kepada Islam menyebabkan dia memeluk Islam selepas itu.

Pengislaman beliau:

- Apabila Amru ingin pulang, Najasyi menyeru beliau supaya memeluk Islam sambil menjelaskan kepada beliau betapa besar kurniaan yang telah diberikan oleh Allah kepada bangsa Arab dengan mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w sebagai seorang Rasul. Nasihat yang begitu berharga yang telah diberikan oleh seorang raja ternyata memberi kesan yang mendalam di dalam hati sanubari Amru bin Al-As menyebabkan dia mula tertarik kepada Islam dan akhirnya Allah membuka pintu hati beliau untuk menerima hidayat petunjuk Islam pada tahun 8 Hijrah.
- Amru telah berazam ingin musafir untuk berjumpa dengan Rasulullah s.a.w di Madinah. Di tengah-tengah perjalanan beliau bertemu dengan Khalid bin Al-Walid dan Othman bin Talhah. Beliau mendapati mereka berdua juga mempunyai niat yang sama.
- Sebaik sahaja mereka bertiga masuk berjumpa dengan Rasulullah s.a.w, Khalid dan Othman terus berbaiah dengan baginda, sebaliknya Amru hanya menggenggam erat tangan baginda sahaja sehinggalah Rasulullah s.a.w bersabda kepada beliau: "Kenapa kamu ini wahai Amru?" Lalu beliau berkata: "Aku berbaiah dengan kamu sekiranya Allah mengampunkan dosa-dosa aku yang telah lalu." Kemudian baginda menjawab: "Sesungguhnya Islam dan Hijrah menghapuskan perkara-perkara yang telah lalu." Lantas Amru r.a terus berbaiah dengan baginda. Apabila Rasulullah s.a.w mengetahui kepintaran dan keperkasaan beliau, baginda terus melantik beliau menjadi panglima tentera Islam di dalam peperangan Zaat As-Salasil.

Perjuangan beliau pada jalan Allah:

- Selepas kematian Rasulullah s.a.w, Amru r.a mempunyai peranan penting di dalam memerangi golongan murtad pada zaman pemerintahan Sayidina Abu Bakar As-Siddiq.
- Manakala pada zaman pemerintahan Sayidina Umar bin Al-Khattab r.a, pahlawan Islam Amru bin Al-As berjaya membuka Palestine dan Mesir malah kepentingan kedua-dua pembukaan ini tidak dapat dinafikan lagi kerana pembukaan Palestine dapat memberikan keamanan kepada kawasan persisiran pantai Syam terhadap umat Islam dan pembukaan Mesir pula berjaya memberi laluan untuk menuju ke Afrika, negeri-negeri di Moroko seterusnya ke Sepanyol selepas itu.
- Kecerdikan dan kepintaran Amru terlalu menyerlah di dalam pembukaan Mesir sehingga menakjubkan ahli-ahli sejarah termasuk dari kalangan bukan Islam terutamanya kebijaksanaan dan perancangan beliau yang begitu baik.

Di antara mutiara kata beliau dan seni sastera beliau:

- Lelaki adalah terdiri dari tiga kategori: Lelaki yang sempurna, lelaki yang bersifat separuh lelaki dan lelaki yang tidak bersifat lelaki. Lelaki yang sempurna adalah lelaki yang disempurnakan oleh Allah agama dan akalnya, apabila dia ingin membuat sesuatu keputusan, dia sentiasa meminta pandangan daripada orang-orang yang mempunyai pandangan menyebabkan dia sentiasa membuat keputusan yang tepat. Manakala lelaki yang bersifat separuh lelaki pula adalah lelaki yang tidak disempurnakan oleh Allah agama dan akalnya, apabila dia ingin membuat sesuatu keputusan, dia tidak meminta pandangan daripada sesiapapun sebaliknya dia berkata: "Sesiapa sahaja aku boleh mengikuti dan menggunakan pandangannya mengikut kesesuaian", menyebabkan kadangkala dia membuat keputusan yang tepat dan kadangkala dia membuat keputusan yang salah. Adapun lelaki yang tidak bersifat lelaki pula ialah lelaki yang tidak mempunyai agama dan akal fikiran sedikitpun menyebabkan dia sentiasa membuat tindakan yang silap. Kemudian Amru berkata: " - Beliau pernah berkata pada hari-hari terakhir usia beliau: "Aku pernah berada di dalam tiga keadaan bahkan aku mengetahui kedudukan diri aku di dalam ketiga-tiga keadaan tersebut: Suatu ketika dahulu aku berada di dalam kekafiran, sekiranya aku mati pada masa tersebut sudah tentu aku akan dimasukkan ke dalam neraka. Selepas aku berbaiah dengan Rasulullah s.a.w, aku menjadi seorang yang sangat pemalu kepada baginda sehingga aku tidak pernah melihat baginda dengan sepenuh pandangan aku, sekiranya aku mati pada masa tersebut sudah tentu orang ramai akan berkata: Tahniah kepadamu Amru! Memeluk Islam dalam keadaan baik dan mati juga dalam keadaan baik. Kemudian aku diselubungi dengan sesuatu yang aku sendiri tidak mengetahui adakah ia akan dihitung sebagai keburukan ke atas aku atau ia dihitung sebagai kebaikan untuk aku?"

Kelebihan beliau:

- Imam Ahmad dan Tirmizi meriwayatkan sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda tentang beliau: Orang yang paling kuat Iman dan Islam adalah Amru bin Al-As.

Kematian beliau:

Beliau meninggal dunia pada tahun 43 Hijrah selepas menghabiskan usia dan perjalanan hidup yang panjang.