Tuesday, June 14, 2005

Saudah - Isteri tua yang taat

Para sahabat dapat merasakan kesepian Rasulullah s.a.w selepas kematian isterinya, Sayidatina Khadijah Khuwailid. Sebagai seorang pemimpin masyarakat, mereka faham kesibukan Rasulullah dan baginda memerlukan seorang isteri untuk menguruskan rumah dan anak-anak baginda. Tetapi siapakah wanita yang paling layak untuk diperisterikan baginda?

Seorang sahabat wanita, Khaulah Hakim tampil mengusulkan agar Rasulullah melamar Aisyah Abu Bakar. Tetapi Aisyah ketika itu masih mentah dan belum sesuai untuk memikul tugas sebagai seorang isteri. Sementara menunggu Aisyah matang dua atau tiga tahun lagi, seseorang perlu berada di rumah Rasulullah bagi menguruskan rumah dan anak-anak baginda. Bagi para sahabat, calon paling sesuai ialah Saudah Zam’ah, wanita Bani Adi bin Najar yang sudah bertahun-tahun menjanda.

Seluruh masyarakat mengenali Saudah sebagai muslimah yang tabah. Dia dan suaminya antara orang yang mengikuti hijrah pertama ke Habsyah pada zaman awal perkembangan Islam. Ketika itu, masyarakat Islam berada dalam keadaan tertekan kerana ditindas hebat oleh orang kafir Quraisy. Untuk menyelamatkan diri, Rasulullah merestui sesetengah mereka berhijrah ke Habsyah. Selepas kematian suami dan anaknya di tanah asing itu, Saudah hidup sendirian di sana sehinggalah dia kembali ke Mekah.

Rasulullah bersimpati dengan nasib Saudah. Selepas mendapat keizinan baginda, Khaulah segera meminang Aisyah dan Saudah. Dia berjumpa Abu Bakar terlebih dahulu, sebelum langsung ke rumah Zam’ah. Di sana dia bertemu Saudah dan bertanya, “Apakah kebaikan dan berkat yang diberikan Allah kepadamu?”

“Apa yang berlaku sehingga engkau bertanya begitu?” Soal Saudah, kehairanan.

“Rasulullah mengutusku untuk melamarmu,” kata Khaulah.

“Aku bahagia mendengarnya. Temuilah ayah dan katakan hal itu kepadanya,” Saudah ternyata terperanjat tetapi sangat gembira mendengarnya.

Saudah menguruskan rumah tangga Rasulullah selama tiga tahun. Selepas baginda menikahi Aisyah, dia rela hati menyerahkan tugas itu kepada Aisyah. Malah Saudah juga begitu murah hati menghadiahkan gilirannya kepada Aisyah kerana ketika itu dia sudah uzur. Dalam diam, dia sangat memahami betapa istimewanya Aisyah di hati baginda. Oleh itu, Saudah cuba memberikan kesenangan dan kebahagiaan kepada Aisyah dengan harapan mendapat keredaan Allah dan terus kekal sebagai isteri baginda.

Aisyah sendiri sangat mengagumi jasa dan kebaikan Saudah terhadapnya. Dia pernah berkata, “Tiada seorang pun yang aku ingin selalu berada di bawah bimbingannya kecuali Saudah Zam’ah. Kerana dia berwatak tegas.”

Saudah meninggal dunia pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Dalam satu riwayat, Aisyah menceritakan, isteri-isteri Rasulullah pernah bertanya baginda, siapakah yang paling cepat menyusul baginda ke alam baqa. Jawab Rasulullah, “Yang paling panjang tangannya.” (Maksud ‘panjang tangan’ pada Rasulullah, ialah orang yang paling banyak bersedekah dan berusaha dengan tangan sendiri). Mereka kemudian mengukur tangan masing-masing, dan Saudah yang paling panjang tangannya. Memang ternyata akhirnya Saudah yang paling cepat menyusul kewafatan Rasulullah.

Ketika kematian Saudah, Ibn Abbas sujud ke bumi. Apabila ditanya mengapa dia berbuat begitu, jawab Ibn Abbas, “Rasulullah pernah bersabda, apabila melihat satu keagungan Allah, maka bersujudlah. Apakah keagungan Allah yang lebih besar selain meninggalnya seorang isteri Rasulullah?”

Wanita ini juga seorang perawi hadis. Dia meriwayatkan lima buah hadis daripada Rasulullah. Sebuah hadis dimuatkan dalam kitab Sahih Bukhari dan Muslim. Ada mengatakan Imam Bukhari turut meriwayatkan dua buah hadis yang diriwayatkan Saudah.

Saudah dikenang sebagai seorang isteri solehah, taat dan tegas. Sebagai isteri tua di kalangan isteri-isteri Rasulullah, peranannya dianggap penting untuk membimbing para isteri yang lain. Sebagai seorang Umul Mukminin, dia menduduki status tertinggi dalam masyarakat dan menjadi rujukan semua orang.

Thursday, June 09, 2005

Rumaysa - Muslimah, Isteri & Ibu Unggul

Selepas kedatangan Islam ke Yathrib (nama lama Madinah), Rumaysa yang juga dikenali sebagai Ummu Sulaym, wanita berperwatakan cemerlang, intelektual dan punya sifat berdikari yang tinggi, berkahwin dengan Malik ibn an-Nadr, dan dikurniakan anak lelaki, Anas ibn Malik, yang kemudiannya menjadi di antara sahabat Rasulullah yang akrab. Rumaysa antara wanita Yathrib pertama yang memeluk Islam, hasil dakwah Mus'ab ibn Umayr yang dihantar Rasulullah ke sana.

Siri dakwah ke Yathrib itu berlaku selepas Perjanjian Aqabah Pertama, apabila 12 orang lelaki Yathrib pergi ke Aqabah yang terletak di luar Mekah untuk menyatakan kesetiaan kepada Rasulullah. Peristiwa ini juga dianggap kemajuan kepada dakwah baginda yang tidak mendapat tempat di negeri sendiri (Mekah).

Keputusan Rumaysa untuk memeluk Islam dibuat tanpa pengetahuan suaminya yang ketika itu berada di luar Yathrib. Selepas Malik kembali, dia mendapati suasana amat berlainan. Dia tidak gembira apabila Rumaysa mengumumkan keislamannya di khalayak ramai dan mengarahkan anaknya Anas supaya mengucap syahadah.

Malik meninggalkan rumah dan mati dibunuh oleh musuhnya. Berita itu mengejutkan tetapi tidak menyedihkan Rumaysa. Dia memberikan sepenuh tumpuan untuk belajar dan mengajar Islam kepada anaknya. Malah dia pernah berkata, tidak akan berkahwin lagi tanpa kebenaran Anas.

Selepas Rumaysa menjanda, Zayd ibn Sahl yang dikenali sebagai Abu Talhah melamarnya. Dia sangat yakin wanita itu tidak akan menolaknya. Abu Talhah lelaki hebat, kaya, memiliki banyak rumah, penunggang kuda dan pemanah yang cekap. Lagipun dia dari suku kaum yang sama dengan Rumaysa iaitu Banu Najjar.

"Lelaki seperti kamu sukar ditolak. Tapi saya tidak akan mengahwini kamu selagi kamu belum Islam," kata Rumaysa.

"Saya bersumpah dengan nama Allah dan Rasulullah, jika kamu menerima Islam, saya akan menerima kamu sebagai suami tanpa emas dan perak. Keislaman kamu itu akan menjadi mahar saya.

" Abu Talhah terdiam memikirkan kata-kata itu. Dia teringat berhala yang diperbuat daripada kayu yang disembah dan diagungkan selama ini. Rumaysa mengambil keputusan itu untuk berdakwah kepada Abu Talhah.

"Tidakkah kamu tahu tuhan yang kamu sembah itu datang dari bumi?"

"Saya tahu," balas Abu Talhah.

"Jadi tidakkan kamu rasa bodoh menyembah kayu sedangkan kamu juga menggunakannya untuk membakar roti dan memanaskan tubuh? Kalau kamu dapat meninggalkan kepercayaan tersebut dan menjadi muslim, saya akan menerima kamu sebagai suami dan saya tidak akan meminta apa-apa selain keislaman kamu."

"Siapa yang akan mengajar saya mengenai Islam?" tanya Abu Talhah.

"Saya!"

"Bagaimana?"

"Ucapkan pengakuan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Kemudian pulang ke rumah dan musnahkan semua berhala yang ada di sana."

Abu Talhah pergi. Hatinya terkesan kuat kata-kata wanita itu. Kemudian dia datang semula dengan wajah berseri-seri. "Saya terima nasihat kamu. Saya mengakui tiada tuhan melainkan Allah dan mengakui Muhammad pesuruh Allah."

Selepas itu mereka berkahwin. Masyarakat Islam mengagumi perkahwinan tersebut kerana mereka tidak pernah mendengar mahar yang sebegitu berharga daripada mahar yang diletakkan Rumaysa.

Abu Talhah banyak menyumbang kepada Islam. Dia merupakan salah seorang daripada 73 lelaki yang menyatakan kesetiaan kepada Rasulullah dalam Perjanjian Aqabah Kedua yang turut disertai Rumaysa.

Abu Talhah dan Rumaysa menjadi keluarga muslim yang dicontohi kerana taat setia dan khidmat mereka kepada Islam. Rasulullah sendiri pernah mengunjungi dan bersolat di rumah mereka. Kadangkala Rasulullah tidur di sana.

Rumaysa wanita hebat dan berani. Semasa perang Uhud, dia membawa badik di dalam bajunya. Dia memberi air, mententeramkan tentera yang cedera dan cuba menyelamatkan Rasulullah ketika tentera Islam diseang. Semasa peperangan Khanda', Rasulullah ternampak badik yang dibawanya dan bertanya. Katanya, "Senjata ini untuk berperang."

Peranan Rumaysa membayangkan kekuatan dan kesabarannya yang unik. Ketika anak kecilnya, Umayr, meninggal dunia dan suaminya berada di dusun, dia memandikan jenazah dan mengkafannya sendiri. Dia tidak mengizinkan jiran memberitahu suaminya kerana mahu memberitahunya sendiri akan berita yang sedih itu.

Rumaysa adalah model muslimah, isteri dan ibu. Kepercayaannya kepada Allah kuat dan meyakinkan. Dia tidak bersedia untuk membahayakan kepercayaan dan membesarkan anaknya dalam kemewahan. Dia cintakan Rasulullah dan menghantar anaknya untuk berkhidmat kepada baginda. Dia bertanggungjawab mendidik sendiri anaknya dan memainkan peranan aktif dalam masyarakat, berkongsi kegembiraan dan kekuatan Islam.