Tuesday, August 16, 2005

Habib Hassan al-Attas - Tokoh korporat dan pendidik Pahang



Habib Hassan bin Syed Ahmad al-Attas merupakan salah seorang tokoh korporat dan pendidik peringkat awal di negeri Pahang. Iaitu sewaktu pemerintahan Sultan Ahmad al-Muadzam Syah (1836-1914), Sultan Pahang yang pertama.

Tokoh ini dipercayai berasal dari Timur Tengah yang datang ke Singapura sejak kecil. Kemudian beliau berpindah ke negeri Pahang untuk mencari kehidupan yang selesa. Hal ini demikian kerana pada waktu itu negeri Pahang mempunyai hasil mahsul yang makmur. Selain seorang korporat, beliau juga terkenal sebagai seorang tokoh agama yang disegani. Malah di samping berniaga pada waktu itu, Habib Hassan juga mementingkan didikan agama. Dalam hal ini, keluarga serta orang-orang yang di bawah jagaannya dipastikan mendapat didikan agama yang sempurna.

Pada masa ini, negeri Pahang terkenal dengan hasil bijih timah dan emas. Hasil galian itu didapati di Lembah Sungai Kuantan dan di beberapa tempat di daerah Lipis. Antaranya terdapat di Penjom, Tanum, Telum, Raub, Yong, Sampan, Cheka, Selinsing, dan banyak lagi. Sebagai seorang korporat, Habib Hassan membeli dan menjual bijih timah dan emas. Dalam masa yang sama beliau juga membawa masuk pekerja-pekerja dari Singapura untuk mengusahakan lombong tersebut.

Kebanyakan pekerja yang dikendalikan oleh Habib Hassan terdiri daripada orang-orang Cina. Pengusaha lombong di situ mendapatkan pekerja tersebut daripada Habib Hassan dengan perkiraan kadar yang munasabah. Oleh hal yang demikian Habib Hassan sentiasa dihormati oleh orang-orang Cina khususnya yang datang mencari nafkah di Pahang. Dalam kalangan mereka bukan sahaja menjadi pekerja lombong malah ada yang menjadi tauke.

Pengaruh Habib Hassan di kalangan orang-orang Cina ini memudahkan tokoh ini menyelesaikan masalah yang timbul. Sebenarnya, pada waktu ini perusahaan mengeluarkan bijih timah dan emas bukan sahaja dijalankan oleh orang-orang Cina dan penduduk tempatan. Tetapi turut diusahakan juga oleh pihak Inggeris dan Australia. Mereka ini memajak tanah-tanah atau kawasan-kawasan bijih timah dan emas dari Kerajaan Pahang dengan cara tertentu.

Dalam perusahaan ini, pelbagai pihak cuba mengaut keuntungan yang banyak terutama pihak Inggeris dan Cina. Walau bagaimanapun keadaan ini dapat dikawal oleh pihak Sultan dengan bantuan orang-orang besar baginda. Hal ini demikian kerana kebanyakan kawasan perusahaan bijih timah dan emas dipajakkan kepada orang Inggeris dan Cina.

Walau bagaimanapun Habib Hassan yang telah meminta kebenaran Sultan untuk mendapat kuasa mengendalikan pekerja masih gagal. Pihak Inggeris menolak usahanya. Dengan peristiwa ini, Sultan Ahmad dapat membaca akan helah pihak Inggeris. Mereka mahu membolot segala kekayaan bijih di negeri Pahang. Oleh hal yang demikian, pada tahun 1887 baginda telah membatalkan beberapa perjanjian pajakan dengan Inggeris. Jadi, beberapa kawasan terutamanya di Kuantan tidak boleh dilakukan perlombongan. Hal ini sangat mendukacitakan pihak Inggeris.

Oleh sebab itu, Hugh Clifford yang menjadi wakil Residen Inggeris di Pahang pada tahun 1888 telah menyusun satu undang-undang perusahaan. Undang-undang itu meliputi peraturan pekerja perusahaan bijih dan tanggungjawab majikan terhadap pekerja-pekerja. Peraturan ini kemudiannya telah disesuaikan oleh Sultan Ahmad demi kebajikan rakyat baginda. Walau bagaimanapun, Habib Hassan mendapati terdapat kekurangan dalam beberapa peraturan yang telah diluluskan itu. Padanya peraturan itu banyak menyebelahi Inggeris dan menguntungkan mereka.

Dalam hal ini, Habib Hassan banyak memberi pandangan kepada baginda Sultan tentang usaha jahat Inggeris di Pahang itu. Mereka mahu mengaut kekayaan melalui hasil mahsul dengan pelbagai cara yang licik. Pandangannya itu termasuk pemberian ganjaran kepada pembesar negeri yang terlibat di kawasan perlombongan

Pada awal kedatangan Habib Hassan ke negeri Pahang, tokoh ini telah meneroka sebuah pulau di Kuala Sungai Pahang. Dia telah menjalankan operasi mengambil pekerja-pekerja Cina dari Singapura ke pulaunya. Pulau ini sekarang terkenal dengan nama Pulau Habib Hassan. Beliau dan penghuni lain menanam kelapa di pulau ini. Pulau tersebut dijadikan lokasi dan tempat kediamannya adalah kerana kemudahan laluan kenderaan laut. Pada masa itu pengangkutan seperti kapal kecil, tongkang, dan lain-lain mengguna laluan tersebut. Sebahagiannya datang dari Singapura. Di pulau ini juga Habib Hassan menempatkan bijih timah yang akan dihantar ke Singapura. Keadaan pulau yang dikelilingi oleh air memudahkan beliau dan orang-orangnya menjaga keselamatan diri dan harta.

Pada penghujung usianya, Habib Hassan dilantik menjadi salah seorang daripada penjaga khazanah negeri. Tokoh ini menjadi orang kepercayaan Sultan untuk mentadbir khazanah Sultan. Pada masa yang sama, Habib Hassan dilantik menjadi ketua agama Islam di istana. Beliau mengendalikan hal-ehwal agama Islam di istana Sultan Ahmad termasuk mengajar agama dan mengaji al-Quran.

Tugas beliau sebagai pegawai istana, menjadikan Habib Hassan seorang yang berpengaruh dalam masyarakat. Apatah lagi beliau sendiri yang mempunyai lebihan harta banyak menyumbang kepada agama. Pada tahun 1921 beliau telah mendirikan sebuah sekolah agama yang diberi nama Madrasatul ‘Arabiah al-Attas di Kampung Ketapang, Pekan. Mata pelajaran #yang diajar di sekolah ini ialah bahasa Arab, Ilmu Hisab, tawarikh (sejarah), Ilmu Alam (geografi) di samping pengetahuan agama Islam yang menjadi asas pengajian. Sekolah ini mendapat sambutan semua golongan masyarakat termasuk golongan istana.

Sekolah ini kekal hingga sekarang dan kini ditadbirkan oleh Kerajaan Negeri Pahang sejak tahun 60-an. Sebagai tokoh agama serta usahawan yang berjaya, Habib Hassan perlu dikenang. Jasa-jasa tokoh ini wajar ditulis dalam sejarah perkembangan pendidikan dan agama Islam khususnya dalam pembinaan negeri Pahang. Begitu juga dalam membangunkan masyarakat dalam bidang ekonomi. Dari sumber rujukan yang dibuat, tidak dapat ditentukan bila tokoh ini dilahirkan dan bila pula dia meninggal dunia. Namun yang dapat dikesan ialah Habib Hassan turut memberi sumbangan kepada kerajaan Pahang semasa pemerintahan Sultan Mahmud dan Sultan Abdullah.

Tuan Hussain Kedah



Pelopor Institusi Pengajian Pondok

TUAN Hussain Kedah atau nama sebenarnya Hussain bin Nasir bin Muhamad Taib dilahirkan di Titi Gajah, Alor Setar pada 2 November 1863 bersamaan 20 Jamadil Awal, 1280 Hijrah. Tuan Hussain berasal dari keluarga ulama’ yang tinggal di Kalimantan. Pada sekitar tahun 1841 Haji Mas’ud, datuk Tuan Hussain singgah di Sungai Kedah dalam perjalanan pulang ke Kalimantan dari Makkah. Di kesempatan itu Haji Mas’ud telah memainkan peranan penting membantu kerajaan Kedah dalam perang menentang Siam. Walau bagaimanapun, haji Mas’ud telah syahid dalam peperangan itu pada tahun 1842. Melihat keadaan itu, anaknya Muhamad Taib dan ahli keluarga yang lain telah mengambil keputusan untuk menetap di Kedah untuk mencari kehidupan baru. Kelahiran Tuan Hussain dalam keluarga ini terus memberi sinar khususnya dalam perkembangan dakwah Islamiah. Apatah lagi, keluarga Muhamad Taib terdiri di kalangan warisan ulama’.

Dalam sejarah perjuangannya, Tuan Hussain merupakan seorang penulis kitab-kitab agama yang terkenal di Nusantara. Tokoh ini telah menghasilkan 18 buah kitab mengenai fiqh, tauhid, dan tasawuf. Dalam mendidik ummah setempat pula Tuan Hussain mengajarkan tulisan jawi serta mendirikan pondok sebagai institusi pendidikan.

Beliau mendirikan sekolah pondok di beberapa kawasan di Kedah dalam usahanya mengukuhkan pendidikan Islam. Antara tempat-tempat tersebut ialah di Bohor, Selengkoh, Padang Lumat serta di Pokok Sena, Seberang Perai. Satu perkara yang menarik tentang tokoh ini ialah sistem dan disiplin yang diterapkan dan dilaksanakan dalam mengendalikan sekolah yang diasaskannya. Kawasan institusi pendidikan itu dilengkapi surau. Manakala rumah-rumah pondok (tempat penginapan) pelajar dibina secara tersusun. Untuk mereka yang berkeluarga dibina pondok di dalam kawasan sekolah. Manakala pelajar bujang didirikan pondok di kawasan luar.

Para pelajarnya terdiri daripada remaja belasan tahun hinggalah kepada orang tua yang berumur 50 tahun. Kebanyakan mereka terdiri daripada pelajar tempatan, namun ada juga yang datang dari Sumatera, Patani, dan Brunei. Hal ini menunjukkan betapa pengaruh pendidikan institusi pondok Tuan Hussain begitu meluas.

Meskipun sistem perhubungan pada waktu itu amat sukar lantaran institusi pendidikan belum banyak didirikan oleh pihak kerajaan (penjajah), namun cabaran ini telah menyemarakkan jiwa Tuan Hussain. Pada waktu itu pelajar digalakkan bekerja sendiri bagi menampung kehidupan. Sebahagian mereka bersawah padi bersama-sama penduduk tempatan.

Tuan Hussain menetapkan jadual belajar yang tekal untuk pelajar-pelajarnya. Beliau akan mengajar bermula dari tengah hari hingga petang. Waktu pembelajaran ini merangkumi sembahyang zuhur dan Asar secara berjemaah. Manakala pembantu-pembantu Tuan Hussain akan mengajar pada waktu malam.

Jadual yang disediakan itu adalah untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar pondok itu mencari nafkah kehidupan pada waktu pagi. Jadi, waktu tengah hari dan malam hanya masa untuk menumpukan kepada pelajaran.

Pondok Tuan Hussain semakin mendapat sambutan hebat daripada pelajar. Pada satu ketika terdapat lebih 50 buah pondok didirikan di satu-satu lokasi. Menyedari keadaan itu, Tuan Hussain memperkenalkan asrama (rumah panjang) yang boleh didiami oleh bilangan pelajar yang ramai.

Dalam satu-satu musim pengajian, pondok ini mempunyai lebih dari 400 orang pelajar dan angka ini ada kalanya mencapai lebih 1000 orang. Demikian bukti kejayaan hasil ke gigihan Tuan Hussain yang tiada siapa boleh menafikannya.

Selain mendengar kuliah yang disampaikan oleh Tuan Hussain dan pembantunya, para pelajar membaca kitab-kitab yang ditulis oleh Tuan Hussain. Mereka juga turut merujuk kepada nota-nota yang disalin oleh pelajar-pelajarnya yang terdahulu.

Terdapat 18 buah kitab yang ditulis oleh Tuan Hussain sendiri. Kitab itu turut digunakan di seluruh Nusantara baik melalui penerbitan mahupun yang dibawa oleh bekas pelajarnya yang datang dari seluruh pelosok alam Melayu. Antara kitab itu ialah al-Nur al-Mustafid fi Aqaid Ahi al-Tauhid (1887), Tamrin al-Sibyan (1809), Hidayat al-Sibyan (1911), Hidayat al-Mutafakkirin (1918), Kasr al-Iksir (1920), Hidayat al-Talibin (1924), Tadrih al-Sibyan (1926), dan banyak lagi.

Jelas di sini bahawa tokoh ini selain memberi kuliah, dia juga menulis, bahkan menurunkan ilmunya dalam bentuk dokumen yang sangat berharga. Semua itu dapat diwariskan hingga ke hari ini. Pastinya tokoh ini mempunyai disiplin masa yang begitu tersusun dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Berdasarkan kepada keampuhan ilmu agama yang dimiliki oleh Tuan Hussain dalam bidang fiqh, tauhid, dan tasawuf, beliau mendapat perhatian dari Istana Perak. Tokoh ini mendapat undangan mengajar di Istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Beliau juga ada mengajar di masjid di Teluk intan dan Parit. Sambutan yang diberikan oleh penduduk setempat amatlah meriah.

Selain itu beliau juga telah menterjemah hadith Jawahir al-Bukhari. Terjemahan itu kemudiannya dibukukan dan dinamakan Tadzkir Qabail al-Qadhi (1923). Tegasnya, tokoh ini arif dalam ilmu al-Quran dan hadith iaitu ilmu asas yang penting dalam Islam.

Sewaktu kecilnya, Tuan Hussain mendapat bimbingan agama daripada datuknya, Muhamad Taib. Kemudian dia berangkat ke Patani dan berguru dengan Tuan Semela di pondok uala’. Tokoh ini turut berguru di tempat-tempat lain seperti Terengganu, Kelantan, Perak, Selangor, dan Melaka. Akhirnya Tuan Hussain menyambung pengajian ke Makkah.

Ketika berada di Tanah Suci, Tuan Hussain mengambil kesempatan berguru dengan para ulama’ terkenal termasuklah Tuan Syeikh Hasbullah, Tuan Syeikh Nawawi Bentan, Tuan Syeikh Ahmad Lingga, Tuan Syeikh Umar Sumbawa, Tuan Syeikh Muhammad Khafat, dan Tuan Syeikh Umar Bali.

Di sana Tuan Hussain bertemu dengan ramai sahabat yang antaranya ialah Tok Kenali dari Kelantan, Haji Wan Sulaiman Sidik, dan Tuan Haji Yaakub Sik dari Kedah. Sekembalinya dari Makkah kira-kira tahun 1896, Tuan Hussain terus membuka pondok pengajian bagi memberi bimbingan kepada penduduk tempatan. Ketika itu beliau berusia dalam tiga puluhan.

Antara murid-murid Tuan Hussain yang terkenal ialah Datuk Haji Abdul Rahman Haji Abdullah, Haji Ismail Sulaiman, Haji Omar Merbok, dan Haji Ghazali Haji Arshad. Tradisi ilmu yang diasaskan dan dibina oleh Tuan Hussain ini terus dikembangkan oleh murid-muridnya. Selain itu sebahagian institusi pondok yang diasaskan oleh Tuan Hussain masih kekal sehingga sekarang. Antaranya ialah pondok Padang Lumat, Kedah dan Pokok Sena, Pulau Pinang.

Tuan Hussain sangat tegas dalam pendiriannya terutama dalam hal halal dan haram. Tokoh ini berpegang teguh kepada al-Quran dan hadith tanpa ada kompromi dengan alasan lain. Pendirian yang sedemikian ini kadang-kadang kurang disenangi oleh pihak pemerintah yang kadangkala mahu bertolak ansur.

Antara pendirian Tuan Hussain, beliau tetap mengharamkan sebarang bentuk perjudian sebagaimana tuntutan agama. Manakala wang zakat mesti diterima oleh orang-orang yang berhak dan tidak boleh diagihkan sesuka hati. Tetapi apabila hal berkenaan dijelaskan oleh Tuan Hussain berdasarkan kepada pegangan Islam, pemerintah dan rakyat dapat menerimanya. Mulai saat itu, beliau sangat disegani dan dihormati dalam mengendalikan hal ehwal agama Islam.

Tokoh ini meninggal dunia pada tahun 1936 dalam usia 73 tahun. Pada awalnya pihak istana Kedah berhasrat untuk mengebumikan jenazah Tuan Hussain di makam diraja Kedah yang terletak di Langgar. Namun, Tuan Hussain telah mewasiatkan kepada isterinya, Hajah Mariam supaya jenazah dikebumikan di tempat kelahirannya Titi Gajah.

Tuan Hussain meninggalkan bukan sekadar khazanah ilmu yang ditulisnya dalam 18 buah kitab sebagaimana yang telah disebutkan, tetapi juga meninggalkan tradisi institusi sekolah pondok yang kekal hingga kini.

Selain itu, Tuan Hussain juga meninggalkan kira-kira 150 relung tanah untuk anak cucunya dan ada antara tanah tersebut ada yang telah diwakafkan untuk tujuan dakwah Islamiah. Tradisi pondok Tuan Hussain yang memulakan sistem pengajian tersusun itu mendapat perhatian daripada sarjana tempatan dan luar negara.

Dalam kalangan para sarjana yang membuat kajian, mendapati bahawa Tuan Hussain lebih dikenali dengan nama Tuan Hussain Kedah. Nama gelaran yang selalu digunakan ialah Hussain Nasir ibni Muhamad Taib al-Mas’udi.

Tok Kenali - Tokoh Intelektual Islam Kelantan

Tok Kenali (Muhammad Yusof bin Ahmad) 1870-1933 merupakan seorang ulama sekaligus seorang intelektual Islam dari negeri Kelantan yang memandang penting tentang pendidikan Islam di negeri itu. Malah ilmu yang dimilikinya tersebar luas ke Nusantara. Tokoh ini dilahirkan di Kampung Kenali, Kota Bharu, Kelantan. Beliau menuntut di Mekah selama 22 tahun dan kembali ke tanahair pada tahun 1909.

Mempunyai semangat yang kental bagi menyebarkan Islam serta pendidikannya, Tok Kenali mendirikan pusat pengajian pondok Kendali pada tahun 1911. Institusi pondok ini kemudiannya menjadi pusat pengajian Islam yang dikenali hingga kini. Semasa hayatnya beliau menjadi guru agama di Masjid Besar Al-Muhammadi. Dilantik menjadi anggota Majlis Ulama Kelantan. Menjadi anggota Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, Kelantan. Pernah menjawat jawatan Penolong Mufti dan menjadi Ketua Pelajaran Agama Islam.

Pada 11 Julai 1918 bersamaan 1 Syawal 1336, tokoh ini mengasaskan majalah Pengasuh yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam, Kelantan. Paling terhormat ialah majalah ini diterbitkan terus hingga kini, yang telah menjangkau usia 84 tahun. Tok Kenali menjadi Ketua Pengarang, majalah Pengasuh di samping terus menjadi “Tuan Guru” serta pemimpin Islam yang berwibawa dengan ilmu yang dimilikinya. Beliau terus menulis dalam majalah Pengasuh sehingga di saat akhir hayatnya.

Daya usaha yang dilaksanakan oleh Tok Kenali itu telah meninggalkan kepada kita khazanah ilmu yang tidak ternilai malah menjadi amalan kita semua pada hari ini. Pelajarnya ramai di merata tempat yang masing-masing menyumbang usaha murni gurunya. Malah dapat dirasakan nama tokoh ini harum semerbak di Nusantara walaupun beliau telah lama meninggalkan kita semua. Terdapat dua buah buku yang merakamkan ilmu yang dimiliki oleh Tok Kenali, dan buku-buku tersebut ialah Pusaka Tok Kenali dan sebuah lagi Cerpen Warisan Tok Kenali hasil usaha Abdullah Al-Qari bin Haji Salleh terbitan Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur. Selain itu, terdapat juga berpuluh rencana serta kajian yang ditulis oleh penulis-penulis untuk menjadi bahan yang amat berguna untuk kita meneliti jasa bakti yang ditinggalkan oleh Tok Kenali.

Pada tahun-tahun 60-an misalnya, cerita-cerita tentang Tok Kenali begitu diminati bukan sahaja oleh kanak-kanak tetapi juga oleh segenap lapisan masyarakat. Di negeri Pahang misalnya, Tok Kenali memang dikenali serta diingati sebagai seorang yang “keramat” iaitu sangat mulia di sisi Allah S.W.T. Cerita-cerita tentang tokoh ini sering sahaja diceritakan oleh guru-guru yang mengajar al-Quran selepas murid-muridnya belajar mengaji.

Dalam mengkaji tokoh ini terdapat beberapa perkara yang sangat menarik untuk diketahui mengenainya. Perkara yang dimaksudkan ialah amalan-amalan Tok Kenali, tulisan-tulisannya tentang Islam, syair yang pernah dibacakannya, cerita-cerita daripada Tok Kenali, dan kata-kata pujangganya di samping kitab-kitab yang ditulisnya. Sebagai seorang Tuan Guru yang bijaksana, Tok Kenali menyelitkan cerita dalam pengajarannya. Cara pengajaran sedemikian, menjadikan pengajarannya menarik dan tidak menjemukan murid-muridnya. Dalam hal ini Abdullah Al-Qari menyenaraikan sebanyak 21 buah cerita yang pernah disampaikan oleh Tok Kenali semasa mengajar. Antara cerita-cerita itu diberikan tajuk “Ikut Bapamu Tetapi Takutkan Allah”, “Sebab Setitis Susu”, “Penebus Belanja Ayah”, “Orang Cerdik dan Orang Bodoh”, “Berfikir Sebelum Bernazar”, dan beberapa yang lain.

Walau bagaimanapun, Tok Kenali tidak menuliskan cerita-cerita ini. Namun, cerita-cerita tersebut masih diingati oleh murid-muridnya yang kebanyakannya telah menjadi guru agama sama ada yang masih hidup mahupun yang telah kembali ke Rahmatullah. Melihat sekali imbas ternyata cerita-cerita yang disampaikan oleh Tok Kenali ini merupakan cerita-cerita rakyat yang sangat tinggi nilai moralnya. Apatah lagi cerita-cerita yang sedemikian ini telah diselitkan semasa menyampaikan pengajaran agama, pastinya memberikan lebih makna dan kesan kepada pendengarnya.

Selain itu, tokoh ini telah menulis kitab di samping menulis dalam majalah Pengasuh di bawah pimpinannya selaku Ketua Pengarang dan majalah Al-Hidayah. Terdapat sembilan buah kitab yang dihasilkan oleh Tok Kenali dan ada antara kitab-kitab tersebut yang dikembangkan oleh murid-muridnya. Kitab-kitab yang dimaksudkan termasuk:

1. Khasiat Binatang
2. Kitab Mujarobat
3. Kitab Tasyif
4. Sangkalan Terhadap Kaifiah; Hadiah dan Doa Yassin.
5. Ilmu Risik Tok Kenali
6. Ilmu Penyecah Tok Kenali
7. Ilmu Makjun Tok Kenali
8. Ilmu Julab Tok Kenali
9. Tulisan-tulisan tangan Tok Kenali dalam pelbagai hal yang ada hubungan dengan pengajaran Islam.

Menurut sejarah, setelah Tok Kenali tamat pengajian di Makkah, beliau kembali ke tanah air untuk membina bangsanya dengan berlandaskan Islam. Beliau menjadi guru agama yang berwibawa di samping menjadi pemimpin kepada majalah Pengasuh yang merupakan media bagi menyampaikan pengajaran dan pemikiran kepada masyarakat. Untuk itu beliau mendirikan institusi pondok yang sehingga kini masih diwarisi.

Sahsiah peribadi yang tinggi dan terpuji yang dimiliki oleh Tok Kenali telah menjadikan beliau seorang ulama rujukan. Bahkan beliau boleh dianggap sebagai seorang intelektual Islam yang membina bangsanya tanpa ragu. Kewibawaan Tok Kenali bergelombang bukan sekadar di Kelantan tetapi juga dirasakan oleh seluruh masyarakat tanah air serta Nusantara amnya.

Tegasnya, Tok Kenali telah mengasaskan landas pendidikan yang cukup teguh di Kelantan di samping ulama-ulama lain di negeri itu. Gelombang ini juga dapat dirasakan dengan lahirnya ramai cerdik pandai Islam dari negeri itu. Malah terdapat institusi-institusi pondok yang masih kekal sehingga hari ini walaupun pendekatan dan perkembangannya sudah disesuaikan dengan aliran zaman. Inilah kesan kewibaan ilmu yang dimiliki oleh Tok Kenali yang sangat mulia di sisi Allah S.W.T.

Syeikh Tahir Jalaluddin - Ulama bawa pemodenan di Tanah Melayu

Syeikh Tahir Jalaluddin seorang tokoh pejuang pembaharuan yang jarang diperkatakan orang. Bahkan ramai genarasi kini tidak mengenalinya. Muhammad Tahir Jalaluddin al-Azhari al-Falaki dilahirkan di Kota Gedang, Sumatera (setengah pengkaji mengatakan Bukit Tinggi, Sumatera atau Kota Tua Ampek Angkek, Bukit Tinggi), pada bulan Ramadan 1286 Hijrah, sekitar 9 Disember 1869 Masehi.

Beliau pernah belajar di Makkah dan Mesir sewaktu remaja. Di Makkah, Syeikh Tahir belajar ilmu mantik dan kemudian memberi penekanan kepada nahu. Setelah itu beliau mendalami ilmu fiqh dan seterusnya sirah. Beliau dapat menguasai bahasa Arab serta boleh bercakap dalam bahasa Belanda dan Inggeris.

Semasa di Makkah beliau dilantik oleh Syeikh Ahmad Khatib sebagai guru pembantu dan mengajar jemaah haji dari Nusantara. Setelah 13 tahun di Makkah beliau tergerak hati hendak pulang ke tanah air. Tetapi niatnya tidak tercapai apabila mengenangkan kekejaman Belanda. Beliau singgah di Pulau Pinang sahaja.

Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Al-Azhar Mesir. Beliau tinggal di Mesir selama lebih kurang empat tahun untuk menamatkan ijazahnya. Di sana beliau diperkenalkan dengan pemikiran Muhammad Abduh dan turut berkawan dengan Muhammad Rashid Rida, pengikut Abduh yang menerbitkan al-Manar pada tahun 1898 di Mesir.

Beliau kembali ke Singapura dalam usia 20 tahun (1899), dan kali ini masih keberatan untuk pulang ke kampung halamannya. Di sinilah beliau bersama dua temannya memulakan menerbitkan majalah “al-Imam” (1906) iaitu Syed Syeikh al-Hadi dah Haji Abas Mohd Taha.

Sebelum itu beliau kembali Makkah untuk bertemu dengan sepupunya. Kemudian pulang ke tanah air menuju ke Pulau Pinang. Di sana dia bertemu jodoh dan berkahwin dengan gadis Kuala Kangsar. Akhirnya beliau menetap di Kuala Kangsar serta mendapat enam orang anak.

Dengan penerbitan Al-Imam, beliau cuba membuat membawa pembaharuan. Pemikiran Islam ala Muhamad Abduh menjadi wadah perjuangannya. Walau bagaimanapun beliau tidak disukai oleh golongan konservatif agama di Perak yang melihatnya sebagai berpandangan moden. Oleh sebab beliau berpindah ke Johor Bahru dan bertugas sebagai guru agama sehingga akhir 1918.

Kemudian beliau kembali ke Kuala Kangsar dan mengajar di Pulau Pinang iaitu di Madrasah al-Masyhur. Ketika di al-Masyhur dia ditawarkan sebagai mudir Madrasah Muhammad Thaib, Parti Jamil, Muar. Walaupun bagaimanapun setelah tugasnya selesai di al-Masyhur barulah tawaran tersebut diterima. Kehadiran Syeikh Tahir tersebut telah mengubah pendekatan pengajaran tradisi kepada kaedah moden yang dikaitkan dengan gerakan Kaum Muda, bahkan bahasa Inggeris dijadikan sebahagian daripada kurikulum madrasah.

Kemudian dalam tahun 1934, Syeikh Tahir dilantik sebagai editor bersama akhbar Saudara dan al-Ikhwan, walau bagaimanapun beliau hanya bertugas beberapa bulan sahaja. Hal demikian kerana beliau tidak bersetuju dengan dasar penerbitan tersebut.

Pada usia yang ada itu beliau masih mengambil peluang mempelajari ilmu falak, untuk menentukan waktu sembahyang dan penentuan bulan serta penetapan kalendar muslim. Ketokohannya menyebabkan Sultan Idris, Sultan Perak mengarahnya membetulkan arah kiblat masjid seluruh negeri. Bukan itu sahaja, baginda melantiknya menjadi Hakim Besar Syariah di Mahkamah Tinggi Taiping dan Ipoh.

Walaupun di Malaya ketika itu, pemikiran yang dibawa oleh Syeikh Tahir Jalaluddin mendapat tentangan ulama-ulama tradisional, tetapi berbeza sambutannya di Sumatera. Syeikh Tahir Jalaluddin mendapat sokongan daripada kawan-kawan dan murid-muridnya ketika beliau masih belajar di Mesir. Antara yang terkenal ialah Syeikh Muhammad Jamil Jambek, Syeikh Abdullah Ahmad, dan Syeikh Abdul Karim Amrullah.

Syeikh Abdullah Ahmad yang menetap di Kota Padang, Sumatera Barat ialah seorang wartawan dan pengarang yang aktif. Beliau telah menerbitkan majalah al-Munir untuk melanjutkan cita-cita dan perjuangan selepas majalah al-Imam dihentikan penerbitannya pada tahun 1908, kerana masalah kewangan. Manakala Syeikh Abdul Karim Amrullah yang mendirikan madrasah di Padang Panjang mengeluarkan pandangan-pandangan tentang kepentingan ijtihad serta menyebarkan pembaharuan pemikiran pemodenan dalam masyarakat Islam.

Sebaliknya ulama-ulama yang menamakan diri mereka Kaum Tua, menerbitkan majalah al-Mizan, untuk mengimbangi pemikiran dalam al-Munir. Mereka berusaha keras untuk melenyapkan pengaruh Kaum Muda di Sumatera. Walau bagaimanapun usaha mereka tidak berhasil kerana kekuatan pemikiran Kaum Muda yang lebih berpengaruh. Manakala Kaum Tua di Malaya, didapati lebih kuat kerana mereka diwakili oleh mufti dan kadhi yang mempunyai kuasa penuh terhadap pentadbiran agama negeri serta mempunyai hubungan baik dengan pemerintah atau majlis agama negeri. Merekalah yang lebih berhak untuk mengeluarkan fatwa terhadap perkembangan sesuatu pemikiran yang bertentangan dengan pegangan tradisional.

Wadah perjuangan pembaharuan mereka amat jelas, iaitu orang Islam perlu kembali berpegang kepada al-Quran dan hadith tetapi dalam masa yang sama tidak menolak pemodenan, sains dan teknologi. Mereka menerima falsafah barat yang berlandaskan rasionalisme sebagai alat untuk memperkukuhkan kebenaran agama Islam. Tetapi idea radikal sebegini telah disalahmengertikan oleh golongan tua lalu melabelkan mereka sebagai Kaum Muda.

Syeikh Tahir telah mengabadikan dirinya untuk menyebarkan cita-cita islah di kalangan ummah Islam, sama ada di Tanah Melayu atau seluruh Nusantara. Kemunduran masyarakat Islam di Nusantara meyakinkan beliau bahawa jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah itu ialah dengan cara mengemukakan pandangan Islah, mengungkai segala kekeliruan.

Idea ini pernah ditegaskan dalam rencananya berjudul “Surat Terbuka Kepada Segala Ulama”, disiarkan oleh al-Imam, pada Bil. 1, Jil. 1, 23 Julai 1906. Beliau menganggap bahawa ummah Islam di rantau ini memerlukan pimpinan sebagaimana saudara Islam di Asia Barat.

Beliau pernah menulis bagaimana sikap orang Melayu yang terlalu terikut-ikut dengan adat orang Arab, sering memandang rendah terhadap sesetengah pekerjaan, dan percaya kepada hari-hari tertentu dalam bulan safar yang boleh mendatangkan bala. Selain itu beliau juga menulis berkaitan dengan sikap kolot orang Melayu ialah “Risalah Penebas Bidaah-bidaah di Kepala Batas”, diterbitkan di Pulau Pinang oleh Persama Press, 1953.

Manakala rencananya mengenai “Qada’ dan Qadar” yang ditulis dalam al-Imam, Bil. 3, Jil. 1, 19 September 1906; menerangkan bahawa kejayaan manusia dalam dunia sebenarnya berpunca daripada usaha dan ikhtiarnya dan tidak ada kaitan sekali dengan faktor qada’ dan qadar. Malah ditegaskan seseorang Islam itu hendaklah sentiasa menjalankan kegiatan sebagaimana yang dikehendaki oleh Tuhan. Manusia sebenarnya bertanggungjawab kepada segala perbuatannya dan juga kepada segala perkara yang memberi kepentingan kepada masyarakat. Jika kegagalan yang dihadapi maka kegagalan itu seharusnya dianggap sebagai kegagalan dirinya sendiri. Tuhan tidak mengubah nasib manusia tetapi manusia sendiri yang mengubahnya.

Qada’ dan qadar sepatutnya diertikan bahawa segala perkara yang berlaku dalam dunia ini sebenarnya berlaku atas faktor sebab dan akibat. Tuhan dalam proses ini cuma menjadi tenaga penggeraknya sahaja. Keputusan manusia sebenarnya penting dalam hal ini. Sebagai individu, manusia bebas melakukan sesuatu dan Tuhan memberi mereka pemikiran serta Rasul untuk memimpin dan memberi petunjuk, bagaimana sesuatu perkara itu patut dilaksanakan.

Syeikh Tahir membawa pembaharuan dalam semua hal walaupun dalam pengajaran bahasa Arab. Beliau yang menjadi guru bahasa Arab kepada Za’aba sekitar 1916-1919 mendapat pujian dari Za’aba sendiri. Katanya, cara pengajarannya yang dianggap moden begitu berkesan bahkan mudah difahami oleh pelajar.

Sunday, August 14, 2005

Syeikh Al-Marbawi



Syeikh Al-Marbawi Terkenal kerana kamus Melayu-Arab

SYEIKH Muhammad Idris Bin Abd al-Rauf al-Marbawi (1893-1989), lebih tersohor sebagai tokoh persuratan Arab-Melayu di kalangan masyarakat Malaysia dan Nusantara. Qamus al-Marbawi yang telah dihasilkan pada tahun 1927 telah memasyhurkan beliau sehingga ke hari ini. Biarpun usia kamus tersebut sudah hampir 80 tahun, khazanah ilmu ini terus digunakan oleh pengkaji, pelajar, dan masyarakat di Asia Tenggara. Beliau telah dilahirkan pada tahun 1893 dan secara tepatnya pada tahun 28 Zulkaedah 1313 Hijrah di Makkah. Setelah lama berada di Makkah, keluarganya mengambil keputusan untuk kembali ke Malaysia iaitu kira-kira pada tahun 1913.

Sejak dari kecil lagi, al-Marbawi telah menunjukkan kemampuan akademiknya yang memberangsangkan. Ketika berusia sepuluh tahun, beliau telah menamatkan pengajian hafalan al-Quran. Sekembalinya ke tanah air beliau mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Lubuk Merbau, Perak.

Kecenderungan ilmiah yang tertambat kukuh dalam jiwanya telah mendorong beliau menuntut ilmu di pondok-pondok yang merupakan institusi pendidikan Islam yang terpenting di alam Melayu ketika itu. Antaranya Pondok Syeikh Wan Muhammad di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Pondok Tuan Hussain Al-Masudi, di Kedah, Pondok Syeikh Ahmad Fatani di Bukit Mertajam dan Pondok Tok Kenali di Kelantan.

Melihat kepada kemampuan akademik dan minatnya kepada ilmu Islam, ayahanda beliau mengesyorkannya agar menyambung pengajian ke timur tengah sama ada ke Mesir ataupun kembali semula ke Mekah. Bagaimanapun syor ayahandanya itu tidak menjadi prioriti al-Marbawi ketika itu kerana beliau ingin berumah tangga dan bekerja sebagai guru. Beliau meneruskan hasratnya untuk berkahwin dengan gadis pilihannya dan pada waktu yang sama mematuhi kehendak bapa supaya mendalami ilmu Islam di Mesir.

Beliau sempat bertugas sebagai guru agama di Perak sebelum menyambung pengajiannya ke Universiti al-Azhar. Di sana beliau menggondol kejayaan yang membanggakan keluarganya dan masyarakat, iaitu memperoleh ijazah tertinggi dari universiti tersebut. Sebenarnya al-Marbawi merupakan anak kelahiran Perak yang pertama meneroka pengajian Islam di Mesir.

Sebagai angkatan pertama yang baru mengenal suasana di sana, al-Marbawi mendapati masalah komunikasi dengan bahasa Arab menjadi masalah utama dan paling besar di kalangan anak Melayu. Bermula dari sinilah timbul idea untuk menyusun sebuah kamus Arab-Melayu dan usaha tersebut telah dimulakan secara kolektif bersama lima orang lagi rakannya. Tetapi usaha tersebut terpaksa disiapkan bersendirian lantaran penarikan diri rakan-rakannya. Walaupun bersendirian, beliau nekad untuk menyudahkan kamus tersebut.

Keringat, keazaman, dan kesabaran al-Marbawi terbalas juga apabila kamus tersebut berjaya disudahi pada tahun 1927. Kamus itu diulang cetak puluhan kali kerana sambutan yang amat menggalakkan di kalangan pelajar Asia Tenggara. Kejayaan menyusun kamus ini telah menjadi langkah pertama kepada al-Marbawi untuk mengorak langkah seterusnya dalam penghasilan karya Islam yang lain.

Amat perlu dinyatakan bahawa beliau sebenarnya tidak membataskan diri dan kesarjanaannya hanya dalam bidang bahasa semata-mata bahkan, beliau mendalami pelbagai ilmu Islam. Beliau juga menghasilkan puluhan karya dalam bidang tersebut. Ada antara karya beliau diterbitkan dan terdapat juga yang masih dalam bentuk manuskrip.

Karya-karya beliau yang dihasilkan - melebihi 20 buah karya - dalam pelbagai disiplin ilmu ini membuktikan ketajaman pemikiran, kedalaman ufuk ijtihad, dan kewibawaan beliau dalam pengajian ilmu-ilmu Islam.

Walau bagaimanapun, kemasyhurannya lebih ditonjolkan dalam dunia persuratan Arab-Melayu berbanding kepakaran lain. Apatah lagi, beliau pernah dianugerahi ijazah Kehormatan Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1980. Pada enam tahun berikutnya beliau dinobatkan sebagai tokoh Maal Hijrah Malaysia yang pertama iaitu pada tahun 1408 Hijrah. Kedua-dua anugerah yang diterima ini sebagai mengenang jasa yang dituang oleh beliau dalam bidang persuratan Arab-Melayu dan ilmu Islam.

Selain kamus Arab-Melayu, al-Marbawi telah menghasilkan karya yang penting dalam bidang hadith. Antara tulisan beliau dalam bidang tersebut ialah Bahr al-Madhi yang merupakan ringkasan dan ulasan kepada sunan al-Tirmizi. Selain itu kitab terjemahan sahih al-Bukhari, kupasan kitab Bulugh al-Maram, dan karya berjudul Idaman Guru merupakan tulisan yang mengupas mengenai hadith-hadith sahih al-Bukhari dan Muslim.

Kitab Bahr al-Madhi merupakan salah satu sumbangan terpenting beliau dalam pengajian Hadith di Malaysia. Bahr al-Madhi ialah kitab hadith bertulisan jawi terbesar dan antara yang terawal pernah wujud di alam Melayu. Karya ini amat padat dan mendalam, bahkan dikatakan telah menampung kekosongan karya asli dalam bidang ilmu hadith di rantau ini. Karya ini memuatkan ulasan dan huraian hadith dalam bentuk Fikah, aqidah, tasawuf, dan muamalat.

Kelainan dan keistimewaan kitab ini amat jelas, apatah lagi ulasan al-Marbawi mengikut acuan dan warna masyarakat Malaysia. Karya ini memberi nafas baru kepada pemahaman hadith-fiqh secara mendalam di samping mendidik masyarakat Malaysia tentang perhubungan intim kedua-duanya. Hadith ialah asas kepada bidang ilmu Islam yang lain.

Al-Marbawi juga turut menterjemahkan kitab Bulugh al-Maram iaitu sebuah karya hadith yang disusun berdasarkan bidang Fiqh oleh seorang tokoh Hadith ternama iaitu Ibn Hajar al-Asqalany ke dalam bahasa Melayu. Dua karya dalam bidang hadith berbahasa Melayu ini ialah antara karya yang penting, sulung, dan terbesar pernah dihasilkan oleh seorang ulama’ Nusantara.

Dalam bidang Tafsir al-Quran pula, beliau telah menulis tafsir Surah Yasin, Tafsir al-Quran al-Marbawi, Tafsir al-Quran Nur al-Yakin, Terjemahan Tafsir Fath al-Qadir, Tafsir Juz Amma, Tafsir Al-Fatihah, dan sebuah karya berjudul Quran Bergantung Makna.

Selain dua bidang tersebut al-Marbawi juga telah menghasilkan tulisannya dalam bidang Fiqh, aqidah, dan Falsafah. Antara tulisan beliau ialah kitab Asas Islam, Kitab Nizam al-Hayah, Kitab Pati Hukum-hukum Ibadah, Kitab Usul Islam Pada Membicarakan Mengambil Air Sembahyang, sebuah ensiklopedia yang dinamakan sebagai Kamus Segala Ilmu, Karya berjudul Punca Agama, Perbendaharaan Ilmu, dan banyak lagi.

Terdapat banyak lagi tulisan beliau dalam bentuk manuskrip yang belum sampai kepada kita. Keperibadian, kewibawaan, dan kesarjanaan al-Marbawi telah menjadikan beliau salah seorang tokoh Islam yang ulung di Rantau ini. Walaupun sebahagian besar usia dan masanya dihabiskan di luar negara tetapi jasa beliau kepada anak bangsa tidak ternilai besarnya.

Sepanjang hayatnya, al-Marbawi membuktikan betapa perlunya seseorang anak bangsa memberikan sumbangannya kepada bangsa, agama, dan negaranya. Beliau telah mengabdikan dirinya sebagai seorang penulis Ilmu Islam yang tidak pernah mengenal erti kerehatan.

Pada tanggal 13 Oktober 1989 bersamaan 13 Rabiul Awal 1409 Hijrah, al-Marbawi menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Besar Ipoh pada jam 8.40 pagi. Pemergiannya pada usia 96 tahun itu semestinya di samping anak cucu tercinta. Jenazahnya telah disemadikan di pusara Kampung Lubuk Merbau, kampung keluarganya.

Thursday, August 11, 2005

SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH

SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH - Bukti Islam tidak mengguna kekerasan

Pagi 22 April 1452 bersamaan dengan 852 Hijrah, penduduk Constantinople dikejutkan dengan laungan takbir, paluan gendang, dan nasyid. Demikian gema kemenangan tentera Sultan Muhammad al-Fateh. Sekali gus gema itu seolah-olah satu serangan psikologi kepada penduduk kota berkenaan. Penduduk Constantinople seperti tidak percaya kekuatan tentara Muhammad al-Fateh. Tidak dapat dibayangkan, bagaimana tembok setebal 4 lapis, setinggi 25 kaki, dan sejauh 160 kaki itu berjaya ditembusi oleh tentera Muhammad al-Fateh?

Suatu yang menakjubkan, tentera Sultan Muhammad al-Fateh telah membawa kapal-kapalnya masuk ke perairan Tanjung Emas merentasi bukit melalui jalan darat! Taktik peperangan seperti ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana tentera sebelum ini. Tentera Uthmaniah dengan semangat dan kekuatan yang luar biasa telah berjaya menarik 70 kapal dari Selat Bosphorus ke Tanjung Emas. Tiada siapa yang dapat membayangkan bagaimana semua itu boleh berlaku hanya pada satu malam. Sedangkan mereka terpaksa melalui bukit yang begitu tinggi dengan jarak yang melebihi tiga batu. Sebahagian mereka menyangka bahawa tentera al-Fateh mendapat bantuan jin dan syaitan!

Siapakah sebenarnya Sultan Muhammad al-Fateh ini? Beliau ialah sultan ketujuh Khilafah Islamiah Othmaniyah. Beliaulah pembuka kota Constantinople atau yang dikenali hari ini sebagai Istanbul. Ketika itu beliau baru menjangkau usia 26 tahun. Peperangan yang maha hebat itu memakan masa selama 54 hari. Keadaan inilah yang pernah dibayangkan oleh baginda s.a.w. ketika dalam perang Khandak. Antara lain baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Constantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik pemimpin ialah ketuanya dan sebaik-baik tentera ialah tenteranya.”

Sultan Muhammad al-Fateh ialah salah seorang daripada tokoh pemimpin kerajaan Islam yang masyhur tercatat dalam sejarah dunia. Beliau bukan sahaja hebat sebagai pemimpin malah nama beliau sebagai panglima perang, dikenali di benua Eropah. Mendengar namanya sahaja sudah mengundang gementar di hati musuh-musuhnya walaupun ketika itu beliau sudah 10 tahun meninggal dunia. Beliaulah pemerintah Islam pertama mendapat gelaran yang diberikan oleh Barat sebagai “Grand Seigneur” yang bermaksud pemimpin agung.

Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 26 Rejab 833 hijrah bersamaan 20 April 1429 Masihi dan dibesarkan di Adirnah. Ayahnya, Sultan Murad II merupakan salah seorang pemimpin yang hebat dan tokoh pemerintah kerajaan Othmaniyah yang masyhur. Ibunya dikatakan seorang puteri raja berketurunan Nasrani.

Ketika ayahnya menjadi sultan, beliau dilantik menjadi gabenor di Magnisa. Setelah kematian ayahnya, Sultan Muhammad al-Fateh dilantik menjadi pemimpin kerajaan Uthmaniah iaitu pada bulan Februari 1451. Dengan pelantikan ini bermakna beliau merupakan seorang pemimpin termuda yang pernah dilantik. Walaupun baru berusia 22 tahun, beliau berjaya membawa kecemerlangan dalam pemerintahannya.

Kekuatan Sultan Muhammad al-Fateh banyak terletak pada ketinggian peribadinya. Hal ini demikian kerana ketika usianya kecil lagi sudah diajar menunggang kuda, memanah, dan menggunakan pedang. Namun didikan rohani mendapat perhatian serius dan dorongan penuh daripada ayahnya. Beliau telah ditarbiah secara intensif oleh para ulama terulung antaranya ialah al-Syeikh Muhammad bin Ismail al-Kurani. Beliau mengajar Sultan Muhammad al-Fateh ilmu-ilmu asas iaitu al-Quran, al-Hadith, fiqh, linguistik (bahasa Arab, Parsi, dan Turki), dan juga ilmu kemahiran yang lain. Melalui tarbiah yang teliti dan penuh terhormat, tidak hairanlah lahir peribadi yang unggul seperti Sultan Muhammad al-Fateh.

Sultan Muhammad al-Fateh banyak meneliti dan meninjau usaha ayahnya menawan Constantinople. Beliau sering mengikuti ayahnya ke medan peperangan. Sebab itu ketika menaiki takhta pada tahun 855H/1451M, beliau telah mula berfikir dan menyusun strategi untuk menawan kota berkenaan. Dalam hal ini, beliau banyak mengkaji sejarah Islam zaman Muawiyah bin Abi Sufian r.a. Waktu itu telah ada usaha-usaha yang dibuat ke arah menawan Constantinople. Usaha pertama yang pernah disusun adalah pada tahun 44 Hijrah, walau bagaimanapun usaha berkenaan gagal. Abu Ayyub al-Ansari yang merupakan salah seorang sahabat nabi, syahid di medan perjuangan itu.

Setelah kemenangan tentera Sultan Muhammad al-Fateh menawan Constantinople, beliau telah memerintahkan tenteranya mencari kawasan perkuburan Abu Ayyub al-Ansari. Padanya, Abu Ayyub perlu disempurnakan jenazahnya sebagai seorang sahabat nabi. Setelah ditemui, Sultan Muhammad al-Fateh meminta supaya kuburnya digali dan dipindahkan ke tempat yang lebih baik.

Setelah digali, akhirnya mereka menemui bahagian kakinya terlebih dahulu. Di sini Sultan Muhammad al-Fateh memerintahkan seluruh rakyatnya mencium kaki Abu Ayyub al-Ansari yang fizikalnya masih segar itu. Walau bagaimanapun, beliau gagal menciumnya kerana tatkala hendak mencium tiba-tiba sahaja kaki itu tertarik semula ke dalam tanah. Kejadian itu berlaku berturut-turut sebanyak tiga kali. Pada malam itu, Sultan Muhammad al-Fateh bermimpi bertemu dengan Abu Ayyub al-Ansari. Abu Ayyub al-Ansari menjelaskan bahawa kejadian itu berlaku disebabkan rasa malu dan hormat kepada Sultan Muhammad al-Fateh. Padanya, tidak layak orang yang telah berjaya menawan Kota Constantinople mencium kakinya.

Selain itu, beliau banyak mengkaji dan mempelajari pengalaman Rasulullah s.a.w. dalam peperangan. Malah semangat kepahlawanan dan pengorbanan panglima perang Islam dahulu, banyak mempengaruhi jiwanya. Namun, Sultan Muhammad al-Fateh mewarisi sifat keberanian, kegagahan, kesabaran, dan semangat tidak putus asa ayahnya. Bahkan beliau juga mewarisi pengetahuan yang luas serta berkemahiran dalam menyusun strategi peperangan.

Di sini ternafilah tohmahan golongan orientalis Barat dan musuh-musuh Islam bahawa beliau menegakkan Islam dengan kekerasan. Walhal mata pedang digunakan sebagai jalan terakhir. Tujuan orientalis itu hanyalah untuk mengelirukan masyarakat terhadap Islam. Dr. Abd. Salam bin Abd Aziz dalam bukunya yang bertajuk Sultan Muhammad al-Fateh Pembuka Constantinople Menundukkan Rom, menjelaskan bahawa Sultan Muhammad al-Fateh memiliki keyakinan diri yang kuat. Selain itu, dia juga mempunyai pandangan jauh serta kepintaran yang tinggi. Malah Sultan Muhammad al-Fateh mampu menghadapi tekanan, keperitan, dan bebanan yang dihadapinya. Beliau seorang pemuda yang warak. Malah, jarang sekali beliau menunaikan solat, melainkan di masjid.

Sultan Muhammad al-Fateh digambarkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat. Beliau lebih mengutamakan urusan negara dan masyarakat mengatasi kepentingan diri. Pada masa yang sama, beliau sering mendampingi ulama-ulama dan ilmuwan. Kedudukannya sebagai Sultan tidak menghalang minatnya untuk terus menimba ilmu dan pengalaman. Kehidupan beliau sebagai pemimpin digambarkan cukup sederhana. Malah beliau sangat memusuhi pembaziran. Oleh sebab itu, hidangan makanan dan cara berpakaiannya tidak terikat dengan peraturan-peraturan istana.

Selain kejayaan dalam bidang ketenteraan dan penaklukan wilayah, Sultan Muhammad al-Fateh juga berjasa dalam mengembangkan dakwah Islam ke benua Eropah. Melalui akhlak dan keperibadian beliau, ramai yang tertarik dan memeluk Islam. Hal ini berlaku pada hari kemenangan tenteranya, iaitu apabila beliau telah mengampunkan penduduk Kristian Kota Constantinople. Dengan sikap toleransi yang ditunjukkan itu, menyebabkan ada dalam kalangan paderi terus menyatakan keislaman mereka.

Sepanjang pemerintahannya, beliau tidak lupa membangunkan aspek fizikal dan rohani rakyatnya. Beliau telah membina Masjid al-Fath yang terkenal dengan gelaran Blue Mosque. Selain itu, beliau juga telah memulihkan semula peranan Masjid Aya Sofia sebagai mercu dan syiar Islam di Turki. Sultan Muhammad al-Fath meninggal dunia pada bulan Mei 1481 dan jenazahnya dikebumikan di Kota Constantinople.

Sumayyah - Syahid Islam yang pertama

Kafilah dari Yaman itu sudah seharian berjalan merentasi padang pasir untuk ke Mekah. Banyak barang dagangan yang dibawa untuk urusan niaga di Kaabah yang terkenal. Tiga beradik dari Bani Qahtan, al-Haris, Malik dan Yasir turut berada dalam kafilah tersebut. Mereka tiada niat untuk berdagang tetapi mahu mencari seorang saudara yang hilang. Jauh di sudut hati mereka berharap untuk bertemu saudara yang hilang itu di Mekah kerana kota itu terkenal sebagai tempat pertemuan semua kaum Arab.

Kedatangan kafilah dagang itu disambut meriah oleh penduduk Quraisy Mekah. Tiga beradik itu pun berpisah dari kafilah. Mereka meneroka seluruh kota Mekah untuk mencari saudara yang hilang. Yasir yang tajam pengamatan terpesona dengan kemakmuran Mekah. Saudara yang dicari tidak ditemui, sebaliknya dia mengambil keputusan untuk menetap di sana. Berpisahlah anak muda itu daripada dua orang saudaranya apabila mereka mengambil keputusan untuk balik semula ke Yaman.

Yasir sebatang kara di Mekah. Corak masyarakat Mekah yang mengamalkan gaya hidup kesukuan begitu mencabar bagi anak dagang sepertinya. Di Tanah Arab ketika itu, hanya yang kuat mendapat tempat dan yang miskin akan dihambai. Yasir terpaksa meminta perlindungan daripada suku Bani Makhzum dan hidup di bawah naungan orang kaya, Abu Huzaifah al-Mughirah.

Lama hidup bertuankan Abu Huzaifah, Yasir dikahwinkan dengan seorang hamba perempuan milik tuannya itu, bernama Sumayyah Khayyat. Pasangan ini hidup bahagia dan beroleh dua cahaya mata lelaki, Ammar dan Ubaidillah. Masa berlalu. Usia anak-anak menginjak dewasa. Pasangan Yasir dan Sumayyah juga semakin tua.

Ketika inilah Islam menampakkan sinar di kota Mekah. Agama yang dibawa oleh al-Amin Muhammad s.a.w ini menarik perhatian seluruh isi kota. Bagi masyarakat bangsawan Quraisy yang menyembah Lata dan Uzza (nama berhala sembahan), kemunculan agama baru adalah pengkhianatan kepada tradisi nenek moyang. Namun bagi masyarakat kelas bawahan, Islam adalah dimensi baru bagi mereka kerana agama itu antaranya, menyeru kepada mengesakan Yang Satu dan menolak perbezaan kelas.

Ammar antara orang yang tertarik kepada ajaran itu. Dia mengumpul banyak pemikiran baru mengenai agama yang menjadi bualan ramai di kota. Perasaan ingin tahu menarik pemuda itu ke rumah al-Arqam, yang menjadi markas Rasulullah menyampaikan dakwah. Dia mengetepikan rasa bimbang jika langkahnya dijejaki oleh orang Quraisy. Ajaran Rasulullah benar-benar berkesan dan sebaik-baik melangkah keluar dari rumah al-Arqam, Ammar sudah menjadi seorang muslim!

Pemuda itu kembali ke rumah dengan dada lapang. Dia menceritakan kepada ibu bapanya mengenai pengalaman hebatnya itu. Dia berdakwah pula kepada mereka mengenai erti Islam dan mengajak orang tua itu mengikut jejak langkahnya. Akhirnya Yasir dan Sumayyah bersetuju dan kedua-duanya memeluk Islam.

Bermulalah lembaran baru dalam hidup Yasir dan Sumayyah. Sumayyah adalah orang ketujuh yang memeluk Islam. Berada dalam naungan Islam, dia merasakan kelazatan iman dan kekuatan pegangan. Mereka sekeluarga sedar risiko jika hal itu diketahui oleh suku Bani Makhzum. Tetapi mereka tidak takut, sebaliknya terang-terangan mengumumkan pengislaman mereka.

Suku Bani Makhzum menerima berita itu dengan perasaan terperanjat dan marah. Sumayyah sekeluarga ditangkap dan diseksa. Mereka dijemur di padang pasir yang panas menyengat. Sumayyah diletakkan batu besar di dadanya. Dia dipaksa supaya keluar dari Islam dengan segera. Tetapi wanita itu tidak berganjak daripada keputusannya. Sebaliknya bibirnya teguh melafazkan kata-kata, “ahad, ahad, ahad...” (bermaksud Allah Yang Satu).

Rasulullah sendiri pernah melintasi tempat Sumayyah sekeluarga diseksa. Baginda begitu bersimpati. Ramai juga kalangan orang kota yang bersimpati tetapi mereka tidak berani berbuat apa-apa kerana sudah diancam oleh suku Bani Makhzum. Tetapi Rasulullah selalu meniupkan semangat Sumayyah sekeluarga dengan berkata, “Bersabarlah wahai keluarga Yasir. Sesungguhnya janji kamu nanti adalah di syurga.”

Sumayyah mendengar seruan Rasulullah. Imannya semakin kuat dan yakin. Kewibawaannya terserlah. Dengan yakin dia membalas, “Aku bersaksi bahawa engkau adalah pesuruh Allah dan aku bersaksi bahawa janjimu benar.”

Namun Sumayyah hanya seorang wanita. Dalam usianya yang semakin lanjut, kekuatan tubuhnya tidak sekuat mana. Bagaimanapun ketabahannya untuk terus bertahan di tengah panas itu mengagumkan ramai orang. Sekali gus hal ini mencabar kesombongan suku Bani Makhzum. Menjadikan mereka lebih sakit hati dan benci.

Abu Jahal datang menunjukkan wajah angkuhnya di hadapan Sumayyah. Wanita tua itu dipujuk supaya menyerah kalah. Tetapi Sumayyah walaupun dalam tubuh yang tidak bermaya enggan berganjak daripada keputusannya. “Ahad, ahad, ahad...” kalimah itu terus meniti di bibir Sumayyah.

Ungkapan itu melukakan ego Abu Jahal dan menaikkan keberangannya. Dia hilang sabar lalu mencabut pedang bengkoknya dan menikam bahagian pangkal hati Sumayyah. Di situ juga Sumayyah terkorban. Dia menjadi orang pertama yang mati syahid pada zaman sebelum hijrah ketika agama Islam belum mendapat tempat di kalangan masyarakat Mekah. Selain itu, suaminya Yasir juga terkorban.

Penderitaan Sumayyah dikenang seluruh masyarakat Islam. Dia dianggap simbol pengorbanan orang Islam yang tidak gentar kepada ugutan dan kematian kerana menegakkan Islam. Hari demi hari, Islam semakin diterima ramai. Penghijrahan orang Islam ke Yathrib (Madinah) membuka era baru dalam dakwah Rasulullah. Umat Islam semakin kuat dan dalam Perang Badar, pembunuh Sumayyah iaitu Abu Jahal menemui maut. Rasulullah menemui Ammar dan berkata kepada anak muda itu, “Allah telah membunuh si pembunuh ibumu...” Ammar sebak tetapi dia tahu ibunya pasti selamat di syurga.

************************************

Tajuk: Sumayyah

Album: Jalan Bahagia
Kumpulan: Hijjaz

Dalam diri selembut sutra
Kau memiliki iman yang teguh
Kau nyalakan obor agama diri-mu bak lentra
dibelengu jahiliah kau tempuh dengan berani
Walau pun jasad-mu milik tuan Tetapi hati-mu milik Tuhan
Padang pasir menjadi saksi ketabahan keluarga itu
Tika suami dan anak dibaring mengadap mentari
Disuruh memilih iman atau kekufuran
Samar jahiliah atau sinaran akidah
Sabarlah keluarga Yasir
Bagi-mu syurga disana
Dan kau pun tega memilih syurga
Walau terpaksa mengorban nyawa
Lalu tombak yang tajam menikam Jasad-mu yang tiada bermaya
Namun iman didada-mu sedikit tidak berubah
Darah-Mu menjadi sumbu pelita iman
Sumaiyah kaulah lambang wanita solehah
Tangan yang disangka lembut menghayun buaian
Mengoncang dunia mencipta sejarah
Sumaiyah kau dibunuh didunia sementara
Untuk hidup disyurga yang selama-lamanya
Kaulah wanita terbaik Sebaik manusia
Nama-mu tetap menjadi sejarah

Sultan Omar Ali Saifuddien



Sultan Omar Ali Saifuddien - Pengasas Brunei Darussalam sebagai negara Islam

SULTAN Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien ialah pejuang kemerdekaan Negara Brunei Darussalam. Baginda berjaya meletakkan negara itu sebagai Wilayah Melayu tulen, berdaulat, dan merdeka berlandaskan ajaran Islam. Baginda yang lahir pada tahun 1914 memerintah Brunei sejak 4 Jun 1950. Tetapi demi memperjuangkan kesejahteraan rakyat, baginda turun takhta pada 4 Oktober 1967. Takhta kerajaan Negara Brunei Darussalam kemudiannya diserahkan kepada anakanda baginda sebagai pengganti yang sah.

Mengimbas kembali sewaktu pemerintahannya, Baginda Sultan Haji Omar Ali Saifuddien telah berusaha membentuk perlembagaan negara dengan menggunakan pakar dalam dan luar negara. Dalam hal ini, baginda sendiri banyak memberikan buah fikiran dan fakta sehingga perlembagaan negara diterima.

Sebelum itu baginda juga turut merintis pertemuan demi pertemuan dengan kerajaan Inggeris bagi memerdekakan Negara Brunei Darussalam. Baginda yang bijak dan fasih berbahasa Inggeris dapat memahami undang-undang pentadbiran serta tatacara perundangan antarabangsa. Faktor ini menjadikan proses rundingan menjadi lebih mudah. Kehebatan baginda menguasai bahasa Inggeris ialah sewaktu mendapat pendidikan di Malay College, Kuala Kangsar (1932-1936). Penguasaan ini menjadi asas yang kukuh bagi baginda merencana serta membangunkan perlembagaan Negara Brunei Darussalam. Apatah lagi ketika baginda menjadi Pengiran Bendahara yang terlibat secara langsung dalam pentadbiran.

Walau bagaimanapun kemerdekaan negara dicapai sepenuhnya pada 1 Januari 1984 yang pengistiharannya berlaku di Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan. Permasyhuran kemerdekaan telah dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Baginda Seri Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzuddien Waddaulah pada hari yang penuh sejarah itu.

Waktu itu Sultan Haji Omar Ali Saifuddien berperanan memimpin seruan “Allahu Akhbar” sebanyak tiga kali. Seruannya disambut oleh seluruh rakyat Negara Brunei Darussalam dalam suasana gilang-gemilang. Selesai titah permasyhuran itu Baginda Sultan telah mengisytiharkan nama menteri-menteri kabinet negara. Pada masa yang sama baginda yang bergelar Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Maulana Al-Sultan Sir Omar Ali Saifuddien diangkat menjadi Menteri Pertahanan yang pertama. Baginda memegang jawatan itu hingga ke akhir hayatnya.

Semasa memegang jawatan Pengiran Bendahara, Baginda bukan sahaja dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan tetapi juga menjadi Pengerusi Mahkamah Syariah. Oleh yang demikian, baginda sentiasa menemui rakyat bagi memastikan kesejahteraan dan keharmonian. Baginda sering melawat kawasan kampung serta menyuburkan kemakmuran surau dan masjid supaya kehidupan rakyat sentiasa mempunyai keyakinan serta matlamat dunia dan akhirat.

Sewaktu menjadi Sultan dan Yang DiPertuan Negara dahulu pun, baginda berangkat mencemar duli ke kampung-kampung untuk bersembahyang Jumaat bersama rakyat jelata. Bahkan baginda pernah menjadi Imam dan berkhutbah. Usaha-usaha baginda mendekati rakyat dalam mentadbir negara, dapat menyatukan keyakinan seluruh rakyat. Sikap baginda yang berpegang teguh kepada agama telah menjadi landasan yang kukuh untuk memartabatkan negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Melayu tulen, berdaulat, dan merdeka.

Baginda bukan hanya menghafal akan zikir-zikir yang dibawa, tetapi sangat arif akan lagu-lagu pada setiap zikir. Baginda cukup mahir tentang zikir serta lagu yang hendak dibawa mengikut keadaan. Malah baginda dapat menghafal zikir-zikir serta lenggang-lenggok melodinya dengan mudah.

Kebolehan baginda itu ada kaitan dengan perwatakan baginda sebagai sasterawan dan penyair istana yang berjiwa rakyat. Lazimnya, selepas sembahyang Isyak secara berjemaah, baginda sering memahirkan diri dengan berzikir mendekati Allah S.W.T. bersama-sama Pehin-pehin dan para menterinya. Amalan ini menjadi tradisi kukuh rakyat Negara Brunei Darussalam.

Selain itu, baginda mempunyai daya ingatan yang sangat hebat. Hal ini terbukti apabila baginda mencemar duli menemui rakyat. Baginda dapat mengingati nama individu yang pernah datang mengadapnya. Hal ini disedari sejak baginda masih kecil lagi.

Sebelum berangkat melanjutkan pelajaran di Malay College Kuala Kangsar, baginda telah mendapat asuhan yang cukup sempurna di istana. Baginda bukan sahaja didedahkan dengan adat istiadat Melayu tetapi baginda juga telah melalui pendidikan Islam dengan mendalam. Baginda telah khatam al-Quran sebanyak 40 kali. Baginda mendapat ilmu agama dengan memahami segala hukum hakam daripada ramai guru. Guru-guru agama ini kemudiannya menjadi pakar rujuk kepada baginda dalam segala urusan yang berkaitan dengan agama Islam.

Suasana ini kemudiannya menjadikan baginda seorang alim dan disegani dalam bidang Islam. Kebijaksanaan yang ada pada baginda Sultan Haji Omar Ali Saifuddien menjadikan baginda sebagai seorang tokoh agama, sasterawan serta negarawan yang arif tentang pentadbiran dan adat istiadat. Keadaan ini telah meletakkan negaranya sebagai sebuah negara yang unggul. Baginda Sultan mengalakkan rakyatnya yang berkemampuan menunaikan fardhu haji ke Makkah. Pada tahun-tahun kesukaran perhubungan serta pengangkutan untuk ke Makkah, negara Brunei Darussalam tetap meriah menghantar rakyatnya ke Makkah. Sebuah kapal yang pernah digunakan untuk membawa jemaah haji ke Makkah masih teguh tersimpan biarpun kapal itu tidak lagi digunakan.

Musim haji menjadikan negara Brunei Darussalam meriah dengan sanak saudara mengucapkan selamat berangkat kepada bakal-bakal haji. Kawasan rumah bakal haji menjadi sibuk dengan aktiviti kenduri membaca doa selamat, zikir dengan selawat, dan salam. Suasana pada waktu itu meriah di pelabuhan kapal dengan selawat dan azan mengiringi kapal yang belayar. Suasana sedih dan gembira bercampur dengan doa yang mengiringi sebagai tanda penuh kesyukuran menggamit setiap orang.

Dengan ilmu dunia dan akhirat yang ampuh, baginda menghayati kehidupan rakyat dan memahami alam sekeliling. Berdasarkan pengamalan dan didikan di istana itu, baginda muncul sebagai seorang sasterawan dan penyair yang berwibawa. Dalam hal ini baginda telah menghasilkan 10 buah syair dalam tema ketuhanan, pendidikan, akhlak, kemanusiaan, dan adat negeri.

Antara syair-syair baginda ialah syair Nasihat, Rajang Hari, Rajang Jenaka, Perkakas Perkarangan, Perlembagan Negera Brunei (1960), Rampaian Laila syair (1966). Sementara Rampaian Laila Syair memuatkan pula syair Laila Hasrat, Laila Cinta, dan Laila Jenaka. Dua buah lagi syair yang lain ialah syair Asli Rajang Hari dan Kemerdekaan.

Melalui syair-syair inilah baginda memuatkan pengajaran, petunjuk, gagasan, dan makna kehidupan serta falsafah yang perlu dicernakan dan diamalkan untuk kesejahteraan hidup sebagai insan. Meneliti syair-syair yang baginda hasilkan, ternyata Sultan Haji Omar Saifuddien mempunyai pengetahuan bahasa yang tinggi serta kekuatan daya cipta unggul yang tiada ada taranya.

Demikianlah seorang sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam yang banyak berjasa. Perjuangan baginda menjadikannya sebagai Mahaguru pendidikan, sasterawan serta penyair terbilang, pentadbir, dan pemerintah yang cekap. Sikap sultan ini menjadi inspirasi dan aspirasi kesayangan rakyat dan tempat mereka berpayung dan menyatakan taat setia yang mutlak.

Makna kehidupan perjuangan baginda dapat disimpulkan sebagaimana kata pantun;
Halia itu tanam-tanaman,
Ke barat juga akan tumbuhnya,
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sungguhnya.

Sultan Haji Omar Saifuddien mangkat pada malam Isnin 7 September 1986 dan dimakamkan di Kubah Diraja, Bandar Seri Begawan pada 8 September 1986.

Syeikh Abdus Samad Al-Falembani


Syeikh Abdus Samad Al-Falembani - Ulama Ulung Rantau Melayu

ALAM Melayu mempunyai ramai ulama yang menyebarkan agama Islam sejak berabad-abad lamanya. Ulama-ulama silam ini menulis pelbagai kitab yang menjadi rujukan masyarakat hingga ke hari ini. Antara ulama silam yang menyumbangkan jasa kepada perkembangan Islam di Alam Melayu ialah Syeikh Abdus Samad Al-Falembani.


Syeikh Abdus Samad Al-Falembani mempunyai kaitan dengan sejarah kerajaan negeri Kedah pada zaman Sultan Muhammad Jiwa Zain Al-Adilin Muazzam Shah, Sultan Kedah ke-19 (1710 - 1778) dan zaman Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II atau Marhum Melaka, Sultan Kedah ke-22 (1804 - 1845). Ketika Sultan Abdullah Muazzam Shah, Sultan Kedah ke-17 (1698 - 1706) bersemayam di Kota Bukit Pinang, putera sulung baginda, Tunku Muhammad Jiwa meminta keizinan baginda untuk melanjutkan pelajaran agama di luar negeri.

Tunku Muhammad Jiwa secara sulit meninggalkan Kedah belayar ke Palembang dan di sana beliau berguru dengan Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani, ulama dan pendakwah yang berasal dari Yaman. Selepas tamat pengajiannya, beliau dibawa belayar ke Tanah Jawa dan seterusnya ke India. Setelah hampir enam tahun di perantauan, pada 1 Jamadil Akhir 1122 H (28 Julai 1710 M), Tunku Muhammad Jiwa meninggalkan India belayar ke Kedah dengan membawa gurunya, Syeikh Abdul Jalil.

Kepulangan Tunku Muhammad Jiwa amat dinanti-nantikan oleh para pembesar dan rakyat kerana takhta Kerajaan Kedah telah lama kosong kerana kemangkatan ayahandanya, Sultan Abdullah Muazzam Syah yang disusuli adindanya, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah I. Pada 26 Syaaban 1122 H (20 Oktober 1710 M), Tunku Muhammad Jiwa secara rasminya ditabalkan menjadi Sultan Kedah ke-19 di Istana Kota Bukit Pinang dan baginda memerintah sehingga tahun 1798 M.

Sultan Muhammad Jiwa telah melantik Syeikh Abdul Jalil sebagai Mufti Kerajaan Kedah dan beliau berkhidmat sehingga tahun 1782 M. Di Kedah, Syeikh Abdul Jalil berkahwin dengan Wan Zainab, anak seorang pembesar Kedah bergelar Datuk Maharaja Putera Dewa dan mempunyai dua orang anak iaitu Wan Abdul Qadir (yang kemudiannya menjadi Mufti Kerajaan Kedah) dan Wan Abdullah (yang memangku gelaran Seri Maharaja Putera Dewa).

Ketika Syeikh Abdul Jalil pulang ke Palembang menziarahi bekas anak-anak muridnya, beliau berkahwin pula dengan Radin Ranti dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan anak lelaki yang diberi nama Abdus Samad, yang lebih dikenali sebagai Syeikh Abdus Samad Al-Falembani. Walau bagaimanapun, pelbagai versi menyebut tentang nama bapa Syeikh Abdus Samad Al-Falembani iaitu Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani, Faqih Husein al-Falimbani, Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani, dan Syeikh Abdullah al-Jawi al-Falimbani. Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah misalnya menyebut bahawa Syeikh Abdus Shamad Al-Falimbani bin Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani.

Dalam Bulughul Maram, karya Syeikh Muhammad Yasin Padang, beliau menyebut Syeikh Abdus Samad Al-Falimbani bin Abdur Rahman bin Abdullah bin Ahmad al-Falimbani dan Syeikh Abdus Shamad bin Abdur Rahman bin Abdul Jalil al-Falimbani. Tahun kelahiran Syeikh Abdus Samad Al-Falembani juga tidak dapat dipastikan dengan tepat.

Kita tinggalkan tentang perbezaan pendapat berhubung nama ayah dan ketidakpastian tahun kelahiran Syeikh Abdus Samad Al-Falembani dan susuri pendidikan tokoh ulama ini. Menurut Wan Muhammad Shaghir Abdullah, apabila Syeikh Abdul Jalil pulang semula ke Kedah, beliau membawa bersama anaknya, Abdus Samad. Anak-anaknya diajar ilmu-ilmu dasar keislaman sebelum menghantar mereka memasuki salah sebuah pondok yang terkenal di Pattani ketika itu. Walau bagaimanapun, tidak dapat dikenal pasti siapakah guru-guru mereka dan pondok manakah yang mereka masuki, sama ada Bendang Gucil, Kerisik, Kuala Bekah atau Semala.

Selepas mendapat pendidikan di Pattani, Syeikh Abdul Jalil menghantar anak-anak beliau ke Tanah Suci Makkah untuk mendalami pengajian mereka. Abdus Samad terus menetap di sana, manakala saudaranya, Syeikh Wan Abdul Qadir yang pulang lebih awal ke negeri Kedah telah dilantik sebagai mufti pada zaman Sultan Abdullah Mukarram Syah, Sultan Kedah ke-20 (1778 - 1797) dan Sultan Tajuddin Halim Syah II, Sultan Kedah ke-22 (1804 - 1845). Sementara itu, adinda Syeikh Wan Abdul Qadir, Wan Abdullah pula dilantik sebagai salah seorang pembesar negeri Kedah.

Selama 30 tahun Syeikh Abdus Samad menetap di Makkah, antara rakan sepengajiannya ialah Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, penyusun kitab Sabilul Muhtadin dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang terlibat dalam penulisan kitab-kitab Jawi atau Melayu. Selain Makkah, Syeikh Abdus Samad juga menetap di Madinah selama 5 tahun. Selain Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, kawan-kawan lain Syeikh Abdus Samad ialah Syeikh Abdul Wahab Pangkajena (Sidenreng Daeng Bunga Wardiah) Bugis, Syeikh Abdur Rahman al-Masri, Syeikh Muhammad Nafi s al-Banjari, dan Syeikh Muhammad Ali Aceh.

Tentang gurunya pula, Syeikh Abdus Samad, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pernah belajar kepada Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaludin Aceh, penyusun kitab Bidayatul Hidayah mengenai tauhid dalam bahasa Melayu.

Menurut Syeikh Yasin Padang pula, Syeikh Abdus Samad menerima hampir semua ilmunya daripada al-Mu`ammar `Aqib bin Hasanuddin bin Ja`afar al-Falimbani (Syeikh Muhammad `Aqib bin Hasanuddin bin Ja`afar bin Muhammad bin Badruddin al-Falimbani). Walau bagaimanapun, menurut Syeikh Muhammad Azhari ibnu Abdullah al-Jawi al-Falimbani, Syeikh Muhammad Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani adalah murid Syeikh Abdus Samad.#Dalam hal ini, Ustaz Wan Muhammad Shaghir Abdullah berpendapat bahawa sumber daripada Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani lebih dapat dipegang kerana pertama, zaman Syeikh Muhammad Azhari masih terlalu dekat dengan zaman Syeikh Abdus Samad; kedua, salasilah yang dibicarakan adalah melibatkan Syeikh Muhammad Azhari sendiri selaku cucu murid dalam Tarekat Samaniyyah yang diamalkan oleh Syeikh Abdus Samad; dan ketiga, sama-sama berasal dari Palembang dan sewaktu Syeikh Muhammad Azhari belajar di Mekah seakan-akan dalam lingkungan satu kekeluargaan dengan kewarisan Syeikh Abdus Samad.

Dinyatakan juga bahawa Syeikh Abdus Samad dan Syeikh Muhammad `Aqib pernah berguru dengan Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi, Syeikhul Islam dan Imam Haramain pada zaman itu dan Syeikh `Athaullah, dari Mesir. Syeikh Abdus Samad juga pengikut sufi yang telah menerima Tarekat Samaniyyah daripada gurunya Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Saman al-Madani (Syeikh Saman). Tarekat ini diterima ketika beliau menetap di Madinah.

Sebenarnya Syeikh Abdus Samad menuntut ilmu dengan ramai ulama seperti dalam karyanya Zahratul Murid, beliau menyebut beliau berguru dengan Syeikh Ahmad bin Abdul Munkim ad-Damanhuri. Syeikh Abdus Samad juga berguru dengan Syeikh Abdul Ghani al-Hilali, as-Sufi Saiyid Ahmad bin Muhammad Syarif Maqbul al-Ahdal (beliau belajar kitab Hadis Arbakin dan Riyadhus Salihin), asy-Syihab Ahmad bin Abdul Fattah al-Malawi (belajar kitab Umdatul Ahkam), dan Saiyid Abil Faidh Muhammad Murtadha bin Muhammad az-Zabidi (Zubaidi). Dengan Saiyid Abil Faidh Muhammad Murtadha bin Muhammad az-Zabidi, Syeikh Abdus Samad dan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari belajar kitab At-Taukid fi Haqqillah karya Syeikh al-Islam Muhammad bin Abdul Wahhab bin Sulaiman.

Dengan ramai guru yang beliau menuntut ilmu, tidak hairanlah Syeikh Abdus Samad berjaya menjadi ulama ulung yang kitab-kitab karangannya sehingga kini masih dirujuk. Zahratul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid adalah karya pertama Syeikh Abdus Samad. Kitab ini ditulis pada 1178 H/1764 M. Kitab ini merupakan catatan beliau ketika belajar ilmu tauhid dengan Syeikh Ahmad bin Abdul Munkim ad-Damanhuri di Makkah.

Selain itu, Syeikh Abdus Samad juga menulis kitab Hidayatus Salikin fi Suluki Maslakil Muttaqin. Kitab ini selesai ditulis di Makkah pada hari Selasa, 5 Muharam 1192 H. Sebahagian besar kitab ini adalah terjemahan daripada Bidayatul Hidayah, karangan Imam Ghazali. Kitab ini ditashihkan dan disebar secara meluas oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani dan ia juga adalah kitab Melayu/Jawi yang pertama sekali ditashih dan dicetak di Mesir.

Syeikh Abdus Samad juga menghasilkan kitab Siyarus Salikin ila Ibadati Rabbil Alamin atau judul lain ialah Siyarus Salikin fi Thariqah as-Sadat as-Sufiyah. Kandungan kitab tersebut sebahagian besarnya merupakan terjemahan Ihyaku Ulumid Din, karangan Imam Ghazali. Kitab Siyarus Salikin ini dianggap sebuah kitab Melayu/Jawi yang bernilai tinggi, bersifat ilmiah tasawuf yang cukup mantap. Kitab Siyarus Salikin karya Syeikh Abdus Samad ini terdiri daripada empat jilid.

Jilid pertama ditulis pada 1193 H/1779 M dan siap pada awal tahun 1194 H/1780 M di Mekah. Jilid kedua pula mulai ditulis pada 1194 H/1780 M dan selesai pada hari Sabtu, 19 Ramadan 1195. H/1781 di Taif. Pada tahun 1195 H/1781 M, jilid ketiga ditulis dan berjaya diselesaikan pada 19 Safar 1197 H/1783 M di Makkah. Walau bagaimanapun, untuk jilid keempat, Syeikh Abdus Samad tidak menyebut tahun ia mulai menulisnya, tetapi beliau selesai menulisnya pada 20 Ramadan 1203 H/1788 di Taif. Kitab ini kini telah ditahqiqkan oleh Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam An-Nadwi dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu serta diterbitkan dalam tulisan Rumi dan Jawi.

Kitab-kitab lain karya Syeikh Abdus Samad ialah al-`Urwatul Wutsqa WA Silsilatu Waliyil Atqa (terjemahan karya Syeikh Muhammad Saman yang ditulis dalam bahasa Arab), Ratib Syeikh Abdus Samad al-Falimbani, Nashihatul Muslimina wa Tazkiratul Mukminina fi Fadhailil Jihadi wa Karamatil Mujtahidina fi Sabilillah, Risalah Pada Menyatakan Sebab Yang Diharamkan Bagi Nikah (1179 H/1765 M), Ar-Risalatu fi Kaifi yati Ratib Lailatil Jumkah, Mulhiqun fi Bayanil Fawaidin Nafikah fi Jihadi fi Sabilillah, Zadul Muttaqin fi Tauhidi Rabbil 'Alamin, 'Ilmut Tasawuf, Mulkhishut Tuhbatil Mafdhah minar Rahmatil Mahdah 'Alaihis Shalatu wa Salam, Kitab Mikraj, dan Puisi Kemenangan Kedah. Kitab-kitab karangan Syeikh Abdus Samad ini boleh dimanfaatkan oleh umat Islam hari ini terutama sekali kitab seperti Siyarus Salikin yang telah ditahqiqkan oleh pihak-pihak yang peka dengan ilmu yang terkandung di dalamnya.

Yang menarik sekali tentang riwayat hidup Syeikh Abdus Samad ialah beliau dipercayai melibatkan diri dalam peperangan Kedah/Pattani melawan Siam yang membawa beliau mati syahid kerana mempertahankan tanah air. Walau bagaimanapun, terdapat percanggahan pendapat berhubung tarikh wafat Syeikh Abdus Samad sama ada beliau wafat pada 1244 H/1828 M atau 1254 H/1838 M.Sesungguhnya, Alam Melayu amat bertuah kerana mempunyai seorang ulama ulung seperti Syeikh Abdus Samad yang memperjuangkan agama Islam sama ada dalam bidang penulisan ataupun berjihad menentang golongan bukan Islam yang menjajah negeri.