Sunday, March 05, 2006

Tuan Hussein Kedah Al-Banjari - Berjuang Tidak Hirau Batasan Politik

Tahun 1810 Masihi, ketika Kedah sedang berperang dengan Siam, Haji Masoudi bersama ahli keluarga dan beberapa orang anak negerinya singgah di Kuala Kedah dalam perjalanan pulang ke Kalimantan dengan menaiki kapal layar, selepas menunaikan haji. Haji Masoudi dan rombongannya tidak berhajat untuk menetap lama di Kedah kerana kampung asal mereka di Mertapura, Banjar Masin, Kalimantan bagaikan melambai-lambai memanggil pulang, setelah berbulan-bulan di perantauan. Tetapi takdir Allah mengatasi perancangan manusia. Rombongan mereka ditahan oleh Pasukan Penyiasat Kedah. Bukan kerana mereka melakukan kesalahan yang melanggar undang-undang negeri, tetapi kerana tenaga Haji Masoudi diperlukan untuk menghadapi serangan Siam. Berita kehadiran Haji Masoudi disampaikan ke pengatahuan Raja Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin Shah. Baginda tertarik apabila diberitahu bahawa Haji Masoudi seorang alim yang warak dan handal dalam ilmu kerohanian. Baginda melantik Haji Masoudi sebagai salah seorang panglima untuk menghadapi ancaman Siam. Dalam peperangan itu, Siam menerima pukulan teruk di tangan angkatan perang Kedah yang turut dikepalai oleh haji Masoudi. Sejak itu, Haji Masoudi, yang merupakan cucu kepada Syeikh Muhammad Arshad al-Banjari iaitu seorang alim besar yang terkenal dengan kitab fekah karangannya, Sabilal Muhtadin, terus menetap di Kedah bersama ahli keluarganya. Daripada zuriat Haji Masoudi inilah lahirnya Tuan Hussein Kedah al-Banjari, atau nama sebenarnya Hussein bin Haji Muhammad Nasir, tokoh ulama yang menjadi pengasas enam buah pondok termasuk Madrasah al-Taufiqiah al-Khairiah (kemudian dikenali sebagai Pondok Pak Ya). Dengan 18 buah kitab karangannya, Tuan Hussein dikatakan ulama pondok yang paling banyak mengarang kitab, khususnya di Kedah. Tuan Hussein lahir di Titi Gajah, Kedah pada 20 Jamadilawal 1280H (1863M). Sejak kecil, Tuan Hussein mendapat asuhan ibunya Tengku Fatimah dan didikan agama daripada datuknya, Haji Mohd. Taib, seorang ulama terkenal di Kedah yang mengasas pondok pengajian agama di Titi Gajah sekitar tahun 1870M. Dalam lingkungan usianya 18 tahun, Tuan Hussein mendapat restu datuknya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Tuan Hussein berangkat ke Patani, negeri yang terkenal sebagai pusat penyebaran ilmu agama pada masa itu. Beliau menuntut dengan beberapa orang ulama terkemuka termasuk Tuan Samela, yang pernah menjadi guru datuknya, Haji Mohd Taib. Selepas itu, bagi mendalami ilmu dan meluaskan pengalaman, Tuan Hussein menghabiskan 10 tahun menjelajah ke merata negeri, bermula pada tahun 1299H (1881M). Negeri-negeri yang dijelajahinya ialah Kelantan, Terengganu, Singapura, Johor dan Melaka. Dari Melaka, beliau menaiki tongkang menyeberang Selat Melaka menuju Medan dan terus ke Acheh. Setelah setahun belajar di Acheh, beliau pulang ke Semenanjung dan mendarat di Melaka. Kemudian menuju ke Perak melalui jalan darat. Di Perak, Tun Hussein mengajar dan banyak menyelesaikan persoalan masyarakat berdasarkan hukum syarak. Di sinilah beliau mula terkenal dengan panggilan ‘Tuan Hussein’. Kemasyhurannya memikat hati Tok penghulu Abdul Wahab di Panjang Laut, Sitiawan, Perak yang menjodohkan Tuan Hussein dengan anaknya bernama Jaharah. Beberapa tahun kemudian, Tuan Hussein berkahwin pula dengan Siti Khadijah setelah Jaharah kembali ke rahmatullah kerana sakit bersalin anak kedua. Tidak berapa lama kemudian, Tuan Hussein bersama isteri pulang ke Titi Gajah untuk membantu datuknya yang sudah lanjut usia mengajar di pondoknya. Pada tahun 1314H (1896M), Tuan Hussein bertolak ke Mekah untuk melanjutkan pelajarannya, dan sempat belajar dengan Syeikh Nawawi Bentan, Tuan Ahmad Linga dan Syeikh Omar Sembawa. Beliau bersahabat rapat dengan Tok Kenali dan beberapa orang ulama Tanah Melayu lain yang bersama-sama di Mekah. Tuan Hussein belajar selama empat tahun di Mekah dan apabila pulang semula ke Titi Gajah, beliau berusaha selama dua tahun menyusun semula pondok peninggalan datuknya. Dalam masa yang sama, beliau membangunkan pondok di Alor Ganung kerana memenuhi permintaan masyarakat tempatan. Beberapa tahun kemudian, beliau berhijrah dan mengasas pondok pengajian di Bohor pula. Di Bohor, Tuan Hussein menetap selama 13 tahun. Itulang paling lama beliau menetap di satu-satu tempat dalam sejarah perjuangannya menuntut ilmu dan membangunkan pondok. Dalam tahun 1912M, Tuan Hussein berhijrah lagi untuk membangunkan pondok di Bagan Ulu, Pantai Merdeka. Selepas lebih kurang tujuh tahun di Pantai Merdeka, barulah beliau membangunkan pondok di Kampung Selengkoh, Sungai Limau. Pada tahun 1924M, Tuan Hussein mengasaskan Pondok al-Taufiqiah al-Hidayah di Batu 16, Padang Lumat (sekarang menjadi sekolah menengah agama dengan penuntutnya melebihi 3,000 orang di pelbagai peringkat pengajian). Beliau hanya sempat menetap selama empat tahun di Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai. Penghijrahan Tuan Hussein ke Pokok Sena itu berlaku disebabkan beliau diperintahkan keluar dari Kedah atas alasan melanggar beberapa peraturan atau undang-undang negeri. Penghijrahan itu mendorong Tuan Hussein membuka pondok keenam di Pokok Sena iaitu Madarasah al-Khairiah al-Islamiah. Madrasah ini yang kini masih hidup, sangat maju semasa di bawah pengendalian anaknya, Allahyarham Sohibul Fadhilah Tuan Guru Haji Ahmad. Allahyarham Haji Ahmad pernah berkata, “Prinsip Tuan Hussein membangunkan pondok ialah untuk mengembangkan ajaran Islam dan memudahkan bagi orang yang ingin mempelajarinya. Dengan sebab itu, kalau sudah didapati tempat itu telah ramai orang yang berpengetahuan agama maka ia akan berpindah ke tempat lain. Dengan sebab kebanyakan orang tidak tahu membaca dan menulis, maka dia akan berpindah ke tempat lain pula, begitulah seterusnya sehingga akhir hayatnya.” Tuan Hussein sangat tegas dalam melaksanakan disiplin pondok. Beliau akan memastikan anak-anak murid dan pengikut-pengikutnya tidak merokok, tidak menyanyi dan tidak bergaul bebas antara lelaki dan perempuan. Beliau memastikan murid-muridnya sembahyang berjemaah dan menghadiri kuliah yang ditetapkan. Malahan beliau menyusun kedudukan pondok-pondok lelaki, perempuan dan pondok-pondok kelamin dengan kemas sekali supaya terhindar daripada pergaulan bebas lelaki perempuan. Semua pelajar perempuan menutup aurat dan yang lelaki memakai kopiah putih. Tindakan terakhirnya dalam memastikan tatatertib pondoknya berjalan baik dengan merotan pelajar-pelajar yang tidak mematuhi peraturannya. Dalam kesibukan belajar dan mengajar, Tuan Hussein sempat mengarang 18 buah kitab tauhid, feqah dan tasawuf. Antara kitab-kitab karangannya ialah Hidayatul Sibyan, Hidayatul Fatah, Majmu’ Al La’i, Hidayatul Asfal, Tamrin Al Sibyan, Allamiat wal Afiat, Malaqis, Syar Al Akbar, Tafreh Al Sibyan, Hidayatul Mutafakkirin dan Usul Al Tauhid. Sebagai ulama dan pendakwah, prinsip hidup Tuan Hussein ialah berdakwah secara bebas untuk membetulkan akidah dan cara hidup manusia supaya bertepatan dengan kehendak Allah SWT. Dalam menjalankan peranan ini, beliau tidak menghiraukan batasan politik. Beliau menegur sesiapa saja yang melakukan mungkar di kalangan orang bawahan mahupun pihak atasan yang memegang kuasa dengan tegas, berani dan berterus-terang. Dalam kitabnya Bidayat al-Talibin, Tuan Hussein mengeluarkan sebuah hadis yang bermaksud; “Tiada ia takut membuat pekerjaan Allah Taala itu akan cela daripada orang yang mencelakan.” Tuan Hussein pernah menolak jawatan mufti yang ditawarkan oleh Sultan Kedah sebaik sahaja beliau pulang dari Mekah sekitar tahun 1318H. Beberapa tahun kemudian, Tuan Hussein ditawarkan pula jawatan Syeikhul Islam yang merupakan jawatan tertinggi dalam pentadbiran agama di negeri Kedah tetapi sekali lagi beliau menolak. Jawatan itu akhirnya disandang oleh Haji Wan Sulaiman. Selain khuatir tidak mampu menjalankan tanggungjawab dengan adil, Tuan Hussein sebenarnya memilih hidup bebas daripada terikat dengan jawatan rasmi. Dengan itu, Tuan Hussein menghabiskan usianya dengan berdakwah secara lisan dan tulisan serta mengajar ilmu secara terbuka dan khusus (buka pondok). Beliau disegani oleh kawan dan lawan bukan sahaja kerana ketinggian ilmunya tetapi juga kerana ketinggian akhlak dan kewibawaan mentadbir serta sifat kepimpinannya.

2 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum
Kalau tak silap saya cucu tok guru Tuan husein ni sekarang jadi tok guru jugak
Namanya ustazah Azizah bt Ahmad. Sekarang mengajar di pondok lanai Baling Kedah sudah berusia 77 tahun...

Cindai said...

Subhanallah......