Sunday, March 05, 2006

Syeikh Abdus Samad Al-Falembani - Ulama Ulung Rantau Melayu

ALAM Melayu mempunyai ramai ulama yang menyebarkan agama Islam sejak berabad-abad lamanya. Ulama-ulama silam ini menulis pelbagai kitab yang menjadi rujukan masyarakat hingga ke hari ini. Antara ulama silam yang menyumbangkan jasa kepada perkembangan Islam di Alam Melayu ialah Syeikh Abdus Samad Al-Falembani.Syeikh Abdus Samad Al-Falembani mempunyai kaitan dengan sejarah kerajaan negeri Kedah pada zaman Sultan Muhammad Jiwa Zain Al-Adilin Muazzam Shah, Sultan Kedah ke-19 (1710 - 1778) dan zaman Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II atau Marhum Melaka, Sultan Kedah ke-22 (1804 - 1845). Ketika Sultan Abdullah Muazzam Shah, Sultan Kedah ke-17 (1698 - 1706) bersemayam di Kota Bukit Pinang, putera sulung baginda, Tunku Muhammad Jiwa meminta keizinan baginda untuk melanjutkan pelajaran agama di luar negeri.Tunku Muhammad Jiwa secara sulit meninggalkan Kedah belayar ke Palembang dan di sana beliau berguru dengan Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani, ulama dan pendakwah yang berasal dari Yaman. Selepas tamat pengajiannya, beliau dibawa belayar ke Tanah Jawa dan seterusnya ke India. Setelah hampir enam tahun di perantauan, pada 1 Jamadil Akhir 1122 H (28 Julai 1710 M), Tunku Muhammad Jiwa meninggalkan India belayar ke Kedah dengan membawa gurunya, Syeikh Abdul Jalil.Kepulangan Tunku Muhammad Jiwa amat dinanti-nantikan oleh para pembesar dan rakyat kerana takhta Kerajaan Kedah telah lama kosong kerana kemangkatan ayahandanya, Sultan Abdullah Muazzam Syah yang disusuli adindanya, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah I. Pada 26 Syaaban 1122 H (20 Oktober 1710 M), Tunku Muhammad Jiwa secara rasminya ditabalkan menjadi Sultan Kedah ke-19 di Istana Kota Bukit Pinang dan baginda memerintah sehingga tahun 1798 M.Sultan Muhammad Jiwa telah melantik Syeikh Abdul Jalil sebagai Mufti Kerajaan Kedah dan beliau berkhidmat sehingga tahun 1782 M. Di Kedah, Syeikh Abdul Jalil berkahwin dengan Wan Zainab, anak seorang pembesar Kedah bergelar Datuk Maharaja Putera Dewa dan mempunyai dua orang anak iaitu Wan Abdul Qadir (yang kemudiannya menjadi Mufti Kerajaan Kedah) dan Wan Abdullah (yang memangku gelaran Seri Maharaja Putera Dewa).
Ketika Syeikh Abdul Jalil pulang ke Palembang menziarahi bekas anak-anak muridnya, beliau berkahwin pula dengan Radin Ranti dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan anak lelaki yang diberi nama Abdus Samad, yang lebih dikenali sebagai Syeikh Abdus Samad Al-Falembani. Walau bagaimanapun, pelbagai versi menyebut tentang nama bapa Syeikh Abdus Samad Al-Falembani iaitu Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani, Faqih Husein al-Falimbani, Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani, dan Syeikh Abdullah al-Jawi al-Falimbani. Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah misalnya menyebut bahawa Syeikh Abdus Shamad Al-Falimbani bin Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani.Dalam Bulughul Maram, karya Syeikh Muhammad Yasin Padang, beliau menyebut Syeikh Abdus Samad Al-Falimbani bin Abdur Rahman bin Abdullah bin Ahmad al-Falimbani dan Syeikh Abdus Shamad bin Abdur Rahman bin Abdul Jalil al-Falimbani. Tahun kelahiran Syeikh Abdus Samad Al-Falembani juga tidak dapat dipastikan dengan tepat.Kita tinggalkan tentang perbezaan pendapat berhubung nama ayah dan ketidakpastian tahun kelahiran Syeikh Abdus Samad Al-Falembani dan susuri pendidikan tokoh ulama ini. Menurut Wan Muhammad Shaghir Abdullah, apabila Syeikh Abdul Jalil pulang semula ke Kedah, beliau membawa bersama anaknya, Abdus Samad. Anak-anaknya diajar ilmu-ilmu dasar keislaman sebelum menghantar mereka memasuki salah sebuah pondok yang terkenal di Pattani ketika itu. Walau bagaimanapun, tidak dapat dikenal pasti siapakah guru-guru mereka dan pondok manakah yang mereka masuki, sama ada Bendang Gucil, Kerisik, Kuala Bekah atau Semala.Selepas mendapat pendidikan di Pattani, Syeikh Abdul Jalil menghantar anak-anak beliau ke Tanah Suci Makkah untuk mendalami pengajian mereka. Abdus Samad terus menetap di sana, manakala saudaranya, Syeikh Wan Abdul Qadir yang pulang lebih awal ke negeri Kedah telah dilantik sebagai mufti pada zaman Sultan Abdullah Mukarram Syah, Sultan Kedah ke-20 (1778 - 1797) dan Sultan Tajuddin Halim Syah II, Sultan Kedah ke-22 (1804 - 1845). Sementara itu, adinda Syeikh Wan Abdul Qadir, Wan Abdullah pula dilantik sebagai salah seorang pembesar negeri Kedah.Selama 30 tahun Syeikh Abdus Samad menetap di Makkah, antara rakan sepengajiannya ialah Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, penyusun kitab Sabilul Muhtadin dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang terlibat dalam penulisan kitab-kitab Jawi atau Melayu. Selain Makkah, Syeikh Abdus Samad juga menetap di Madinah selama 5 tahun. Selain Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, kawan-kawan lain Syeikh Abdus Samad ialah Syeikh Abdul Wahab Pangkajena (Sidenreng Daeng Bunga Wardiah) Bugis, Syeikh Abdur Rahman al-Masri, Syeikh Muhammad Nafi s al-Banjari, dan Syeikh Muhammad Ali Aceh.Tentang gurunya pula, Syeikh Abdus Samad, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pernah belajar kepada Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaludin Aceh, penyusun kitab Bidayatul Hidayah mengenai tauhid dalam bahasa Melayu.
Antara kitab karangan Syeikh Abdus Samad yang masih digunakan sampai sekarang
Menurut Syeikh Yasin Padang pula, Syeikh Abdus Samad menerima hampir semua ilmunya daripada al-Mu`ammar `Aqib bin Hasanuddin bin Ja`afar al-Falimbani (Syeikh Muhammad `Aqib bin Hasanuddin bin Ja`afar bin Muhammad bin Badruddin al-Falimbani). Walau bagaimanapun, menurut Syeikh Muhammad Azhari ibnu Abdullah al-Jawi al-Falimbani, Syeikh Muhammad Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani adalah murid Syeikh Abdus Samad.Dalam hal ini, Ustaz Wan Muhammad Shaghir Abdullah berpendapat bahawa sumber daripada Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani lebih dapat dipegang kerana pertama, zaman Syeikh Muhammad Azhari masih terlalu dekat dengan zaman Syeikh Abdus Samad; kedua, salasilah yang dibicarakan adalah melibatkan Syeikh Muhammad Azhari sendiri selaku cucu murid dalam Tarekat Samaniyyah yang diamalkan oleh Syeikh Abdus Samad; dan ketiga, sama-sama berasal dari Palembang dan sewaktu Syeikh Muhammad Azhari belajar di Mekah seakan-akan dalam lingkungan satu kekeluargaan dengan kewarisan Syeikh Abdus Samad.Dinyatakan juga bahawa Syeikh Abdus Samad dan Syeikh Muhammad `Aqib pernah berguru dengan Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi, Syeikhul Islam dan Imam Haramain pada zaman itu dan Syeikh `Athaullah, dari Mesir. Syeikh Abdus Samad juga pengikut sufi yang telah menerima Tarekat Samaniyyah daripada gurunya Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Saman al-Madani (Syeikh Saman). Tarekat ini diterima ketika beliau menetap di Madinah.Sebenarnya Syeikh Abdus Samad menuntut ilmu dengan ramai ulama seperti dalam karyanya Zahratul Murid, beliau menyebut beliau berguru dengan Syeikh Ahmad bin Abdul Munkim ad-Damanhuri. Syeikh Abdus Samad juga berguru dengan Syeikh Abdul Ghani al-Hilali, as-Sufi Saiyid Ahmad bin Muhammad Syarif Maqbul al-Ahdal (beliau belajar kitab Hadis Arbakin dan Riyadhus Salihin), asy-Syihab Ahmad bin Abdul Fattah al-Malawi (belajar kitab Umdatul Ahkam), dan Saiyid Abil Faidh Muhammad Murtadha bin Muhammad az-Zabidi (Zubaidi). Dengan Saiyid Abil Faidh Muhammad Murtadha bin Muhammad az-Zabidi, Syeikh Abdus Samad dan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari belajar kitab At-Taukid fi Haqqillah karya Syeikh al-Islam Muhammad bin Abdul Wahhab bin Sulaiman.Dengan ramai guru yang beliau menuntut ilmu, tidak hairanlah Syeikh Abdus Samad berjaya menjadi ulama ulung yang kitab-kitab karangannya sehingga kini masih dirujuk. Zahratul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid adalah karya pertama Syeikh Abdus Samad. Kitab ini ditulis pada 1178 H/1764 M. Kitab ini merupakan catatan beliau ketika belajar ilmu tauhid dengan Syeikh Ahmad bin Abdul Munkim ad-Damanhuri di Makkah.Selain itu, Syeikh Abdus Samad juga menulis kitab Hidayatus Salikin fi Suluki Maslakil Muttaqin. Kitab ini selesai ditulis di Makkah pada hari Selasa, 5 Muharam 1192 H. Sebahagian besar kitab ini adalah terjemahan daripada Bidayatul Hidayah, karangan Imam Ghazali. Kitab ini ditashihkan dan disebar secara meluas oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani dan ia juga adalah kitab Melayu/Jawi yang pertama sekali ditashih dan dicetak di Mesir.Syeikh Abdus Samad juga menghasilkan kitab Siyarus Salikin ila Ibadati Rabbil Alamin atau judul lain ialah Siyarus Salikin fi Thariqah as-Sadat as-Sufiyah. Kandungan kitab tersebut sebahagian besarnya merupakan terjemahan Ihyaku Ulumid Din, karangan Imam Ghazali. Kitab Siyarus Salikin ini dianggap sebuah kitab Melayu/Jawi yang bernilai tinggi, bersifat ilmiah tasawuf yang cukup mantap. Kitab Siyarus Salikin karya Syeikh Abdus Samad ini terdiri daripada empat jilid.Jilid pertama ditulis pada 1193 H/1779 M dan siap pada awal tahun 1194 H/1780 M di Mekah. Jilid kedua pula mulai ditulis pada 1194 H/1780 M dan selesai pada hari Sabtu, 19 Ramadan 1195. H/1781 di Taif. Pada tahun 1195 H/1781 M, jilid ketiga ditulis dan berjaya diselesaikan pada 19 Safar 1197 H/1783 M di Makkah. Walau bagaimanapun, untuk jilid keempat, Syeikh Abdus Samad tidak menyebut tahun ia mulai menulisnya, tetapi beliau selesai menulisnya pada 20 Ramadan 1203 H/1788 di Taif. Kitab ini kini telah ditahqiqkan oleh Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam An-Nadwi dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu serta diterbitkan dalam tulisan Rumi dan Jawi.Kitab-kitab lain karya Syeikh Abdus Samad ialah al-`Urwatul Wutsqa WA Silsilatu Waliyil Atqa (terjemahan karya Syeikh Muhammad Saman yang ditulis dalam bahasa Arab), Ratib Syeikh Abdus Samad al-Falimbani, Nashihatul Muslimina wa Tazkiratul Mukminina fi Fadhailil Jihadi wa Karamatil Mujtahidina fi Sabilillah, Risalah Pada Menyatakan Sebab Yang Diharamkan Bagi Nikah (1179 H/1765 M), Ar-Risalatu fi Kaifi yati Ratib Lailatil Jumkah, Mulhiqun fi Bayanil Fawaidin Nafikah fi Jihadi fi Sabilillah, Zadul Muttaqin fi Tauhidi Rabbil 'Alamin, 'Ilmut Tasawuf, Mulkhishut Tuhbatil Mafdhah minar Rahmatil Mahdah 'Alaihis Shalatu wa Salam, Kitab Mikraj, dan Puisi Kemenangan Kedah. Kitab-kitab karangan Syeikh Abdus Samad ini boleh dimanfaatkan oleh umat Islam hari ini terutama sekali kitab seperti Siyarus Salikin yang telah ditahqiqkan oleh pihak-pihak yang peka dengan ilmu yang terkandung di dalamnya.Yang menarik sekali tentang riwayat hidup Syeikh Abdus Samad ialah beliau dipercayai melibatkan diri dalam peperangan Kedah/Pattani melawan Siam yang membawa beliau mati syahid kerana mempertahankan tanah air. Walau bagaimanapun, terdapat percanggahan pendapat berhubung tarikh wafat Syeikh Abdus Samad sama ada beliau wafat pada 1244 H/1828 M atau 1254 H/1838 M.Sesungguhnya, Alam Melayu amat bertuah kerana mempunyai seorang ulama ulung seperti Syeikh Abdus Samad yang memperjuangkan agama Islam sama ada dalam bidang penulisan ataupun berjihad menentang golongan bukan Islam yang menjajah negeri.

Tuan Hussein Kedah Al-Banjari - Berjuang Tidak Hirau Batasan Politik

Tahun 1810 Masihi, ketika Kedah sedang berperang dengan Siam, Haji Masoudi bersama ahli keluarga dan beberapa orang anak negerinya singgah di Kuala Kedah dalam perjalanan pulang ke Kalimantan dengan menaiki kapal layar, selepas menunaikan haji. Haji Masoudi dan rombongannya tidak berhajat untuk menetap lama di Kedah kerana kampung asal mereka di Mertapura, Banjar Masin, Kalimantan bagaikan melambai-lambai memanggil pulang, setelah berbulan-bulan di perantauan. Tetapi takdir Allah mengatasi perancangan manusia. Rombongan mereka ditahan oleh Pasukan Penyiasat Kedah. Bukan kerana mereka melakukan kesalahan yang melanggar undang-undang negeri, tetapi kerana tenaga Haji Masoudi diperlukan untuk menghadapi serangan Siam. Berita kehadiran Haji Masoudi disampaikan ke pengatahuan Raja Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin Shah. Baginda tertarik apabila diberitahu bahawa Haji Masoudi seorang alim yang warak dan handal dalam ilmu kerohanian. Baginda melantik Haji Masoudi sebagai salah seorang panglima untuk menghadapi ancaman Siam. Dalam peperangan itu, Siam menerima pukulan teruk di tangan angkatan perang Kedah yang turut dikepalai oleh haji Masoudi. Sejak itu, Haji Masoudi, yang merupakan cucu kepada Syeikh Muhammad Arshad al-Banjari iaitu seorang alim besar yang terkenal dengan kitab fekah karangannya, Sabilal Muhtadin, terus menetap di Kedah bersama ahli keluarganya. Daripada zuriat Haji Masoudi inilah lahirnya Tuan Hussein Kedah al-Banjari, atau nama sebenarnya Hussein bin Haji Muhammad Nasir, tokoh ulama yang menjadi pengasas enam buah pondok termasuk Madrasah al-Taufiqiah al-Khairiah (kemudian dikenali sebagai Pondok Pak Ya). Dengan 18 buah kitab karangannya, Tuan Hussein dikatakan ulama pondok yang paling banyak mengarang kitab, khususnya di Kedah. Tuan Hussein lahir di Titi Gajah, Kedah pada 20 Jamadilawal 1280H (1863M). Sejak kecil, Tuan Hussein mendapat asuhan ibunya Tengku Fatimah dan didikan agama daripada datuknya, Haji Mohd. Taib, seorang ulama terkenal di Kedah yang mengasas pondok pengajian agama di Titi Gajah sekitar tahun 1870M. Dalam lingkungan usianya 18 tahun, Tuan Hussein mendapat restu datuknya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Tuan Hussein berangkat ke Patani, negeri yang terkenal sebagai pusat penyebaran ilmu agama pada masa itu. Beliau menuntut dengan beberapa orang ulama terkemuka termasuk Tuan Samela, yang pernah menjadi guru datuknya, Haji Mohd Taib. Selepas itu, bagi mendalami ilmu dan meluaskan pengalaman, Tuan Hussein menghabiskan 10 tahun menjelajah ke merata negeri, bermula pada tahun 1299H (1881M). Negeri-negeri yang dijelajahinya ialah Kelantan, Terengganu, Singapura, Johor dan Melaka. Dari Melaka, beliau menaiki tongkang menyeberang Selat Melaka menuju Medan dan terus ke Acheh. Setelah setahun belajar di Acheh, beliau pulang ke Semenanjung dan mendarat di Melaka. Kemudian menuju ke Perak melalui jalan darat. Di Perak, Tun Hussein mengajar dan banyak menyelesaikan persoalan masyarakat berdasarkan hukum syarak. Di sinilah beliau mula terkenal dengan panggilan ‘Tuan Hussein’. Kemasyhurannya memikat hati Tok penghulu Abdul Wahab di Panjang Laut, Sitiawan, Perak yang menjodohkan Tuan Hussein dengan anaknya bernama Jaharah. Beberapa tahun kemudian, Tuan Hussein berkahwin pula dengan Siti Khadijah setelah Jaharah kembali ke rahmatullah kerana sakit bersalin anak kedua. Tidak berapa lama kemudian, Tuan Hussein bersama isteri pulang ke Titi Gajah untuk membantu datuknya yang sudah lanjut usia mengajar di pondoknya. Pada tahun 1314H (1896M), Tuan Hussein bertolak ke Mekah untuk melanjutkan pelajarannya, dan sempat belajar dengan Syeikh Nawawi Bentan, Tuan Ahmad Linga dan Syeikh Omar Sembawa. Beliau bersahabat rapat dengan Tok Kenali dan beberapa orang ulama Tanah Melayu lain yang bersama-sama di Mekah. Tuan Hussein belajar selama empat tahun di Mekah dan apabila pulang semula ke Titi Gajah, beliau berusaha selama dua tahun menyusun semula pondok peninggalan datuknya. Dalam masa yang sama, beliau membangunkan pondok di Alor Ganung kerana memenuhi permintaan masyarakat tempatan. Beberapa tahun kemudian, beliau berhijrah dan mengasas pondok pengajian di Bohor pula. Di Bohor, Tuan Hussein menetap selama 13 tahun. Itulang paling lama beliau menetap di satu-satu tempat dalam sejarah perjuangannya menuntut ilmu dan membangunkan pondok. Dalam tahun 1912M, Tuan Hussein berhijrah lagi untuk membangunkan pondok di Bagan Ulu, Pantai Merdeka. Selepas lebih kurang tujuh tahun di Pantai Merdeka, barulah beliau membangunkan pondok di Kampung Selengkoh, Sungai Limau. Pada tahun 1924M, Tuan Hussein mengasaskan Pondok al-Taufiqiah al-Hidayah di Batu 16, Padang Lumat (sekarang menjadi sekolah menengah agama dengan penuntutnya melebihi 3,000 orang di pelbagai peringkat pengajian). Beliau hanya sempat menetap selama empat tahun di Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai. Penghijrahan Tuan Hussein ke Pokok Sena itu berlaku disebabkan beliau diperintahkan keluar dari Kedah atas alasan melanggar beberapa peraturan atau undang-undang negeri. Penghijrahan itu mendorong Tuan Hussein membuka pondok keenam di Pokok Sena iaitu Madarasah al-Khairiah al-Islamiah. Madrasah ini yang kini masih hidup, sangat maju semasa di bawah pengendalian anaknya, Allahyarham Sohibul Fadhilah Tuan Guru Haji Ahmad. Allahyarham Haji Ahmad pernah berkata, “Prinsip Tuan Hussein membangunkan pondok ialah untuk mengembangkan ajaran Islam dan memudahkan bagi orang yang ingin mempelajarinya. Dengan sebab itu, kalau sudah didapati tempat itu telah ramai orang yang berpengetahuan agama maka ia akan berpindah ke tempat lain. Dengan sebab kebanyakan orang tidak tahu membaca dan menulis, maka dia akan berpindah ke tempat lain pula, begitulah seterusnya sehingga akhir hayatnya.” Tuan Hussein sangat tegas dalam melaksanakan disiplin pondok. Beliau akan memastikan anak-anak murid dan pengikut-pengikutnya tidak merokok, tidak menyanyi dan tidak bergaul bebas antara lelaki dan perempuan. Beliau memastikan murid-muridnya sembahyang berjemaah dan menghadiri kuliah yang ditetapkan. Malahan beliau menyusun kedudukan pondok-pondok lelaki, perempuan dan pondok-pondok kelamin dengan kemas sekali supaya terhindar daripada pergaulan bebas lelaki perempuan. Semua pelajar perempuan menutup aurat dan yang lelaki memakai kopiah putih. Tindakan terakhirnya dalam memastikan tatatertib pondoknya berjalan baik dengan merotan pelajar-pelajar yang tidak mematuhi peraturannya. Dalam kesibukan belajar dan mengajar, Tuan Hussein sempat mengarang 18 buah kitab tauhid, feqah dan tasawuf. Antara kitab-kitab karangannya ialah Hidayatul Sibyan, Hidayatul Fatah, Majmu’ Al La’i, Hidayatul Asfal, Tamrin Al Sibyan, Allamiat wal Afiat, Malaqis, Syar Al Akbar, Tafreh Al Sibyan, Hidayatul Mutafakkirin dan Usul Al Tauhid. Sebagai ulama dan pendakwah, prinsip hidup Tuan Hussein ialah berdakwah secara bebas untuk membetulkan akidah dan cara hidup manusia supaya bertepatan dengan kehendak Allah SWT. Dalam menjalankan peranan ini, beliau tidak menghiraukan batasan politik. Beliau menegur sesiapa saja yang melakukan mungkar di kalangan orang bawahan mahupun pihak atasan yang memegang kuasa dengan tegas, berani dan berterus-terang. Dalam kitabnya Bidayat al-Talibin, Tuan Hussein mengeluarkan sebuah hadis yang bermaksud; “Tiada ia takut membuat pekerjaan Allah Taala itu akan cela daripada orang yang mencelakan.” Tuan Hussein pernah menolak jawatan mufti yang ditawarkan oleh Sultan Kedah sebaik sahaja beliau pulang dari Mekah sekitar tahun 1318H. Beberapa tahun kemudian, Tuan Hussein ditawarkan pula jawatan Syeikhul Islam yang merupakan jawatan tertinggi dalam pentadbiran agama di negeri Kedah tetapi sekali lagi beliau menolak. Jawatan itu akhirnya disandang oleh Haji Wan Sulaiman. Selain khuatir tidak mampu menjalankan tanggungjawab dengan adil, Tuan Hussein sebenarnya memilih hidup bebas daripada terikat dengan jawatan rasmi. Dengan itu, Tuan Hussein menghabiskan usianya dengan berdakwah secara lisan dan tulisan serta mengajar ilmu secara terbuka dan khusus (buka pondok). Beliau disegani oleh kawan dan lawan bukan sahaja kerana ketinggian ilmunya tetapi juga kerana ketinggian akhlak dan kewibawaan mentadbir serta sifat kepimpinannya.