Saturday, March 05, 2005

Haji Hasanuddin Mohamad - Memartabatkan Sekolah Agama Rakyat

Sekolah Menengah Agama Al-Wosto, Berhala Gantang yang terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Temerloh, tentu tidak asing pada orang Pahang. Bermula daripada sistem pengajian pondok, diasaskan satu sistem persekolahan yang diberi nama Madrasah Al-Wosto. Demikian inisiatif Haji Hasanuddin Mohammad pada tahun 1948.Sebenarnya tradisi pengajian pondok di kampung itu telah wujud sejak abad ke 17 lagi. Pengajian ketika itu didukung oleh seorang ulama terkenal iaitu Tok Shahibuddin Zainal Abidin (1650-1770). Beliau mendapat pendidikan agama di Kelantan, Terengganu, Fatani, Kedah, Acheh dan Badawi. Tradisi cintakan agama dengan memeriahkan pengajian pondok itu diwarisi turun-temurun oleh keluarga berkenaan serta penduduk Berhala Gantang. Sistem pondok itu kemudian bertukar kepada sistem sekolah pada pertengahan abad ke-20. Madrasah Al-Wosto yang dilestarikan oleh Haji Hasanuddin itu telah menyediakan kurikulum yang lebih mantap dengan guru-guru terlatih yang berpengetahuan. Walau bagaimanapun, tidak terdapat perbezaan tentang kaedah penyampaian ilmu serta bahan yang digunakan dengan sistem pondok. Mungkin yang berbeza hanya dari segi pendekatan dan fizikal yang disediakan untuk kemudahan pelajar-pelajat. Kalau sistem pondok di kampung tersebut terbuka kepada pelajar di semua peringkat usia, tetapi di sekolah agama rakyat mempunyai tahap umur tertentu.Kerja keras Haji Hasanuddin dengan guru-guru serta penduduk kampung telah menjadikan madrasah tersebut sebuah pendidikan agama yang terbesar di negeri Pahang. Pada tahun-tahun 1950-an dan 1960-an mencatatkan pertambahan pelajar seramai 400 orang pelajar. Bahkan pengajiannya pada tahun-tahun 1960-an setaraf dengan pendidikan universiti. Walaupun pada tahun 1948 itu telah dimulakan pengajian di Madrasah Al-Wosto sebagaimana yang disebutkan, namun pondok-pondok pengajian agama masih boleh didapati di Kampung Berhala Gantang. Malah kuliah-kuliah agama dengan jadual-jadual yang tersusun masih lagi berterusan di masjid kampung itu sebagaimana masa-masa dahulu itu.Madrasah Al-Wosto pada awalnya menggunakan sebuah bangunan yang didirikan secara gotong-royong oleh penduduk setempat. Bangunan tersebut terletak di kawasan masjid Berhala Gantang yang ada sekarang ini. Menurut Haji Hasanuddin, madrasah tersebut dinamakan Al-Wosto kerana kedudukannya di tengah-tengah antara Kuala Sungai Pahang dengan Kuala Sungai Tembeling di sebelah hulunya. Manakala Kampung Berhala Gantang sendiri terletak di tengah-tengah negeri Pahang. Al-Wosto bererti "tengah". Kedudukannya yang di tengah-tengah itu menjadikan pelajar-pelajar dari segenap negeri Pahang mudah bertemu. Mereka boleh menggunakan kemudahan pengangkutan sama ada melalui sungai mahupun jalan raya. Banyak pengalaman yang cukup berharga bagi Haji Hasanuddin sewaktu menerajui perjalanan Madrasah Al-Wosto. Kegigihan beliau melalui liku-liku pahit dan manis dengan penuh sabar. Pada masa yang sama, beliau berjaya melahirkan pelajar-pelajar yang ampuh ilmu agama dan sedia berkhidmat kepada aganma, bangsa dan negara.Pada tahun 1966 umpamanya, Al-Wosto berjaya menwujudkan pengajian Kelas Lapan untuk pelajar-pelajarnya. Pengajian pada peringkat itu sama tarafnya dengan pengajian di universiti. Pada tahun 1970 iaitu sewaktu negara menghadapi zaman kemelesetan, sekolah itu turut menerima bahangnya apabila pelajar-pelajar sukar membayar yuran pengajian. Namun, Al-Wosto tetap berjalan lancar walau dalam keadaan yang sukar itu. Demi kesinambungan pengajian itu, Madrasah Al-Wosto diserahkan kepada Kerajaan Negeri pada tahun 1982. Sekolah yang diletak di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sehingga sekarang mempunyai kompleksnya yang selesa. Selain bilik-bilik pengajian, disediakan asrama untuk pelajar lelaki dan asrama untuk pelajar perempuan. Di samping itu terdapat pelbagai kemudahan seperti padang, bilik-bilik makmal, dan bengkel untuk pelajaran-pelajaran tertentu. Kini, Sekolah Menengah Agama Al-Wosto dapat menampung pelajar-pelajarnya antara 400 hingga 600 orang. Bahkan sekolah ini merupakan sekolah pilihan untuk pelajar-pelajar cemerlang dari luar Berhala Gantang. Manakala bagi pelajar-pelajar dari Kampung Berhala Gantang dan kampung-kampung sekitar yang berdekatan, Al-Wosto merupakan pilihan mereka yang utama secara terus dari sekolah rendah. Keistimewaan ini diberi sedemikian rupa sebagai galakan utama kepada anak-anak di kampung tersebut. Kemeriahan pendidikan agama Islam di Kampung Berhala Gantang bukan sekadar dengan sejarahnya yang cukup menarik. Malah kenaikan taraf Madrasah Al-Wosto kepada Sekolah Menengah Agama Al-Wosto di kampung itu dimeriahkan lagi dengan tertubuhnya Maahad Tahfiz Al-Amin. Maahad ini ditubuhkan oleh Haji Hasanuddin bersama Ustaz Wahid Ghaffar Haji Ibrahim Al-Hafiz pada tahun 1996.Maahad Tahfiz Al-Amin kini mempunyai pelajar seramai kurang dari 40 orang bagi memudahkan pembelajaran. Maahad menerima pelajar dari seluruh negeri Pahang dan juga Semenanjung. Sebuah bangunan untuk tahfiz tersebut sudah disediakan lengkap dengan bilik pengajian dan asrama. Manakala, masjid Berhala Gantang yang berdekatan dengan Maahad tersebut turut dijadikan tempat pengajaran dan pembelajaran terutamanya selepas solat Subuh.Ustaz Wahid Al-Hafiz di samping menjadi guru, beliau juga menjadi imam di masjid tersebut. Pada masa yang sama beliau turut memberi kuliah agama untuk pelajar-pelajar tahfiz juga untuk penduduk kampung.Haji Hasanuddin walaupun dalam usia 88 tahun masih tekal dan aktif dalam memberi bimbingan kepada penduduk kampung Berhala Gantang. Sehingga kini beliau masih menjadi penasihat kepada ahli jawatankuasa Falak Negeri Pahang; penasihat Maahad Tahfiz Al-Amin, di samping menjadi pakar rujuk agama yang berwibawa.Manakala aktiviti dan sumbangan beliau pada masa lalu antaranya ialah membuat taqwim solat untuk negeri Pahang; Hakim Tilawah al-Quran Negeri Pahang tahun-tahun 1960-an dan 1970-an; Yang Dipertua Persatuan Peladang Daerah Temerloh 1975-1980; Imam masjid Kampung Berhala Gantang 1950-1995 dan menjadi penasihat kepada Maahad Tahfiz di Kerdau, Temerloh.Tokoh ini mampu menguasai bahasa Arab dengan baik serta menguasai ilmu Fiqh, tafsir Al-Quran, dan sirah. Antara kitab yang ditelaahnya ialah Ghayatul Taqrib, Khusun Hamidiyah, dan lain-lain. Beliau khatam al-Quran pada setiap bulan dan pada setiap waktu hair untuk sembahyang berjemaah di Masjid Kampung Berhala Gantang. Haji Hasanuddin mendapat pendidikan sekolah rendahnya di Sekolah Kebangsaan (Melayu) Bangau Tanjung, Temerloh. Kemudian beliau memasuki pengajian pondok al-Quran Tuan Haji Man Lubuk Kawah tidak jauh dari kampungnya. Selepas itu beliau menyambung pengajiannya di Pondok Tuan Guru Haji Ismail Mat Akil di Kuala Lipis. Akhirnya beliau menyambung lagi pengajian di Pondok Tuan Guru Haji Abdullah Tahir, Bunut Payung, Kelantan. Di Kelantan, beliau belajar selama enam tahun iaitu tahun 1941 - 1947.Sewaktu belajar di pondok Bunut Payung, tercetus Perang Dunia ke-2. Hal ini menyebabkan Haji Hasanuddin tinggal di Kelantan dalam tempoh yang begitu lama. Beliau balik ke Pahang pada tahun 1947 sewaktu negara sedang dilanda zaman Darurat (1947-1952). Namun suasana sukar ini tidak mematahkan semangatnya untuk mendirikan Al-Wosto (1948).Haji Hasanuddin berjaya menanamkan semangat cinta agama dan cinta bangsa serta tanah air kepada kalangan penduduk Kampung Berhala Gantang. Semangat yang ditanam itu menjadi begitu kental sehingga pihak Inggeris menuduh penduduk kampung tersebut bersubahat dengan pengganas komunis. Oleh sebab itu beberapa penduduk diancam untuk ditangkap oleh pihak Inggeris.Sebenarnya penduduk kampung tersebut benci kepada Inggeris, namun mereka tidak penyokong perjuangan pengganas yang mereka itu tidak ada keyakinan dan pegangan agama. Apabila Ketua Kampung Berhala Gantang, Abdullah Yaakub bin Awang Naib diancam hendak dibunuh oleh pengganas barulah pihak Inggeris percaya akan pendirian penduduk Kampung Berhala Gantang.

BADI’UZZAMAN SA’ID NURSI - Tokoh Mujahid dan Mujadid Islam Abad ke-14H

Setelah enam ratus tahun bertapak sebagai sebuah kerajaan agung, sejarah menyaksikan detik-detik kemuncak kelemahan Kerajaan Uthmaniyah. Sebenarnya detik yang berlaku di sekitar awal abad ke-14H itu, diancam oleh pelbagai serangan dalaman dan luaran secara terancang. Detik tanggal tahun 1924, merupakan sejarah hitam buat Kerajaan Uthmaniyah apabila Kamal Ataturk menguasai Turki. Sistem Khalifah yang menjadi mercu tanda kekukuhan negara Islam, mansuh akibat pengaruh Barat pimpinannya. Pada ketika itulah muncul tokoh ilmuwan terulung dalam sejarah Turki iaitu Badi’uzzaman Sa’id Nursi. Beliau telah mengorbankan seluruh kehidupannya demi perjuangan untuk mengembalikan keagungan Islam yang musnah itu. Ketika itu, agama dilihat sebagai faktor kemunduran dan kelemahan umat. Fahaman sekularisme, materialisme, dan ateisme pula diterima baik oleh masyarakat tempatan atas nama kebebasan dan kemajuan. Badi’uzzaman atau nama sebenar Sa’id bin Mirza dilahirkan pada tahun 1876 (1294H) di Nurs, sebuah perkampungan kecil di daerah Khizan, Turki. Beliau juga dikenali sebagai Sa’id al-Nursi yang merujuk kepada tempat kelahirannya. Nursi dilahirkan dalam sebuah keluarga petani yang hidup serba sederhana. Ibu dan bapanya berketurunan Kurdis dan mereka dikatakan berasal daripada salasilah keturunan Ahl al-Bayt. Nursi pernah diberi gelaran Badi’azzaman (Keunggulan Zaman) oleh gurunya, Syeikh Fathu’llah. Walau bagaimanapun Nursi menolak kerana merasakan dirinya belum layak menerima gelaran itu. Sejak kecil lagi Nursi telah memperlihatkan minatnya untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau sangat gemar menghadiri majlis perbincangan ilmu antara ulama yang sering diadakan di rumah ayahnya. Suasana keilmuan ini memberikan pengaruh yang besar pada jiwa dan pemikiran Nursi. Minatnya itu menyuburkan pemikiran analisis-kritis, dialog, dan perdebatan. Nursi mula merantau ketika umurnya sembilan tahun dalam usahanya untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau telah berguru dengan ramai alim ulama termasuk Syeikh Muhammad al-Jalali di Madrasah Bayazid bersempadan Iran. Di bawah bimbingan Syeikh Muhammad al-Jalali, Nursi telah mempelajari dan menguasai kitab-kitab muktabar seperti Jam’ al-Jawami, Sharh al-Mawaqif, dan Ibn Hajar. Di sinilah bermulanya proses awal perkembangan dan pembentukan pemikiran Nursi. Peluang di peringkat ini amat berharga pada Nursi, lalu sentiasa meneruskan pengajian dengan beberapa orang tokoh ilmuwan terkenal. Ketrampilan beliau mula menampakkan ketokohan sebagai seorang ulama, lalu dikenali waktu itu sebagai ulama muda yang hebat. Gabenor Bitlis, Umar Basha sangat mencintai ilmu dan memuliakan ulama. Oleh sebab itu beliau mempelawa Nursi supaya tinggal di kediaman beliau yang mempunyai sebuah perpustakaan besar. Nursi tidak melepaskan peluang itu demi memenuhi cita-citanya. Umar Basha memberi peluang kepada Nursi untuk mendalami dan menghafal kitab-kitab seperti al-Matali, al-Mawaqif, dan al-Mirqat. Dalam tempoh dua tahun di kediaman Gabenor itu, beliau telah berjaya menguasai ilmu al-kalam, mantik, nahu, tafsir, hadith, dan fiqh dengan mantap. Tetapi, minatnya untuk meneruskan usaha memperluaskan ilmu pengetahuan menyebabkan beliau meninggalkan Bitlis. Dalam pengembaraannya itu beliau menyambut pelawaan Gabenor Hasan Basha untuk berkhidmat di Wan sebagai ulama iaitu pada tahun 1897 (1314H). Setelah beberapa ketika tinggal di kediaman Hasan Basha, Nursi sekali lagi dijemput untuk tinggal di kediaman Tahir Basha, Gabenor baru di Wan. Ketika berada di Wan, Nursi sempat bertemu dan berdialog dengan tokoh-tokoh ilmuwan moden. Kerana menyedari kelemahannya dalam bidang ilmu moden, mendorong beliau berusaha mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu sains moden seperti fizik, kimia, biologi, ilmu kaji bumi, dan astronomi. Selain ilmu sains beliau turut mempelajari ilmu sejarah, matematik, geografi, dan falsafah moden. Setelah menguasai bidang agama dan ilmu sains moden, sekali lagi Nursi diberi gelaran sebagai Badi’uzzaman. Gelaran tersebut diterima bahkan dijadikan sebahagian daripada nama beliau. Pengalamannya semasa menuntut ilmu memberikan kesedaran pada beliau betapa perlunya dilakukan perubahan terhadap sistem pendidikan. Oleh sebab itu, beliau telah bertindak menggabungkan dua cabang ilmu iaitu ilmu agama dan ilmu sains moden yang sebelum itu telah dipisahkan. Nursi berazam untuk mengubah persepsi negatif masyarakat yang berpandangan bahawa ilmu agama dan ilmu sains moden tidak boleh digabungkan. Pendekatan beliau ini dilaksanakan semasa kerjayanya sebagai seorang guru di madrasahnya yang dikenali sebagai Madrasah Khur Khur. Nursi berpendirian bahawa umat Islam perlu menguasai kedua-dua cabang ilmu tersebut demi masa depan umat Islam seluruhnya. Beliau juga gigih berusaha untuk menubuhkan universiti yang akan dinamakan Madrasat al-Zahra di Timur Turki. Walau bagaimanapun, usaha beliau itu gagal kerana tidak mendapatkan persetujuan daripada golongan yang berpengaruh di Istanbul. Sungguhpun begitu, Nursi terus berusaha untuk merealisasikan diri umat Islam sebagai “Umat Contoh”. Pengamatan dan kesedaran Nursi itu telah mendorong beliau mengatur gerakan ke arah mereformasi sistem pendidikan yang wujud pada zamannya. Beliau berpendirian teguh bahawa dalam dunia moden hari ini, ilmu-ilmu agama dan ilmu-ilmu sains moden perlu bergerak seiring. Apabila Turki diisytiharkan sebagai sebuah negara Republik pada 29 Oktober 1923, Turki bertukar wajah menjadi sebuah negara sekular. Kamal Ataturk melaksanakan dasar-dasar pemerintahan berlandaskan fahaman sekularisme yang anti-Islam. Untuk menentang dasar itu, Nursi kemudiannya menyokong pembentukan Parti Demokratik Turki. Harapannya agar dapat melaksanakan pemerintahan yang adil dan sedikit kebebasan diberikan kepada gerakan Islam. Menurut Nursi, sekiranya Kerajaan Sekular boleh membenarkan fahaman ateis, mengapa tidak dibenarkan Islam bergerak dengan bebas. Nursi mempunyai pandangan yang lain tentang konsep “kebebasan” yang dilihatnya sebagai satu keperluan asas. Keperluan ini harus dihormati dalam setiap agama dan bangsa. Namun, konsep “kebebasan” itu tidak sepatutnya disalahtafsirkan memandangkan pengisian maksud “kebebasan” yang tidak selari dengan peraturan Islam. Atas hasrat inilah ketika perisytiharan perlembagaan negara, Nursi berjuang untuk menegakkan corak pemerintahan berasaskan Perlembagaan yang berteraskan kepada syariat Islam. Walau bagaimanapun, perjuangan suci beliau itu mendapat tentangan daripada golongan yang masih belum memahami kehebatan isi kandungan al-Quran. Nursi berpandangan bahawa kesedaran serta kefahaman yang jelas perlu diusahakan meskipun memakan masa yang panjang. Yang penting isi kandungan al-Quran benar-benar difahami. Beliau menyedari bahawa kekerasan hanya mencetuskan permusuhan dan tidak membawa sebarang kebaikan kepada manusia. Dalam usaha itu, Nursi menyeru umat Islam agar menilai golongan yang masih ragu-ragu terhadap Islam. Mereka perlu dikenal pasti sama ada dalam kalangan umat Islam mahupun kaum bukan Islam. Mereka yang terlibat itu dianggap sebagai satu golongan yang memerlukan bantuan dan tunjuk ajar daripada umat Islam. Beliau sama sekali tidak mahu terus melabelkan mereka sebagai musuh. Melalui kaedah ini, seruan Islam lebih mudah disampaikan dan dapat diterima baik oleh masyarakat. Rasa’il al-Nur merupakan karya teragung Nursi yang merupakan khazanah berharga sumbangan pemikiran beliau. Karya agung ini seharusnya dimanfaatkan oleh umat Islam sepanjang zaman. Sebenarnya, Rasa’il al-Nur merupakan satu tafsiran terhadap maksud al-Quran al-Karim. Secara umum isi kandungan kitab ini merangkumi persoalan keimanan. Menurut Nursi, satu-satunya rujukan dalam menghasilkan kitabRasa’il al-Nur ini ialah kitab suci al-Quran al-Karim. Antara persoalan yang menjadi kupasan dalam karyanya itu ialah seperti ilmu Mustalah al-Hadith, falsafah, Ilm al-Kalam, dan ilmu Tasawuf. Dalam perbahasan mengenai Mustalah al-Hadith, Nursi menekankan hadith-hadith yang sering dipertikaikan masyarakat. Di sini, beliau telah mengemukakan perbahasan yang menarik. Antara yang dibahaskan ialah yang berkaitan dengan kisah Dajjal, turunnya Nabi Isa a.s, Imam Mahdi, Nabi Khaidir, Malaikat, tanda-tanda kiamat, dan sebagainya. Dalam memperkatakan tentang falsafah, Nursi dalam risalah al-Madkhal ila al-Nur menulis bahawa falsafah yang ditentang ialah falsafah yang merosakkan manusia dan yang menentang agama. Oleh sebab itulah, pelajar-pelajar aliran falsafah moden tidak menentang Rasa’il al-Nur, malah mereka sama-sama menyokong kandungan Rasa’il al-Nur tanpa sebarang keraguan. Rasa’il al-Nur turut memuatkan perbahasan mengenai Ilm al-Kalam. Dalam risalah al-Maktubat misalnya,Nursi menulis bahawa ma’rifatullah yang dibentangkan oleh al-Razi melalui kaedah Ilm al-Kalam itu mengandungi kelemahan dan kekurangan pada pandangan Ibn al-Arabi. Ma’rifatullah yang terhasil melalui jalan Tasawuf juga mempunyai kelemahan jika dibandingkan dengan ma’rifah yang dibentangkan oleh pewaris nabi. Ulama pewaris nabi dalam kupasannya ialah mereka yang menurut manhaj al-Quran.
Rasa’il al-Nur juga memuatkan ajaran tasawuf. Tetapi kupasan mengenainya tidak bermaksud menjadikan pembaca seorang ahli sufi. Dalam hal ini, Nursi sering kali menyebut bahawa zaman ini bukan zaman tasawuf atau tarekat, sebaliknya merupakan zaman untuk menyelamatkan iman umat manusia. Jelas dalam karya itu, beliau menyifatkan bahawa manusia tidak mungkin dapat memasuki syurga tanpa iman, tetapi ramai juga yang dapat memasuki syurga tanpa tasawuf. Manusia sememangnya tidak dapat hidup tanpa roti (gandum), tetapi mereka boleh hidup tanpa buah. Maka tasawuf itu ialah buah manakala hakikat Islam (keimanan) itu ialah roti.
Dalam hal ini beliau menegaskan bahawa sesungguhnya jika sekiranya Syeikh Abd al-Qadir al-Jaylani dan Syeikh al-Naqshaband (pengasas Tarekat Naqshabandiyah), Imam Rabbani, dan yang seumpama mereka, hidup pada zaman kita ini, nescaya mereka akan mencurahkan segala kemampuan untuk memperteguh hakikat keimanan dan akidah Islam. Hal ini demikian kerana kedua-duanya (iman dan akidah) sumber kepada kebahagiaan yang sebenar dan abadi. Rasa’il al-Nur mendapat sambutan yang baik dalam kalangan umat Islam Turki dan juga mereka yang berada di negara-negara lain. Memandangkan isi kandungannya mempunyai keistimewaan dan kelebihan tersendiri, kitab ini perlu disebar kepada umat Islam di seluruh dunia. Menyedari kepentingan ilmu, kitab Rasa’il al-Nur ini diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa lain. Di samping bahasa Arab dan Inggeris, kitab Rasa’il al-Nur juga diterjemahkan ke dalam bahasa Jerman, Itali, Perancis, Rusia, Rumania, Bulgaria, Parsi, Kurdi, Urdu, India, Malaysia, dan beberapa bahasa lain Asia Tengah.
Kegigihan perjuangan ulama Islam silam walaupun menemui kegagalan perlu diteladani oleh umat Islam akhir zaman ini. Yang paling penting, masyarakat Islam boleh menilai kelemahan dan kekurangan masyarakat ketika itu. Perjuangan Badi’uzzaman Sa’id Nursi walaupun bermula sebelum kemenangan Kamal Ataturk, namun umat Islam pada zaman itu terlalu jauh menyimpang daripada ajaran Islam sebenar. Oleh sebab banyak usaha beliau ketika itu mendapat banyak tentangan daripada banyak pihak. Tetapi seandainya umat Islam ketika itu mahu mengikut saranan Badi’uzzaman sudah pasti Kamal Atartuk dapat dikalahkan dengan mudah.
Oleh sebab itu, perjuangan Badi’uzzaman ini perlu disebarluaskan dalam kalangan umat Islam agar dapat dijadikan panduan dalam memperkasa iman dan akidah umat Islam. Supaya peristiwa itu tidak berlaku lagi, maka wajar umat Islam di negara ini menilai saranan tokoh ini. Antara saranannya yang penting ialah supaya umat Islam menguasai ilmu sains moden yang diasaskan atas dasar islamisasi.