Friday, May 04, 2012

TUAN GURU HAJI THALIB BIN HAJI PUTEH (1911-1984)

SINOPSIS

Pada tahun 1911 Masihi lahirlah seorang putera yang diberi nama Thalib @ Muthalib di Kampung Sungai Semambu hasil perkahwinan Haji Puteh bin Haji Awang Chik Man dengan Sheikh Maryam binti Syeikh Ahmad Kabir. Beliau mendalami ilmu agama ketika usia 11 tahun di Pondok Tuan Guru Muhammad Taib, Kubang Semang, ketika usia 16 tahun beliau berangkat ke Mekah mendalami Ilmu Agama Islam  kepada tokoh ulamak terkenal Melayu dan Arab selama 16 tahun.

Pada tahun 1941, beliau pulang dari Mekah dan bertugas sebagai guru di Sekolah Arab Masjid Kubang Semang dan kemudian mengajar di Madrasah Manabil Ulum. Sifat     warak dan amanah serta ketinggian ilmunya beliau dijodohkan dengan Hajjah Maimunah binti Sheikh Othman Jalaludin, anak perempuan gurunya yang juga pengasas Madrasah Manabil Ulum, Penanti. Setelah sekian lama mengajar dan berbakti kepada masyarakat pada 14 Oktober 1984 beliau menyahut panggilan Ilahi menemui Allah ketika itu usianya 71 tahun.
                                                                                                          Al Fatihah.........

SHEIKH HAJI ABDULLAH FAHIM (1869-1961)

SINOPSIS

            Sheikh Haji Abdullah dilahirkan di Tanah Suci Makkah al-Mukarramah pada tahun 1870 di satu tempat tidak jauh dari Masjid al-Haram yang bernama Shuib Ali.Bapanya Sheikh Ibrahim bin Haji Tahir bermastautin di kota Mekah dan menjadi guru agama di Masjid al-Haram.Tuan Guru Sheikh Haji Abdullah Fahim pernah dilantik sebagai ahli lembaga Masjid al-Haram .Sewaktu berada di Mekah, Tuan Guru Sheikh Haji Abdullah Fahim mengambil kesempatan mempelajari ilmu politik Islam dan antarabangsa.Beliau mempunyai kelulusan dalam lebih daripada 15 bidang ilmu Islam.Kemahiran utama Tuan Guru Sheikh Haji Abdullah Fahim adalah dalam bidang ilmu falak dan kesusasteraan Arab.

Selain itu, Tuan Guru Haji Abdullah Fahim juga memiliki semangat jihad yang tinggi dan pernah menyertai gerakan Islam di negara Arab untuk menentang penjajahan Yahudi,Inggeris,Perancis dan Amerika Syarikat.Beliau telah  mendirikan rumah tangga dengan seorang gadis Melayu yang pernah tinggal di Mekah.Hasil perkongsian hidup itu, beliau dianugerahi dua cahaya mata iaitu Ahmad Ghazali dan Ahmad yang kemudiannya dikenali di Malaysia dengan nama Ahmad Badawi, iaitu bapa kepada YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. 
     
Pada tahun 1925, Tuan Guru Haji Abdullah Fahim kembali semula ke kampungnya di Kepala Batas, Pulau Pinang.Sekembalinya beliau meneruskan usaha untuk mengajar agama kepada pelajar tempatan di anjung rumah pusakanya di situ.Sesudah beberapa tahun di Perak, Sheikh Abdullah Fahim kembali ke Pulau Pinang dan meneruskan semula kuliah agamanya di Masjid Kepala Batas sementara menunggu siapnya sekolah agama yang baru didirikan dan dikenali sebagai Daeratul Maarif al-Wataniah (DMW). Beliau meninggal dunia pada 27 April 1961 ketika usia 90 tahun.

                                                                                                           Al-Fatihah..........