Monday, May 16, 2005

Prof Hamka - Ulama Tegas yang Meminati Sastera



Pencinta dunia kesusasteraan yang kemudiannya menceburkan diri dalam politik, akhirnya berundur daripada di jawatan Pengerusi Majlis Ulama Indonesia apabila Kerajaan Suharto tidak berkenan dengan fatwa yang dikeluarkannya mengenai larangan terhadap umat Islam menyambut perayaan Natal.Hubungan pemerintah Indonesia dengan Majelis Ulama Indonesia (MUI) pernah panas disebabkan MUI mengeluarkan fatwa bahawa haram hukum bagi umat Islam mengucapkan selamat hari Natal dan menghadiri perayaannya. Pemerintah menganggap fatwa itu mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama. Lebih tegas lagi, hal tersebut merosak toleransi hubungan antara agama. Sebab itu, Suharto, Presiden Indonesia pada itu masa meminta kepada Prof. Hamka atau lebih mesra dengan panggilan Buya Hamka yang pada masa itu menjawat jawatan Ketua MUI, mencabut fatwa berkenaan.Tetapi Hamka, yang nama penuhnya Prof. Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah, tetap berpegang kukuh pada pendiriannya. Bagi ulama yang juga seorang sasterawan ini, yang benar harus dikatakan sebagai benar. Dan sebaliknya, yang batil harus dikatakan batil. Apa pun risiko yang terpaksa dihadapinya. Bahkan ia menyatakan lebih baik berundur daripada Ketua Umum MUI daripada memansuhkan mencabut fatwa itu. Senario yang berlaku akhirnya demikian. Apabila tekanan daripada pemerintahan Suharto semakin kuat, Hamka memilih meletakkan jawatan yang disandangnya (l981). Keputusan itu adalah cerminan sikap bertanggungjawabnya yang tidak mahu umat Islam terjerumus dalam kesesatan. Ini kerana trend menyambut perayaan Natal secara bersama sedang berleluasa di tengah-tengah masyarakat. Atas alasan untuk mengukuhkan hubungan toleransi beragama, banyak ummat Islam yang terbabit sama.Padahal, menurut Hamka, perayaan Natal itu sesungguhnya termasuk peribadatan agama Nasrani. Dan apabila sudah masuk dalam ibadah, ummat Islam sepatutnya tidak mengikutinya. Atas dasar itu Majlis Fatwa MUI mengeluarkan fatwa haram hukumnya bagi ummat Islam mengikuti perayaan Natal agama Nasrani.Dasar pertimbangannya adalah pertama, umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan ibadah Islam dengan akidah dan ibadah agama lain (QS Al Kaafiruun 1-6 dan Al-Baqarah 42). Kedua, ummat Islam harus mengikuti/meyakini atas kenabian dan kerasulan Isa bin Maryam (QS Maryam 30-32, Al-Maidah 75, dan Al-Baqarah 285). Ketiga, yang berkeyakinan bahawa Tuhan lebih dari satu dan Isa Al-Masih itu anak Tuhan, adalah orang kafir dan musyrik. (Al-Maaidah 72-73, dan At-Taubah 30). Keempat, Nabi Isa pun tidak mendakwakan dirinya sebagai anak Allah (Al-Maidah 116-118). Kelima, Islam mengajarkan bahawa Allah SWT hanya satu (QS. Al-Ikhlaas ayat 1-4). Keenam, Islam mengajarkan agar ummatnya menjauhkan diri daripada hal-hal yang syubhah (samar-samar) dan hal yang dilarang Allah, serta mendahulukan hal-hal yang menolak kerosakan daripada yang mendatangkan kemaslahatan.Selama kepemimpinan Hamka, MUI dikenali sebagai institusi ulama yang tegas dan tidak memihak kepada golongan tertentu, malah menjadi institusi yang berperanan memberikan teguran dan bimbingan kepada pemerintah. Hamka dengan tegas menolak keinginan pemerintah untuk menguasai setiap keputusan yang bakal diambil MUI. Baginya, fatwa MUI tidak boleh dicampur adukan dengan urusan politik dan pemerintahan.Sikap tegas Hamka itu sesungguhnya bukanlah hal baru. Pada zaman pemerintah Sukarno, Hamka telah berani mengeluarkan fatwa bahawa haram hukumnya bagi Sukarno menikah lagi, kerana presiden tersebut telah mempunyai beberapa orang isteri. Fatwa itu tentu sahaja menyebabkan Sukarno marah. Kebetulan pada masa itu ia termasuk tokoh Islam yang berani menentang sikap pemerintah yang begitu rapat dengan Parti Komunis Indonesia (PKI). Pada pandangan Hamka, PKI adalah parti yang membahayakan keselamatan kehidupan beragama di negeri ini, kerana komunis tidak mengakui adanya Tuhan. Akibat sikap tegasnya itu, ia terpaksa meringkuk di penjara bersama tokoh parti Masyumi dan PSI kerana fitnah pertubuhan LEKRA, pimpinan Pramoedya Ananta Toer. Namun demikian, ia tidak berdendam dengan Sukarno. Terbukti ketika Bung Karno wafat, Hamka yang dilantik menjadi imam sembahyang jenazahnya.Selain dikenal sebagai ulama berkarisma, Hamka yang dilahirkan pada tahun 1908 juga dikenal sebagai seorang pujangga termasyhur. Sejak berusia 17 tahun, ia sudah menulis novel bertajuk Siti Rabiah. Aktiviti penulisannya itu ditentang oleh keluarganya. Sebab, sebagai seorang putera ulama besar, H. Abdul Karim Amrullah, kesukaannya menulis novel itu dianggap satu aib. Namun Hamka meneruskan kegemarannya itu untuk mencari jati dirinya dan berusaha keluar dari bayangan kemasyuran ayahnya.Pada usia 30-an, ia seolah-olah tidak meminati untuk menceburkan diri dalam kegiatan keagamaan dan menjadi seorang ulama, meski ia sendiri termasuk pendakwah muda Muhammadiyah di bandar Medan. Ia seolah-olah lebih berminat dengan bidang penulisan dan kewartawanan. Ini terbukti apabila bersama beberapa orang rakannya pada tahun 1936 ia mewujudkan majalah Pedoman Masyarakat. Dalam majalah inilah ia menulis tulisan bersambung yang di kemudian menjadi buku Tasawuf Modern yang merupakan antara karya popularnya hari ini. Walaupun tulisan itu adalah tulisan yang padat dengan kupasan ilmu-ilmu Islam, tetapi ia belum berjaya mengubah identiti diri Hamka yang masih dianggap sebagai seorang sasterawan.Ini mungkin disebabkan pada masa itu jugalah ia menulis novel Tengelamnya Kapal Van Der Wijk (1939) serta pelbagai cerpen yang mengharukan yang kemudian dikumpulkan dalam buku Menanti Bedug Berbunyi. Sewaktu ia pulang dari Makkah, Hamka menulis nover bertajuk Di Bawah Lindungan Ka'bah. Novelnya yang bertajuk Tengelamnya Kapal Van Der Wijk yang dianggap menciplak dari sebuah novel barat, menunjukkan bahawa Hamka waktu itu sudah banyak membaca sastera barat melalui terjemahan bahasa Arab. Dalam kes tuduhan plagiat ini, menurut banyak ahli sastera hal ini tidak terbukti. Menurut mereka, Hamka hanya terpengaruh oleh sastera barat dan hal itu adalah sesuatu yang wajar bagi seorang penulis.Pada 1949, Hamka kemudian berpindah ke Jakarta. Di Jakarta ia memulai kerjayanya sebagai pegawai kerajaan golongan rendah di Kementerian Agama yang pada waktu itu dipimpin oleh KH. Abdul Wahid Hasyim (ayah Gus Dur). Sebagai seorang intelektual yang hidup pada zaman perjuangan merebut kemerdekaan, Hamka pada tahun 1955 turut terbabit dengan dunia politik. Ia aktif dalam parti Masyumi. Namun, perjalanan politiknya turut berakhir apabila parti Masyumi, diharamkan oleh Sukarno.Setelah itu Hamka kembali kepada dunianya, iaitu dunia penulisan. Ia kemudian menubuhkan majalah baru, iaitu majalah Panji Masyarakat. Pada masa ini, tulisan Hamka yang memperoleh Doktor Honoris Causa dari Universiti Al Azhar Mesir pada tahun 1958 ini sudah lebih banyak berupa kajian-kajian ke Islaman yang mencakupi seluruh bidang. Pada masa ini pula, penanya berjaya melahirkan karya agungnya, Tafsir Al-Azhar. Yang hebatnya, tafsir ini berjaya diselesaikannya tatkala ia meringkuk di dalam penjara (1964).Selepas peristiwa kekejaman gerakan komunis yang membunuh tujuh orang jeneral 1965 dan berkuasanya Presiden Suharto, Hamka secara total berperanan sebagai ulama. Ia meninggalkan dunia politik dan sastera. Tulisan-tulisannya di dalam Panji Masyarakat sudah merefleksikannya sebagai seorang ulama, dan ini digambarkan dalam ruangan Dari Hati Ke Hati yang sangat baik perbahasannya. Kewibawaan Hamka sebagai seorang ulama lebih menonjol lagi ketika dia dilantik menjadi Ketua MUI pertama pada tahun 1975.Dalam banyak hal, Hamka dikenali sebagai seorang yang moderat. Paling tidak dari cara dia menyampaikan sesuatu yang selalu menampakkan hati dan fikiran berjalan seirama. Ia tidak pernah mengeluarkan kata-kata keras, atau kasar dalam berkomunikasi. Peribadi ini sudah ia tunjukkan dari sejak muda lagi. Ia lebih suka memilih menulis novel atau cerpen dalam menyampaikan panduan Islam. Hamka yang bergelar Datuk In Domo dalam suku Minang ini mengakui bahawa memang dia menjadi lebih moderat ketika usianya semakin bertambah."Ketika buku yang saya baca baru lima buah, saya cepat sekali menyimpulkan satu hal mengenai agama dan beremosi, tetapi ketika buku yang saya baca sudah lima puluh, saya menjadi lebih faham, dan tidak berasa perlu bersikap seperti itu," katanya suatu ketika.Namun begitu, bukan bermakna ia kehilangan sikap tegasnya. Ketika ia berasa umat kehilangan pedoman, ia kemudian mengeluarkan fatwa Natal tahun 1981 yang amat menggemparkan itu. Ia terpaksa mengambil sikap tidak sehaluan dengan pemerintah demi menjaga kesucian Islam. Meski keluar dari MUI, Hamka tetap menjadi tokoh ulama yang berpengaruh dan berkarisma. Fatwa dan nasihatnya tetap dinantikan oleh masyarakat. Ia juga tidak jemu-jemu memberikan nasihat dan panduan kepada pendakwah-pendakwah muda. Sampai akhir hayatnya, melalui majalah Panji Masyarakat, ulama yang lahir di Sungai Batang, Maninjau, Sumatera Barat ini tetap memberikan siraman rohani kepada umat Islam yang haus dengan nasihat-nasihatnya melalui tulisan-tulisannya dalam majalah berkenaan.Hamka meninggalkan pelbagai karya penulisan yang popular. Karyanya yang dibukukan berjumlah lebih kurang 118 buah, tidak termasuk pelbagai tulisan yang dimuat di pelbagai media massa. Tulisan-tulisannya meliputi pelbagai bidang kajian: politik, sejarah, budaya, akhlak, dan ilmu-ilmu keislaman. Pada 24 Julai 1981, ulama serba boleh ini me nemui Tuhannya. Pemergiannya adalah satu kehilangan besar yang sukar dicari pengganti sehingga ke hari ini.

Kisah Luqman dengan tiga pelacur


KISAH Luqman yang bijaksana ada termaktub dalam surah al-Luqman dalam al-Quran. Pengarang kitab Al-Kasyaf menjelaskan, dia adalah Luqman bin Baa'ura'. Hidup selama 1000 tahun, sehingga berjumpa dengan Daud a.s belajar ilmu dan pengetahuan daripadanya. Ibnu Abbas berkata bahawa Luqman bukan Nabi, juga bukan Raja, namun seorang penggembala, berkulit hitam, yang kemudian diberi kurnia kemerdekaan dan ilmu pengetahuan. Diriwayatkan oleh Sai'id bin Amir, ia berkata: " Telah bercerita kepada kami, Abu Ja'far, 'Luqman Al-Habasy' adalah seorang budak milik seorang lelaki. Suatu ketika dia dibawa ke pasar untuk di jual kepada seorang lelaki yang hendak membelinya, Luqman berkata:"Apa yang akan kamu lakukan terhadap diriku (setelah kamu beli nanti)?" Jawab lelaki itu, "Kamu akan ku suruh melakukan ini dan itu." "Aku mohon kepadamu agar mengurungkan niatmu untuk membeliku!" pinta Luqman. Sikap ini selalu diperlihatkan oleh Luqman kepada para calon pembelinya hingga datanglah calon pembeli lainnya. "Apa yang hendak kamu lakukan terhadap diriku (setelah kamu membeliku nanti)?" kata Luqman. "Kamu akan kuberi tugas sebagai penjaga rumahku," jawab lelaki calon pembelinya itu. "Jika demikian, aku mahu kamu beli!" kata Luqman. Laki-laki tersebut kemudian membayar dan mengajak Luqman pulang ke rumahnya. Majikan Luqman mempunyai tiga orang anak gadis yang menjadi pelacur di desa itu. Pada suatu ketika majikannya ingin pergi ke kebunnya. Sebelum berangkat dia berpesan kepada Luqman: "Aku telah menyiapkan makanan dan semua keperluan mereka di dalam bilik. Sepeninggalanku, kuncilah pintu ini dan kamu harus berjaga di sini pula. Dan janganlah sekali-kali kamu membuka pintunya sebelum aku kembali ke rumah!" Sejenak kemudian ketiga-tiga puteri majikannya datang dan berkata kepada Luqman, "Bukalah pintu ini!" Kerana telah menerima pesan dari majikan dan diamanahi untuk tidak membuka pintu dan namanya amanah akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak, maka Luqman pun menolak untuk membukanya. Akhirnya ketiga-tiga gadis itu marah dan mencederainya. Luqman kemudian membersihkan darah yang membasahi tubuhnya dan kembali berjaga di depan pintu. Ketika majikan pulang dia tetap merahsiakan perilaku ketiga puteri majikan terhadapnya. Pada hari berikutnya majikannya sekali pergi ke kebunnya. Sebagaimana sebelumnya dia berpesan kepada Luqman: "Aku telah menyiapkan makanan dan semua keperluan. Oleh kerana itu jangan membolehkan mereka membuka pintu ini!" Demikianlah, selepas pemergian ayahnya, ketiga puteri majikannya itu bergegas menemui Luqman dan berkata kepadanya: "Bukalah pintu ini!" Sementara itu Luqman masih tetap memegang amanah yang dibebankan kepadanya tetap tidak bersedia membukakanya sebagaimana pesan dari majikannya. Akan tetapi, ketiga gadis itu kembali menyerang dan melukai Luqman yang tetap duduk di tempatnya. Si majikan telah pulang ke rumah, Luqman sekali lagi tidak mahu menceritakan perihal perilaku ketiga puterinya. Melihat keteguhan hati Luqman, puteri tertua majikannya kemudian rasa simpatinya datang dan berkata: "Mengapa budak Habasyi ini lebih mengutamakan ketaatan kepada Allah S.W.T berbanding aku? Demi Allah, aku akan bertaubat!" Dan puteri sulung majikan Luqman itu pun bertaubat kepada Allah S.W.T. Si bungsu berkata, "Mengapa budak Habasyi dan kakak sulungku lebih mengutamakan taat kepada Allah S.W.T? Demi Allah, aku juga akan bertaubat." Demikianlah si bongsu akhirnya mengikuti jejak kakak sulung dan keduanya dengan bertaubat. Setelah mengetahui bahawa kakak mahupun adiknya telah bertaubat, puteri kedua majikannya berkata "Mengapa dua orang saudaraku dan budak Habasyi ini lebih mengutamakan taat kepada Allah S.W.T berbanding aku? Demi aku, aku akan bertaubat juga!" Akhirnya dia pun bertaubat. Setelah ketiga puterinya yang berkerja sebagai wanita penghibur itu bertaubat, maka rakan yang sama bekerja denganya di desa berkata,"Mengapa budak Habasyi dan ketiga gadis itu lebih mengutamakan taat kepada Allah S.W.T berbanding kami?" Hal tersebut mendorong mereka untuk bertaubat sebagaimana ketiga-tiga rakannya sehingga jadilah mereka sebagai orang yang beribadat di desa itu. Demikianlah bahawa hidayah datangnya bukan lewat, dakwah berupa ucapan tapi juga tindakan, atau amalan yang ditunjukkan oleh Luqman al-Hakim dalam memegang teguh amanah yang sudah menjadi tugasnya. Sehingga fitrah seorang manusia untuk selalu beribadah kepadaNya menjadi terpukul tatkala melihat seorang yang mampu menjalankan ibadah itu dengan baik.

Menyingkap Kecerdikan Imam Shafie

Ketika kanak-kanak sebayanya sering menghabiskan masa dengan bermain, Imam Shafie pula memperuntukkan banyak masanya untuk menghafaz dan menuntut ilmu. Beliau yang mempunyai ketajaman akal dan kecerdikan yang luar biasa ini telah menghafaz Al-Quran ketika berumur 9 tahun. Setahun kemudian pula, beliau menghafal kitab ‘Muwatta’’ karangan Imam Malik. Melihat keluarbiasaan ini, pernah seorang bertanya kepada Imam Shafie, bagaimana cara beliau menuntut ilmu. Beliau menjawab: “Bagaikan seorang perempuan yang kehilangan anak. Sedangkan dia tidak mempunyai anak selain dari yang hilang itu.” Begitulah kecintaan anak kelahiran Mesir ini pada ilmu. Kepapaan dalam hidupnya bukanlah penghalang beliau untuk tidak menuntut ilmu. Ayahnya telah meninggal sebelum beliau dilahirkan. Beliau sering mengikut ibunya setiap kali ada majlis ilmu. Ibunya yang tegas dengan hukum hakam sering mendidik beliau perkara halal, haram dan subahat sekalipun dalam soal pengambilan sebarang makanan. Dengan berkat penjagaan ini, Imam Shafie dianugerahkan Allah daya ingatan yang luar biasa. Disebabkan kehidupannya yang serba daif, Imam Shafie sering menggunakan tulang-tulang kering dan kertas-kertas bekas sebagai buku catatan. Bertahun-tahun lamanya sehingga bilik beliau penuh sesak dengan bahan-bahan bertulis itu hingga tiada ruang untuk melunjurkan kakinya. Akhirnya beliau pun mengambil keputusan untuk menghafal keseluruhan nota-nota itu. Berbulan-bulan lamanya Imam Shafie mengurung diri demi menghafal segala ilmu yang ditulis. Tulang-tulang itu kemudiannya dibuang setelah beliau menghafalnya. Setelah itu, buat pertama kalinya Imam Shafie mengembara ke Madinah untuk meluaskan ilmu. Setelah selesai solat di masjid Nabi itu, beliau terpandang ada seorang tua yang sangat hebat rupanya. Orang tua tersebut sedang bersyarah di hadapan anak-anak muda yang khusyuk pula mendengarnya. Orang itu ialah Imam Malik yang sedang mengajar murid-muridnya tentang hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Dengan langkah yang tertib, Imam Shafie pun menuju ke tempat Imam Malik dan duduk bersama murid-murid. Imam Shafie pun mengambil sebatang lidi lalu membasahkannya dengan air liur. Beliau menulis segala apa yang diajar oleh guru itu di atas tapak tangannya. Tanpa di sedari, Imam Malik memerhati segala tingkah lakunya. Selesai pengajian, Imam Malik pun memanggil Imam Shafie untuk menegur beliau. Sangkanya Imam Shafie berbuat perkara kurang sopan ketika belajar. Jawab Imam Shafie, “Maaf tuan. Sebenarnya saya tidak bermain-main. Oleh kerana saya tidak ada kertas, segala yang tuan ajar saya tulis di atas tapak tangan saya untuk menghafalnya.” Apabila Imam Malik membelek-belek tangan Imam Shafie, beliau tidak menjumpai sebarang tulisan pun. “Tetapi kenapa tapak tangan engkau ni kosong sahaja.” “Namun demikian tuan, saya telah pun menghafal semua hadis-hadis yang tuan riwayatkan itu.” Setelah disuruh beliau membaca apa yang dihafalnya, Imam Malik mendapati tidak ada satu hadis yang tinggal daripada 20 hadis yang diajar hari itu. Perkara yang aneh ini belum pernah terjadi sebelumnya. Semenjak peristiwa itu, Imam Shafie menetap di sana sebagai tetamu Imam Malik yang begitu tertarik hati dengan kebijaksanaannya. Selama 18 bulan Imam Shafie berguru dengan Imam Malik. Hatinya yang terang memudahkan beliau memahami dan menghafal kitab ‘Muwatta’. Murid kesayangan Imam Malik ini sering diberi penghormatan bersyarah dan mengajar murid-murid yang lain. Beberapa lama kemudian, Imam Shafie meminta izin kepada Imam Malik untuk menuntut ilmu di Kufah. Di bandar Kufah ini, beliau bertemu Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad bin Al-Hassan. Dengan pergaulan yang rapat itu, Imam Shafie dapat mencedok ilmu daripadanya. Kemudian beliau mengembara pula ke Palestin. Pengembaraan ini berlaku selama bertahun-tahun kerana ketika itu kenderaannya adalah unta. Rasa rindu untuk bertemu dengan Imam Malik mendorong Imam Shafie kembali ke Madinah. Di Madinah beliau diberi penghormatan oleh Imam Malik untuk memberi syarahan di masjid. Sehinggalah Imam Malik meninggal dunia. Semenjak itu nama Imam Shafie semakin terkenal. Kealiman, kecergasan dan akhlaknya semakin disukai ramai. Walaupun begitu, musuh yang ingin namanya tercemar ada di mana-mana. Beliau difitnah kononnya memimpin kaum Syiah untuk menentang Khalifah Harun Al-Rasyid. Beliau kemudiannya ditangkap bersama-sama puak Syiah yang lain. Berkat kealiman dan kefasihannya menjawab segala soalan, Imam Syafie bebas daripada sebarang tuduhan. Malah Khalifah memberikan hadiah sebanyak 1000 dinar kepadanya. Dengan wang itu, Imam Shafie menyedekahkan kepada pegawai-pegawai istana dan orang miskin. Pernah berlaku satu kejadian yang membuktikan kehebatan Imam Shafie. Ketika itu beliau bertamu ke rumah Imam Ahmad bin Hambal dan bermalam di sana. Apabila Imam Ahmad bertanya adakah beliau selesa bermalam di rumah itu, Imam Shafie menjawab; “Belum pernah saya merasa gembira seperti malam tadi. Semalam saya dapat menyelesaikan 100 masalah sambil berbaring.” Imam Ahmad pun memberitahu anaknya; “Begitulah keadaan Imam Shafie. Apa yang dikerjakan Imam Shafie lebih berguna daripada apa yang kita lakukan kerana ia berbuat untuk kepentingan umum.” Seperkara yang menarik dalam kehidupan Imam Shafie ialah tentang ibunya. Setelah bertahun-tahun lamanya meninggalkan tanah air, terdetik rasa rindu untuk pulang ke Mekah. Beliau pun meninggalkan kota Madinah dengan membawa berbagai khazanah yang berupa kuda, pakaian, emas serta makanan. Harta benda ini semua adalah hadiah orang kepadanya. Hendak ditinggalkan bimbang ada pula yang berkecil hati. Ketika Imam Shafie tiba di halaman rumahnya, ibu serta beberapa orang kampung telah sedia menunggu. Demi melihat harta benda yang terlalu banyak itu, ibu beliau terus bermuram durja. Fahamlah beliau, ibunya kurang senang melihat harta benda itu. Segera Imam Shafie meminta pandangan ibunya. “Agihkanlah segala harta ini kepada orang-orang yang lapar. Berikanlah haiwan-haiwan kepada orang yang tidak berkenderaan, wangmu berikan kepada orang-orang miskin sehingga tiada sebutir dinar yang tinggal.” Maksud ibunya berbuat demikian, supaya Imam Shafie tidak bergantung hidup pada hartanya tetapi menyimpan bekalan yang kekal iaitu ilmu di dada. Dengan kebolehan menghafal Al-Quran, hadis, faham pula dua bentuk aliran fikah, (aliran yang bersandarkan fikiran dan Ahlul hadis) dan sikapnya yang hidup zuhud, Imam Shafie menjadi rujukan umat di zamannya. Beliau telah menghasilkan satu bentuk ilmu fekah yang berada di tengah-tengah dua aliran tadi. Namun tetap beliau berkata, “Apa-apa yang kamu dapati daripada pendapatku yang bertentangan dengan al-Quran dan sunnah, maka tinggalkanlah!”.

Iskandar Zulkarnain penakluk agung

Iskandar Zulkarnain dikenali sebagai raja dan penakluk yang tiada tolak bandingnya. Di kalangan umat Islam, beliau dikenali sebagai Iskandar Agung. Manakala dalam masyarakat Barat, beliau dipanggil Alexander The Great. 

Namun, perbezaan nama itu menimbulkan persoalan yakni adakah kedua-dua nama itu orang yang sama ataupun tokoh yang berbeza. Persoalan ini masih belum terjawab. 

Di kalangan ulama dan para sarjana, mereka berbeza pendapat mengenai perkara ini kerana terdapat beberapa perbezaan dan ketidakselarasan cerita mengenai Iskandar Zulkarnain mengikut versi Islam dan barat.

Namun begitu A. Yusuf Ali, salah seorang ulama yang terlibat dalam menterjemah dan mentaksirkan al-Quran ke dalam bahasa Inggeris, menyimpulkan bahawa Iskandar Zulkarnain yang disebut dalam Quran dan sejarah Islam sama dengan Alexander The Great di barat. Perbezaan nama itu timbul kerana Raja Iskandar Zulkarnain menguasai empayar yang luas melangkaui dari benua Eropah sampai ke Timur Jauh. Beliau memerintah dua kerajaan dunia iaitu Timur dan Barat. Iskandar Zulkarnain pernah memimpin bala tentera ke Parsi, India, Bulchistan, dan Asia Tenggara. Malahan pernah belayar mengelilingi Semenanjung Tanah Melayu dan singgah di kota Medang Kamulan timur yang terletak di Kelantan.Di Medang, Iskandar Zulkarnain merancang untuk menguasai seluruh Kepulauan Melayu. 

Menurut catatan sejarah, Iskandar Zulkarnain berada Pulau Jawa selama 20 tahun untuk tujuan berdakwah. Setelah itu, beliau memimpin angkatan tenteranya menuju ke China. Kedatangannya mendapat tentangan yang hebat daripada Maharaja China. Tetapi bala tentera Iskandar Zulkarnain terlalu kuat dan akhirnya tentera China menyerah kalah.Maharaja China terpaksa menyerahkan bahagian timur Wilayah Shensi kepada Iskandar Zulkarnain. Beliau telah melantik seorang gabenor dan menamakan wilayah itu ‘Shang’ iaitu dari sebutan Cina ‘Yaksan’, nama asal Iskandar Zulkarnain. Selepas berjaya menguasai sebahagian wilayah Shang, China, Iskandar Zulkarnain meneruskan misi penaklukan ke negara Korea sebelum menyeberang ke Kepulauan Jepun. Dengan itu, tercapailah hasrat Iskandar Zulkarnain untuk sampai ke negara matahari terbit iaitu tempat yang paling hujung di sebelah timur.

Di setiap negara yang ditaklukinya, Iskandar Zulkarnain telah mengambil kesempatan untuk menyebarkan agama Nabi Ibrahim. Hampir tiga perempat dan penjuru dunia telah dijejaki oleh Iskandar Zulkarnain. Perihal ini ada disebut dalam al-Quran bahawa Iskandar Zulkarnain telah sampai ke negara matahari jatuh iaitu Norway dan terbit yakni Jepun. Sebab itulah beliau digelar “Zulkarnain” yang dalam bahasa Arab membawa pengertian “yang mempunyai dua tanduk”. Dua tanduk itu merujuk kepada dunia barat dan timur. 

Iskandar Zulkarnain dipercayai hidup lebih 3500 tahun yang lalu.Mengikut kitab Sulalatus Salatin, raja-raja Melayu merupakan keturunan Iskandar Zulkarnain. Ramai pengkaji sejarah meragui hubungan tersebut dan menyifatkannya sebagai percubaan penulis kitab itu untuk mengangkat martabat dan menunjukkan kehebatan serta kemuliaan raja-raja pada zaman dahulu. Sesetengah pula yang menyifatkannya sebagai mitos yang sengaja diadakan. 

Begitu juga legenda mengenai Iskandar Zulkarnain sengaja diperbesar-besarkan.Mengikut legenda barat, Raja Iskandar Agung pernah membina tembok gerbang besi bagi menyekat Yakjuj dan Makjuj yang lari ke sebuah gunung. Tujuannya ialah untuk mengelakkan kedua-dua makhluk ini daripada membuat onar dan mencetuskan huru-hara. Gerbang besi ini kononnya pernah ditemui oleh seorang pengembara China pada kurun ke-7 Masihi. Pengembara yang bernama Hiouen Tsiang menjumpai gerbang itu ketika dalam perjalanannya ke India. Beliau hanya menemui dua daun pintu yang diperbuat daripada besi dan digantung dengan loceng-loceng. Pintu gerbangnya sudah tidak wujud lagi. Keadaan ini mungkin disebabkan gerbang besi itu telah dirobohkan oleh orang-orang Monggol yang keluar menjelajah ke barat. Tembok gerbang besi itu dipercayai terletak di sebuah daerah yang bernama Hissar iaitu lebih kurang 150 batu dari Bukhara.

Kisah Iskandar Zulkarnain turut disebut secara tidak langsung dalam kitab Injil. Iskandar Agung atau Alexander The Great dibayangkan sebagai seorang raja yang gagah perkasa dan memerintah jajahan yang besar. Namun empayar jajahannya musnah selepas kematiannya. Josephus, seorang ilmuwan yang berbangsa Yahudi-Palestin yang hidup hampir sezaman dengan Nabi Isa a.s. pernah menulis secara panjang lebar mengenai lawatan Iskandar Zulkarnain ke Juruselam dan Baitul Mukaddis yang menjadi kota suci kepada orang-orang Yahudi, Nasrani, dan Islam.Baitul Mukaddis pernah diperintah oleh Nabi Sulaiman dan Nabi Daud. 

Selepas kewafatan kedua-dua nabi tersebut, orang Yahudi berbalah sesama sendiri dan menyebabkan kota itu jatuh ke tangan Iskandar Zulkarnain. Selepas Iskandar Zulkarnain meninggal dunia, Baitul Mukaddis jatuh pula ke tangan beberapa kuasa seperti Rom, Parsi, dan Islam. 

Sehingga ke hari ini, Baitul Mukaddis masih menjadi rebutan di kalangan orang-orang Islam, Yahudi, dan Nasrani dan menyebabkan pergolakan di Palestin masih menjadi isu yang tidak kunjung selesai.Yang lebih menarik dan pelik mengenai Iskandar Zulkarnain ialah beliau dikatakan pernah berguru dengan Aristottle, anak murid Plato, ahli falsafah Yunani yang terkenal. Justeru itu, timbul persoalan apakah Aristottle merupakan seorang yang beragama Islam kerana tidak mungkin bagi Iskandar Zulkarnain yang menganut ajaran Nabi Ibrahim mempelajari sesuatu yang bertentangan dengan akidah dan kepercayaannya. 

Bukan sekadar itu, Iskandar Zulkarnain juga dikatakan memperturunkan zuriatnya di Asia Tenggara, India, dan Parsi. Di antaranya ialah “Bharata” yang lahir di Pulau Jawa. Daripada “Bharata” pula lahir Anushirwan yang menjadi Raja Parsi dan turun kaum Pandawa serta Kaurawa dalam abad pertama Masihi.Nampaknya terdapat usaha daripada pelbagai bangsa dan kaum untuk menghubungkan keturunannya dengan Iskandar Zulkarnain. 

Jadi sudah tentu Iskandar Zulkarnain merupakan seorang tokoh dunia yang begitu hebat sehingga namanya disebut hampir dalam kebanyakan peradaban besar dan utama dunia. Setiap bangsa dan peradaban mempunyai panggilan yang tersendiri terhadap Iskandar Zulkarnain. Mereka cuba menampilkan sifat-sifat Iskandar Zulkarnain mengikut acuan serta nilai masyarakatnya. 

Oleh hal yang demikian, bukan suatu perkara yang menghairankan kalau Iskandar Zulkarnain mempunyai nama dan panggilan yang lain selain daripada Iskandar Agung dan Alexander The Great. Hal ini kerana pada hakikatnya kedua-duanya merupakan orang dan tokoh yang sama.

 *(rujuk comment yg penuh perbincangan, terima kasih buat semua yg masih menitik beratkan Tokoh-tokoh Islam yg agung tertarik dengan satu comment >>> ada buku dah tu boleh di cari di toko2 buku berdekatan)

Apa pun Sesungguhnya yang baik itu dari Allah yg buruk adalah kelemahan kita manusia yang diciptakanNya....

Walahu'alam...

Imam Malik Yang Mencintai Ilmu

Malik bin Anas bin Malik bin Abu Amir bin Amar bin Harits, dilahirkan di Madinah pada 93 Hijrah. Moyangnya Abu Amir berasal dari Yaman yang berhijrah ke Madinah untuk berguru dengan Rasulullah s.a.w dan menjadi antara sahabat baginda yang setia. Ibunya pula Aliyah Syuraik dan ada riwayat menyatakan ibunya mengandungkan dia selama dua tahun sebelum melahirkannya di Kampung Zuwarmah di utara Madinah. Malik dilahirkan pada zaman pemerintahan khalifah Umaiyyah keenam, Khalifah Al-Walid Abdul Malik Madinah yang terkenal sebagai pusat ilmu telah memupuk cintanya terhadap ilmu al-Quran dan hadis. Dia akan membuat satu simpulan tali setiap kali belajar sesebuah hadis untuk mengingatkannya jumlah hadis yang dipelajarinya. Punya daya ingatan yang sangat kuat, dan pernah suatu ketika gurunya, Ibnu Syihab menyampaikan 30 hadis, dia hanya mendapat 29 hadis saja; dia sanggup bertemu gurunya semula memintanya mengulang semula satu hadis yang tertinggal itu.Zaman remajanya, Malik pelajar yang sangat miskin sehingga terpaksa menjual kayu dari bumbung rumahnya yang runtuh untuk mendapatkan wang. Dalam usia 17 tahun, dia sudah mendalami pelbagai ilmu agama. Dia juga masih sangat rajin belajar walaupun selepas berumah tangga dan dikatakan mempunyai 900 orang guru yang separuh daripadanya adalah ulama tabien. Malik sangat mencintai ilmu hadis dan dikatakan, jika dia dipanggil untuk bercakap mengenai fikah, dia terus keluar dengan pakaian yang melekat di tubuhnya. Tetapi jika dia dipanggil untuk bercakap mengenai hadis, dia akan mandi, berpakaian kemas serta memakai harum-haruman sebelum keluar. Dia juga melarang orang bercakap nyaring dalam majlis hadis sebagai menghormati Rasulullah kerana hadis datangnya daripada Rasulullah. Malik menghabiskan 40 tahun untuk mengumpul hadis yang diterima daripada gurunya. Sebanyak 100,000 hadis dihafalnya, tetapi selepas disaring, hanya 10,000 diakui sah, yang kemudian dipadankan dengan firman Allah. Akhirnya, hanya 5,000 yang diterima sebagai benar-benar sabda Rasulullah. Hadis ini dihimpun dalam kitab pertamanya, al-Muwatta’.Ada riwayat menyatakan, khalifah kedua Bani Umaiyah, Abu Jaafar al-Mansur di Baghdad menggesa Malik supaya menulis ilmunya untuk dijadikan rujukan. Selepas mengumpul hadis itu, dia bingung memikirkan judul sesuai untuk kitabnya sehingga bermimpi dikunjungi Rasulullah yang bersabda kepadanya, “sebarkan kitab ini kepada manusia.” Akhirnya dia memutuskan untuk menamakan kitab sulungnya itu al-Muwatta’ bermaksud Yang Disepakati atau Tunjang atau Panduan. Kerana lamanya masa yang diambil untuk menyusun kitab ini, khalifah meninggal sebelum sempat menatapnya. Pada zaman pemerintahan Harun al-Rashid, al-Muwatta’ begitu dihormati sehingga khalifah mencadangkan kitab itu digantung di Kaabah sebagai lambang perpaduan ulama dalam hal agama tetapi dibantah Malik. Khalifah pernah mengutus Syeikh al-Barmaki untuk menjemput Malik mengajar di istananya. Sebaliknya Malik menjawab, “ilmu pengetahuan harus didatangi dan tidak disuruh mendatangi.” Utusan itu pulang ke Iraq dan menyampaikan pesan berkenaan. Khalifah menghantar dua anak lelakinya ke majlis ilmu Malik di Madinah. Ketika menunaikan haji, khalifah sempat menemui Malik dan memintanya membacakan kitabnya. Malik sebaliknya meminta khalifah hadir ke majlis ilmunya sahaja. Khalifah membalas, mahu mendengar kitab itu di rumah Malik sendiri tetapi Malik merendah diri menyatakan, kediamannya buruk, tidak sesuai untuk dikunjungi seorang amirul mukminin.Khalifah menghadiahkan 3,000 dinar emas kepada Malik untuk membina rumah baru. Hanya sedikit wang yang digunakan dan selebihnya diberikan kepada sahabat lain. Suatu hari, semasa khalifah di Madinah, sekali lagi Malik dijemput ke tempatnya untuk membacakan al-Muwatta’.Mulanya dia enggan tetapi akhirnya bertukar fikiran lalu ke tempat khalifah. Katanya, “saya harap janganlah tuanku jadi orang pertama yang tidak menghormati ilmu. Saya tidak menolak permintaan tuanku tetapi saya harap tuanku menghargai ilmu supaya Allah menghargai tuanku.”Khalifah bersetuju mengikut Malik ke rumah. Selepas duduk di kerusi khasnya, khalifah menegur kerana terdapat ramai orang lain di situ. Tetapi Malik membalas, “jika orang ramai tidak dibenarkan mendengar isi kitab ini, nescaya Allah tidak akan memberi rahmat kepada seorang pendengar pun.” Khalifah akhirnya bersetuju membenarkan orang lain mendengar sama.Malik menyuruh pelajarnya Ma’an membaca al-Muwatta’, tetapi sebelum pelajar itu membuka mulut, Malik mencelah, “Para pencinta ilmu sangat menghargai ilmu. Tiada sesiapa akan duduk lebih tinggi daripada ilmu.” Mendengar sindiran itu, khalifah turun duduk di lantai bersama yang lain. Antara sikap Malik, dia tidak pernah menolak hadiah yang diberikan kerana baginya ilmu pengetahuan memang wajar mendapat penghargaan, apatah lagi ilmu agama. Bagaimanapun banyak wang hadiah yang diberikan kepada pelajarnya. Hidupnya tidak mewah tetapi dia gemar berpakaian kemas kerana baginya pakaian yang kotor dan tidak senonoh akan menjatuhkan maruah ulama.Malik pernah berdepan cabaran hebat pada masa pemerintahan Abu Jaafar al-Mansur, ketika anak saudara khalifah, Jaafar Sulaiman menjadi gabenor Madinah. Gabenor muda dan tidak berpengalaman itu kurang menghormati ulama, apatah lagi ketika itu terdapat ramai yang mendengki Malik kerana kedudukannya.Termakan hasutan, Malik yang berusia 54 tahun ketika itu ditahan dan diseksa dengan 70 sebatan. Hukuman itu mencetuskan kemarahan orang Madinah, sangat membimbangkan khalifah di Baghdad, lantas Jaafar dipecat. Khalifah dengan rendah diri berjumpa Malik untuk meminta maaf dengannya. Hubungan baiknya dengan khalifahlah yang mendorongnya menulis al-Muawatta’ yang terkenal itu.Malik kembali ke rahmatullah pada Rabiulawal 179 Hijrah, dalam usia 90 tahun selepas menghidap sakit tua selama 20 hari dan dikebumikan di Baqi. Dia meninggalkan seorang balu, tiga anak lelaki dan seorang anak perempuan. Hanya anak perempuan tunggalnya, Fatimah yang mewarisi ilmunya mendalami al-Muwatta’. Seumur hidupnya, Malik tidak pernah meninggalkan Madinah kecuali ketika menunaikan haji ke Mekah. Namun dia berjaya mengumpul ramai pelajar yang datang dari luar Madinah. Pelajarnya yang ramai inilah bertanggungjawab melebarkan Mazhab Maliki ke seluruh pelusuk dunia.

Imam Al-Ghazali: Perintis Falsafah Islam

DALAM dunia falsafah Islam, Imam Al-Ghazali merupakan perintis awal yang sangat terkenal. Beliau yang mendapat gelaran “Hujjatul Islam” adalah ilmuwan ulung yang sangat berjasa terhadap perkembangan dunia keilmuan Islam. Nama lengkap beliau ialah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazali at-Tusi. Lahir di Tus, Khurrasan pada tahun 450H. Ayahnya merupakan seorang ahli sufi yang sangat warak dan kerjanya memintal dan menjual benang yang ditenun daripada bulu biri-biri dan turut mendedahkan anak-anaknya dengan asas ilmu tasawuf. Imam al-Ghazali mempunyai seorang saudara lelaki bernama Ahmad. Pada mulanya beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya sendiri dalam bidang Fikah dan kemudian meneruskan kembara ilmu ke Jurjan. Beliau pernah berguru dengan beberapa orang ulama terkenal pada zamannya, misalnya Imam al-Juwaini di Naisabur dan Nizam al-Muluk di Muaskar. Melalui Nizam al-Muluk, al-Ghazali diterima mengajar di Madrasah Nizamiyah di Kota Baghdad disokong kemahiran bermuhadharah sehingga menjadikan dirinya seorang Ilmuwan yang amat terkenal dalam bidang Fikah, Ilmu Kalam dan Falsafah pada zaman tersebut.Sebagai seorang ulama yang cintakan ilmu, beliau juga sering bermusafir dan mengembara dari sebuah negara ke negara yang lain bagi menambah ilmu dan menyebarkannya. Tidak hairanlah jika beliau sangat dihormati oleh pemerintah Bani Saljuk dan Abbasiah kerana ilmunya yang mendalam dan mempelopori bidang ilmu falsafah. Imam al-Ghazali berpegang pada prinsip bahawa ilmu dan keistimewaan para sufi tidak dapat dipelajari melalui buku-buku sahaja kecuali melalui pengalaman atau me rasainya sendiri. Falsafah beliau telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri para intelek Islam seperti ar-Rumi, Ibn Rusyd, Syah waliullah dan ramai lagi.Setelah beberapa lama mengembara dan mempertajamkan ilmu serta sikapnya sebagai seorang ulama sufi, al-Ghazali kembali ke Naisabur atas desakan Fakhrul Muluk, anak kepada Nizam al-Muluk untuk kembali mengajar di Madrasah Nizamiyah. Namun tidak beberapa lama setelah itu, Fakhrul Muluk mati terbunuh dan al-Ghazali kembali semula ke Tus dan membuka sebuah madrasah bagi menyebarkan ilmu dan mendidik orang ramai dengan kaedah sufi yang menekankan pendidikan hati.Asas-Asas Falsafah Al-Ghazali Menurut Al-Ghazali falsafah secara ringkasnya dikategorikan kepada enam aspek penting iaitu: matematik, fizik, metafizik (ketuhanan), politik, logik dan etika (akhlak). Malah menurutnya Islam tidak melarang mempelajari ilmu-ilmu seperti falsafah Greek asalkan ia tidak ber tentangan dengan Islam sebagaimana dibahaskan di dalam karyanya yang berjudul Tahafut al-Falasifah mengenai fizik dan metafizik yang mengatakan alam ini terurus dengan sendiri tanpa kawalan.Walaupun beliau bersetuju dengan sumbangan teori falsafah yang dipelopori oleh Aristotles dan Plato terhadap nilai keilmuan, namun tidak semua beliau terima kerana terdapat bahagian dari bidang falsafah yang bertentangan dengan akidah Islam.Dalam kitab al-Munqidz Min ad-Dhalal, al-Ghazali menyatakan bahawa para filsuf yang menganut pelbagai mazhab dan yang membawa pemikiran yang berciri kekufuran dapat dibahagikan kepada tiga golongan: a. Golongan ad-Dahriyyah (Aties) Golongan ini mengingkari adanya Tuhan. Kata mereka, alam ini ada dengan sendirinya. Seperti haiwan yang ada melalui mani dan mani dari haiwan tanpa kesudahan lingkarannya, demikian pula halnya dengan alam ini. Golongan ini adalah zindik.b. Golongan at-Tobi’iyyah (Naturalis) Golongan ini memusatkan perbahasan pada alam fizikal, terutama haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Keajaiban yang mereka temui menjadikan mereka mengakui adanya Pencipta yang Maha Bijaksana. Golongan ini berpendapat setiap jiwa akan fana dan tidak kembali lagi. Lantaran itu mereka mengingkari adanya hari akhirat, syurga dan neraka. Golongan ini juga termasuk zindiq. c. Golongan al-Ilahiyyah (Theis) Golongan ini muncul daripada dua golongan yang telah dinyatakan. Seperti Sokrates, Plato dan Aristotles. Kesan daripada itu, Aristotles telah menyanggah pemikiran para filsuf sebelumnya, tetapi dia sendiri tidak mampu membebaskan diri daripada sisa-sisa kekufuran. Namun ilmu-ilmu falsafah selain yang membincangkan sifat ketuhanan boleh diterima selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Sebagai contoh al-Ghazali menunjukkan satu contoh dalam ilmu matematik yang tidak dapat diingkari kebenarannya. Adapun dalam bidang ketuhanan al-Ghazali berpendapat pandangan para filsuf banyak bertentangan dengan agama Islam, sehingga ilmu dan pemikiran mereka wajib ditolak. Untuk maksud tersebut karyanya yang berjudul Tahafut al-Falasifah yang mengemukakan 20 masalah yang tidak sesuai dengan Islam (meliputi hal kufur dan bidaah) perlu diteliti oleh umat Islam hari ini. Konklusi yang dibuat oleh al-Ghazali di dalam perbahasan kitab tersebut meletakkan tiga aspek pertentangan antara filsuf dan Islam iaitu: 1. Filsuf menganggap qadimnya alam 2. Tuhan tidak mengetahui peristiwa-peristiwa kecil yang berlaku di bumi 3. Mengingkari kebangkitan semula jasad pada hari akhiratSebagai usaha untuk menyingkap pemikiran falsafah al-Ghazali, orang ramai bolehlah membaca karyanya Tahafut al-Falasifah dan Maqasid al-Falasifah.Perspektif Sarjana Islam Terhadap Al-Ghazali Para Ilmuwan Islam sama ada yang sezaman dengan beliau atau selepasnya amat tertarik dengan daya pemikiran dan falsafah yang diketengahkan beliau untuk tatapan umat Islam. Sebagai seorang pengkritik kepada filsuf beliau juga tidak terlepas daripada dipertikaikan sebagai seorang ahli falsafah. Contohnya Ibn Rusyd yang menulis sebuah buku berjudul Tahafut at-Tahafut sebagai jawapan balas terhadap dakwaan al-Ghazali yang menentang pemikiran falsafahnya. Walau bagai manapun perkara ini dianggap sebagai suatu kebiasaan para ilmuwan mendatangkan hujah dan dalil terhadap perselisihan pendapat di kalangan mereka.Perkara sebegini juga berlaku terhadap Plato apabila teori falsafahnya diperbetulkan oleh muridnya, Aristotles. Menurut Ibn Tufail dalam menghuraikan penentangan al-Ghazali terhadap aspek metafizik di atas tadi bahawa ia memang suatu kontradiksi daripada fikirannya dan ada lain pendapat yang mengatakan ia kesan perkembangan pemikiran al-Ghazali bermula daripada peringkat awal pendidikannya sehinggalah beliau mengalami pelbagai pengalaman dan peningkatan terhadap ilmu pengetahuannya.Selain sarjana Islam, orientalis barat dan penulis-penulis barat juga sering menulis tentang al-Ghazali. Antaranya ialah J.Wensik, Obbermana dan Cara De Vaux lantaran kekaguman terhadap teori falsafah Al-Ghazali. Walaupun begitu mereka yang sering mengikuti perkembangan al-Ghazali sering memberikan pandangan dan penafsiran yang berbeza-beza antaranya B.B Mc Donald yang menyifatkan al-Ghazali sebagai seorang tokoh yang terkenal di dunia Islam sebagaimana Augustinus dalam dunia Kristian. Malah Pascal, filsuf terkenal Perancis sering merujuk kepada pendapat al-Ghazali dalam falsafahnya. Karya Al-Ghazali Hujjatul Islam Imam al-Ghazali adalah ulama dan pemikir Islam yang sangat produktif dalam penulisan. Jumlah hasil tulisannya sehingga kini masih tidak dapat ditentukan dengan tepat secara definitif oleh para penulis sejarahnya. Ini kerana ada di antara kitab-kitabnya yang telah diterbitkan dan masih ada yang tersimpan dalam perpustakaan makhtutah negara-negara Arab. Walau bagaimanapun Abdurahman Badawi mengklasifikasikan karya Al-Ghazali kepada tiga kategori.Pertama kitab yang dikenal pasti dengan tepat sebagai karya al-Ghazali berjumlah 72 kitab. Kedua, kumpulan yang diragui terdiri daripada 22 kitab dan ketiga, kitab yang bukan karya beliau dapat dipastikan berjumlah 31 kitab. Kitab-kitab yang beliau tulis meliputi pelbagai bidang ilmu seperti ilmu al-Quran, akidah, ilmu kalam, usul fikah, fikah, tasawuf, mantiq, falsafah, kebatinan dan lain-lain. Antara karya beliau yang sangat berpengaruh ialah:1. Tahafut al-Falasifah 2. Ihya’ Ulumiddin 3. Al-Munqidz Min ad-Dhalal 4. Miskat al-Anwar 5. Maqasid al-Falasifah 6. Majalis Al-Ghazali 7. Al-MustazhariHasil karya beliau sering menjadi rujukan terutama dalam bidang falsafah ialah Tahafut al-Falasifah yang banyak membongkar pemikiran dan pendirian beliau. Karyanya ini merupakan jawapan dan pendirian terhadap falsafah yang bertentangan dengan akidah Islam. Inilah bukti yang menjadikan beliau ahli falsafah yang mempunyai keistimewaan. Dalam pencarian hakikat dan kebenaran yang sering mendorong dirinya menjadi seorang pengkaji yang bukan hanya mendalami ilmu malah mengamalkan keilmuan dan merasai dzuq seorang Muslim sejati. Imam al-Ghazali kembali ke rahmatullah pada tahun 505H dalam usia 55 tahun.