Monday, December 13, 2010

Tangisan Isam Bin Yusuf

"Dikisahkan bahawa ada seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk sembahyangnya. Namun demikian dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih baik ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasanya kurang khusyuk.

Pada suatu hari Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Asam dan bertanya: "Wahai Aba Abdurrahman (Nama gelaran Hatim), bagaimanakah caranya tuan sembahyang?"

Berkata Hatim: "Apabila masuk waktu sembahyang, aku berwuduk zahir dan batin." Bertanya Isam: "Bagaimana wuduk batin itu?"

Berkata Hatim: "Wuduk zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wuduk dengan air. Sementara wuduk batin ialah membasuh anggota dengan 7 perkara :
·  Bertaubat.
·  Menyesali akan dosa yang telah dilakukan.
·  Tidak tergila-gila dengan dunia.
·  Tidak mencari atau mengharapkan pujian dari manusia
·  Meninggalkan sifat bermegah-megahan.
·  Meninggalkan sifat khianat dan menipu.
·  Meninggalkan sifat dengki."

Seterusnya Hatim berkata: "Kemudian aku pergi ke Masjid, ku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku. Dan kubayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian Shiratul Mustaqim' dan aku menganggap bahawa sembahyangku kali ini adalah sembahyang terakhir bagiku (kerana aku rasa akan mati selepas sembahyang ini), kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik. Setiap bacaan dan doa dalam sembahyang ku faham maknanya, kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawaduk (merasa hina), aku bertasyahud (tahiyat) dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersembahyang selama 30 tahun.

Apabila Isam mendengar menangislah ia sekuat-kuatnya kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim. "

Friday, December 10, 2010

Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani wafat sebagai syuhada


Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

LEMBARAN akhir kitab Siyarus Salikin dinyatakan diselesaikan di Taif pada tahun 1203 Hijrah. SHEIKH Abdus Shamad al-Falimbani adalah seorang ulama sufi yang agung di Nusantara, beliau sangat anti terhadap penjajah dan ia telah menunjukkan kesanggupan luar biasa untuk berjuang demi ketinggian Islam semata-mata. Dua karya Sheikh Abdus Samad al-Falimbani yang paling popular ialah Hidayat as-Salikin dan Siyar as-Salikin. Nama lain untuk Hidayat as-Salikin ialah as-Salikin, diselesaikan tahun 1192 H/1778 M, yang merupakan terjemahan kitab Bidayat as-Salikin karya Imam al-Ghazali dengan tambahan-tambahannya yang cukup banyak.

Prof. Dr. Hamka menyebut dalam salah satu karangannya, bahawa setelah belajar di Mekah, Sheikh Abdus Shamad Palembang tidak pernah kembali ke tanah airnya Palembang, lantaran bencinya terhadap penjajah Belanda. Sebagaimana disebutkan bahawa yang sebenarnya menurut khabar yang mutawatir, dan bukti-bukti bertulis bahawa Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pulang buat kali pertamanya ke Nusantara bersama-sama sahahat-sahabatnya iaitu Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Sheikh Abdul Wahab Sadenreng Daeng Bunga Bugis, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan Sheikh Abdur Rahman al-Masri.

Diceritakan oleh Sheikh Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari dalam Syajaratul Arsyadiyah, bahawa gurunya menasihati mereka jika ke Mesir untuk mendalami ilmu pengetahuan, hal itu akan mengecewakan kerana Sheikh Abdus Shamad dan Sheikh Muhammad Arsyad Banjar itu bukan layak menjadi mahasiswa, akan tetapi layak menjadi mahaguru.

Di Mesir adalah sukar mencari ulama yang lebih tinggi pengetahuannya daripada ulama-ulama yang berasal Jawi itu. Tetapi gurunya tidak melarang maksud suci itu, namun gurunya itu menegaskan jika ke Mesir hanya ingin bertemasya melihat keindahan dan peninggalan-peninggalan kuno khas Mesir, hal itu adalah merupakan suatu ilmu pengetahuan perbandingan pula.

Sheikh Abdus Shamad dan kawan-kawan dikatakan sempat ke Mesir tetapi bukan belajar di sana melainkan ingin mengunjungi lembaga-lembaga pendidikan di Mesir ketika itu. Mereka bukan saja ke Kaherah tetapi termasuk beberapa kota kecil, bahkan sampai ke pedalaman dan di hulunya. Banyak madrasah dan sistem pendidikannya menjadi perhatian mereka bahawa mereka bercita-cita menerapkan kaedah Mesir yang agak berbeza dengan kaedah pendidikan di Pattani.

Sekembali dari Mesir, mereka tidak tinggal lama di Mekah mahupun Madinah. Setelah diizinkan oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman, maka mereka berangkat menuju ke Jeddah. Dari Jeddah mereka menumpang sebuah perahu layar, pulang ke tanah air. Berbulan-bulan di laut sampailah mereka di Pulau Pinang. Mereka kemudian menziarahi Kedah dan Perak, kemudian melalui jalan darat terus ke Singapura. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani walaupun telah dekat dengan negerinya Pattani namun beliau tidak pulang tetapi disebabkan semangat setiakawannya, beliau mengikuti teman-temannya ke Singapura.'
'Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani hanya sampai di Singapura saja, tetapi dalam riwayat lain ada yang mengatakan beliau menghantar sampai ke Betawi. Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dan Sheikh Muhammad Arsyad meneruskan pelayaran ke Betawi (Jakarta). Setelah di Betawi, pada satu hari Jumaat, mereka sembahyang di Masjid Kampung Sawah Jambatan Lima, Betawi. Walaupun masjid itu telah lama didirikan, menurut Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, dan Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari bahawa adalah arah ke kiblat masjid itu tidak tepat sebagaimana semestinya.
Orang yang hadir dalam masjid itu sangat hairan melihat mereka melakukan solat tahiyatul masjid jauh miring dari seperti apa yang dikerjakan oleh orang lain. Lalu ada yang bertanya dan dijawab oleh mereka bahawa arah kiblat menurut biasa itu adalah tidak tepat, dan yang betulnya seperti yang mereka lakukan dan. Maka, berlaku sedikit salah faham antara mereka dan hadirin tersebut.

Dengan tangkas Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari maju kemuka. Ia berdiri di depan sekali, diangkatkannya tangannya ke arah hadirin majlis Jumaat hari itu, sangat aneh dan ajaib sekali tiba-tiba saja yang hadir itu langsung dapat melihat Kaabatullah ke arah lurus tangan Sheikh Muhammad Arsyad itu. Suasana tenang kembali, tiada siapa berani membantah. Khalayak ramai maklum bahawa orang-orang yang melakukan solat tahiyatul masjid yang berbeza dengan mereka itu adalah para wali Allah yang ditugaskan Wali Quthub Sheikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman yang terkenal itu. Kononnya, mulai hari Jumaat itu arah kiblat diubah atau diperbetulkan dengan dibuat garis merah sebagai tandanya.

Peristiwa itu akhirnya diketahui penguasa Belanda, selaku kuasa penjajah pada zaman itu. Belanda menangkap Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari, dan Sheikh Abdul Wahab Bugis dan mereka dituduh sebagai pengacau keamanan. Mereka dibawa ke atas sebuah kapal yang sedang berlabuh di Betawi, di atas kapal itulah mereka disoal, dihujani dengan pelbagai pertanyaan yang sukar dijawab. Akan tetapi pihak Belanda sangat mengagumi pengetahuan mereka sehingga setelah tiga hari tiga malam, barulah mereka dibebaskan begitu saja. Setelah peristiwa itu barulah mereka kembali ke tempat kelahiran masing-masing. Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pulang ke Palembang, Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari pulang ke Banjar, kemudian Sheikh Abdul Wahab Bugis juga ke Banjar mengikut Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari.

Ramai meriwayatkan cerita yang menarik ketika Sheikh Abdus Shamad berada di negerinya Palembang. Oleh kerana rasa bencinya kepada Belanda, ditambah pula dengan peristiwa di atas kapal itu, beliau bertambah kecewa kerana melihat pihak Belanda yang kafir telah memegang pemerintahan di lingkungan Islam dan tiada kuasa sedikit pun bagi Sultan. Maka beliau rasa tidak betah untuk diam di Palembang walaupun beliau kelahiran negeri itu. Sheikh Abdus Shamad mengambil keputusan sendiri tanpa musyawarah dengan siapa pun, semata-mata memohon petunjuk Allah dengan melakukan solat istikharah. Keputusannya, beliau mesti meninggalkan Palembang, mesti kembali ke Mekah semula. Lantaran terlalu anti Belanda, beliau tidak mahu menaiki kapal Belanda sehingga terpaksa menebang kayu di hutan untuk membuat perahu bersama-sama orang-orang yang patuh sebagai muridnya. Walaupun sebenarnya beliau bukanlah seorang tukang yang pandai membuat perahu, namun beliau sanggup mereka bentuk perahu itu sendiri untuk membawanya ke Mekah. Tentunya ada beberapa orang muridnya mempunyai pengetahuan membuat perahu seperti itu.
Ini membuktikan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani telah menunjukkan keteguhan pegangan, tawakkal adalah merupakan catatan sejarah yang tidak dapat dilupakan. 

Pulang ke nusantara buat kali kedua
Setelah perahu siap dan kelengkapan pelayaran cukup, maka berangkatlah Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dari Palembang menuju Mekah dengan beberapa orang muridnya. Selama di Mekah, beliau bergiat dalam pengajaran dan penulisan kitab-kitab dalam beberapa bidang pengetahuan keislaman, terutamanya tentang tasauf, fikah, usuluddin dan lain-lain. Untuk menunjukkan sikap antinya kepada penjajah, dikarangnya sebuah buku tentang jihad. Buku yang penting itu berjudul Nasihatul Muslimin wa Tazkiratul Mu’minin fi Fadhail Jihadi fi Sabilillah wa Karamatul Mujahidin fi Sabilillah.
Kegiatan-kegiatannya di bidang penulisan akan dibicarakan pada bahagian lain.

Di sini terlebih dahulu diceritakan kepulangan beliau ke nusantara untuk kali kedua. Kepulangan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani kali ini tidak ke Palembang tetapi ke Kedah. Saudara kandungnya Sheikh Wan Abdul Qadir bin Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani ketika itu ialah Mufti Kerajaan Kedah. Seorang lagi saudaranya, Sheikh Wan Abdullah adalah pembesar Kedah dengan gelar Seri Maharaja Putera Dewa. Meskipun Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani lama menetap di Mekah, namun hubungan antara mereka tidak pernah terputus. Sekurang-kurangnya mereka berutus surat setahun sekal, iaitu melalui mereka yang pulang selepas melaksanakan ibadah haji.

Selain hubungan beliau dengan adik-beradik di Kedah, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani turut membina hubungan dengan kaum Muslimin di seluruh Asia Tenggara. Pada zaman itu hampir semua orang yang berhasrat mendalami ilmu tasauf terutama di sektor Tarekat Sammaniyah, Tarekat Anfasiyah dan Tarekat Khalwatiyah menerima ilmu daripada beliau. Beliau sentiasa mengikuti perkembangan di Tanah Jawi (dunia Melayu) dengan menanyakan kepada pendatang-pendatang dari Pattani, Semenanjung Tanah Melayu, dan negeri-negeri Nusantara yang di bawah penjajahan Belanda (pada zaman itu masih disebut Hindia Belanda).
Ini terbukti dengan pengiriman dua pucuk surat kepada Sultan Hamengkubuwono I, Sultan Mataram dan kepada Susuhunan Prabu Jaka atau Pangeran Singasari Putera Amengkurat IV. Surat-surat tersebut jatuh ke tangan Belanda di Semarang (tahun 1772 M). Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani telah lama bercita-cita untuk ikut serta dalam salah satu peperangan/pemberontakan melawan penjajah. Namun setelah dipertimbangkan, beliau lebih tertarik membantu umat Islam di Pattani dan Kedah melawan keganasan Siam yang beragama Buddha.
Sebelum perang itu terjadi, Sheikh Wan Abdul Qadir bin Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani, Mufti Kedah mengirim sepucuk surat kepada Sheikh Abdus Shamad di Mekah. Surat itu membawa maksud agar diumumkan kepada kaum Muslimin yang berada di Mekah bahawa umat Islam Melayu Pattani dan Kedah sedang menghadapi jihad mempertahankan agama Islam dan watan (tanah air) mereka. Dalam peperangan itu, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani memegang peranan penting dengan beberapa panglima Melayu lainnya. Ada catatan menarik mengatakan beliau bukan berfungsi sebagai panglima sebenarnya tetapi beliau bertindak sebagai seorang ulama sufi yang sentiasa berwirid, bertasbih, bertahmid, bertakbir dan berselawat setiap siang dan malam.

Banyak orang menuduh bahawa orang sufi adalah orang-orang jumud yang tidak menghiraukan dunia. Tetapi jika kita kaji beberapa biografi ulama sufi, termasuk Sheikh Abdus Shamad yang diriwayat ini adalah orang-orang yang bertanggungjawab mempertahankan agama Islam dan tanah air dari hal-hal yang dapat merosakkan Islam itu. Golongan ini adalah orang yang berani mati dalam menegakkan jihad fi sabililah. Mereka tidak terikat dengan sanak keluarga, material duniawi, pangkat dan kedudukan dan sebagainya, mereka semata-mata mencintai Allah dan Rasul dari segala apa pun juga.

Kepulangan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani ke Kedah memang pada awalnya bertekad demi jihad, bukan kerana mengajar masyarakat mengenai hukum-hukum keislaman walaupun beliau pernah mengajar di Mekah. Dipendekkan kisah akhirnya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dan rombongan pun berangkat menuju ke Pattani yang bergelar ‘Cermin Mekah’. Sayangnya kedatangan beliau agak terlambat, pasukan Pattani telah hampir lemah dengan keganasan Siam.

Sementara itu, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan pengikut-pengikutnya telah mengundurkan diri ke Pulau Duyung, Terengganu untuk menyusun semula langkah perjuangan. Pattani telah patah dan kekuatan lenyap dengan itu Sheikh Abdus Shamad pun berkhalwat di salah sebuah masjid di Legor. Ada orang mengatakan beliau berkhalwat di Masjid Kerisik yang terkenal dengan ‘Pintu Gerbang Hang Tuah’ itu. Para pengikut tasauf percaya di sanalah beliau menghilang diri tetapi bagi kalangan bukan tasauf, perkara ini adalah mustahil dan mereka lebih percaya bahawa beliau telah mati dibunuh oleh musuh-musuh Islam.

Mengenai tahun peperangan yang terjadi antara Kedah dengan Siam, dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah menyebut bahawa kejadian tersebut berlaku pada 1244 H bersamaan dengan 1828 M. Sungguhpun demikian, seorang ahli sejarah Kedah, Hj. Wan Shamsuddin, berpendapat bahawa kemuncak peperangan terjadi ialah pada 1254 H/1838 M, iaitu 10 tahun kemudian dari yang disebut oleh Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah itu. Oleh itu, yang mana yang lebih tepat antara 1244 H/1828 M atau 1254 H/1838 M, perlu kepada penyelidikan lanjut.

Kesimpulannya, kembalinya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani untuk kali yang kedua itu adalah juga merupakan tahun kepulangannya beliau ke rahmatullah sebagai seorang ‘syuhada’.

AL-FATIHAH

Syeikh Daud al-Fathani pengarang ulung Asia Tenggara


Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah SYEIKH Daud bin Abdullah al-Fathani bukan sahaja seorang ulama yang terkenal, tetapi juga seorang pengarang terulung di Asia Tenggara.

Sebahagian besar karya-karya beliau sangat terkenal di Asia Tenggara, bahkan masih digunakan untuk pengajaran dan dikaji oleh pelbagai golongan sehingga kini.

Beliau bukan sahaja terkenal dalam bidang fiqh, tetapi juga pelbagai bidang lain. Ini dapat dibuktikan melalui karya-karya beliau yang ditinggalkan sekalian lama, tetapi masih digunakan hingga kini dalam pelbagai peringkat.

Dalam artikel ini, penulis akan membicarakan maklumat ringkas tentang beberapa karya-karya beliau. Antara karya-karyanya adalah seperti berikut:

1. Bughyat al-Tullab

Kitab ini adalah kitab Fikah yang berkaitan bahagian ibadat yang dimulai dengan Sirat al-Mustaqim (1044 - 1054 H), karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri Aceh dan Sabil al-Muhtadin (1193 H), karya Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Tiga buah buku tersebut adalah tiga kitab Jawi besar yang terlengkap dalam perkara ibadat di alam Melayu.

Pada bahagian mukadimah, Syeikh daud al-Fathani mencantumkan beberapa hadis tentang ilmu pengetahuan dan sejarah ringkas Imam Syafie. Kitab ini telah banyak kali dicetak di Mekah, Mesir dan Turki pada masa dahulu dengan diusahakan oleh Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani dan kemudian diteruskan oleh ahli waris iaitu Syeikh Abdullah Daud al-Fathani, Syeikh Muhammad Daud al-Fathani dan Syeikh Nur Daud al-Fathani.

Manuskrip kitab ini yang berupa tulisan tangan tersimpan di Pusat Islam bernombor M.I.407, M.I.306, menyebut juga kitab bertajuk Perhubungan Bughyat al-Tullab, yang ditulis oleh Muhammad Salib bin Jaib pada 10 Safar 1275 H.

2. Al-Saidu wa al-Zabaih

Syeikh Daud al-Fathani hanya menyebut tarikh tulisannya pada hari Rabu 10 Safar, tanpa menyebut tahunnya dan ditulis di Mekah. Kandungannya membicarakan hukum penyembelihan, hukum pemburuan, hukum korban, hukum akikah, hukum binatang halal dan haram dimakan dan lain-lain yang ada kaitan dengan perkara-perkara tersebut itu.

Kitab ini juga banyak kali diterbitkan di Mekah, Mesir dan Turki. Manakala yang berupa manuskrip selain terdapat dalam koleksi penulis, tersimpan juga di Pusat Islam Malaysia yang bernombor M.I.246 dan 449.

3. Al-Bahjat al-Saniyat

Kitab ini juga hanya menyebut haribulan, iaitu selesai menulis pada hari Sabtu, waktu Asar 16 Safar tanpa menyebut tahun dan juga ditulis di Mekah. Adapun kitab Bahjat al-Saniyat ini merupakan terjemahan dan syarahan dari kitab gurunya Syeikh Ahmad al-Marzuqi. Asalnya adalah catatan imlak daripada ulama tersebut kepada Syeikh Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjar. Syeikh Syihabuddin pula adalah termasuk salah seorang murid Syeikh Daud al-Fathani. Syeikh Syihabuddin mencatat daripada imlak itu dengan bahasa Arab dan selesai menulisnya pada hari Selasa bulan Zulhijjah 1258 H.

Catatan imlak tersebut dinamakan dengan Aqidat al-Awam. Syeikh Ahmad al-Marzuqi menyuruh Syeikh Daud al-Fathani mensyarah kitab itu dan menterjemahkan sekali ke dalam bahasa Melayu. Kandungan kitab ini ialah tentang ilmu tauhid dan sekelian perkara yang ada hubungan dengannya.

Manuskrip kitab ini tersimpan juga di Pusat Islam Malaysia yang bernombor M.I. 224,295 dan 359. M.I.244 adalah tulisan tangan Mahmud bin Yusuf al-Jawi Tarkanu (Terengganu) pada 4 Rabiul Thani 1261 H. Ini bererti penyalin tersebut sempat menemui masa-masa kehidupan Syeikh Daud al-Fathani. Dapat diyakini bahawa beliau termasuk salah seorang murid Syeikh Daud al-Fathani, penyusun kitab tersebut.

4. Wasaya Al-Abrar Wa Mawaiz al-Akhyar

Tulisan tangan asli naskhah kitab ini penulis temui pada April 1989 M. Kitab ini merupakan terjemahan dan sedutan daripada karya Syeikh Muhammad bin Umar al-Ghamari al-Wasiti. Kitab ini sangat penting membahas bidang tasawuf yang sangat mendalam. Tarikh penulisannya juga tidak disebut oleh beliau.

5. Manhalush Shafi

Penulis menemui dua versi manuskrip tulisan tangan kitab ini iaitu yang ditulis oleh moyang penulis, Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, iaitu murid Syeikh Daud al-Fathani pada tahun 1276 H. Sebuah lagi adalah tulisan Wan Umar bin Wan Ahmad al-Jambu, tanpa menyebut tahun penulisannya.

Di Pusat Islam Malaysia, ternyata kitab ini termasuk yang terbanyak manuskripnya yang ditulis oleh ramai orang. Nombor-nombornya adalah M.I. 262, 354, 414, 429, 448, 467, 504, 603, 668, dan 669. Manuskrip tersebut ada yang cukup halamannya, ada pula yang tidak lengkap malah halamannya tidak teratur.

6. Munyat al-Mushalli

Syeikh Daud al-Fathani menyelesaikan kitab Munyat al-Mushalli ini dalam tahun 1242 H. Dalam beberapa naskhah terdapat perbezaan kenyataan haribulan. Contoh dalam manuskrip nombor M.I. 202 menyebut selesai menulis pada waktu Dhuha, hari Selasa 15 Zulhijjah 1242 H, manakala dalam M.I. 238 adalah waktu Isyak, malam Ahad bulan syawal 1243 H.

Cetakan pertama kali kitab ini ialah pada tahun 1310 H oleh Matbaah al-Miriyah Mekah. Cetakan pertama atas usaha waris dan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani sebagai pentashihnya. Di bahagian tepinya dicetak karya waris atau keluarga bernama Syeikh Abdullah bin Abdur Rahim Keresik al-Fathani bertajuk Risalah Yang Bernama Muhimmat.

Kitab Munyat al-Mushalli adalah kitab yang paling banyak digunakan untuk pelajaran sembahyang di seluruh Asia Tenggara, baik peringkat permulaan mahupun peringkat tertinggi. Sebelum kitab ini dicetak, salinannya juga banyak. Sebagai contoh, banyak tersimpan di Pusat Islam Malaysia yang bernombor M.I. 130, 132, 136, 152, 205, 238, 258, 392, 425, 469, 512, 585, 622 dan 727.

Kitab ini pernah diringkaskan dan diberi tajuk Pati Munyat al-Mushalli, juga pernah disyarahkan dengan diberi tajuk Syarah Munyat al-Mushalli. Keduanya diusahakan oleh waris keluarga Syeikh Daud al-Fathani, iaitu Tuan Guru Haji Nik Abdullah al-Jambu, Patani.

7. Bahjat al-Mardiyat

Kitab ini selesai ditulis oleh Syeikh Daud al-Fathani pada 14 Syawal 1259 H. Kitab ini biasa dicetak kembar sekali dengan kitab Munyat al-Mushalli dan sangat banyak kali diterbitkan sama ada percetakan tempatan mahupun luar. Malahan kitab ini masih terus beredar sehingga kini.

Isinya membicarakan tentang tatacara seorang makmum mengikut imam dalam sembahyang berjemaah. Ia meliputi perkara muafiq dan masbuq. Manuskrip kitab ini tersimpan di Pusat Islam dengan nombor 19, 136, 151, 152 dan 244.

8. Hidayat al-Mutaallim

Kitab ini selesai dikarang oleh Syeikh Daud al-Fathani pada hari Jumaat, 12 Jumadil Thani 1244 H. Manuskripnya bernombor M.I. 589 di Pusat Islam Malaysia adalah salinan Mustafa Haji Muhammad Hasan bin Tuan Abdur Rahman Candani pada 3 Jumadil Thani pada hari Sabtu, tanpa menyebut tahunnya. Salinan ini daripada salinan pengarangnya iaitu pada waktu Dhuha, hari Isnin 15hb. Syaaban 1248 H. Naskhah ini tidak lengkap, hanya dimulai dari perkara sembahyang dalam perjalanan. Naskhah nombor M.I. 382 juga tidak lengkap, hanya mencantumkan perkara Hadith empat puluh sahaja. Naskhah nombor M.I. 149 juga tidak lengkap, hanya membicarakan tasawuf, iaitu merupakan bahagian terakhir kitab ini.

Kitab Hidayat al-Mutaallim ini adalah kitab fikah yang terlengkap semua bab atau bahagiannya yang pertama sekali di Asia Tenggara. Kitab ini dicetak buat pertama kalinya oleh Matbaah al-Miriyah Mekah pada 1312 H. Sebelum dicetak telah ditashih oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani dan dibantu oleh murid dan anak saudaranya Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani.

Sumbangan beliau dalam Kesusasteraan Melayu Klasik

(A) Karya yang benar-benar bercorak sastera:

1. Kifayat al-Muhtaj fi Bayani Israwa al-Miraj.

2. Tarikh Patani, tahun 1228 H/1813 M.

3. Maulud Nabi, tahun 8 Muharam 1230 H/1815 M.

4. Saudagar Miskin, tahun 15 Ramadan 1233 H/1817 M.

5. Al-Muswaddah, tahun 9 Rabiulawal 1234 H/1818 M.

6. 'Iqdat al-Jawahir, tahun 20 Safar 1245 H/1829 M.

(B) Karya sastera dalam disiplin ilmu-ilmu lain:

i. Puisi/Syair/Nazam :

- Puisi-puisi nasihat yang dimuat dalam Jamul Fawaid, tahun 1239 H/1823 M.

- Puisi terjemahan Matan Zubad yang dimuat dalam Fathul Mannan li Safwatiz Zubad, tahun 20 Safar 1249 H/1833 M.

ii. Hikayat:

- Hikayat Nabi Yunus, dimuat dalam Ward az-Zawahir.

- Hikayat Hasan al-Asy'ari Berhujah Dengan Jubbai, dimuat dalam Ad-Durr ats-Tsamin dan Ward az-Zawahir.

iii. Manaqib:

- Manaqib Saiyidina Abu Bakar Shiddiq, dimuat dalam Fathul Mannan.

- Manaqib Saiyidina Umar al-Faruq, dimuat dalam Fathul Mannan.

- Manaqib Saiyidina Uthman bin Affan, dimuat dalam Fathul Mannan.

- Manaqib Saiyidina Ali bin Abi Thalib, dimuat dalam Fathul Mannan.

- Manaqib Imam Hanafi, dimuat dalam Ward az-Zawahir dan Fathul Mannan.

- Manaqib Imam Maliki, dimuat dalam Ward az-Zawahir dan Fathul Mannan.

- Manaqib Imam Syafie, dimuat dalam Ward az-Zawahir, Bughyat at-Tullab dan Fathul Mannan.

- Manaqib Imam Hanbali, dimuat dalam Ward az-Zawahir dan Fathul Mannan

- Manaqib Junaid al-Baghdadi, dimuat dalam Ward az-Zawahir.

iv. Sejarah/Tarikh

- Sejarah Perang Badar, dimuat dalam Ward az-Zawahir.

- Sejarah Perang Uhud, dimuat dalam Ward az-Zawahir.

v. Kisah/cerita

- Kisah Nabi Adam dan Hawa Dalam Syurga dan Sebab Keluar Keduanya Dari Syurga, dimuat dalam Ward az-Zawahir.

- Kisah Nabi Yusuf (a.s), dimuat dalam Jamul Fawaid.

- Kisah Nabi Sulaiman dan Balqis, dimuat dalam Ward az-Zawahir.

- Kisah Nabi Muhammad s.a.w. Membelah Bulan, dimuat dalam Ward az-Zawahir.

- Kisah Israk dan Mikraj Nabi Muhammad s.a.w. dimuat dalam Ward az-Zawahir dan Jamul Fawaid.

Karya-karya beliau yang telah ditemui, sama ada berupa manuskrip mahupun yang bercetak:

1. Kifayat al-Muhtaj, tahun cipta 1204 H.

2. Idah al-Bab, tahun cipta 1224 H.

3. Nahju al-Raghibin I, tahun cipta 1226 H.

4. Ghayat al-Taqrib, tahun cipta 1226 H.

5. Bulugh al-Maram, tahun cipta 1227 H.

6. Ghayat al-Maram, tahun cipta 1229 H.

7. Al-Dur al-Thamin, tahun cipta 1232 H.

8. Tuhfat al-Raghibin II, tahun cipta 1233 H.

9. Nahju al-Raghibin II, tahun cipta 1234 H.

10. Masauwaddah, tahun cipta 1234 H.

11. Kasyful Ghummah, tahun cipta 1238 H.

12. Jam'ul Fawaaid, tahun cipta 1239 H.

13. Minhajul 'Abidiin, tahun cipta 1240 H.

14. Kanzul Minan, tahun cipta 1240 H.

15. 'Aqidat al-Jawahir, tahun cipta 1245 H.

16. Fathul Mannan, tahun cipta 1249 H.

17. Jawaahirus Saniyah, tahun cipta 1252 H.

18. Sullamul Mubtadi, tahun cipta 1252 H.

19. Furu'ul Masail, ditulis mulai tahun 1254 H, selesai tahun 1257 H.

20. Bahjatul Mardhiyyah, tahun cipta 1259 H.

21. Al-Bahjatul Wardhiyah, tahun cipta 1259 H.

22. Matnu Hikam li al-'Allamah Ibni Ruslan (bahasa Arab).

23. Al-Tanbih (bahasa Arab).

24. Kaifiyat Salat Tarawih.

25. Fawaidul Fikri Imamil Mahdi.

26. Qismuz Zakati Bainal Asnaf.

27. Risalah Syathariyah wa Samaniyah.

28. Fatwa Berjual Beli dengan Kafir.

29. Hukum Haid dan Istihadhah.

30. Nubzah fi Bayan Syurutil Jumu'ah.

31. Ta'liqul Latif.

32. As-Shaidu waz Zabaaih, kandungannya perkara binatang yang halal dan haram menurut Mazhab Syafie.

33. Dhiyaaul Murid, ditulis sewaktu berkunjung rumah Sultan Muhammad Shafiuddin di Kampung Parit Dalam, Sambas, Indonesia.

34. Shifat Dua Puluh.

35. Terjemahan Bidayatul Hidayah..

36. Bisyaratul Ikhwan.

37. Kaifiyat Khatam al-Qur'an.

38. Muzakaratul Ikhwaan.

39. Risaalatus Saail.

40. Kifayatul Mubtadi.

41. Tanbih al-Ghafilin.

42. Risalah tentang Kelebihan Basamalah.

43. Risalah Kelebihan Hamdalah.

44. Risalah Jawab Persoalan.

Karya-karya beliau yang telah diketahui, tetapi belum ditemui:

1. Qisah Nabi Yusuf (a.s).

2. Hikayat Laki-laki yang Soleh.

3. Muqaddimat al-Kubra.

4. Al-Qurbu ila Ilah.

5. Kifayat al-Jawiyat.

6. Jinayat al-Taktub.

7. Taalluq bi Kalimat al-Iman.