Saturday, September 08, 2007

Tokoh2 Islam (Antara Ringkasan)

Ibn Bajjah
Umat Islam dipercayai telah sampai ke Sepanyol pada zaman sahabat lagi. Kedatangan mereka telah berjaya mempengaruhi kehidupan masyarakat di sana khususnya dalam bidang yang berkaitan keilmuan dan ketarnadunan. Bahkan kesan tamadun Islam masih dapat dilihat sehingga ke hari ini.

Ibn Maskawaih
Orang yang mengasaskan teori evolusi
bn Maskawaih atau nama sebenarnya Abu Ali bin Ahmad bin Muhammad bin Yaakub bin Maskawaih merupakan ilmuwan Islam yang terpenting. Walaupun pemikiran falsafahnya tidak banyak dibicarakan tetapi beliau telah mengemukakan berbagai-bagai teori falsafah penting yang menjadi asas kepada pemikiran falsafah tokoh-tokoh selepasnya.

Ibn Haitham
Kajian sainsnya digunakan oleh BaratIslam sering kali diberikan gambaran sebagai agama yang rnundur lagi memundurkan. Islam juga dikatakan tidak menggalakkan umatnya menuntut dan menguasai pelbagai lapangan ilmu. Kenyataan dan gambaran yang diberikan itu bukan sahaja tidak benar tetapi bertentangan dengan hakikat sejarah yang sebenarnya.

Jabir Ibn Haiyan
Bapa Ilmu Kimia
Jabir Ibn Haiyan (750-803 Masihi), yang lebih akrab dipanggil "Si Geber dari Abad Pertengahan" juga dikenali sebagai "Bapa Ilmu Kimia Dunia". Beliau yang nama penuhnya Abu Musa Jabir Ibn Hayyan, telah berhasil menempatkan dirinya sebagai ilmuwan terkemuka sejak dia mengamalkan bidang perubatan dan alkimia di Kufah (sekarang Iraq) di sekitar tahun 776 Masihi yang silam.

Badi'uzzaman Sa'id Nursi
Tokoh Mujahid dan Mujadid Islam Abad ke 14H
Setelah enam ratus tahun bertapak sebagai sebuah kerajaan agung, sejarah menyaksikan detik detik kemuncak kelemahan Kerajaan Uthmaniyah. Sebenarnya detik yang berlaku disekitar awal abad ke 14H itu, diancam oleh pelbagai serangan dalaman dan luaran secara terancang.

Ibn Rusyd
Ibnu Rusyd atau nama lengkapnya Abu Walid Muhammad Ibnu Ahmad lahir di Kardova pada tahun 1126. Beliau ahli falsafah yang paling agung pernah dilahirkan dalam sejarah Islam. Pengaruhnya bukan sahaja berkembang luas didunia Islam, tetapi juga di kalangan masyarakat di Eropah. Di Barat, beliau dikenal sebagai Averroes.

Al-Ghazali
Imam Al-Ghazali lebih dikenali sebagai ulama tasawuf dan akidah. Oleh sebab itu sumbangannya terhadap bidang falsafah dan ilmu pengetahuan lain tidak boleh dinafikan. Al-Ghazali merupakan seorang ahli sufi yang bergelar "hujjatui Islam".

Al-Farabi
Digelar Aristotle kedua.
Tulisan ahli falsafah Yunani seperti Plato dan Aristotle mempunyai pengaruh yang besar terhadap pemikiran ahli falsafah Islam. Salah seorang ahli falsafah Islam yang terpengaruh dengan pemikiran kedua tokoh tersebut ialah Al-Farabi.

Ibn Tufail
Ahli falsafah yang mendahului zaman.
Dunia Islam telah melahirkan ramai ahli falsafah yang hebat. Namun begitu, falsafah Islam tetap dianggap sebagai satu kelompok yang hilang dalam sejarah pemikiran manusia. Maka tidak hairanlah, sejarah lebih mengenali tokoh-tokoh falsafah Yunani dan barat jika dibandingkan dengan ahli falsafah Islam.

Ibn Qayyim
Menghuraikan falsafah ekonomi Islam.
Ibn Qayyim al-Jawziyyah (691/1292 - 751/1350) bukanlah tokoh yang asing dalam kalangan orang Islam, tetapi ramai yang tidak tahu pemikiran dan sumbangannya dalam falsafah ekonomi Islam. Ibn Qayyim banyak membincangkan konsep kekayaan dan kemiskinan, ekonomi dan zakat, konsep faedah, riba al-fadi dan riba al-nasiiah, dan mekanisme pasaran.

Al-Biruni
Ahli falsafah yang serba boleh.
Pada zaman awal kedatangan Islam, masyarakat Islam tidak begitu terdedah kepada ilmu falsafah. Walau bagaimanapun menjelang abad ke-3, para sarjana Islam mulai memberikan perhatian kepada persoalan dan pemikiran yang berkaitan dengan falsafah.

Al-Razi
Karyanya menjadi rujukan dunia Eropah.
Al-Razi merupakan seorang tokoh falsafah Islam yang banyak menimbulkan kontroversi dalam bidang ilmu falsafah. Sikap dan pemikirannya dikatakan cenderung kepada pemikiran dan teori ahli falsafah Yunani kuno seperti Plato. Oleh sebab itu, ramai dalam kalangan ahli falsafah muslim yang mengecamnya, mereka tidak setuju dengan sebahagian pendapatnya yang pro-platonisme.

Ibn Sina
Ibnu Sina merupakan doktor Islam yang terulung. Sumbangannya dalam bidang perubatan bukan sahaja diperakui oleh dunia Islam tetapi juga oleh para sarjana Barat. Nama sebenar Ibnu Sina ialah Abu Ali al-Hussian Ibnu Abdullah. Tetapi di Barat, beliau lebih dikenali sebagai Avicenna.

Ibn Khaldun
Kemukakan teori ekonomi Islam
Ibn Khaldun atau nama sebenarnya Wali al-Din Abd al-Rahman bin Muhammad bin Abu Bakar Muhammad bin al-Hasan lahir di Tunis pada 1 Ramadan 732H Keluarganya berasal daripada keturunan Arab Hadramaut yang pernah menetap di Serville, Italy, dan SepanyoL Akhirnya berpindah dan menetap di Afrika Utara semasa pemerintahan Hafs Abu Zakariyya, pemerintah Tunis pada waktu itu.

Malik Ben Nabi
Tokoh pemikir yang setanding dengan Iqbal
Malik Ben Nabi dilahirkan di Constantine, sebuah kota di Algeria Timur pada tahun 1906. Beliau mendapat pendidikan awal di sebuah Madrasah al-Quran di Perancis. Disebabkan kepintaran dan kepandaiannya, Malik mendapat biasiswa bagi meneruskan pengajiannya dalam kelas persediaan selama dua tahun di sekolah El-Djelis di Constantine.dan lain2 lagi....

Ummi Ruman diuji derita Aisyah

Kedudukannya sebagai isteri orang kanan Rasulullah s.a.w dan ibu kepada seorang Ummul Mukminin meletakkan namanya dalam senarai Muslimah yang dihormati dalam sirah Islam. Ummi Ruman binti Amir bin Uwaimir bin Abdu Syams bin Attab bin Uzainah bin Subaik bin Dahman bin al-Haris bin Ghunm bin Malik bin Kinanah, seorang perawi hadis, antara wanita pertama yang menyertai hijrah ke Madinah dan wanita yang banyak menghabiskan usianya untuk beribadah.

Ummi Ruman dikenali kerana dia isteri Sayidina Abu Bakar as-Siddiq, sekali gus ibu kepada wanita tersohor dunia Islam, Sayidatina Aisyah Abu Bakar. Pada zaman jahiliah, wanita ini pernah berkahwin dengan Abdullah bin al-Haris al-Azdi dan selepas kematian suaminya itu, dia berkahwin pula dengan Abu Bakar dan beroleh dua cahaya mata iaitu Aisyah dan Abdul Rahman.

Ummi Ruman dikenali sebagai wanita jelita dan kejelitaannya itu pernah diungkapkan oleh Rasulullah, ‘sesiapa yang ingin melihat wanita dari huril-ain (bidadari syurga) maka lihatlah Ummi Ruman.’ Kejelitaan Ummi Ruman barangkali yang diwarisi oleh puterinya, Aisyah yang kemudian menjadi isteri kesayangan Rasulullah.

Antara peristiwa paling berkesan dalam hidup wanita ini adalah saat puterinya dilamar oleh Rasulullah melalui seorang sahabat, Khaulah binti Hakim as-Sulamiyah. Dia terharu kerana lamaran itu datang daripada orang yang begitu dihormati dalam masyarakat. Namun sebagai ibu, hatinya bercampur baur ketika melepaskan anak yang masih terlalu remaja kepada lelaki lain.

Ummi Ruman bangga melihat puterinya bahagia bersama Rasulullah. Tetapi dia tidak menyangka fitnah telah menyebabkan rumah tangga anaknya bergoncang. Fitnah telah menyebabkan Aisyah kembali ke rumahnya dengan wajah dan perasaan murung, sekali gus meresahkan hatinya sebagai seorang ibu.

Api fitnah dicetuskan oleh kaum munafik yang diketuai Abdullah bin Ubay bin Salul selepas peperangan menentang suku Bani al-Mustaliq yang dipimpin Rasulullah dan disertai juga oleh Aisyah. Dalam perjalanan pulang selepas meraih kemenangan, pasukan tentera berhenti rehat di sebuah tempat tidak jauh dari Madinah.

Selepas berehat, mereka meneruskan perjalanan dan sampai di Madinah pada subuhnya. Bagaimanapun anggota rombongan terperanjat ketika mendapati unta yang dinaiki oleh Aisyah kosong dan mereka gagal menemui Ummul Mukminin itu. Rasulullah mengutuskan orang untuk mencarinya dan Aisyah ditemui menaiki unta yang dipegang oleh seorang sahabat, Safwan bin al-Mu’attal as-Sulami.

Aisyah terpisah daripada rombongan itu sewaktu mereka berhenti rehat di luar Madinah. Loketnya tercicir ketika dia keluar membuang air dan dia berpatah balik untuk mencari loket itu tanpa menyedari dia ditinggalkan. Dia menunggu jika Rasulullah datang mencarinya semula ketika ditemui oleh Safwan yang lalu di situ. Safwan juga merupakan anggota rombongan berkenaan tetapi terlewat di belakang kerana menguruskan urusannya.

Kepulangan Aisyah disambut Rasulullah dengan rasa syukur tetapi hal itu dijadikan bahan fitnah oleh Abdullah bin Ubay dengan menokok tambah cerita yang bukan-bukan. Berita itu tersebar di kalangan sahabat, malah turut disampaikan oleh sahabat terdekat Rasulullah. Ia menjadi buah mulut orang ramai selama sebulan dan akhirnya sampai ke telinga baginda sendiri, Abu Bakar dan Ummi Ruman.

Aisyah dapat merasakan Rasulullah semakin dingin terhadapnya selepas peristiwa dia dihantar oleh Safwan. Dia meminta kebenaran untuk kembali ke rumah orang tuanya. Dia begitu tertekan sehingga menyebabkannya jatuh sakit. Sebagai ibu, Ummi Ruman dapat merasakan kesedihan yang melanda puterinya. Dia tidak masuk campur tetapi memerhati dalam diam. Dia mendengar banyak umpatan tidak baik di kalangan orang ramai tetapi masih cuba mendiamkan diri.

Mulanya Aisyah tidak menyedari umpatan orang mengenai dirinya tetapi apabila telinganya sendiri mendengar hal itu, dia jadi marah kepada ibunya sendiri. “Sampai hati ibu mendiamkan diri. Semua orang berkata mengenai diriku. Ibu tahu tetapi tidak memberitahuku!” Ummi Ruman sangat serba salah mendengarnya dan cuba memujuk anaknya, “Jangan pedulikan cakap orang. Selalunya kalau seorang isteri itu cantik, disayangi suami dan mempunyai madu pula, memang ramai yang sakit hati.”

Rasulullah mengunjungi Aisyah dan tersentuh hatinya melihat isteri kesayangannya bengkak mata kerana banyak menangis. Abu Bakar dan Ummi Ruman pula mengambil sikap berkecuali. Kata Rasulullah kepada Aisyah, “Engkau tentu sudah dengar apa yang dikatakan orang ramai. Maka hendaklah engkau bertakwa kepada Allah. Jika engkau memang melakukan dosa seperti yang dikatakan orang, hendaklah engkau bertaubat kepada Allah kerana Allah sentiasa menerima taubat hambanya…”

Aisyah amat tersinggung mendengar kata-kata itu, seolah-olah dia memang melakukan dosa besar. Dia berpaling kepada ibu bapanya mengharapkan orang tuanya membantu mempertahankannya, “Ayah, ibu, mengapa tak menjawab? Katakan sesuatu!” Tetapi jawapan ibu bapanya, “Demi Allah, kami tidak tahu apa kami hendak katakan.”

Ummi Ruman paling terseksa melihat penderitaan anaknya. Selama 20 hari, dia melihat Aisyah dalam keadaan murung dan sakit. Dia yakin anaknya tidak bersalah tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa. Dia hanya boleh berdoa untuk kesejahteraan rumah tangga anaknya.

Akhirnya doa ibu itu dimakbulkan. Allah menurunkan wahyu yang membersihkan nama baik Aisyah melalui firman-Nya dalam surah An-Nur, ayat 11 hingga 23. Ummi Ruman begitu gembira dan menyuruh Aisyah mengucapkan terima kasih kepada Rasulullah yang menyampaikan berita baik itu. Tetapi Aisyah tidak mengendahkan arahan ibunya dan mengambil sikap tegas.

“Aku hanya berterima kasih kepada Allah semata-mata, yang telah membersihkan aku daripada tuduhan yang telah menghiris-hiris jantungku. Sebenarnya aku tidak menduga diriku yang hina ini akan mendapat perhatian dari langit, sehingga diturunkan wahyu untuk dibaca orang. Aku hanya mengharapkan turunnya berita yang memberitahu Nabi tentang diriku yang tidak bersalah ini saja. Tapi kini aku bersyukur kepada Allah yang Maha Rahmat, yang Maha Adil.”

Inilah antara ujian paling berat yang dilalui Ummi Ruman, yang menguji kekuatannya sebagai bonda kepada seorang Ummul Mukminin. Wanita ini meninggal dunia pada tahun enam hijrah dan Rasulullah yang mengiringi Ummi Ruman ke persemadiannya telah bersabda, “Ya Allah, ya Tuhanku, sebenarnya Ummu Ruman telah menderita pada jalan-Mu dan jalan Rasul-Mu.” Kata-kata ini telah diriwayatkan oleh Masruq dan dikeluarkan oleh Imam Bukhari dalam kitab sahihnya.

UMAR MUKHTAR: Singa Padang Pasir yang Digeruni

KEMERDEKAAN merupakan impian setiap manusia. Tiada manusia yang sanggup dibelenggu oleh penjajahan dan penindasan. Apabila hal ini berlaku, manusia akan tampil memberontak dan berusaha membebaskan diri mereka ataupun negara mereka dari cengkaman tersebut. Inilah yang dapat diperkatakan mengenai Umar Mukhtar, wira kebanggan rakyat yang namanya bersemadi di dalam hati sanubari rakyat Libya hingga ke hari ini. Sedari usia muda beliau bangun memperjuangkan kemerdekaan negaranya daripada dibelenggu oleh cengkaman kuasa fasis Itali walaupun akhirnya Umar Mukhtar terpaksa syahid di tali gantung. Namanya terpahat kukuh dalam tinta emas, menjadi inspirasi dan dianggap simbol keagungan dalam usaha membebaskan Libya daripada belenggu penjajahan.

Umar Al Mukhtar telah dilahirkan pada tahun 1862 dan merupakan putera kepada Mukhtar bin Umar dan Aiesha binti Muhareb. Dia berasal daripada suku Boray dan Al Manfah. Sebagai seorang remaja, beliau didoktrinkan berdasarkan ideologi gerakan Sanusiah. Pada usianya 16 tahun, ayahnya meninggal dunia semasa menunaikan haji ke Makkah, dan menjadikan dia seorang anak yatim pada usia yang muda. Mukhtar kemudian berpindah ke Jaghboub. Di sana, dia belajar di Institut Pengajian Tinggi dalam bidang Sains Islam selama 8 tahun.

Kerana kewibawaan, kepimpinan dan kecemerlangannya dalam segala bidang, dia memperoleh pengiktirafan yang tinggi daripada syeikh dan pemimpin Sanusi. Pada tahun 1897, dia telah dilantik oleh Sidi Al Mahdi sebagai Syeikh Zaywat AlíAqour. Pada bulan Oktober 1911, tentera Itali memulakan tindakan untuk menawan Libya. Rakyat Libya dengan sungguh-sungguh berjuang mempertahankan negara mereka walaupun dengan kelengkapan senjata yang kurang sempurna. Pada awal penjajahan mereka, tentera Itali memberi tumpuan kepada bandar-bandar di tepi pantai seperti Tripoli, Benghazi, Misrata dan Derna. Pertempuran yang hebat berlangsung di Al-Hani berhampiran Tripoli (23 Oktober 1911), Ar-Rmaila berhampiran Misrata, Al-Fwaihat dekat Benghazi (Mac 1912) dan Wadi Ash-Shwaer berhampiran Derna. Pertempuran-pertempuran yang lain berlaku di kampung, gunung dan padang pasir. Salah satu daripada pertempuran hebat yang berlaku di Ghertabiya dekat Sirt (April 1915) telah menyebabkan beribu-ribu tentera Itali terkorban.

Akibat kebencian dan kemarahan yang meluap-luap, rakyat Libya segera bangkit mempertahankan tanah air mereka. Umar Al Mukhtar diarahkan oleh Sidi Idris Al Mahdi mengetuai pertempuran. Beliau mengatur strategi dengan membentuk satu pasukan tentera yang digelar tentera Mujahidin dengan bersumberkan cukai yang meliputi cukai binatang ternakan dan bijirin. Rakyat Libya membantu pasukan Mujahidin dengan makanan, tentera dan bekalan senjata.

Walaupun selepas beberapa tahun berjuang Itali berjaya menawan Libya, namun pada peringkat awal mereka tidak dapat berbuat demikian kerana pejuang Mujahidin Libya seperti Umar Mukhtar dan para pengikutnya memberikan tentangan yang begitu hebat kepada tentera Itali. Mereka meninggalkan rumah dan bergerak menuju ke kawasan pergunungan untuk merancang dan melancarkan serangan terhadap tentera Itali. Pejuang-pejuang Mujahidin Libya lain yang turut gigih menentang pendudukan Itali ialah Ramadan as Swahili, Mohamed Farhat Az Zawawi, Al-Fadeel Bo-Omar, Solaiman Ai-Barouni dan Silima An Nailah. Umar Mukhtar bertanggungjawab menyusun semula gerakan tenteranya di Gunung Hijau (Aj-Jabal Al-Akdar, Timur Jauh) Libya dan melancarkan serang padu terhadap Itali selepas Perang Dunia 1. Pasukan Mujahidin menyerang troop tentera Itali di atas puncak bukit, hutan dan lembah Gunung Akhdar.


Pada tahun 1922, Itali mula tertakluk di bawah undang-undang fasis. Semua perjanjian yang telah ditandatangani dengan Sidi Idris As-Sanusi telah digantung dan polisi yang menindas dan zalim telah dikenakan terhadap Libya. As-Sanusi terbang ke Mesir pada tahun 1923 meninggalkan Umar Mukhtar yang bertanggungjawab untuk penentangan secara habis-habisan dalam keadaan serba kekurangan.

Apabila Itali merasakan bahawa mereka sukar untuk menghadapi tentera Mujahidin dan mungkin kehilangan Libya kepada pihak Mujahidin, pihak berkuasa Itali menghantar salah seorang pegawai tertinggi mereka, Badolio. Badolio menggunakan kaedah yang tidak berperikemanusiaan untuk menamatkan penentangan. Dia bukan hanya mengetuai penentangan terhadap Umar Mukhtar dan pengikut-pengikutnya tetapi turut bertindak menghukum penduduk-penduduk yang tinggal di bandar dan di desa dan menuduh mereka membantu tentera Mujahidin Libya. Di samping Badolio, kerajaan Itali yang diketuai oleh Mussolini turut menghantar Rodolfo Grasiani unttuk menyelesaikan masalah yang berlaku. Semasa Libya di bawah Grasiani beribu-ribu rakyat Libya yang tidak berdosa sama ada tua, muda, perempuan, dan kanak-kanak dibunuh secara kejam. Mussolini mengarahkan Grasiani melakukan apa-apa sahaja bagi menghadapi penentangan rakyat Libya.


Grasiani bersetuju ke Libya jika Mussolini membenarkan dia melakukan apa-apa yang di suka hatta termasuk membelakangi undang-undang yang sedia ada. Sebelum pergi ke Libya, terlebih dahulu pegawai yang kejam ini berkunjung ke Morj, Switzerland untuk bersuka ria dan pada masa yang sama merancang serangan bunuh terhadap rakyat Libya dengan berpandukan kepada motto yang dipegang oleh Mussolini, "Jika anda tidak bersama saya, anda menentang saya!" Ini bermakna satu cara terbaik untuk menawan negara tersebut dan mengawal rakyatnya adalah dengan membunuh! Akibatnya, semasa Libya berada di bawah penjajahan Itali, hampir separuh daripada rakyatnya telah dibunuh dengan kejam.

Kaum lelaki, wanita, orang tua dan kanak-kanak telah dizalimi dan dibunuh sama ada dengan menembak mereka, menggantung mereka di khalayak ramai dan membunuh secara tidak langsung iaitu dengan membiarkan mereka mati kelaparan, dan tidak diberi ubat apabila mereka sakit. Tindakan- tindakan kejam ini dilakukan demi untuk menunjukkan kepada dunia bahawa mereka berkuasa dan mampu menceroboh dan menawan negara lain, sama seperti kuasa-kuasa lain di dunia.

Perancangan Grasiani ialah memencilkan Libya sepenuhnya dan menghalang sebarang hubungan secara langsung atau tidak langsung antara Mujahidin Libya dengan jiran-jiran mereka yang selama ini membekalkan mereka dengan senjata dan maklumat. Grasiani telah membina tembok berwayar yang panjangnya sejauh 300km, tingginya 2 meter dan 3 meter lebar, bermula dari Pelabuhan Bardiyat yang terletak di utara Libya hingga ke Al-Jaghoub di Tenggara Libya, Perancangan beliau yang kedua ialah membina kem tahanan berpuusat di Al-Aghaila, Al-Maghroun, Solouq dan Al-Abiyar.

Pada penghujung November 1929, semua rakyat Libya tinggal di khemah di Al-Jabar Al-Akdar, Mortaf-Aat Al-Thahair, dari Utara Beneena hingga ke Ash- Shlaithemiya Selatan, dari Tawkera hingga ke selatan padang pasir Balt Abdul-Hafeeth. Semua penduduk daripada mana-mana kabilah, dipaksa meninggalkan tanah dan rumah mereka untuk sama-sama tinggal di kem tahanan berpusat. Kehidupan yang sangat menyedihkan di dalam kem tahanan seperti kelaparan dan berpenyakit telah menyebabkan beribu-ribu rakyat Libya menemui ajal mereka. Mereka yang dipercayai membantu pasukan Mujahidin telah digantung dan ditembak. Lebih 100,000 orang telah dipaksa ke kem tahanan di kawasan Baraqa. Daripada jumlah itu hanya 35,000 orang yang berjaya meneruskan kehidupan.

Marshall Roodolfo Graziani juga mengetuai kempen ketenteraan dengan menawan kumpulan Oasis Al Kufra, yang merupakan tulang belakang penentang. Di luar kem iaitu di kawasan pergunungan, pasukan Mujahidin kembali berjuang menentang pendudukan Itali. Umar Mukhtar tetap teguh dengan pendiriannya. Beliau sekali-kali tidak akan menyerah atau berputus asa. Beliau meningkatkan penentangan di Gunung Akhdar. Suku kaum dari daerah yang berhampiran turut menyertai beliau dalam perjuangannya.

Tetapi pada tahun 1931, pihak Mujahidin kehabisan bekalan makanan, maklumat dan bekalan senjata. Umar Mukhtar yang pada ketika itu telah berumur 80 tahun telah jatuh sakit beberapa kali. Ramai pengikutnya meminta beliau menggantung senjata dan meninggalkan negara tersebut. Beliau begitu marah apabila dinasihatkan meninggalkan perjuangannya selama ini dek kerana usianya yang sudah lanjut. Tetapi dengan semangat yang teguh beliau terus meneruskan perjuangan membebaskan negaranya. Atas dasar itu beliau telah digelar "Singa Padang Pasir".

Pihak Itali yang menyangka bahawa Umar Mukhtar boleh dibeli telah menawarkan beliau elaun sebanyak 50,000 lira Itali sebagai pertukaran untuk beliau menandatangani perjanjian perdamaian. Namun beliau enggan dengan berkata bahawa pendiriannya tetap teguh dan jitu. "Kita mempunyai sunnah Nabi Muhammad yang boleh membimbing kita dalam jihad kita," kata beliau memberikan kata-kata semangat kepada pengikut-pengikutnya.

Dalam usaha memerangkap Mukhtar dan orang-orangnya yang terperangkap di Gunung Akhdar, kerajaan Itali telah mengarahkan sempadan Mesir, Chad dan Sudan ditutup. Peristiwa ini dipanggil Italy Holocaust di Libya. Pada 12 September 1932, dalam satu misi pengintipan tentera Itali, selepas satu pertempuran yang sengit, Umar Mukhtar dan pasukannya telah diserang dan ditangkap. Kira-kira 40 orang pengikutnya telah terbunuh. Hanya beliau yang terselamat dan telah diserahkan kepada Komandan tentera Itali.#Umar Mukhtar telah ditawarkan pengampunan dalam usaha menukar pendirian beliau dan pengikut-pengikutnya agar menghentikan perjuangan. Tetapi tawaran itu telah ditolak oleh Umar Mukhtar dengan tegas. Beliau bersedia untuk menghadapi perbicaraan pada 15 September 1931. Perbicaraan itu merupakan suatu perbicaraan yang tidak adil yang hanya mengambil masa selama 75 minit. Hasil perbicaraan itu, Umar Mukhtar telah jatuhkan hukuman mati.#Hukuman mati itu berlangsung pada 16 September 1931 di bandar raya Solouq di hadapan 20,000 rakyat Libya. Hukuman mati yang dikenakan terhadap Umar Mukhtar telah dilaksanakan tanpa menimbangkan usianya yang telah lanjut dan tanpa mengikut undang-undang antarabangsa dan perjanjian semasa peperangan. Namun sewaktu hendak di tali gantung jelas kelihatan ketenangan di raut wajah Umar Mukhtar. Beliau sempat bersembahyang sunat sebelum dihukum gantung. Selepas dihukum gantung, Umar Mukhtar yang dianggap simbol pembebasan dan jihad Libya dengan segera telah dikebumikan di Ben-Ghazi. Makamnya telah dikawal dengan rapi oleh tentera Itali.

Kematian Umar Mukhtar telah mencetuskan bantahan daripada negara Arab dan negara Islam. Rakyat mengadakan demonstrasi jalanan dan sembahyang jenazah untuk beliau telah diadakan. Kematian Umar Mukhtar telah menyebabkan pergerakan pembebasan di Libya hilang arah tujuannya. Hal ini telah memudahkan kerajaan Rom mengisytiharkan Libya diletakkan di bawah pemerintahan tentera Itali pada 24 September 1932. Penguasaan Itali terhadap Libya berterusan sehingga Itali tewas dalam Perang Dunia Kedua dan Libya diletakkan di bawah penyeliaan Tentera Bersekutu sehingga 24 Disember 1951, apabila Libya mencapai kemerdekaan selepas beberapa tahun dijajah.

Pada tahun 1933, Pengerusi Jabatan Kesihatan dan Ketenteraan Itali, Dr. Todesky telah menulis di dalam bukunya Cerinaica Today, antara kandungan tulisannya berbunyi : Dari May 1930 hingga September 1930, dianggarkan kira-kira 80,000 rakyat Libya telah dipaksa meninggalkan tanah dan rumah mereka untuk tinggal di kem tahanan berpusat. Dalam satu-satu masa 300 orang telah dibawa ke kem tersebut dengan dikawal oleh tentera Itali bagi memastikan mereka tidak melarikan diri. Dr. Todesky menyambung, "Pada penghujung 1930, semua rakyat Libya yang tingal di dalam khemah telah dipaksa tinggal di dalam kem tersebut. 55% daripada mereka telah menemui ajal di dalam kem tahanan tersebut". Ahli sejarawan Libya, Mahmoud Al At-Taeb berkata di dalam wawancara dengan majalah Libya, Ash-Shoura (Oktober 1979) bahawa pada bulan November 1930, sekurang-kurangnya 17 upacara pengebumian diadakan di kem tersebut akibat mati kelaparan, penyakit dan kemurungan.

Apabila akhbar-akhbar dari seluruh dunia mempersoalkan tentang nasib buruk serta layanan yang tidak berperkemanusiaan yang diterima oleh rakyat Libya di dalam kem tahanan tersebut, tentera Itali mula mengambil perhatian dengan membekalkan makanan kepada rakyat Libya sebanyak 22 kg seorang untuk sebulan. Namun tindakan kerajaan Itali itu sudah terlambat kerana ramai rakyat Libya yang telah terkorban akibat kekejaman mereka.

Walaupun Umar Mukhtar telah meninggal dunia, jasa, perjuangan dan pengorbanannya menentang penjajahan telah menjadi inspirasi dan sentiasa bersemadi di dalam hati rakyat Libya mahupun masyarakat Arab dan Islam hingga ke hari ini. Lantaran itu, sebagai penghargaan kepada Umar Mukhtar:

• Libya mengisytiharkan kemerdekaannya pada 16 September, tarikh Umar Mukhtar dihukum gantung.

• Pada ulang tahun ke 56 kematian Umar Mukhtar, kerajaan Libya membina sebuah muzium untuk menunjukkan kepada rakyat senjata yang digunakan oleh Umar Mukhtar dan pengikut-pengikutnya.

• Mata wang kebangsaan Libya - dinar memaparkan gambar Umar Mukhtar.

• Pada tahun 1991, Umar Mukhtar telah dianugerahkan Yemeni Medal of Independence of The First Degree yang diterima oleh anaknya.

• Pada tahun 1940, kelab Umar Mukhtar telah ditubuhkan di Mesir. Persatuan lain juga telah ditubuhkan menggunakan namanya di seluruh negara Arab dan negara-negara Islam.

• Sebuah filem berdasarkan riwayat hidupnya lakonan Anthony Quinn telah diterbitkan.

Friday, June 22, 2007

Imam Bukhari mampu hafal 600,000 hadis

Imam Bukhari mampu hafal 600,000 hadisIMAM Bukhari atau sebenarnya Abu Abdillah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al-Mughirah bin Bardazbah bin Bazzabah al-Ja'fy’, seorang ulama yang cerdas. Beliau mempunyai daya ingatan sangat kuat apabila mampu menghafal tidak kurang 600,000 hadis.

Ahli hadis terkemuka ini lahir pada Jumaat tanggal 13 Syawal 194 Hijrah atau 21 Julai 810 dan wafat pada 30 Ramadan 256 Hijrah atau 21 Julai 860, pada usia 60 tahun.

Kekuatan hafalannya pernah diuji ulama besar di Baghdad, Iraq, ketika Imam Bukhari baru berusia 25 tahun.

Suatu hari, Imam Bukhari yang masih muda itu diundang ke Iraq untuk menghadapi 10 ulama besar.

Dalam pertemuannya, setiap ulama mengemukakan 100 hadis yang diputarbelitkan susunan kata-katanya dan Imam Bukhari diminta membetulkannya.

Selepas 10 ulama itu habis berbicara, Imam Bukhari mula menjawab dan memperbetulkan semua 100 hadis yang sudah diputarbelitkan itu secara satu persatu.

Malah, dengan tenang ditunjukkannya bahagian yang keliru, secara urutan dan terperinci sesuai dengan pertanyaan yang dikemukakan kepadanya tanpa ada yang tercicir.

Sejak itu, Imam Bukhari diakui sebagai ahli hadis terkemuka.

Ketika berusia 16 tahun, beliau mampu menguasai pelbagai ilmu. Malah pada umur 18 tahun, dapat mengarang buku yang bermutu iaitu Qadhaya As-Shahabah wat-Thabi'in atau peristiwa hukum pada zaman sahabat dan thabi'in.

Sewaktu kecil, kehidupannya sangat menderita. Selain anak yatim, Imam Bukhari baru dapat melihat ketika berumur sembilan tahun. Tetapi berkat ketekunannya, beliau akhirnya menjadi ulama besar.

Satu keistimewaannya adalah kekuatan hafalannya. Di samping itu, beliau teliti dalam menyaring hadis Nabi Muhammad SAW yang beredar ketika itu.

Beliau mengembara dari kota ke kota untuk menyaring kebenaran hadis yang dihafalnya apabila hanya sekitar 7,000 hadis yang dinyatakan sah!

Karyanya yang paling masyhur adalah kumpulan hadisnya bertajuk Al-Jami'us Shahih al Mukhtasar al-Musnad min Ahaditsi Rasulillah atau disingkat Jami' Shah Bukhari apabila isinya memuatkan 7,275 hadis sahih.