Monday, May 16, 2005
Imam Al-Ghazali: Perintis Falsafah Islam
DALAM dunia falsafah Islam, Imam Al-Ghazali merupakan perintis awal yang sangat terkenal. Beliau yang mendapat gelaran “Hujjatul Islam” adalah ilmuwan ulung yang sangat berjasa terhadap perkembangan dunia keilmuan Islam. Nama lengkap beliau ialah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazali at-Tusi. Lahir di Tus, Khurrasan pada tahun 450H. Ayahnya merupakan seorang ahli sufi yang sangat warak dan kerjanya memintal dan menjual benang yang ditenun daripada bulu biri-biri dan turut mendedahkan anak-anaknya dengan asas ilmu tasawuf. Imam al-Ghazali mempunyai seorang saudara lelaki bernama Ahmad. Pada mulanya beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya sendiri dalam bidang Fikah dan kemudian meneruskan kembara ilmu ke Jurjan. Beliau pernah berguru dengan beberapa orang ulama terkenal pada zamannya, misalnya Imam al-Juwaini di Naisabur dan Nizam al-Muluk di Muaskar. Melalui Nizam al-Muluk, al-Ghazali diterima mengajar di Madrasah Nizamiyah di Kota Baghdad disokong kemahiran bermuhadharah sehingga menjadikan dirinya seorang Ilmuwan yang amat terkenal dalam bidang Fikah, Ilmu Kalam dan Falsafah pada zaman tersebut.Sebagai seorang ulama yang cintakan ilmu, beliau juga sering bermusafir dan mengembara dari sebuah negara ke negara yang lain bagi menambah ilmu dan menyebarkannya. Tidak hairanlah jika beliau sangat dihormati oleh pemerintah Bani Saljuk dan Abbasiah kerana ilmunya yang mendalam dan mempelopori bidang ilmu falsafah. Imam al-Ghazali berpegang pada prinsip bahawa ilmu dan keistimewaan para sufi tidak dapat dipelajari melalui buku-buku sahaja kecuali melalui pengalaman atau me rasainya sendiri. Falsafah beliau telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri para intelek Islam seperti ar-Rumi, Ibn Rusyd, Syah waliullah dan ramai lagi.Setelah beberapa lama mengembara dan mempertajamkan ilmu serta sikapnya sebagai seorang ulama sufi, al-Ghazali kembali ke Naisabur atas desakan Fakhrul Muluk, anak kepada Nizam al-Muluk untuk kembali mengajar di Madrasah Nizamiyah. Namun tidak beberapa lama setelah itu, Fakhrul Muluk mati terbunuh dan al-Ghazali kembali semula ke Tus dan membuka sebuah madrasah bagi menyebarkan ilmu dan mendidik orang ramai dengan kaedah sufi yang menekankan pendidikan hati.Asas-Asas Falsafah Al-Ghazali Menurut Al-Ghazali falsafah secara ringkasnya dikategorikan kepada enam aspek penting iaitu: matematik, fizik, metafizik (ketuhanan), politik, logik dan etika (akhlak). Malah menurutnya Islam tidak melarang mempelajari ilmu-ilmu seperti falsafah Greek asalkan ia tidak ber tentangan dengan Islam sebagaimana dibahaskan di dalam karyanya yang berjudul Tahafut al-Falasifah mengenai fizik dan metafizik yang mengatakan alam ini terurus dengan sendiri tanpa kawalan.Walaupun beliau bersetuju dengan sumbangan teori falsafah yang dipelopori oleh Aristotles dan Plato terhadap nilai keilmuan, namun tidak semua beliau terima kerana terdapat bahagian dari bidang falsafah yang bertentangan dengan akidah Islam.Dalam kitab al-Munqidz Min ad-Dhalal, al-Ghazali menyatakan bahawa para filsuf yang menganut pelbagai mazhab dan yang membawa pemikiran yang berciri kekufuran dapat dibahagikan kepada tiga golongan: a. Golongan ad-Dahriyyah (Aties) Golongan ini mengingkari adanya Tuhan. Kata mereka, alam ini ada dengan sendirinya. Seperti haiwan yang ada melalui mani dan mani dari haiwan tanpa kesudahan lingkarannya, demikian pula halnya dengan alam ini. Golongan ini adalah zindik.b. Golongan at-Tobi’iyyah (Naturalis) Golongan ini memusatkan perbahasan pada alam fizikal, terutama haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Keajaiban yang mereka temui menjadikan mereka mengakui adanya Pencipta yang Maha Bijaksana. Golongan ini berpendapat setiap jiwa akan fana dan tidak kembali lagi. Lantaran itu mereka mengingkari adanya hari akhirat, syurga dan neraka. Golongan ini juga termasuk zindiq. c. Golongan al-Ilahiyyah (Theis) Golongan ini muncul daripada dua golongan yang telah dinyatakan. Seperti Sokrates, Plato dan Aristotles. Kesan daripada itu, Aristotles telah menyanggah pemikiran para filsuf sebelumnya, tetapi dia sendiri tidak mampu membebaskan diri daripada sisa-sisa kekufuran. Namun ilmu-ilmu falsafah selain yang membincangkan sifat ketuhanan boleh diterima selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Sebagai contoh al-Ghazali menunjukkan satu contoh dalam ilmu matematik yang tidak dapat diingkari kebenarannya. Adapun dalam bidang ketuhanan al-Ghazali berpendapat pandangan para filsuf banyak bertentangan dengan agama Islam, sehingga ilmu dan pemikiran mereka wajib ditolak. Untuk maksud tersebut karyanya yang berjudul Tahafut al-Falasifah yang mengemukakan 20 masalah yang tidak sesuai dengan Islam (meliputi hal kufur dan bidaah) perlu diteliti oleh umat Islam hari ini. Konklusi yang dibuat oleh al-Ghazali di dalam perbahasan kitab tersebut meletakkan tiga aspek pertentangan antara filsuf dan Islam iaitu: 1. Filsuf menganggap qadimnya alam 2. Tuhan tidak mengetahui peristiwa-peristiwa kecil yang berlaku di bumi 3. Mengingkari kebangkitan semula jasad pada hari akhiratSebagai usaha untuk menyingkap pemikiran falsafah al-Ghazali, orang ramai bolehlah membaca karyanya Tahafut al-Falasifah dan Maqasid al-Falasifah.Perspektif Sarjana Islam Terhadap Al-Ghazali Para Ilmuwan Islam sama ada yang sezaman dengan beliau atau selepasnya amat tertarik dengan daya pemikiran dan falsafah yang diketengahkan beliau untuk tatapan umat Islam. Sebagai seorang pengkritik kepada filsuf beliau juga tidak terlepas daripada dipertikaikan sebagai seorang ahli falsafah. Contohnya Ibn Rusyd yang menulis sebuah buku berjudul Tahafut at-Tahafut sebagai jawapan balas terhadap dakwaan al-Ghazali yang menentang pemikiran falsafahnya. Walau bagai manapun perkara ini dianggap sebagai suatu kebiasaan para ilmuwan mendatangkan hujah dan dalil terhadap perselisihan pendapat di kalangan mereka.Perkara sebegini juga berlaku terhadap Plato apabila teori falsafahnya diperbetulkan oleh muridnya, Aristotles. Menurut Ibn Tufail dalam menghuraikan penentangan al-Ghazali terhadap aspek metafizik di atas tadi bahawa ia memang suatu kontradiksi daripada fikirannya dan ada lain pendapat yang mengatakan ia kesan perkembangan pemikiran al-Ghazali bermula daripada peringkat awal pendidikannya sehinggalah beliau mengalami pelbagai pengalaman dan peningkatan terhadap ilmu pengetahuannya.Selain sarjana Islam, orientalis barat dan penulis-penulis barat juga sering menulis tentang al-Ghazali. Antaranya ialah J.Wensik, Obbermana dan Cara De Vaux lantaran kekaguman terhadap teori falsafah Al-Ghazali. Walaupun begitu mereka yang sering mengikuti perkembangan al-Ghazali sering memberikan pandangan dan penafsiran yang berbeza-beza antaranya B.B Mc Donald yang menyifatkan al-Ghazali sebagai seorang tokoh yang terkenal di dunia Islam sebagaimana Augustinus dalam dunia Kristian. Malah Pascal, filsuf terkenal Perancis sering merujuk kepada pendapat al-Ghazali dalam falsafahnya. Karya Al-Ghazali Hujjatul Islam Imam al-Ghazali adalah ulama dan pemikir Islam yang sangat produktif dalam penulisan. Jumlah hasil tulisannya sehingga kini masih tidak dapat ditentukan dengan tepat secara definitif oleh para penulis sejarahnya. Ini kerana ada di antara kitab-kitabnya yang telah diterbitkan dan masih ada yang tersimpan dalam perpustakaan makhtutah negara-negara Arab. Walau bagaimanapun Abdurahman Badawi mengklasifikasikan karya Al-Ghazali kepada tiga kategori.Pertama kitab yang dikenal pasti dengan tepat sebagai karya al-Ghazali berjumlah 72 kitab. Kedua, kumpulan yang diragui terdiri daripada 22 kitab dan ketiga, kitab yang bukan karya beliau dapat dipastikan berjumlah 31 kitab. Kitab-kitab yang beliau tulis meliputi pelbagai bidang ilmu seperti ilmu al-Quran, akidah, ilmu kalam, usul fikah, fikah, tasawuf, mantiq, falsafah, kebatinan dan lain-lain. Antara karya beliau yang sangat berpengaruh ialah:1. Tahafut al-Falasifah 2. Ihya’ Ulumiddin 3. Al-Munqidz Min ad-Dhalal 4. Miskat al-Anwar 5. Maqasid al-Falasifah 6. Majalis Al-Ghazali 7. Al-MustazhariHasil karya beliau sering menjadi rujukan terutama dalam bidang falsafah ialah Tahafut al-Falasifah yang banyak membongkar pemikiran dan pendirian beliau. Karyanya ini merupakan jawapan dan pendirian terhadap falsafah yang bertentangan dengan akidah Islam. Inilah bukti yang menjadikan beliau ahli falsafah yang mempunyai keistimewaan. Dalam pencarian hakikat dan kebenaran yang sering mendorong dirinya menjadi seorang pengkaji yang bukan hanya mendalami ilmu malah mengamalkan keilmuan dan merasai dzuq seorang Muslim sejati. Imam al-Ghazali kembali ke rahmatullah pada tahun 505H dalam usia 55 tahun.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment