Wahai Muslimah
Kelumbungmu hijab yang memelihara kehormatan kami.
Suatu rahmat bagi kami, kekuatan agama kami, asas umat kami.
Bibir putera-puteri kami mereguk susu di dadamu,
Sejak mula belajar menyebut kalimah La ilaha illallah,
Cintamulah yang mencorakkan pemikiran kami, kata-kata kami, amalan kami,
Panahan kilat kami beradu dalam awanmu,
Berkemilau di gunung, menyapu tanah pamah.
Wahai Muslimah Tinggi, tinggi, keinginan yang bergelut dengan dirimu!
Teladan sempurna,
Fatimah ‘Afifah itu,
Meskipun sekalian makhluk mentaati suruhannya,
Namun ia menenggelamkan iradatnya dalam keredaan suaminya yang salih.
Terdidik tabah dan rendah hati, Sedang bibirnya mentilawah kitab suci,
Ia memutar kisaran gandum di rumahnya
Insaflah sentiasa akan teladanmu, Fatimah
Agar dahanmu akan membuahkan Hussin yang baharu,
Taman sari kita berkembang mekar dengan zaman kencana.
Demikian bait-bait indah yang menggambarkan peranan wanita atau ibu dalam Islam. Syair ini ditulis oleh seorang tokoh sasterawan besar dalam sejarah dunia Islam. Beliau yang dimaksudkan ialah tokoh intelek dan falsafah Islam yang terkenal, ‘Allamah Muhammad Iqbal bin Nur Muhammad bin Rafi.
Idea dan falsafah perjuangan Muhammad Iqbal yang berdakwah melalui karya seninya telah diadun dan dijelmakan dengan penuh simbolik terutamanya untuk membangkitkan kesedaran dan membangunkan kekuatan umat Islam. Jika diteliti puisi-puisinya agak cenderung kepada aliran tasawuf. Walau bagaimanapun bentuk tasawuf yang diperjuangkan bukanlah ke arah yang melalaikan dan menidurkan umat Islam, tetapi lebih kepada membangkitkan semangat bekerja dan berjihad.
Dalam syair-syairnya sendiri Iqbal banyak menterjemahkan kesungguhannya untuk membakar semangat umat Islam agar sentiasa bergerak dan maju. Dalam sebuah sajak beliau berkata: “Umat Islam, bila ingin maju, harus mampu berpacu dengan waktu... Sekali umat Islam berhenti, bererti dia membiarkan dirinya tergilis dek sang waktu”. Menurutnya, umat Islam perlu mengambil peluang untuk menimba ilmu pengetahuan dari Barat jika ingin maju. Kalau tidak, umat Islam tetap di takuk lama. Yang penting ialah setiap individu mahu berusaha untuk bergerak maju.
Biarpun Iqbal dibesarkan dalam tradisi intelektual Barat namun beliau tidak menjadikan sistem Barat sebagai model ikutan. Tetapi tidak pula bermakna beliau anti-Barat. Beliau berpendapat, umat Islam harus mengambil daripada Barat ilmu pengetahuan dan kemajuan teknologinya.
Seniman Muhammad Iqbal ini dilahirkan pada 9 November 1877. Beliau dibesarkan dalam keluarga golongan menengah Punjab di Sialkot, (kini di Pakistan). Beliau dikatakan berketurunan Kashmir kerana datuknya, Shaikh Rafiq telah mengikut gerakan penghijrahan besar-besaran dari Kashmir. Kemudian menetap dan membina kehidupan baru di Sialkot.
Mengimbas zaman kanak-kanaknya, Muhammad Iqbal dan adik-beradiknya sudah terdidik dalam suasana keluarga yang mengutamakan aspek spiritual. Tambahan pula bapanya iaitu Shaikh Nur Muhammad dan ibunya, Imam Bibi sangat kuat berpegang kepada disiplin beragama. Setiap kali selesai sahaja solat subuh, Muhammad Iqbal akan membaca al-Quran.
Pernah suatu hari, ayahnya berkata, “Wahai Iqbal, bacalah al-Quran seolah-olah diturunkan untukmu!” Kemudian Iqbal menjawab, “Wahai ayah, sesungguhnya aku merasakan seolah-olah al-Quran berbicara denganku.” Hasilnya, elemen spiritual inilah yang banyak mempengaruhi karya-karya beliau dalam penulisan kreatif terutamanya dalam bidang sastera Islam. Oleh sebab itu tidak hairanlah, sebagai seorang pemikir, beliau memasukkan dimensi spiritual dalam khazanah pemikiran Islam.
Muhammad Iqbal juga percaya bahawa dengan menguasai bahasa asing selain bahasa Urdu dan Parsi, mampu mengembangkan minat serta ilmunya dengan lebih meluas.
Pada tahun 1895 beliau melanjutkan pelajarannya di sebuah kolej kerajaan di Lahore pada peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang falsafah, bahasa Arab, dan kesusasteraan Inggeris. Pada tahap ini Iqbal mula mengatur langkah untuk menulis puisinya secara serius dan meraih nama sebagai penyair bahasa Urdu sebelum berangkat ke England.
Pada tahun 1892 Muhammad Iqbal telah bertemu jodoh dengan Karim Bibi dan dikurniakan tiga orang anak. Malangnya perkahwinan mereka tidak kekal lama dan berpisah pada tahun 1916. Pada tahun 1905 beliau melanjutkan pengajiannya ke Eropah dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang undang-undang dari Universiti Cambridge dan Ijazah Kedoktoran dalam bidang falsafah dari Universiti Munich.
Pada tahun 1908 beliau kembali ke tanah air dan menceburi bidang undang-undang serta aktif menyampaikan ceramah di universiti-universiti India. Koleksi ceramah akademik beliau kemudiannya dibukukan dan diterbitkan dalam bahasa Inggeris dengan judul The Reconstruction of Religious Thought in Islam. Kesibukan beliau terhadap kerjaya tersebut tidak menghalang minat dan tumpuan beliau dalam bidang kesusasteraan.
Muhammad Iqbal banyak menggubah puisinya ke dalam bahasa Urdu, Parsi, dan Inggeris. Puisinya yang terkenal iaitu Asrar-e Khudi (The Secret of the Self) yang ditulis dalam bahasa Parsi. Dalam karyanya ini beliau menegaskan beberapa konsep tentang diri, prinsip kehidupan, alam semesta, dan asas kehidupan manusia. Begitu juga dengan koleksi puisinya yang kedua turut ditulis dalam bahasa Parsi iaitu Rumus-e Bekhudi (The Mysteries of Selflessness). Kali ini Iqbal mengimbang balas deria keegoan dan keindividuan dalam karyanya yang pertama dengan idea yang lebih menjurus kepada persaudaraan dan ibadah dalam Islam.
Bagi Iqbal seni ialah mahkota seniman. Penghayatan seorang seniman terhadap keindahan akan menimbulkan cinta yang mendalam. Dalam menyampaikan tugasnya, seorang seniman harus jujur dan bersungguh-sungguh dalam berkarya. Oleh sebab itulah karya-karya Muhammad Iqbal merupakan ekspresi perasaannya sendiri dan bukan hanya sekadar mewakili yang luar daripada dirinya.
Keistimewaan dan kebolehan Muhammad Iqbal bukan sahaja sebagai ahli falsafah dan tokoh pemikir malah beliau merupakan seorang tokoh mujaddid Islam terakhir abad ke-20 yang muncul dalam kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Secara tidak langsung beliau telah meletakkan dirinya ketika itu di tengah-tengah masyarakat Islam yang masih terjajah oleh Barat sebagai sasterawan dan pembina ketamadunan Islam.
Keadaan ini menyebabkan beliau muncul sebaris dengan tokoh-tokoh intelektual tradisional Islam sebelumnya seperti al-Razi, al-Farabi, Ibn Sina, dan al-Ghazali. Bezanya, beliau muncul dalam dunia kontemporarinya yang tersendiri. Bakat serta kebolehan beliau berkarya melalui puisi-puisi perjuangannya membangkitkan kesedaran umat Islam yang masih terjajah ketika itu. Secara tidak langsung beliau sebenarnya sebaris dengan tokoh-tokoh perjuangan yang membangunkan kemerdekaan masyarakat Asia seperti Jose Rizal, Sun Yat Sen, dan lain-lain.
Sumbangan besar Muhammad Iqbal ialah apabila beliau dianggap sebagai bapa pembentukan negara Islam Pakistan yang bebas merdeka daripada India. Selain itu dalam kesusasteraan Parsi, Iqbal diiktiraf sebagai salah seorang penyair modennya. Manakala dalam kesusasteraan Urdu beliau dianggap sebagai penyair agung abad ini oleh penutur bahasa Urdu baik di Pakistan mahupun India. Banyak puisinya menjadi madah dan kata-kata hikmat. Muhammad Iqbal terus memperjuangkan nasib orang Islam melalui penulisan puisinya sehinggalah beliau meninggal dunia pada 21 April 1938.
Sunday, July 24, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
7 comments:
alahamdulillah..
blog ni mmg bgs utk seorg penuntut ilmu seperti sy..
berguna jgk utk sy yg perlu akn maklumat2 ni..
cadangan sy..tmbh lg biodata dan maklumat tntg tokoh yg yg tlh membina nama melalui dakwah mrk yg berkaitan rapat dgn teknologi..
(islam dan teknologi)..
Insyaallah...
Jika ada artikel yg zana perolehi...
akan dipaparkan untuk koleksi diri dan manfaat bersama hamba Allah lain...
Insyaallah...
apa pun thanks atas cadangan..
atas keprihatinan...
Moga Allah memberkati sega-galanya...
Amin... Amin... Amin...
salam..sy rizman..sy sdg mencari buku syair2 iqbal..kalau ada sy nak pinjam...email sy cikgo_guri@yahoo.com...phone...0133748082...2 tahun sy mencari buku ni....minta jasa baik tuan/puan...facebook sy..email sama
Moga ada rahmat dariNya untuk saudara..
Saya doakan..
Insyallah.. Amin...
saya nak tya ckit..sy sedang cr sejarah tentang muhammad iqbal ne, tapi tentang kelahiran dia,ada yg tulis dia lahir pada 9 november 1877 dan ada yg tls 22 februari 1873..jd,yg mn satu yg btl
saya ada info tentang muhammad iqbal. segala buku ada di perpustakaan tempat saya belajar skarang. boleh add fb dan minta maklumat. menurut buku tersebut beliau lahir pada, ada dua kekeliruan disini, pada kulit buku 23 november 1923, manakala didalam isi kandungannya, 22 feb 1873 bersamaan zulhijjah 24, 1289 A.11. tak tahu yg mana... :)
Alhamdulillah... terimakasih atas perkongsian dan keprihatinan. Moga dibalas yg baik2 dari Allah... In shaa Allah... Amin ya Robb...
Post a Comment