Wednesday, March 30, 2011

Ibnu al-Zahrawi dan Ibu Nafis

Barat perakui sumbangan ilmuwan perubatan Islam kini

ILMU perubatan adalah antara sumbangan terbesar umat Islam kepada tamadun manusia. Dalam sejarah dunia, ramai ilmuwan Islam yang meneroka serta membuat pelbagai penemuan dalam bidang berkenaan.
Nama besar dalam bidang itu, Ibnu Nafis, Ibnu Zahrawi dan Ibnu Razi tidak asing lagi bukan saja kepada umat Islam, malah dunia Barat. Mereka telah menjadi pelopor dalam dunia perubatan dengan kajian yang membawa penemuan penting sehingga hari ini.

Ibnu Nafis atau nama sebenarnya Al-Hakim ‘Alauddin Abu al-Hasan Ali Abu al-Hazm al-Quraisyi al-Dimasyqi al-Misri adalah ilmuwan yang bertanggungjawab memberi penjelasan mengenai saluran pembuluh darah dalam badan manusia.


Dalam pengkajian dan analisis yang dibuat, beliau juga menemui sistem peredaran darah ke paru-paru, 300 tahun sebelum penemuan dibuat sarjana Barat, Harvey.


Bagi memastikan usahanya memberi manfaat kepada umat Islam khasnya dan masyarakat dunia amnya, Ibnu Nafis membukukan segala hasil penemuannya itu seperti buku yang menerangkan mengenai peredaran darah ke paru-paru.


Beliau mengakhiri penulisan kedoktorannya dengan sebuah ensiklopedia perubatan, Al-Shamil Fi al-Tibb, satu kajian menyeluruh seni perubatan yang merangkumi bidang pembedahan.


Bagaimanapun, hanya 80 jilid daripada 300 jilid yang dirancang dapat disiapkan Ibnu Nafis kerana beliau meninggal dunia. Manuskrip kitab ini banyak disimpan di Damsyik.


Selain seorang cendekiawan Islam yang mengkaji pembangunan dalam perubatan moden, Ibnu Nafis dikenali kerana kajiannya dalam ilmu logik (mantiq), falsafah, bahasa, ilmu bayan, hadis dan usul fiqh.


Seorang lagi tokoh Islam terkenal dalam bidang perubatan ialah Abdul Qasim Khalaf bin Abbas Al-Zahrawi (Abdulcassis) atau Al-Zahrawi iaitu doktor pembedahan dari Cordova yang sangat masyhur.


Karyanya, Kitab al-Tasrif (Buku Penganugerahan) iaitu suatu ensiklopedia perubatan menjadi panduan bagi doktor perubatan pada abad ke-16.


Tulisannya juga memberi penjelasan secara tersusun dalam perubatan Islam disertai ilustrasi alat yang digunakan.


Kitab ini dicetak pada tahun 1497 Masihi dalam bahasa Latin dan Yahudi dengan nama ‘medical Vademecum’.


Bab mengenai pembedahan dalam at-Tasrif adalah tesis pembedahan dengan ilustrasi pertama dalam bidang perubatan.


Buku itu terbahagi kepada empat bahagian, yang pertama mengenai (mengeluarkan darah) bagi penyakit ‘apoplexy’ (penyakit yang menghilangkan deria disebabkan pecahan darah dalam otak).


Bahagian kedua, mengenai pembedahan menggunakan pisau belah (skalpel) serta pembedahan mata dan mulut, bahagian ketiga pula pembedahan bagi pelbagai bentuk pecah tulang, terseliuh serta berkaitan kelahiran anak.


Bahagian terakhir buku itu membincangkan penyakit gigi dan cara merawatnya dan ia menjadi dasar bagi ilmu pergigian di Eropah.


Program Ilmuwan Islam melalui bahagian kedua mengenai bidang perubatan yang diterbitkan Mohd Zailan Abd Rahman, malam ini, turut mendapatkan pandangan pakar perubatan tempatan mengenai perkembangan perubatan moden.


Pakar perubatan, Prof Dr Nik Abdul Aziz Sulaiman berkata, kesinambungan pencapaian bidang perubatan yang berakar dalam abad pertengahan ini berkembang agak perlahan di dunia Islam berbanding dunia Barat selepas abad ke-18.


Katanya, faktor penjajahan Barat turut membantut perkembangan anak watan terutama mereka yang berada di dunia ketiga.


Beliau sendiri terpaksa mengharungi zaman peralihan kemerdekaan, yang berdepan dengan segala kekurangan tetapi suasana itu sedikit demi sedikit berubah.


Ramai generasi selepas beliau seperti Dekan Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Lokman Saim kini berjaya memberi sumbangan bermakna bukan saja di Malaysia, malah ke peringkat antarabangsa.


Dr Lokman adalah pakar perubatan pertama di Asia yang berjaya menjalankan Implan Koklear iaitu kaedah pembedahan memasukkan alat yang membolehkan pesakit menghadapi masalah pendengaran dapat mendengar semula.


Beliau juga adalah doktor perunding di Hospital Sek-zek, Lahore; Hospital Universiti Agha Khan, Karachi; Rumah Sakit Ripas, Brunei dan hospital di Jakarta.


Walaupun bergelar doktor pakar, keinginan menyelami nilai keperibadian sarjana Islam silam merubah paradigma ilmu perubatan menuju kemajuan mendorongnya melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, khusus dalam bidang pengajian Islam.


Profil


NAMA: Abul Qasim Khalaf ibn Al-Abbas Al-Zahrawi

GELARAN: Ibnu al-Zahrawi
TARIKH LAHIR: Tahun 936 Masihi
TEMPAT LAHIR: Zahra, Cordova, ibu negeri Sepanyol.
MENINGGAL DUNIA: Tahun 1013 Masihi
SUMBANGAN: Pakar bedah yang membincangkan mengenai pembedahan dan alat yang digunakan secara terperinci serta memberi sumbangan terhadap pembentukan ubat atau dos, teknik dan alat penyediaan ubat

NAMA: Al-Hakim ‘Alauddin Abu al-Hasan Ali Abu al-Hazm al-Quraisyi al-Dimasyqi al-Misri

GELARAN: Ibn al-Nafis
TARIKH LAHIR: 607 Hijrah/1210 Masihi
MENINGGAL DUNIA: 687 Hijrah/1288 Masihi
TEMPAT LAHIR: Damsyik
SUMBANGAN: Menemui sistem peredaran darah manusia

No comments: