Wednesday, April 13, 2005
Arwa berdakwah dalam syair
Keistimewaannya terletak pada kepintarannya bersyair dan fasih berbicara. Kelebihan itu melengkapkan lagi pakejnya sebagai wanita dari kalangan anak bangsawan Mekah. Arwa binti Abdul Mutalib bin Hashim merupakan ibu saudara Rasulullah s.a.w, antara orang pertama yang menerima Islam, juga tersenarai dalam kalangan mereka yang berhijrah ke Madinah serta banyak berjuang mempertahankan Islam.Di kalangan enam orang puteri-puteri Abdul Mutalib - Ummu Hakim (dikenali juga sebagai al-Baidhaa’), Atikah, Barrah,Umaimah, Arwa dan Shafiyah - hanya dia dan Shafiyah sahaja yang memeluk Islam. Ibunya bernama Fatimah binti Amru, tetapi ada riwayat lain menyatakan ibunya adalah Shafiyah binti Jundub. Pada zaman jahiliah, Arwa berkahwin dengan Umair bin Wahab bin Abdul Manaf dan mendapat anak lelaki bernama Kulaib. Selepas Umair meninggal dunia, dia berkahwin pula dengan Arta’ah bin Syurahbil bin Hashim dan beroleh cahaya mata perempuan bernama Fatimah. Puteranya, Kulaib (sesetengah riwayat menyatakan Tulaib) memeluk Islam di kediaman Abu Arqam bin Abu al-Arqam al-Makhzumi. Dia kembali ke rumah dan segera berterus-terang dengan ibunya, “Ibu, saya mengikut Muhammad dan saya memeluk Islam!”Arwa tenang mendengar lalu menjawab, “Sesungguhnya orang yang berhak kau bantu dan sokong ialah sepupumu (Muhammad). Demi Allah, jika aku berkuasa seperti lelaki, aku telah mengikutinya dan mempertahankan dirinya.”“Jadi, apa yang menghalang ibu untuk menerima Islam? Bukankah ibu boleh mengikut Muhammad seperti saudara ibu, Hamzah?” soal Kulaib. “Biarlah aku lihat dahulu apa yang dilakukan oleh saudara-saudara perempuanku. Kemudian aku boleh menjadi seperti mereka juga,” balas Arwa. “Saya pohon atas nama Allah, wahai ibu, supaya ibu datang kepada Muhammad, memberi salam kepadanya, kemudian mempercayai dan menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah,” kata Kulaib. Selepas menerima Islam, Arwa antara orang yang banyak mempertahankan Rasulullah. Dia pernah berhadapan dengan Abu Jahal dan Abu Lahab semata-mata mahu menegakkan kebenaran baginda. Malah dia mendidik anaknya, Kulaib, agar menjadi lelaki berani dan sentiasa berjuang bersama Rasulullah.Dalam suatu riwayat diceritakan mengenai Abu Jahal dan rakan-rakannya yang datang mengganggu Rasulullah. Kulaib datang mempertahankan sepupunya itu, lantas memukul Abu Jahal sehingga luka kepala lelaki kafir itu. Orang ramai segera meleraikan pergaduhan itu, menangkap Kulaib dan mengikatnya. Kemudian mereka pergi kepada Arwa untuk mengadu mengenai kelakuan anaknya.“Sebaik-baik hari Kulaib ialah pada hari dia menolak bahaya yang menimpa sepupunya. Bukankah dia membawa kebenaran di sisi Allah?” Arwa sengaja bertanya begitu kepada golongan kafir Quraisy.“Kalau begitu, kamu juga sudah mengikuti Muhammad?” kumpulan lelaki Quraisy itu menyoal dengan marah.“Ya!” tegas Kulaib.Kaum Quraisy kembali kepada Abu Lahab dan menceritakan kata-kata Arwa. Abu Lahab hampa dan kecewa. Dia lantas pergi ke rumah Arwa untuk berdepan dengan wanita itu. Mereka bertengkar dan Arwa mengambil kesempatan itu untuk berdakwah kepada Abu Lahab yang merupakan saudaranya juga. Kata Arwa, Abu Lahab sepatutnya sama-sama berjuang dengan Muhammad yang merupakan anak saudara mereka, bukannya menjadikan Muhammad sebagai musuh.“Kita ada seluruh kaum Arab di belakang kita. Dia hanya ada satu agama baru,” Abu Lahab berasa kalah dalam perdebatan dan keluar dari kediaman Arwa.Sepanjang hayatnya Arwa dikenali sebagai penyair yang hebat dan bermutu. Ada riwayat menyatakan, ketika bapanya Abdul Mutalib sakit, dia telah mengumpulkan semua puterinya dan meminta mereka menciptakan perkataan yang baik-baik untuknya. Abdul Mutalib mahu mendengar apa sahaja yang dikatakan oleh setiap puterinya. Setiap mereka maju ke depan dan membacakan syair masing-masing. Syair yang diciptakan Arwa antara yang paling menyentuh perasaan. Dia menciptanya khusus sebelum bapanya meninggal dunia. Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, Arwa juga telah menciptakan madah sempena memperingati kewafatan itu. Antaranya madah itu berbunyi, “Wahai Rasulullah, engkaulah harapan kami Engkau sentiasa lembut tidak pernah mengasariSebenarnya dalam hatiku ada kenangan untukmu Aku tidak akan kecewa lagi sesudah mengenalimu.”Arwa meninggal dunia tidak lama selepas kewafatan Rasulullah iaitu pada 15 Hijrah. Selain kedudukannya sebagai ibu saudara Rasulullah yang turut membantu berjuang menegakkan Islam, dia juga dikenang sebagai penyair yang menaikkan nama Islam dengan syairnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment