Wednesday, April 13, 2005
Fathimah penasihat yang dikagumi
Fathimah binti Al-Walid Al Mughirah merupakan salah seorang wanita yang memiliki pegangan teguh terhadap seseuatu perkara. Sifatnya yang berwibawa itu seharusnya dicontohi oleh kaum wanita Islam. Beliau selain bijak, berani mengeluarkan pendapat secara terbuka apabila menghadapi masalah. Keadaan ini menjadikan Fathimah seringkali menjadi tempat rujukan apabila menghadapi masalah. Setiap pandangan yang diberikannya itu akan diterima oleh setiap orang termasuk kaum lelaki. Sedangkan ketika itu di bumi Arab budayanya amat memandang rendah pada kaum wanita sehinggalah kedatangan agama Islam. Cahaya keimanan Islam mula menyinari hidup Fathimah ketika peristiwa penaklukan Kota Makkah. Beliau menerima Islam bersama suaminya Al-Haris bin Hisyam. Walaupun keislamannya agak akhir namun sikapnya amat terpuji. Fathimah bt. Al-Walid Al Mughirah ialah saudara Khalid Al-Walid panglima Islam yang terkenal. Sifat Fathimah yang suka memberi nasihat menyebabkan Khalid Al-Walid sering meminta nasihat Fathimah apabila menghadapi sebarang masalah yang kronik. Ibnu Asakir berkata: "Fathimah binti Al-Walid bin Mughirah adalah saudara Al-Walid. Dia ialah termasuk dalam kategori sahabat. Fathimah berangkat ke Syam bersama suaminya Al-Haris. Khalid yang pernah menakluk Parsi dan Rom sering meminta pendapat atau pandangannya". Ketika Khalid dipecat oleh Umat bin Khattab sebagai panglima perang, maka Khalid telah pergi menemui Fathimah untuk meminta pendapatnya. Lalu Fathimah memberikan cadangan untuknya agar menerimanya dengan tenang. Dengan senang hati Khalid menerima cadangan Fathimah, kemudian Khalid mencium kepala Fathimah sambil berkata, "Demi Allah, engkau benar". Khalid menerima baik cadangan Fathimah itu kerana Khalid tidak mahu membohongi dirinya sendiri. Fathimah meriwayatkan hadis daripada Rasulullah s.a.w. mengenai izar atau kain penutup sejenis jubah. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Uqaili bahawa Fathimah berada di Syam dengan memakai jubah yang dibuat daripada sutera bercampur bulu. Kemudian ia memakai izar, lalu orang-orang bertanya kepadanya: "Untuk apa engkau memakai izar?" Dia menjawab: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. menyuruh memakai izar." Itulah contoh saudara perempuan yang jujur dan benar, yang sentiasa suka memberi nasihat dan bermesyuarat. Di saat Khalid bin Al-Walid, si Pedang Allah datang kepada Fathimah untuk meminta cadangannya ketika ia menemui masalah, maka Khalid menerima saranannya itu dengan baik. Begitulah keperibadian saudara perempuan Khalid bin Al-Walid sebagai seorang wanita yang jujur dan benar serta bertanggungjawab. Sikap ini seharusnya menjadi teladan bagi kaum wanita Islam sekarang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment