Friday, April 20, 2012

TUAN HUSAIN MOHD NASIR AL-MAS'UDI AL-BANJARI (1863-1935)


SINOPSIS

Tuan Husain atau Tuan Husain Mohd Nasir al-Masu'di al-Banjari.Beliau adalah seorang guru dan pengarang kitab agama yang dihormati oleh masyarakat Islam di utara dan Nusantara amnya.Tuan Husain dilahirkan di Titi Gajah,Kedah pada 20 Jamadilawal 1280H bersamaan 1863M.Asal usul keturunan Tuan Husain sebenarnya dari Kelampaian, Martapura, Banjarmasin.Walau bagaimanpun, nenek moyangnya sudah begitu lama berhijrah ke Kedah.Pada zaman kecilnya, Tuan Husain dipelihara oleh datuknya, Haji Mohd Taib yang juga ulama terkemuka di Kedah pada abad ke-19.Datuknya sendiri mengajar ilmu agama dan bahasa Arab kepadanya. Menjelang usia 19 tahun, Tuan Husain berjalan kaki ke Pattani untuk mendalami ilmu agama.Tuan Husain kemudiannya berhijrah pula ke Kelantan.

Pada tahun 1883,beliau menumpang tongkang ke Terengganu.Tuan Husain sebenarnya amat dahagakan ilmu.Ini menyebabkan beliau mengembara hampir ke seluruh Nusantara.Dari Melaka beliau ke Medan dan Aceh. Beliau dijodohkan dengan anak Penghulu Wahab yang bernama Jahara.Tuan Husain kembali ke Titi Gajah untuk membantu datuknya mengajar agama.Tidak lama selepas itu,isterinya pula meninggal dunia.Tuan Husain berkahwin pula dengan Wan Khadijah Wan Jusoh.

Pada tahun 1892, Tuan Husain melanjutkan pengajian di Mekah.Di Tanah Suci,beliau berguru dengan Syeikh Nawawi Bintan, Ahmad Lingga.Kawan karibnya di Mekah ialah Haji Muhammad Yusof Kelantan (Tok Kenali) dan Haji Wan Sulaiman Wan Sidik (Pak Wan Sulaiman).Di antara muridnya yang muncul sebagai ulama terkenal ialah Haji Abdul Rahman Haji Abdullah dan Haji Abdul Rahman Merbok yang juga dikenali  sebagai Datuk Mursyid Diraja Kedah.Seorang lagi muridnya ialah Haji Ghazali Haji Arsyad,murid Sekolah Al-Irshadiah Al-Diniyah, Bagan Datoh Perak.Syeikh Idris Al-Marbawi juga dikatakan pernah berguru kepada Tuan Husain di Bohor.

Pada tahun 1887,beliau menghasilkan buku pertama,Al-Nur Mustafid fi Aqa'id Ahl Al-Tauhid.Buku terakhirnya pula berjudul Bunga Geti.Tuan Husain juga menghasilkan 18 buah kitab agama. Tuan Husain meninggal dunia pada 17 Zulkaedah 1354H bersamaan 1935M.Ketika itu beliau berusia 72 tahun.Jenazah Tuan Husain telah dikebumikan di Titi Gajah.
                                                                                                            Al-Fatihah.........

No comments: