Friday, April 20, 2012

TUAN GURU HAJI YUSOFF BIN HAJI SAAD (1918-1979)


SINOPSIS

Tuan Guru Haji Yusoff bin Haji Saad dilahirkan di sebuah kampung bernama Relau dalam Daerah Bandar Baharu Kedah Darul Aman pada tahun 1918 dan ditakdirkan bertemu jodoh beliau dengan adik perempuan kepada sahabat beliau iaitu Hajjah Kalsom binti Haji Putih.Antara pusat pengajian terawal bagi beliau ialah Madrasah Idrisiyah, Bukit Chandan Kuala Kangsar, Perak. Beliau kemudiannya menyambung pengajiannya di Pondok Guar Chempedak Yan, Kedah Darul Aman.

Beberapa tahun kemudian,beliau melanjutkan lagi taraf pendidikannya dengan memilih sebuah sekolah pondok yang begitu masyhur di Pulau Pinang iaitu Madrasah Daeratul Maarif Kepala Batas yang ketika itu dipimpin oleh Tuan Guru Abdullah Fahim.Selepas itu beliau kemudian memilih sebuah lagi pusat pengajian Pondok yang masyhur iaitu Madrasah Manabil Ulum Wamataliu'nujum yang dipimpin oleh Tuan Guru  Sheikh Osman Jalaluddin.Di sinilah kewibawaan  beliau mula terselah apabila Tuan Guru Sheikh Osman Jalaluddin memberikan kepercayaan kepada beliau 'mengepalai' kumpulan usrah dan muzakarah bersama-sama Tuan Guru Haji Talib bin Haji Putih (abang ipar beliau).

Setiap pelajar mempunyai impian untuk melanjutkan pengajian di gedung ilmu termasyhur iaitu Makkah Mukarramah.Oleh itu selepas beliau tamat pengajian di Madrasah Manabil Ulum beliau berkesempatan 'bermusafir' ke Makkah Mukarramah untuk meneruskan pengajiannya selama dua tahun disamping beroleh ilmu yang banyak.Pada tahun 1953, beliau telah membuka sebuah pusat pengajian agama berteraskan Pondok yang diberi nama Madrasah Irshad Al Ashraf Al Wataniah, terkenal dengan nama Pondok Sungai Bakap.
                                                                                                          Al-Fatihah........

No comments: