Monday, May 16, 2005

Menyingkap Kecerdikan Imam Shafie

Ketika kanak-kanak sebayanya sering menghabiskan masa dengan bermain, Imam Shafie pula memperuntukkan banyak masanya untuk menghafaz dan menuntut ilmu. Beliau yang mempunyai ketajaman akal dan kecerdikan yang luar biasa ini telah menghafaz Al-Quran ketika berumur 9 tahun. Setahun kemudian pula, beliau menghafal kitab ‘Muwatta’’ karangan Imam Malik. Melihat keluarbiasaan ini, pernah seorang bertanya kepada Imam Shafie, bagaimana cara beliau menuntut ilmu. Beliau menjawab: “Bagaikan seorang perempuan yang kehilangan anak. Sedangkan dia tidak mempunyai anak selain dari yang hilang itu.” Begitulah kecintaan anak kelahiran Mesir ini pada ilmu. Kepapaan dalam hidupnya bukanlah penghalang beliau untuk tidak menuntut ilmu. Ayahnya telah meninggal sebelum beliau dilahirkan. Beliau sering mengikut ibunya setiap kali ada majlis ilmu. Ibunya yang tegas dengan hukum hakam sering mendidik beliau perkara halal, haram dan subahat sekalipun dalam soal pengambilan sebarang makanan. Dengan berkat penjagaan ini, Imam Shafie dianugerahkan Allah daya ingatan yang luar biasa. Disebabkan kehidupannya yang serba daif, Imam Shafie sering menggunakan tulang-tulang kering dan kertas-kertas bekas sebagai buku catatan. Bertahun-tahun lamanya sehingga bilik beliau penuh sesak dengan bahan-bahan bertulis itu hingga tiada ruang untuk melunjurkan kakinya. Akhirnya beliau pun mengambil keputusan untuk menghafal keseluruhan nota-nota itu. Berbulan-bulan lamanya Imam Shafie mengurung diri demi menghafal segala ilmu yang ditulis. Tulang-tulang itu kemudiannya dibuang setelah beliau menghafalnya. Setelah itu, buat pertama kalinya Imam Shafie mengembara ke Madinah untuk meluaskan ilmu. Setelah selesai solat di masjid Nabi itu, beliau terpandang ada seorang tua yang sangat hebat rupanya. Orang tua tersebut sedang bersyarah di hadapan anak-anak muda yang khusyuk pula mendengarnya. Orang itu ialah Imam Malik yang sedang mengajar murid-muridnya tentang hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Dengan langkah yang tertib, Imam Shafie pun menuju ke tempat Imam Malik dan duduk bersama murid-murid. Imam Shafie pun mengambil sebatang lidi lalu membasahkannya dengan air liur. Beliau menulis segala apa yang diajar oleh guru itu di atas tapak tangannya. Tanpa di sedari, Imam Malik memerhati segala tingkah lakunya. Selesai pengajian, Imam Malik pun memanggil Imam Shafie untuk menegur beliau. Sangkanya Imam Shafie berbuat perkara kurang sopan ketika belajar. Jawab Imam Shafie, “Maaf tuan. Sebenarnya saya tidak bermain-main. Oleh kerana saya tidak ada kertas, segala yang tuan ajar saya tulis di atas tapak tangan saya untuk menghafalnya.” Apabila Imam Malik membelek-belek tangan Imam Shafie, beliau tidak menjumpai sebarang tulisan pun. “Tetapi kenapa tapak tangan engkau ni kosong sahaja.” “Namun demikian tuan, saya telah pun menghafal semua hadis-hadis yang tuan riwayatkan itu.” Setelah disuruh beliau membaca apa yang dihafalnya, Imam Malik mendapati tidak ada satu hadis yang tinggal daripada 20 hadis yang diajar hari itu. Perkara yang aneh ini belum pernah terjadi sebelumnya. Semenjak peristiwa itu, Imam Shafie menetap di sana sebagai tetamu Imam Malik yang begitu tertarik hati dengan kebijaksanaannya. Selama 18 bulan Imam Shafie berguru dengan Imam Malik. Hatinya yang terang memudahkan beliau memahami dan menghafal kitab ‘Muwatta’. Murid kesayangan Imam Malik ini sering diberi penghormatan bersyarah dan mengajar murid-murid yang lain. Beberapa lama kemudian, Imam Shafie meminta izin kepada Imam Malik untuk menuntut ilmu di Kufah. Di bandar Kufah ini, beliau bertemu Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad bin Al-Hassan. Dengan pergaulan yang rapat itu, Imam Shafie dapat mencedok ilmu daripadanya. Kemudian beliau mengembara pula ke Palestin. Pengembaraan ini berlaku selama bertahun-tahun kerana ketika itu kenderaannya adalah unta. Rasa rindu untuk bertemu dengan Imam Malik mendorong Imam Shafie kembali ke Madinah. Di Madinah beliau diberi penghormatan oleh Imam Malik untuk memberi syarahan di masjid. Sehinggalah Imam Malik meninggal dunia. Semenjak itu nama Imam Shafie semakin terkenal. Kealiman, kecergasan dan akhlaknya semakin disukai ramai. Walaupun begitu, musuh yang ingin namanya tercemar ada di mana-mana. Beliau difitnah kononnya memimpin kaum Syiah untuk menentang Khalifah Harun Al-Rasyid. Beliau kemudiannya ditangkap bersama-sama puak Syiah yang lain. Berkat kealiman dan kefasihannya menjawab segala soalan, Imam Syafie bebas daripada sebarang tuduhan. Malah Khalifah memberikan hadiah sebanyak 1000 dinar kepadanya. Dengan wang itu, Imam Shafie menyedekahkan kepada pegawai-pegawai istana dan orang miskin. Pernah berlaku satu kejadian yang membuktikan kehebatan Imam Shafie. Ketika itu beliau bertamu ke rumah Imam Ahmad bin Hambal dan bermalam di sana. Apabila Imam Ahmad bertanya adakah beliau selesa bermalam di rumah itu, Imam Shafie menjawab; “Belum pernah saya merasa gembira seperti malam tadi. Semalam saya dapat menyelesaikan 100 masalah sambil berbaring.” Imam Ahmad pun memberitahu anaknya; “Begitulah keadaan Imam Shafie. Apa yang dikerjakan Imam Shafie lebih berguna daripada apa yang kita lakukan kerana ia berbuat untuk kepentingan umum.” Seperkara yang menarik dalam kehidupan Imam Shafie ialah tentang ibunya. Setelah bertahun-tahun lamanya meninggalkan tanah air, terdetik rasa rindu untuk pulang ke Mekah. Beliau pun meninggalkan kota Madinah dengan membawa berbagai khazanah yang berupa kuda, pakaian, emas serta makanan. Harta benda ini semua adalah hadiah orang kepadanya. Hendak ditinggalkan bimbang ada pula yang berkecil hati. Ketika Imam Shafie tiba di halaman rumahnya, ibu serta beberapa orang kampung telah sedia menunggu. Demi melihat harta benda yang terlalu banyak itu, ibu beliau terus bermuram durja. Fahamlah beliau, ibunya kurang senang melihat harta benda itu. Segera Imam Shafie meminta pandangan ibunya. “Agihkanlah segala harta ini kepada orang-orang yang lapar. Berikanlah haiwan-haiwan kepada orang yang tidak berkenderaan, wangmu berikan kepada orang-orang miskin sehingga tiada sebutir dinar yang tinggal.” Maksud ibunya berbuat demikian, supaya Imam Shafie tidak bergantung hidup pada hartanya tetapi menyimpan bekalan yang kekal iaitu ilmu di dada. Dengan kebolehan menghafal Al-Quran, hadis, faham pula dua bentuk aliran fikah, (aliran yang bersandarkan fikiran dan Ahlul hadis) dan sikapnya yang hidup zuhud, Imam Shafie menjadi rujukan umat di zamannya. Beliau telah menghasilkan satu bentuk ilmu fekah yang berada di tengah-tengah dua aliran tadi. Namun tetap beliau berkata, “Apa-apa yang kamu dapati daripada pendapatku yang bertentangan dengan al-Quran dan sunnah, maka tinggalkanlah!”.

4 comments:

Anonymous said...

wonderful article...!!
the language is absolutely ease to understand..
thanks!!!

Anonymous said...

imam syafie semmgnya tkoh islam yg dkagumi sjak dari dulu lg
-cter2 imam lain xde ker?yg msuk dlm SPM?daa nk spm da nie..^-^

Cindai said...

alhamdulillah...
di ciplak dan di kongsi disini tu... :-)

Emm... Imam lain??? setakat ini hanay itu yg ada dalam koleksi... :-)

ada info bagilah...
'paste'kan sini... :-)

apa pun thanks atas kunjungan...

Anonymous said...

Kata editor PTS, lepas ini Muhammad Alexander @ Wisnu Sasongko akan menerbitkan buku "SOCRATES ADALAH LUQMAN HAKIM BERKULIT HITAM" sempena Pesta Buku Antarbangsa 2013, katanya buku ini akan membongkar misteri Luqman Hakim, dan Socrates memang Luqman sebenar!