Tuesday, August 16, 2005

Syeikh Tahir Jalaluddin - Ulama bawa pemodenan di Tanah Melayu

Syeikh Tahir Jalaluddin seorang tokoh pejuang pembaharuan yang jarang diperkatakan orang. Bahkan ramai genarasi kini tidak mengenalinya. Muhammad Tahir Jalaluddin al-Azhari al-Falaki dilahirkan di Kota Gedang, Sumatera (setengah pengkaji mengatakan Bukit Tinggi, Sumatera atau Kota Tua Ampek Angkek, Bukit Tinggi), pada bulan Ramadan 1286 Hijrah, sekitar 9 Disember 1869 Masehi.

Beliau pernah belajar di Makkah dan Mesir sewaktu remaja. Di Makkah, Syeikh Tahir belajar ilmu mantik dan kemudian memberi penekanan kepada nahu. Setelah itu beliau mendalami ilmu fiqh dan seterusnya sirah. Beliau dapat menguasai bahasa Arab serta boleh bercakap dalam bahasa Belanda dan Inggeris.

Semasa di Makkah beliau dilantik oleh Syeikh Ahmad Khatib sebagai guru pembantu dan mengajar jemaah haji dari Nusantara. Setelah 13 tahun di Makkah beliau tergerak hati hendak pulang ke tanah air. Tetapi niatnya tidak tercapai apabila mengenangkan kekejaman Belanda. Beliau singgah di Pulau Pinang sahaja.

Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Al-Azhar Mesir. Beliau tinggal di Mesir selama lebih kurang empat tahun untuk menamatkan ijazahnya. Di sana beliau diperkenalkan dengan pemikiran Muhammad Abduh dan turut berkawan dengan Muhammad Rashid Rida, pengikut Abduh yang menerbitkan al-Manar pada tahun 1898 di Mesir.

Beliau kembali ke Singapura dalam usia 20 tahun (1899), dan kali ini masih keberatan untuk pulang ke kampung halamannya. Di sinilah beliau bersama dua temannya memulakan menerbitkan majalah “al-Imam” (1906) iaitu Syed Syeikh al-Hadi dah Haji Abas Mohd Taha.

Sebelum itu beliau kembali Makkah untuk bertemu dengan sepupunya. Kemudian pulang ke tanah air menuju ke Pulau Pinang. Di sana dia bertemu jodoh dan berkahwin dengan gadis Kuala Kangsar. Akhirnya beliau menetap di Kuala Kangsar serta mendapat enam orang anak.

Dengan penerbitan Al-Imam, beliau cuba membuat membawa pembaharuan. Pemikiran Islam ala Muhamad Abduh menjadi wadah perjuangannya. Walau bagaimanapun beliau tidak disukai oleh golongan konservatif agama di Perak yang melihatnya sebagai berpandangan moden. Oleh sebab beliau berpindah ke Johor Bahru dan bertugas sebagai guru agama sehingga akhir 1918.

Kemudian beliau kembali ke Kuala Kangsar dan mengajar di Pulau Pinang iaitu di Madrasah al-Masyhur. Ketika di al-Masyhur dia ditawarkan sebagai mudir Madrasah Muhammad Thaib, Parti Jamil, Muar. Walaupun bagaimanapun setelah tugasnya selesai di al-Masyhur barulah tawaran tersebut diterima. Kehadiran Syeikh Tahir tersebut telah mengubah pendekatan pengajaran tradisi kepada kaedah moden yang dikaitkan dengan gerakan Kaum Muda, bahkan bahasa Inggeris dijadikan sebahagian daripada kurikulum madrasah.

Kemudian dalam tahun 1934, Syeikh Tahir dilantik sebagai editor bersama akhbar Saudara dan al-Ikhwan, walau bagaimanapun beliau hanya bertugas beberapa bulan sahaja. Hal demikian kerana beliau tidak bersetuju dengan dasar penerbitan tersebut.

Pada usia yang ada itu beliau masih mengambil peluang mempelajari ilmu falak, untuk menentukan waktu sembahyang dan penentuan bulan serta penetapan kalendar muslim. Ketokohannya menyebabkan Sultan Idris, Sultan Perak mengarahnya membetulkan arah kiblat masjid seluruh negeri. Bukan itu sahaja, baginda melantiknya menjadi Hakim Besar Syariah di Mahkamah Tinggi Taiping dan Ipoh.

Walaupun di Malaya ketika itu, pemikiran yang dibawa oleh Syeikh Tahir Jalaluddin mendapat tentangan ulama-ulama tradisional, tetapi berbeza sambutannya di Sumatera. Syeikh Tahir Jalaluddin mendapat sokongan daripada kawan-kawan dan murid-muridnya ketika beliau masih belajar di Mesir. Antara yang terkenal ialah Syeikh Muhammad Jamil Jambek, Syeikh Abdullah Ahmad, dan Syeikh Abdul Karim Amrullah.

Syeikh Abdullah Ahmad yang menetap di Kota Padang, Sumatera Barat ialah seorang wartawan dan pengarang yang aktif. Beliau telah menerbitkan majalah al-Munir untuk melanjutkan cita-cita dan perjuangan selepas majalah al-Imam dihentikan penerbitannya pada tahun 1908, kerana masalah kewangan. Manakala Syeikh Abdul Karim Amrullah yang mendirikan madrasah di Padang Panjang mengeluarkan pandangan-pandangan tentang kepentingan ijtihad serta menyebarkan pembaharuan pemikiran pemodenan dalam masyarakat Islam.

Sebaliknya ulama-ulama yang menamakan diri mereka Kaum Tua, menerbitkan majalah al-Mizan, untuk mengimbangi pemikiran dalam al-Munir. Mereka berusaha keras untuk melenyapkan pengaruh Kaum Muda di Sumatera. Walau bagaimanapun usaha mereka tidak berhasil kerana kekuatan pemikiran Kaum Muda yang lebih berpengaruh. Manakala Kaum Tua di Malaya, didapati lebih kuat kerana mereka diwakili oleh mufti dan kadhi yang mempunyai kuasa penuh terhadap pentadbiran agama negeri serta mempunyai hubungan baik dengan pemerintah atau majlis agama negeri. Merekalah yang lebih berhak untuk mengeluarkan fatwa terhadap perkembangan sesuatu pemikiran yang bertentangan dengan pegangan tradisional.

Wadah perjuangan pembaharuan mereka amat jelas, iaitu orang Islam perlu kembali berpegang kepada al-Quran dan hadith tetapi dalam masa yang sama tidak menolak pemodenan, sains dan teknologi. Mereka menerima falsafah barat yang berlandaskan rasionalisme sebagai alat untuk memperkukuhkan kebenaran agama Islam. Tetapi idea radikal sebegini telah disalahmengertikan oleh golongan tua lalu melabelkan mereka sebagai Kaum Muda.

Syeikh Tahir telah mengabadikan dirinya untuk menyebarkan cita-cita islah di kalangan ummah Islam, sama ada di Tanah Melayu atau seluruh Nusantara. Kemunduran masyarakat Islam di Nusantara meyakinkan beliau bahawa jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah itu ialah dengan cara mengemukakan pandangan Islah, mengungkai segala kekeliruan.

Idea ini pernah ditegaskan dalam rencananya berjudul “Surat Terbuka Kepada Segala Ulama”, disiarkan oleh al-Imam, pada Bil. 1, Jil. 1, 23 Julai 1906. Beliau menganggap bahawa ummah Islam di rantau ini memerlukan pimpinan sebagaimana saudara Islam di Asia Barat.

Beliau pernah menulis bagaimana sikap orang Melayu yang terlalu terikut-ikut dengan adat orang Arab, sering memandang rendah terhadap sesetengah pekerjaan, dan percaya kepada hari-hari tertentu dalam bulan safar yang boleh mendatangkan bala. Selain itu beliau juga menulis berkaitan dengan sikap kolot orang Melayu ialah “Risalah Penebas Bidaah-bidaah di Kepala Batas”, diterbitkan di Pulau Pinang oleh Persama Press, 1953.

Manakala rencananya mengenai “Qada’ dan Qadar” yang ditulis dalam al-Imam, Bil. 3, Jil. 1, 19 September 1906; menerangkan bahawa kejayaan manusia dalam dunia sebenarnya berpunca daripada usaha dan ikhtiarnya dan tidak ada kaitan sekali dengan faktor qada’ dan qadar. Malah ditegaskan seseorang Islam itu hendaklah sentiasa menjalankan kegiatan sebagaimana yang dikehendaki oleh Tuhan. Manusia sebenarnya bertanggungjawab kepada segala perbuatannya dan juga kepada segala perkara yang memberi kepentingan kepada masyarakat. Jika kegagalan yang dihadapi maka kegagalan itu seharusnya dianggap sebagai kegagalan dirinya sendiri. Tuhan tidak mengubah nasib manusia tetapi manusia sendiri yang mengubahnya.

Qada’ dan qadar sepatutnya diertikan bahawa segala perkara yang berlaku dalam dunia ini sebenarnya berlaku atas faktor sebab dan akibat. Tuhan dalam proses ini cuma menjadi tenaga penggeraknya sahaja. Keputusan manusia sebenarnya penting dalam hal ini. Sebagai individu, manusia bebas melakukan sesuatu dan Tuhan memberi mereka pemikiran serta Rasul untuk memimpin dan memberi petunjuk, bagaimana sesuatu perkara itu patut dilaksanakan.

Syeikh Tahir membawa pembaharuan dalam semua hal walaupun dalam pengajaran bahasa Arab. Beliau yang menjadi guru bahasa Arab kepada Za’aba sekitar 1916-1919 mendapat pujian dari Za’aba sendiri. Katanya, cara pengajarannya yang dianggap moden begitu berkesan bahkan mudah difahami oleh pelajar.

2 comments:

Ikasah said...

boleh sy copy post ni?

Cindai said...

Amat di alu-alukan...
Moga bermanfaat buat kita semua...