Tuesday, August 16, 2005

Tuan Hussain Kedah



Pelopor Institusi Pengajian Pondok

TUAN Hussain Kedah atau nama sebenarnya Hussain bin Nasir bin Muhamad Taib dilahirkan di Titi Gajah, Alor Setar pada 2 November 1863 bersamaan 20 Jamadil Awal, 1280 Hijrah. Tuan Hussain berasal dari keluarga ulama’ yang tinggal di Kalimantan. Pada sekitar tahun 1841 Haji Mas’ud, datuk Tuan Hussain singgah di Sungai Kedah dalam perjalanan pulang ke Kalimantan dari Makkah. Di kesempatan itu Haji Mas’ud telah memainkan peranan penting membantu kerajaan Kedah dalam perang menentang Siam. Walau bagaimanapun, haji Mas’ud telah syahid dalam peperangan itu pada tahun 1842. Melihat keadaan itu, anaknya Muhamad Taib dan ahli keluarga yang lain telah mengambil keputusan untuk menetap di Kedah untuk mencari kehidupan baru. Kelahiran Tuan Hussain dalam keluarga ini terus memberi sinar khususnya dalam perkembangan dakwah Islamiah. Apatah lagi, keluarga Muhamad Taib terdiri di kalangan warisan ulama’.

Dalam sejarah perjuangannya, Tuan Hussain merupakan seorang penulis kitab-kitab agama yang terkenal di Nusantara. Tokoh ini telah menghasilkan 18 buah kitab mengenai fiqh, tauhid, dan tasawuf. Dalam mendidik ummah setempat pula Tuan Hussain mengajarkan tulisan jawi serta mendirikan pondok sebagai institusi pendidikan.

Beliau mendirikan sekolah pondok di beberapa kawasan di Kedah dalam usahanya mengukuhkan pendidikan Islam. Antara tempat-tempat tersebut ialah di Bohor, Selengkoh, Padang Lumat serta di Pokok Sena, Seberang Perai. Satu perkara yang menarik tentang tokoh ini ialah sistem dan disiplin yang diterapkan dan dilaksanakan dalam mengendalikan sekolah yang diasaskannya. Kawasan institusi pendidikan itu dilengkapi surau. Manakala rumah-rumah pondok (tempat penginapan) pelajar dibina secara tersusun. Untuk mereka yang berkeluarga dibina pondok di dalam kawasan sekolah. Manakala pelajar bujang didirikan pondok di kawasan luar.

Para pelajarnya terdiri daripada remaja belasan tahun hinggalah kepada orang tua yang berumur 50 tahun. Kebanyakan mereka terdiri daripada pelajar tempatan, namun ada juga yang datang dari Sumatera, Patani, dan Brunei. Hal ini menunjukkan betapa pengaruh pendidikan institusi pondok Tuan Hussain begitu meluas.

Meskipun sistem perhubungan pada waktu itu amat sukar lantaran institusi pendidikan belum banyak didirikan oleh pihak kerajaan (penjajah), namun cabaran ini telah menyemarakkan jiwa Tuan Hussain. Pada waktu itu pelajar digalakkan bekerja sendiri bagi menampung kehidupan. Sebahagian mereka bersawah padi bersama-sama penduduk tempatan.

Tuan Hussain menetapkan jadual belajar yang tekal untuk pelajar-pelajarnya. Beliau akan mengajar bermula dari tengah hari hingga petang. Waktu pembelajaran ini merangkumi sembahyang zuhur dan Asar secara berjemaah. Manakala pembantu-pembantu Tuan Hussain akan mengajar pada waktu malam.

Jadual yang disediakan itu adalah untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar pondok itu mencari nafkah kehidupan pada waktu pagi. Jadi, waktu tengah hari dan malam hanya masa untuk menumpukan kepada pelajaran.

Pondok Tuan Hussain semakin mendapat sambutan hebat daripada pelajar. Pada satu ketika terdapat lebih 50 buah pondok didirikan di satu-satu lokasi. Menyedari keadaan itu, Tuan Hussain memperkenalkan asrama (rumah panjang) yang boleh didiami oleh bilangan pelajar yang ramai.

Dalam satu-satu musim pengajian, pondok ini mempunyai lebih dari 400 orang pelajar dan angka ini ada kalanya mencapai lebih 1000 orang. Demikian bukti kejayaan hasil ke gigihan Tuan Hussain yang tiada siapa boleh menafikannya.

Selain mendengar kuliah yang disampaikan oleh Tuan Hussain dan pembantunya, para pelajar membaca kitab-kitab yang ditulis oleh Tuan Hussain. Mereka juga turut merujuk kepada nota-nota yang disalin oleh pelajar-pelajarnya yang terdahulu.

Terdapat 18 buah kitab yang ditulis oleh Tuan Hussain sendiri. Kitab itu turut digunakan di seluruh Nusantara baik melalui penerbitan mahupun yang dibawa oleh bekas pelajarnya yang datang dari seluruh pelosok alam Melayu. Antara kitab itu ialah al-Nur al-Mustafid fi Aqaid Ahi al-Tauhid (1887), Tamrin al-Sibyan (1809), Hidayat al-Sibyan (1911), Hidayat al-Mutafakkirin (1918), Kasr al-Iksir (1920), Hidayat al-Talibin (1924), Tadrih al-Sibyan (1926), dan banyak lagi.

Jelas di sini bahawa tokoh ini selain memberi kuliah, dia juga menulis, bahkan menurunkan ilmunya dalam bentuk dokumen yang sangat berharga. Semua itu dapat diwariskan hingga ke hari ini. Pastinya tokoh ini mempunyai disiplin masa yang begitu tersusun dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Berdasarkan kepada keampuhan ilmu agama yang dimiliki oleh Tuan Hussain dalam bidang fiqh, tauhid, dan tasawuf, beliau mendapat perhatian dari Istana Perak. Tokoh ini mendapat undangan mengajar di Istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Beliau juga ada mengajar di masjid di Teluk intan dan Parit. Sambutan yang diberikan oleh penduduk setempat amatlah meriah.

Selain itu beliau juga telah menterjemah hadith Jawahir al-Bukhari. Terjemahan itu kemudiannya dibukukan dan dinamakan Tadzkir Qabail al-Qadhi (1923). Tegasnya, tokoh ini arif dalam ilmu al-Quran dan hadith iaitu ilmu asas yang penting dalam Islam.

Sewaktu kecilnya, Tuan Hussain mendapat bimbingan agama daripada datuknya, Muhamad Taib. Kemudian dia berangkat ke Patani dan berguru dengan Tuan Semela di pondok uala’. Tokoh ini turut berguru di tempat-tempat lain seperti Terengganu, Kelantan, Perak, Selangor, dan Melaka. Akhirnya Tuan Hussain menyambung pengajian ke Makkah.

Ketika berada di Tanah Suci, Tuan Hussain mengambil kesempatan berguru dengan para ulama’ terkenal termasuklah Tuan Syeikh Hasbullah, Tuan Syeikh Nawawi Bentan, Tuan Syeikh Ahmad Lingga, Tuan Syeikh Umar Sumbawa, Tuan Syeikh Muhammad Khafat, dan Tuan Syeikh Umar Bali.

Di sana Tuan Hussain bertemu dengan ramai sahabat yang antaranya ialah Tok Kenali dari Kelantan, Haji Wan Sulaiman Sidik, dan Tuan Haji Yaakub Sik dari Kedah. Sekembalinya dari Makkah kira-kira tahun 1896, Tuan Hussain terus membuka pondok pengajian bagi memberi bimbingan kepada penduduk tempatan. Ketika itu beliau berusia dalam tiga puluhan.

Antara murid-murid Tuan Hussain yang terkenal ialah Datuk Haji Abdul Rahman Haji Abdullah, Haji Ismail Sulaiman, Haji Omar Merbok, dan Haji Ghazali Haji Arshad. Tradisi ilmu yang diasaskan dan dibina oleh Tuan Hussain ini terus dikembangkan oleh murid-muridnya. Selain itu sebahagian institusi pondok yang diasaskan oleh Tuan Hussain masih kekal sehingga sekarang. Antaranya ialah pondok Padang Lumat, Kedah dan Pokok Sena, Pulau Pinang.

Tuan Hussain sangat tegas dalam pendiriannya terutama dalam hal halal dan haram. Tokoh ini berpegang teguh kepada al-Quran dan hadith tanpa ada kompromi dengan alasan lain. Pendirian yang sedemikian ini kadang-kadang kurang disenangi oleh pihak pemerintah yang kadangkala mahu bertolak ansur.

Antara pendirian Tuan Hussain, beliau tetap mengharamkan sebarang bentuk perjudian sebagaimana tuntutan agama. Manakala wang zakat mesti diterima oleh orang-orang yang berhak dan tidak boleh diagihkan sesuka hati. Tetapi apabila hal berkenaan dijelaskan oleh Tuan Hussain berdasarkan kepada pegangan Islam, pemerintah dan rakyat dapat menerimanya. Mulai saat itu, beliau sangat disegani dan dihormati dalam mengendalikan hal ehwal agama Islam.

Tokoh ini meninggal dunia pada tahun 1936 dalam usia 73 tahun. Pada awalnya pihak istana Kedah berhasrat untuk mengebumikan jenazah Tuan Hussain di makam diraja Kedah yang terletak di Langgar. Namun, Tuan Hussain telah mewasiatkan kepada isterinya, Hajah Mariam supaya jenazah dikebumikan di tempat kelahirannya Titi Gajah.

Tuan Hussain meninggalkan bukan sekadar khazanah ilmu yang ditulisnya dalam 18 buah kitab sebagaimana yang telah disebutkan, tetapi juga meninggalkan tradisi institusi sekolah pondok yang kekal hingga kini.

Selain itu, Tuan Hussain juga meninggalkan kira-kira 150 relung tanah untuk anak cucunya dan ada antara tanah tersebut ada yang telah diwakafkan untuk tujuan dakwah Islamiah. Tradisi pondok Tuan Hussain yang memulakan sistem pengajian tersusun itu mendapat perhatian daripada sarjana tempatan dan luar negara.

Dalam kalangan para sarjana yang membuat kajian, mendapati bahawa Tuan Hussain lebih dikenali dengan nama Tuan Hussain Kedah. Nama gelaran yang selalu digunakan ialah Hussain Nasir ibni Muhamad Taib al-Mas’udi.

2 comments:

Mohd Amran said...

tahniah diatas informasi yg panjang mengenai Tuan Hussain Kedah.Saya sedang mengumpulkan artikal mengenai Tuan Hussain untuk tujuan Ilmiah. Jika terdapat mana mana rujukan yang berguna, sila panjangkan kepada saya.

terimakasih

Cindai said...

Thanks sudi ziarah blog Zana ....