Monday, March 23, 2009

ABU HURAIRAH R.A. (ARTIKEL 2)

Kelahiran dan riwayat hidup beliau:
- Nama penuh beliau ialah Abdul Rahman bin Sakhrin Ad-Dausiy.
- Beliau dibesarkan dalam keadaan yatim dan beliau pernah bekerja mengambil upah dengan Bisrah binti Ghazwan.
- Beliau dilahirkan di Yaman di dalam sebuah keluarga yang fakir dan tidak mempunyai kaum keluarga kecuali ibu beliau.
- Pada zaman jahiliah beliau bernama Abdul Syams.

Pengislaman beliau:
- Beliau memeluk Islam melalui At-Tufail bin Amru Ad-Dausiy dan beliau terus menetap di Yaman di dalam kaum beliau (Kaum Daus) malah beliau tidak pernah berhijrah kepada Rasulullah s.a.w di Madinah kecuali selepas enam tahun setelah berlaku peristiwa Hijrah.
- Rasulullah s.a.w menamakan beliau dengan Abdul Rahman, walau bagaimanapun baginda sering memanggil beliau: "Wahai Abu Hirr!".
- Sebab beliau dipanggil dengan Abu Hurairah ialah kerana pada masa kecil beliau mempunyai seekor kucing kecil sebagai teman permainan beliau menyebabkan kawan-kawan beliau memanggil beliau dengan panggilan: Abu Hurairah.

Beliau diberi penghormatan menjadi pembantu Nabi:
- Selepas Abu Hurairah memeluk Islam, beliau hanya menghabiskan masa beliau untuk menemani Nabi s.a.w dan melayan baginda.
- Abu Hurairah menyeru ibu beliau supaya memeluk Islam, lalu ibu beliau menyahut seruan tersebut dengan memeluk Islam selepas Rasulullah s.a.w berdoa untuknya. Abu Hurairah banyak berbakti kepada ibu beliau.
- Abu Hurairah sentiasa tinggal di As-Suffah(sebuah tempat yang terdapat di masjid Rasulullah yang dikhususkan sebagai tempat tinggal para sahabat yang miskin).
Beliau sentiasa bersama-sama dengan Nabi s.a.w walau di mana baginda berada dan tidak pernah berpisah dengan baginda menyebabkan beliau dapat menghafal hadis dengan jumlah yang terlalu banyak, lebih-lebih lagi selepas Rasulullah s.a.w berdoa kepada beliau supaya tidak melupakan ilmu yang didapati.
- Abu Hurairah telah menghafal sebanyak lebih dari 1,600 buah hadis daripada Rasulullah s.a.w dan beliau pernah berkata: "Aku sibuk menghafal sedangkan saudara-saudara aku dari kalangan Muhajirin sibuk dengan perniagaan mereka manakala saudara-saudara aku dari kalangan Ansar pula sibuk dengan pertanian mereka.

Kesukaan beliau terhadap ilmu:
- Abu Hurairah terlalu sukakan kepada ilmu malah beliau juga suka sekiranya ilmu dipelajari oleh orang lain sehingga sampai ke peringkat beliau pergi berjumpa dengan orang ramai yang berada di sebuah pasar di Madinah lalu beliau berkata kepada mereka: "Kamu duduk di sini sedangkan pusaka Nabi s.a.w dibahagikan di masjid, apakah halangan kamu?" Mendengar kata-kata tersebut orang ramai terus pergi ke masjid, mereka mendapati tidak ada apa-apa yang berlaku di sana kecuali orang-orang yang mendirikan sembahyang, membaca kitab suci Al-Quran dan orang-orang yang duduk di dalam majlis pengajian ilmu. Mereka semua merasa hairan terhadap Abu Hurairah lalu beliau berkata kepada mereka: "Itulah pusaka Nabi s.a.w."
- Ketika harta semakin bertambah banyak dan kebaikan mula melimpah ruah serta harta rampasan perang sentiasa dapat diraih hasil dari pembukaan kawasan Islam, kehidupan Abu Hurairah mula berubah di mana beliau mula memiliki harta, rumah, kekayaan, isteri dan anak-anak. Walaupun begitu, kesukaan beliau terhadap ilmu, tawaduk beliau, kerajinan beliau melakukan ibadat, kesungguhan beliau dan ketaatan beliau sedikitpun tidak berubah.

Kewarakan dan ketakwaan beliau:
- Pada zaman pemerintahan Muawiyah bin Abi Sufian, Abu Hurairah dilantik menjadi gabenor di Madinah. Walaupun demikian jawatan tersebut tidak mempengaruhi kewarakan dan ketakwaan beliau walaupun sedikit malah beliau sentiasa berpuasa pada waktu siang dan beribadat pada waktu malam.
- Abu Hurairah r.a sering menyebut kata-kata beliau: "Aku dibesarkan dalam keadaan yatim, aku berhijrah dalam keadaan miskin, aku pernah bekerja mengambil upah dengan Bisrah binti Ghazwan dengan bayaran sekadar cukup untuk mengisi perut aku. Aku membantu orang ramai ketika mereka turun dari binatang tunggangan dan aku mengangkat barangan mereka ketika mereka menunggang. Lalu Allah mengahwinkan aku dengannya (iaitu Bisrah binti Ghazwan). Oleh yang demikian segala puji bagi Allah yang menjadikan agama dapat berdiri tegak dan menjadikan Abu Hurairah sebagai seorang pemimpin."

No comments: