Monday, March 23, 2009

Abu Raihan Al-Biruni Pakar Ilmu Fizik yang Ulung


Namanya tidak asing lagi di pentas ilmu sains pada abad pertengahan. Dunia sains mengenalnya sebagai salah seorang putera Islam terbaik dalam bidang falsafah, astronomi, kedoktoran, dan fizik. Wawasan dan pengetahuannya yang demikian luas, meletakkan dirinya sebagai pakar dan ilmuwan Muslim tersohor pada awal abad pertengahan. Ilmuwan tersebut tidak lain adalah Al-Biruni.

Nama penuhnya Abu Raihan Muhammad ibn Ahmad Al-Biruni, dilahirkan pada bulan September tahun 973 M, di perkampungan Khawarizm, Turkmenistan. Ia kemudian lebih dikenali dengan nama Al-Biruni. "Al-Biruni" yang bermaksud 'asing', adalah dinisbahkan kepada wilayah tempat tanah kelahirannya, iaitu Turkmenistan. Pada masa itu, kawasan ini sememangnya dikhaskan untuk penempatan orang-orang asing.

Dibesarkan dalam keluarga yang taat beragama, Al-Biruni menghabiskan usia mudanya dalam persekitaran masyarakat yang mencintai ilmu pengetahuan. Walaupun tidak banyak catatan sejarah yang mengisahkan latar belakang pendidikannya, namun beberapa sumber menyebutkan bahawa ilmuwan ulung ini memperoleh pendidikan daripada beberapa ulama kenamaan pada zamannya, antara lain Syeikh Abdus Shamad. Dalam bidang kedoktoran, ia belajar dengan Syeikh Abul Wafa' Al-Buzayani, serta kepada Syeikh Abu Nasr Mansur bin Ali bin Iraqi dalam bidang matematik dan astronomi. Tidak hairan apabila ulama menulis ini terkenal sebagai seorang ahli dalam pelbagai bidang ilmu semenjak usia muda.

Sebagai ilmuwan ulung, Al-Biruni tidak henti-hentinya mengais ilmu, termasuk dalam setiap penjelajahannya ke beberapa negeri, seperti ke Iran dan India. Jamil Ahmed dalam buku Seratus Tokoh Muslim mengungkapkan, antara penjelajahan paling menarik tokoh ini adalah semasa di wilayah Jurjan, dekat Laut Kaspia (Asia Tengah), serta wilayah India. Penjelajahan itu sebenarnya tidak disengajakan. Alkisah, setelah beberapa lama menetap di Jurjan, Al-Biruni memutuskan untuk kembali ke kampung halamannya. Namun tidak disangkanya, tanah kelahirannya dilanda oleh konflik antara etnik. Keadaan ini dimanfaatkan oleh Sultan Mahmoud Al-Gezna, yang melakukan penaklukan ke wilayah Jurjan.

Penaklukan ini menyebabkan Al-Biruni dipilih oleh Sultan Mahmoud sebagai 'kumpulan pemikir' yang kemudiannya dibawa menyertai ekspedisi ketenteraan ke India. Di sana beliau banyak melahirkan karya dan tulisan, sama ada dalam bentuk buku mahupun artikel ilmiah yang disampaikannya dalam perjumpaan. Selain menghasilkan karya, penjelajahan bersama Sultan ini juga menjadikan kawasan India sebelah timur sebagai kawasan baru untuk menyebarkan dakwah Islamiah.

Sepanjang pengembaraannya di India, Al-Biruni memanfaatkan masa terluang melakukan kajian berkaitan adat istiadat dan budaya masyarakat tempatan. Berasaskan kajiannya inilah beberapa karya agungnya lahir. Bukan itu sahaja, Al-Biruni jugalah orang yang pertama memperkenalkan permainan catur 'ala' India ke negara-negara Islam, serta menjelaskan permasalahan trigonometri yang lebih mendalam dalam karyanya, Tahqiq Al-Hind.

Kecerdikan Al-Biruni merangsang dirinya mendalami ilmu astronomi. Beliau misalnya turut menjelaskan tentang kemungkinan pergerakan bumi mengitari matahari. Malangnya, buku beliau yang mengupas perkara ini hilang. Namun ia berpendapat, sebagaimana pernah ia sampaikan dalam suratnya kepada Ibnu Sina, bahawa pergerakan eliptis adalah lebih memungkinkan daripada gerak melingkar yang dilakukan lanet.

Al-Biruni konsisten mempertahankan pendapatnya tersebut, dan ternyata pada kemudian harinya pendapat ini terbukti kebenarannya sebagaimana yang dibuktikan oleh ilmu astronomi moden. Sebagai seorang yang gemarkan membaca pelbagai bidang ilmu, kepakaran Al-Biruni tidak hanya dalam bidang ilmu sains. Beliau juga mahir dalam ilmu falsafah. Kerana itu, ia dikenali sebagai salah seorang ahli falsafah Islam yang amat berpengaruh.

Pemikiran falsafah Al-Biruni banyak dipengaruhi oleh pemikiran falsafah Al-Farabi, Al-Kindi, dan Al-Mas'udi (meninggal 956 M). Hidup sezaman dengan ahli falsafah dan pakar ilmu perubatan, Ibnu Sina, Al-Biruni banyak berdialog dengan Ibnu Sina, sama ada secara langsung mahupun melalui surat menyurat. Keduanya kerap juga bermuzakarah berkaitan pemikiran falsafah, misalnya tidak bersetuju dengan aliran pemikiran paripatetik yang dianuti Ibnu Sina dalam banyak aspek.

Al-Biruni memperlihatkan kecenderungan tidak menerima bulat-bulat falsafah pemikiran Aristoteles dan berfikir secara kritikal terhadap beberapa hal dalam teori fizik paripatetik, seperti berkaitan dengan masalah gerak dan tempat. Ini kerana semua yang dilakukannya itu selalunya berlandaskan pada prinsip-prinsip Islam, serta meletakkan sains sebagai alat untuk menyingkap rahsia alam. Hasil kajian dan penelitiannya akhirnya adalah untuk mengakui akan wujudnya Allah sebagai maha pencipta. Menurut Al-Biruni jika seorang ilmuwan ingin membezakan kebenaran dan kepalsuan, dia perlu menyelidiki dan mempelajari alam.

Dalam bukunya Al-Jamahir, Al-Biruni juga menegaskan, "Penglihatan adalah penghubung apa yang kita lihat dengan tanda-tanda kebijaksanaan Allah dalam ciptaan-Nya. Daripada penciptaan alam tersebut kita akan menemukan kewujudan Yang Maha Pencipta". Pandangan Al-Biruni ini tentu berbeza sekali dengan pandangan saintis Barat pada zaman moden ini yang mengenepikan sains daripada agama. Pandangan mereka tentang alam seolah-olah menafikan keberadaan Allah sebagai pencipta.

Kejayaan Al-Biruni dalam bidang sains dan ilmu pengetahuan ini turut mendapat pujian ilmuwan Barat. Max Mayerhof misalnya menyatakan, "Abu Raihan Muhammad ibn Al-Biruni digelar sebagai ahli kedoktoran, astronomi, matematik, ilmu fizik, geografi , dan sejarah. Dia mungkin sosok paling menonjol dan peneraju zaman keemasan ilmu pengetahuan Islam."

Pengakuan yang sama juga dinyatakan oleh ahli sejarah asal India, Si JN Sircar. Beliau menulis "Hanya sedikit yang memahami fizik dan matematik. Di antara yang sedikit itu yang terbesar di Asia adalah Al-Biruni, sekaligus filsuf dan ilmuwan. Ia pakar dalam kedua bidang tersebut." Tokoh dan ilmuwan ulung ini akhirnya menghadap Ilahi Rabbi pada 1048 M, semasa berusia 75 tahun.

3 comments:

shahrul azhar said...

alhamdulilah,,
dengan ape yang kita lihat kisah pakar ilmuwan yg terulong,kita dapat ambik iktibar di mana kita boleh muhasabah diri supaya dapat menjadi seperti beliau..
sifat ingin tahu perlu ada asalkan tidak malu untuk kita tahu...
pape pun "jikalau kita tak dapat semua,kita jangan tinggal kan semua"..
insyaallah berjaya hidup didunia dan akhirat....

Cindai said...

Insyaallah...
Moga dirahmatiNya...
Amin Ya Robb!!!

Anonymous said...

good job!