Monday, March 23, 2009

Al Khawarizmi: Pengasas ilmu algebra

Baru-baru ini seorang pemimpin di sebuah negara Eropah menyatakan bahawa tamadun barat lebih hebat daripada tamadun Islam. Kenyataan itu bukan sahaja tidak benar tetapi boleh dipersoalkan. Sejarah telah membuktikan betapa tamadun Islam wujud lebih awal daripada tamadun barat. Malahan ketika empayar Islam berada di kemuncak peradaban, benua Eropah masih lagi berada dalam zaman kegelapan. Kejayaan Islam menjajah negara Sepanyol pada awal kurun ke sebelas telah membuka ruang kepada orang-orang barat mempelajari pelbagai ilmu daripada sarjana Islam. Orang barat tidak sekadar belajar tetapi mencedok segala ilmu pengetahuan tersebut termasuk bidang sains, matematik, astronomi dan perubatan sebelum memperkembangkan dalam zaman Renaissance serta revolusi perindustrian.


Malahan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa tanpa tamadun Islam, barat tidak mempunyai sains dan ilmu pengetahuan. Ilmu sains di barat berkembang berdasarkan ilmu yang diketengahkan oleh para sarjana Islam khususnya semasa sains berkembang pesat di dunia Islam dari tahun 900 Masihi hingga 1400 Masihi. Pada masa itu, di negara-negara Eropah, perkembangan sains berada pada tahap yang terendah sekali kerana sikap gereja yang tidak menggalakkan penganutnya mempelajari ilmu daripada orang bukan Kristian. Kedatangan Islam ke benua Eropah telah membawa rahmat kepada orang-orang barat kerana telah mendedahkan mereka kepada pelbagai ilmu pengetahuan yang menjadi asas kemajuan dan peradaban yang dicapainya pada hari ini.


Ketika zaman keagungan Islam telah lahir ramai tokoh-tokoh ilmuwan yang terkenal dan hasil karyanya menjadi rujukan kepada para sarjana dan saintis di barat. Di antara tokoh ilmuwan itu ialah Al Khawarizmi atau nama sebenarnya Muhammad bin Musa Al Khawarizmi. Selain Al Khawarizmi terdapat banyak lagi ilmuwan Islam yang terkenal seperti Al Biruni, Al Battani, Al Zarkali, Al Farghani, Al Kindi, Ibnu Sina, Ibnu Hazin, Ibnu Rusyd, Al Farabi, Ibnu Haitham dan ramai lagi. Di barat, Al Khawarizmi dikenali sebagai Algorism. Beliau dilahirkan pada tahun 780 Masihi di Khawarizm atau Khuway yang terletak di selatan Tasik Aral di Turkistan. Beliau kemudiannya berpindah ke Baghdad, semasa pemerintahan Al Makmun. Al Khawarizmi menumpukan sepenuh masanya dalam bidang ilmu sehingga meninggal dunia pada tahun 846 Masihi.


Semasa hidupnya, Al Khawarizmi merupakan seorang pakar matematik dan falak. Al Khawarizmi merupakan pengasas kepada ilmu algebra sebagai satu cabang ilmu yang terpisah daripada matematik dan geometri. Kepakaran dan kepintaran dalam matematik diperakui oleh masyarakat barat dan timur. Bukunya yang berjudul “Hisab al Jabr Wal Muqabalah” telah diterjermahkan di barat dengan judul “Mathematics of Integration and Equation”. Melalui buku inilah lahirnya istilah algebra yang digunakan sehingga ke hari ini. Dalam bahasa Arab algebra disebut “al-jabr” yang bermaksud angka bulat. Buku ini mengandungi tidak kurang daripada 800 masalah matematik dan telah digunakan sebagai buku teks di institusi pengajian tinggi Eropah sehingga kurun ke 16 Masihi. Al Khawarizmi telah memasukkan angka-angka Arab ke dalam bukunya ini yang kemudiannya dikenali sebagai Algorism.


Buku “Hisan al Jabr Wal Muqabalah” sebenarnya merupakan ringkasan kepada sebuah bukunya yang lebih tebal. Dengan meringkaskannya, Al Khawarizmi berharap akan memudahkan orang ramai membaca, memahami, dan menggunakannya terutama di dalam urusan perdagangan serta perniagaan. Beliau mendapat sokongan Khalifah Al Makmun untuk menulis buku ini bagi membantu orang ramai menjalankan urusan sehariannya. Kesungguhan Al Khawarizmi terhadap ilmu telah mendorong Khalifah Al Makmun melantiknya mengetuai para sarjana ilmu falak di Baitul Hikmah atau Dewan Pengetahuan.


Kesempatan ini telah digunakan untuk menterjemahkan buku “Sidanta” yang memuatkan jadual falak India. Melalui ilmu pengetahuan falak India dan Yunani yang dipelajarinya, Al Khawarizmi telah membuat pelbagai penemuan yang penting. Dengan bantuan ahli falak yang lain, Al Khawarizmi telah berjaya menyiapkan sebuah peta yang diberikan nama sempena Al Makmun. Peta ini bukan sahaja mengandungi benua dan lautan tetapi juga kota-kota, padang pasir, bintang-bintang dan angkasa raya siap dengan warnanya yang berlainan.


Lebih menakjubkan lagi apabila Al Khawarizmi bersama ahli falak Islam yang lain berjaya mengukur lilitan bumi. Mereka mendapati bahawa bumi ini bulat, tidak sebagaimana kepercayaan di Eropah yang mengatakan bumi ini rata. Buku Al Khawarizmi mengenai astronomi telah diterjemahkan oleh Adelard of Bath, guru kepada Raja England, Henry II. Banyak lagi buku tulisan Al Khawarizmi telah diterjemahkan di Eropah seperti “Hitungan Al Jabr” yang telah disalin oleh seorang Itali yang bernama Gerald of Cremona yang hidup antara 1114 Masihi hingga 1187 Masihi. Risalah itu disalin semula oleh Prince Boncompagni dan diterbitkan di Rom pada 1857 Masihi dengan judul “Trattati de Aritmetica”.


Di samping itu, Al Khawarizmi juga telah menulis dua buah buku yang terkenal iaitu “al-Zig”, “al-Rakhamah”, dan “ al Tarikh”. Beliau juga merupakan orang yang mula-mula sekali mencipta dan memperkenalkan istilah sinus. Sinus digunakan untuk menggantikan istilah busur dalam ilmu ukur yang dicipta oleh seorang sarjana Yunani Ptolemy. Walaupun Ptolemy mempunyai pengaruh yang kuat di dalam ilmu falak tetapi kebanyakan pandangannya telah ditolak oleh Al Khawarizmi. Ptolemy menyatakan bumi berada dalam keadaan yang tetap manakala matahari bergerak mengelilingi bumi. Pendapat Ptolemy telah dipegang dan dipertahankan oleh pihak gereja di Eropah selama beberapa ratus tahun lamanya.


Al Khawarizmi telah mengemukakan pelbagai formula matematik yang masih lagi digunakan sehingga hari ini. Formula matematik dan tulisan mengenai astronomi jelas mendahului zamannya. Sumbangannya kepada perkembangan kedua ilmu tersebut terlalu besar sehingga untuk mengenangkan jasa-jasanya para sarjana barat telah mencipta satu istilah matematik iaitu logaritma bersempena dengan namanya. Penciptaan istilah ini dan pemakaian istilah algebra dalam matematik membuktikan betapa para sarjana Islam telah mengorak langkah jauh ke hadapan jika dibandingkan dengan barat. Sementelahan itu, barat perlu berterima kasih kepada dunia Islam kerana telah menyediakan landasan ilmu yang kukuh untuk mereka melangkah keluar daripada alam kejahilan dan “kebodohan” sehingga berjaya menguasai dunia dengan kemajuan sains dan teknologinya.

4 comments:

Anonymous said...

terima kasih atas penulisan blog ini.. maklumat yg diberikan amat mmbantu sye n rakan2..

Cindai said...

alhamdulillah...
sama-sama...

keyabloblo =D said...

thanks so much,,
with ur post i got some information for complete my assignment..

Cindai said...

Welcome...
Moga bermanfaat dan dirahmatiNya..