Wednesday, April 13, 2005

Al-Idrisi pencipta glob dunia (Artikel 2)

Sistem pemetaan hampir tepat menjadi warisan berharga serta rujukan orang awam, khususnya ilmuwan Eropah.

Hari ini lebih 2,000 satelit mengelilingi bumi berfungsi mengumpulkan maklumat sejelas mungkin supaya manusia dapat memahami fizikal bola angkasa yang menjadi kediaman mereka.

Bagaimanapun, pada kurun ke-12, keadaan sebenar bumi sudah digambarkan tanpa teknologi angkasa oleh ilmuwan Islam, Al-Idrisi atau nama sebenarnya Abu Abdullah, Muhammad bin Abdullah bin Idris Al-Hammudi Al-Hasani Al-Qurtubi.

Siri Ilmuwan Islam malam ini, terbitan Mohd Fasil Mohd Idris memaparkan gambaran mengenai bumi dan sistem pemetaan Al-Idrisi yang tidak bercanggah dengan ilmu geografi moden.

Ketokohan beliau diakui ilmuwan masa kini, Prof Madya Mustapha Kamal Idris dari Jabatan Geografi, Fakulti Sains Sosial dan Sastera Universiti Malaya, yang menggunakan perisian Al-Idrisi sebagai perisian utama untuk menghasilkan peta.

Sementara Prof Dr Achaaban Ahmad, pensyarah Fakulti Sains Sosial, Universiti Hassan II, Casablanca, Maghribi, menerangkan rahsia peta Al-Idrisi yang dilakarkan secara terbalik.

Al-Idrisi, tokoh ilmuwan dalam bidang geografi yang dilahirkan di persisiran pantai Sabtah di utara Maghribi pada 493 Hijrah bersamaan 1099 Masihi banyak menimba pengetahuan di Cordoba, Andulisia.

Beliau banyak menitikberatkan ilmu geografi secara khusus membolehkannya menghasilkan penemuan baru dalam bidang itu dan menjadi ilmuwan Islam terawal menghasilkan peta dunia.

Keistimewaan lukisan peta dunia yang dihasilkan Al-Idrisi menggunakan kaedah ilmiah tidak banyak bezanya dengan peta dunia yang ada sekarang.

Beliau begitu gemar mengembara dan antara negara yang pernah dilawati ialah negara di Eropah, Asia Kecil selain mengharungi Laut Tengah.Kecintaannya terhadap dunia pengembaraan menjadikan beliau seorang yang terkenal dalam ilmu geografi.

Ketika mengembara, Al-Idrisi tidak lupa membuat catatan mengenai tumbuh-tumbuhan yang ditemui di negara yang dilawatinya.

Selain itu, beliau mencatatkan mengenai kegunaan tanaman berkenaan sebagai ubat-ubatan yang boleh menyembuhkan pelbagai penyakit.

Beliau turut menterjemahkan nama ubat-ubatan itu ke dalam enam bahasa lain iaitu Sysiac, Greek, Parsi, Hindi, Latin dan Berber.

Al-Idrisi juga diingati kerana kejayaannya membuat glob besar yang melakarkan garisan bulat dan peta dunia di atasnya.

Beliau juga menentukan sempadan laut di kawasan Khatulistiwa yang tidak dapat ditentukan oleh ulama ketika zamannya.

Selain itu, Al-Idrisi mengukur garis pusat bumi dan berjaya mendapat keputusannya, iaitu 22,900 batu bersamaan 42,185 kilometer. Ini tidak banyak berbeza dengan ukuran garis pusat yang sebenar, iaitu 40,068 kilometer.

Ketika singgah di Sicily, beliau menjadi tetamu raja negara itu, Roger II, yang kemudian menitahkannya membuat glob lakaran peta dunia daripada perak.

Al-Idrisi kemudian mengarahkan jurulukis dan jurupahat yang sangat pandai melukis benua, negara, lautan, sungai dan jalannya.

Akhirnya glob dunia itu menjadi satu warisan sangat berharga dan rujukan orang awam, khususnya ilmuwan Eropah mengenai pandangan mereka berhubung dunia.

Peta itu berjaya membantu mereka dalam pelbagai pengembaraan dan memudahkan pengembara mencari tempat baru di dunia.

Peta itu juga dilengkapkan dengan ukuran panjang dan lebar yang tepat sesebuah kawasan.Al-Idrisi juga mengarang banyak buku antaranya Nuzhah Al-Musytaq Fi Ikhtiraq Al-Afaq, yang dikarang atas permintaan Raja Sicily, Roger II.

Dalam buku itu, Al-Idrisi memasukkan semua maklumat yang ditemukan oleh ilmuwan sebelumnya dan menambah pengetahuan yang diperoleh daripada pengembaraannya ke seluruh pelusuk dunia.

Buku yang mengandungi lebih 70 jenis peta menjadi sumber rujukan penting bagi ilmuwan Eropah selama tiga abad.Sementara satu lagi hasil karya beliau bertajuk Rawdhah Al-Uns Fi Nuzhah Al-Nafs dan Al-Mamalik Wa Al-Masalik yang turut diterjemahkan ke dalam bahasa Latin menjadi panduan kepada pengembara.

Buku itu dilengkapi maklumat dan sifat sesebuah negara, tumbuh tumbuhan, haiwan, manusia, ekonomi serta tabiat mereka.Semua buku yang dihasilkan Al-Syarif Al-Idrisi terutama mengenai ilmu geografi popular di kalangan ilmuwan Timur dan Barat hingga ke hari ini.

Persoalannya, Eropah dan Barat mengambil berat terhadap sumber ini dan menterjemahkan dalam bahasa mereka tetapi apakah yang kita lakukan sebagai umat Islam. Sekadar membiarkan sumber itu tanpa usaha mengumpul atau menyusunnya.

2 comments:

Abbi... said...

apakah globnya msh ada skrng

Cindai said...

Iyalah...
ada sesiapa yg mempunyai sumber ini???
Teringin menatapnya walau sekadar picture....